{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Mahkamah

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Mahkamah


Konsultan Genneva didakwa

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh MARZITA ABDULLAH
dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Joseph Kow Hock Beng

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Seorang konsultan syarikat pelaburan jongkong emas Genneva (M) Sdn. Bhd. didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menerima deposit tanpa lesen membabitkan RM5.5 bilion, dua tahun lalu.

Datuk Joseph Kow Hock Beng, 55, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di Jalan Kuchai Maju 6, Off Jalan Kuchai Lama di sini antara 10 Januari 2011 dan 1 Oktober 2012.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Shah Alam dekat sini, Hock Beng turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM28,000 tahun lalu.

Di Mahkamah Sesyen di sini, lelaki itu didakwa atas pertuduhan bersubahat dengan Genneva untuk menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen melalui satu skim yang melibatkan transaksi emas menerusi dua akaun semasa CIMB Islamic Bank Bhd.

Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) 1989 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya dari Bank Negara Malaysia (BNM), Fahmi Abd. Moin yang mengendalikan pendakwaan, pada mulanya tidak menawarkan jaminan, bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkannya, beliau menawarkan jaminan RM1 juta dengan seorang penjamin.

Peguam Datuk Ghazi Ishak yang mewakili tertuduh pula memohon jaminan dikurangkan kepada RM50,000 kerana segala aset anak guamnya telah dibekukan.

Hakim Mat Ghani Abdullah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM200,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 27 November untuk pengurusan kes dan 7 hingga 24 April tahun depan untuk perbicaraan.

Mahkamah juga membenarkan kes itu dibicarakan bersama kes yang dihadapi tertuduh di Pulau Pinang selepas kes itu dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di sini.

Pada 30 Oktober lalu, di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang, Hock Beng dan isterinya Veronica Tan, 51, yang merupakan pengarah beberapa syarikat, didakwa terhadap 81 pertuduhan melakukan aktiviti pengubahan wang haram berjumlah lebih RM15 juta dalam bentuk wang tunai, cek dan jongkong emas.

Pada prosiding di Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini, Hock Beng sebagai Pengarah CFM Logistic (KL) Sdn. Bhd. didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram di Public Bank Bhd., Subang Jaya, dekat sini pada 19 Julai 2012.

Timbalan Pendakwa Raya, Mardziatun Nisa mengemukakan pertuduhan mengikut Subseksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dibaca bersama Subseksyen 87(1)(a) akta sama.

Beliau tidak menawarkan sebarang jaminan namun Ghazi memohon jaminan dibenarkan kerana anak guamnya sedang menghadapi pertuduhan di bawah seksyen yang sama di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Noradida Ahmad membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan wang jaminan dibayar esok berikutan kes berkenaan bermula lewat petang.

Beliau turut membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen di ibu negara untuk sebutan kes pada 27 November ini.

Terdahulu di sebuah lagi Mahkamah Sesyen Shah Alam, syarikat CFM Logistic (KL) Sdn. Bhd. yang diwakili Joseph mengaku tidak bersalah atas tuduhan sama pada tarikh dan tempat sama.

Mardziatun Nisa mengemukakan pertuduhan mengikut seksyen dan akta yang sama.

Hakim G. Ramesh turut membenarkan permohonan Mardziatun untuk memindahkan kes berkenaan ke mahkamah di ibu negara pada tarikh sebutan yang sama.

Rozita didakwa dera kanak-kanak

Posted: 12 Nov 2013 10:41 AM PST

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

Rozita Awang diiringi anggota polis keluar dari Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA

KUALA LUMPUR 12 Nov. - Pemilik sebuah taman asuhan kanak-kanak (taska), Rozita Awang didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun lapan bulan, pertengahan Oktober lalu.

Ibu kepada enam anak itu didakwa menganiaya kanak-kanak tersebut yang berada di bawah jagaannya dengan cara yang mungkin boleh menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang tamu Taska Permata Harapan, Taman Melati di sini kira-kira pukul 11.35 pagi, 18 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda RM20,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Rozita, 35, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh sebelum ini menyerah diri kepada pihak polis pada 7 November lalu setelah menghilangkan diri sejak rakaman klip video yang memaparkan penderaan kanak-kanak di taska tersebut tersebar sejak awal bulan ini.

Pada prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Ahmad yang mengendalikan pendakwaan, membantah sebarang jaminan diberikan kepada tertuduh.

Walau bagaimanapun, peguam, Muhammad Syazwan Mohd. Salleh yang mewakili wanita terbabit memohon satu jumlah jaminan yang minimum diberikan kepada anak guamnya memandangkan wanita itu mempunyai anak-anak yang masih kecil.

"Sekiranya dibenarkan jamin, suaminya yang bekerja sebagai pemandu teksi berjanji akan memastikan kehadiran isterinya ke mahkamah.

"Anak guam saya mempunyai anak-anak yang berusia di antara 10 tahun dan setahun setengah. Anak bongsunya pula masih lagi menyusu badan," ujar peguam itu.

Majistret Siti Shakirah Mohtarudin kemudian membenarkan Rozita diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan kes pada 10 Disember ini.

Terdahulu, wanita bertubuh kecil itu dilihat menangis terutama selepas menyedari kesemua anak-anak dan suaminya berada di galeri awam.

Namun, sejurus tamat prosiding, suami Rozita telah mengherdik sekumpulan jurugambar dan jurukamera yang sedang bertugas ketika lelaki itu keluar dari mahkamah.

Kira-kira pukul 3.30 petang, selepas menyedari kehadiran beberapa wartawan wanita, lelaki terbabit yang membayar wang jaminan isterinya telah memarahi kumpulan wartawan terbabit yang berada berhampiran kaunter jamin mahkamah sebelum 'menghilangkan diri'.

Rozita kemudian dilihat meninggalkan pekarangan mahkamah kira-kira pukul 4.50 petang.

Pada 1 November lalu, media cetak dan elektronik mendedahkan rakaman klip video yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak di taska tersebut ditampar dan dipukul oleh pengasuh.

Klip video tersebut dirakamkan pada 18 Oktober lalu oleh seorang bapa yang meletakkan kamera tersembunyi di dalam beg sekolah anaknya setelah mengesyaki sesuatu tidak kena apabila kanak-kanak itu enggan dihantar ke taska tersebut.

Bagaimanapun anaknya tidak dipukul dalam rakaman itu.

Rentetan pendedahan tersebut, pihak polis telah menerima kira-kira lima laporan polis oleh ibu bapa yang mendakwa anak mereka didera seperti dipaparkan dalam video itu.

Polis kemudian menahan dua wanita yang merupakan pekerja taska terbabit bagi membantu siasatan berhubung kes penderaan kanak-kanak di pusat jagaan itu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat