Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST Oleh MARZITA ABDULLAH dan LILIS SURIANI OMAR SEPASANG suami isteri pemandu teksi yang didakwa dengan 12 pertuduhan menyamun penumpang dibawa oleh anggota polis di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR 18 Nov. - Seorang pemandu teksi dan isterinya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 12 pertuduhan menyamun termasuk menggunakan senjata melibatkan wang tunai RM4,910, 14 telefon bimbit dan pelbagai barangan berharga milik 12 penumpang teksi, tiga bulan lalu. Sulinder Singh, 36, dan isterinya, Harvinderjit Kaur, 23, didakwa atas empat pertuduhan bersama-sama melakukan samun menggunakan pisau terhadap empat penumpang teksi di lokasi berbeza melibatkan wang tunai RM4,440, beberapa telefon bimbit, kamera digital, barangan kemas dan pelbagai kad mesin juruwang automatik (ATM). Mereka didakwa melakukan perbuatan tersebut di beberapa tempat antaranya di Taman Connaught, Cheras dan Taman Tasik Titiwangsa, di sini antara pukul 8.20 pagi dan 2.35 petang, 30 Ogos dan 19 Oktober lalu. Timbalan Pendakwa Raya, Nor Aizam Aiza Zamran mengemukakan pertuduhan terhadap mereka mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. Sulinder juga didakwa atas tiga pertuduhan melakukan samun termasuk menggunakan pisau terhadap tiga penumpang teksi melibatkan wang tunai RM90 dan beberapa telefon bimbit di tiga lokasi berbeza antaranya Taman Len Seng dan Jalan Tun Razak di sini antara pukul 8.10 pagi dan 2.35 petang, 15 Oktober dan 16 Oktober lalu. Dia didakwa mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 397 kanun sama dan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan. Nor Aizam tidak mencadangkan sebarang ikat jamin terhadap kedua-dua tertuduh namun peguam Rejinder Singh yang mewakili mereka memohon mahkamah membebaskan Harvinderjit dengan jaminan atas alasan anak guamnya mempunyai tiga anak yang memerlukan perhatian seorang ibu. Hakim Azwarnida Affandi membenarkan wanita itu diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan. Walau bagaimanapun, suami wanita itu tidak dibenarkan untuk diikat jamin. Beliau turut menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes. Terdahulu, di Mahkamah Sesyen berasingan, Sulinder turut didakwa atas lima pertuduhan samun termasuk bersenjatakan pisau terhadap lima mangsa berlainan, bulan lalu. Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sekitar daerah Cheras, Brickfields dan Sentul dekat sini, antara pukul 10.15 pagi dan 4.05 petang, antara 15 Oktober dan 21 Oktober lalu. Bagi kelima-lima pertuduhan tersebut, Sulinder didakwa menyamun wang tunai berjumlah RM380, enam unit telefon bimbit pelbagai jenama, dua bentuk cincin emas, kad pengenalan dan beberapa kad ATM. Dia didakwa mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan. Rejinder memohon mahkamah agar tidak bersikap prejudis terhadap anak guamnya dan membenarkan dia dijamin dengan nilai yang rendah atas alasan lelaki terbabit bukan daripada keluarga berada. Timbalan Pendakwa Raya, Norman Mohd. Nasir tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan melibatkan faktor kepentingan awam memandangkan tertuduh merupakan pemandu teksi. Hakim Azman Mustapha memutuskan untuk tidak membenarkan Sulinder diikat jamin dan menetapkan 2 Disember ini untuk sebutan semula kes. |
Pengawal keselamatan dijel, denda RM3,000 Posted: 18 Nov 2013 10:34 AM PST MELAKA 18 Nov. - Seorang pengawal keselamatan dihukum penjara setahun dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas kesalahan mencuri barangan kemas milik rakan serumahnya, empat bulan lalu. S.M. Saravanan Kumar, 31, dijatuhi hukuman tersebut selepas mengaku bersalah mencuri barang kes milik K. Meenal Veerapan, 48, di sebuah rumah di Jalan Chan Koon Cheng, Banda Hilir di sini pada Ogos lalu. Dalam kejadian itu, tertuduh didakwa mencuri dua utas rantai emas, tiga gelang tangan emas, dua bentuk cincin, dua pasang anting-anting dan thaali perkahwinan emas yang kesemuanya bernilai RM30,000. Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela didakwa di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan. Terdahulu, Saravanan yang masih belum berkahwin dalam rayuan sebelum hukuman dijatuhkan memohon hukuman ringan dan meminta dipenjarakan di Penjara Taiping, Perak bagi memudahkan adiknya yang tinggal di situ melawatnya. Timbalan Pendakwa Raya, Norshazwani Ishak walau bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kesalahan itu melibatkan kerugian sebanyak RM30,000 malah tertuduh juga telah melupuskan barang kemas tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |