Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- 2,600 hektar untuk bioteknologi
- Alam Flora perkenal jentera pembersihan pantai
- Baitul Husna Bukit Sekilau akan berpindah akhir tahun
2,600 hektar untuk bioteknologi Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA KUANTAN 15 Nov. - Kerajaan negeri menyediakan kawasan seluas 2,600 hektar yang telah dibangunkan sebagai taman khas untuk pembangunan bioteknologi. Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, terdapat enam projek mega yang akan dan sedang diusahakan di kawasan berkenaan, membabitkan pelaburan kira-kira RM2 bilion. Beliau berkata, antara projek berkenaan adalah Taman Industri Halal di Gambang yang membabitkan pelaburan berjumlah RM1.1 bilion, diusahakan bersama oleh tujuh syarikat di kawasan seluas 80 hektar. "Projek ini dirancang bagi memastikan semua kawasan yang berada dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) mendapat manfaat dan dapat dibangunkan. "Projek ini juga bukan saja membawa pulangan lumayan kepada pelabur, bahkan menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Konvensyen Pelaburan Bioteknologi Pahang 2013 dan Pelancaran Pelan Strategik Ekonomi Pahang 2011-2015 di sini semalam. Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Razak. Yang turut hadir Duta Besar Rusia, Lyudmila G Vorobyeva; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif. Adnan berkata, antara projek lain yang dibangunkan adalah Ladang Penanaman Nanas Bersepadu Rompin, Taman Gaharu, Chegar Perah, Lipis; Kuantan Biopark, Gebeng dan Zon Perladangan Burung Walit, Rompin. Dalam pada itu beliau berkata, negeri ini akan terus menjadi penyokong utama dasar bioteknologi negara yang kini telah memasuki fasa kedua (2011-2015). "Di sini saya juga ingin mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pahang bersedia untuk menjadi tuan rumah Konvensyen BioMalaysia pada 2015," katanya. |
Alam Flora perkenal jentera pembersihan pantai Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST Mohd. Zain Hassan (dua dari kanan) melihat jentera pembersihan pantai yang digunakan di Pantai Teluk Chempedak selepas majlis perasmian jentera baharu berkenaan di Kuantan, semalam. KUANTAN 15 Nov. - Syarikat konsesi, Alam Flora Sdn. Bhd. memperkenalkan jentera pembersihan pantai baharu yang secara rasminya memulakan operasinya di Pantai Teluk Chempedak di sini semalam. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Zain Hassan berkata, jentera itu mampu menjalankan kerja-kerja pembersihan secara teliti dan cekap serta boleh memungut segala bentuk sampah sarap di atas permukaan dan yang tertanam di pasir sehingga kedalaman 15 sentimeter dari permukaan pasir. "Dengan kelajuan yang selamat iaitu kira-kira lapan kilometer sejam iaitu kelajuan efektif untuk kutipan sisa, jentera ini akan dapat membersihkan pelbagai jenis sisa termasuk kaca pecah, plastik, puntung rokok, tin minuman, rumpai air, bangkai ikan dan ranting kayu. "Jentera ini yang bernilai kira RM300,000 sebuah hanya perlu dikendalikan seorang pekerja sahaja dan akan beroperasi setiap hari kecuali hari Ahad bermula dari pukul 8 pagi hingga 3 petang," katanya. Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian jentera baharu itu yang disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA), Datuk Ab. Rahim Md. Noor di sini. Yang turut hadir Pengarah PPSPPA, Mohd. Nor Afandi Abdul Aziz. Mohd. Zain berkata, pantai Teluk Chempedak di sini, akan menjadi perintis penggunaan jentera baharu itu sebelum digunakan di kawasan pantai lain. "Kita yakin melalui penggunaan jentera ini akan dapat memperindahkan lagi kawasan pantai Teluk Cempedak yang mana sering mendapat tumpuan orang ramai sama ada penduduk tempatan ataupun pelancong asing," katanya. Sementara itu, Ab. Rahim berkata, penggunaan jentera itu akan dapat mengurangkan tempoh masa yang diambil untuk membersihkan lapan buah pantai dari dua jam bagi satu kilometer kepada hanya setengah jam. Selain itu, katanya, jentera pembersihan pantai itu juga dapat membersihkan lebih satu kilometer sehari berbanding hanya 800 meter yang dijalankan oleh seorang pekerja. "Pihak PPSPPA berharap penggunaan jentera baharu ini dapat menyelesaikan masalah sisa-sisa sampah di tepi pantai," katanya. |
Baitul Husna Bukit Sekilau akan berpindah akhir tahun Posted: 15 Nov 2013 10:11 AM PST Sebahagian daripada anak yatim Baitul Husna Bukit Sekilau bergambar di hadapan rumah anak yatim berkenaan yang akan berpindah ke lokasi yang belum ditentukan dalam tempoh terdekat. KUANTAN 15 Nov. - Baitul Husna Bukit Sekilau (BHBS) yang merupakan sebuah rumah kebajikan menempatkan anak-anak yatim perempuan akan berpindah dari Bukit Sekilau di sini, ke suatu lokasi yang masih belum ditentukan. Setiausaha BHBS, Hasanin Ahmad berkata, pihaknya menerima sepucuk surat daripada pihak Masjid Lama Bukit Sekilau yang memaklumkan kerja-kerja pembesaran masjid itu akan dibuat pada awal Januari tahun depan. "Pihak masjid juga memaklumkan lokasi rumah kebajikan ini adalah dalam kawasan tanah milik masjid berkenaan, jadi tanpa ingin mengeruhkan keadaan kami membuat keputusan untuk berpindah ke lokasi lain. "Kami menjangkakan paling lewat akhir Disember ini kami akan berpindah, sekarang kami sedang mencari lokasi yang sesuai," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. BHBS mula beroperasi pada 21 Mac 2010 dengan pengambilan 10 orang penghuni ketika itu. Sehingga kini, 20 penghuni menetap di rumah kebajikan itu yang penubuhannya bertujuan memberikan penempatan yang lebih selesa kepada anak-anak yatim dan miskin. Hasanin berkata, pihaknya telah menerima beberapa tawaran mengenai lokasi baharu rumah kebajikan tersebut. "Namun kita masih belum memilih dan buat keputusan, satu mesyuarat akan diadakan minggu hadapan untuk memilih lokasi yang sesuai. "Kalau boleh kita tidak mahu lokasi yang terlalu jauh daripada Bukit Sekilau, ini bagi memudahkan urusan terutama persekolahan kerana kalau boleh kita tidak mahu penghuni rumah kebajikan ini bertukar sekolah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |