Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST Oleh SHAHRINNAHAR LATIB PENARI kebudayaan bermain congkak semasa Promosi Kraf Malaysia di Eat Coast Mall di Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 6 Nov. - Kraf tangan tempatan adalah satu seni warisan yang perlu dipertahankan untuk tatapan generasi akan datang. Nilai warisan ini seharusnya menjadi kebanggaan dari generasi ke generasi kerana kraf tangan turut mencerminkan identiti sesuatu bangsa. Pelbagai usaha telah dijalankan pelbagai pihak bagi mengangkat produk hasil buatan tempatan terutamanya produk kraf sebagai salah satu entiti utama dalam gaya hidup masa kini. Kraftangan Malaysia merupakan agensi utama yang giat mempromosikan produk tempatan untuk dikomersialkan dan menghidupkan semula hasil-hasil kraf agar terus mendapat tempat di sisi masyarakat. Sehubungan itu, agensi tersebut tidak jemu-jemu berusaha mempromosi sekali gus memartabat produk kraf tempatan. Terbaru, agensi tersebut sekali lagi menganjurkan Promosi Kraf Tangan Malaysia peringkat negeri di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini baru-baru ini. Promosi tersebut bertujuan menggalakkan masyarakat tempatan dan pelancong untuk terus menyokong dan memperhebatkan penggunaan produk kraf bagi diaplikasikan dalam gaya hidup di alaf baru ini. Seramai 24 usahawan dari seluruh negara menyertai promosi kraf kali ini yang terdiri daripada usahawan batik, hasil rimba, logam, seramik dan aneka aksesori mutiara serta kristal. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin berkata, promosi kraf ini adalah platform yang diwujudkan oleh Kraftangan Malaysia bagi membantu usahawan kraf mempromosi dan memasarkan produk kraf secara terus kepada pengguna. "Promosi di Kuantan ini merupakan satu platform yang terbaik untuk meningkatkan pendapatan pengusaha kraf. "Ini juga merupakan inisiatif yang digerakkan bagi mengembang dan mempelbagaikan pilihan kepada pengguna," katanya ketika merasmikan Promosi Kraf Tangan Malaysia peringkat negeri baru-baru ini. Yang turut hadir Pengarah Kraftangan cawangan Pahang, Datuk Zubair Mohd. Zain. Menurut Sharkar, promosi yang bermula dari 10 pagi sehingga 10 malam itu menyasarkan jualan sebanyak RM800,000 berbanding RM700,000 pada promosi lalu. Tambahnya, sambutan yang diterima daripada orang ramai amat menggalakkan bukan sahaja dalam kalangan penduduk setempat malah dari negeri lain juga. Beliau berkata, selain jualan industri kraf, pelbagai aktiviti serta pengisian menarik turut menanti para pengunjung sempena promosi kraf ini. "Antara aktiviti yang dijalankan termasuk mewarna batik, dekorasi seramik, ukiran kayu, membuat bakul dan pameran Tenun Pahang," katanya. Sementara itu, seorang peniaga kraf, Mat Arifin Ibrahim, 50, percaya dengan usaha pihak penganjur mengetengahkan produk tempatan tersebut akan dapat membantu para pengusaha sepertinya untuk lebih maju ke hadapan dalam penjenamaan dan pemasaran produknya. "Promosi ini adalah satu usaha baik yang harus disertai oleh para pengusaha seperti kami dan saya merasakan dengan cara ini, pemasaran produk tempatan boleh pergi lebih jauh. "Selain itu, pameran ini juga mendedahkan mengenai kelebihan produk serta hasil tangan orang tempatan dan ini menjadikan masyarakat lebih terdidik untuk memilih menggunakan produk buatan Malaysia," katanya. Bagi seorang pengunjung, Shah Razin Md. Asri, 16, promosi itu perlu diadakan setiap tahun kerana secara tidak langsung dapat mendidik pelajar sekolah mengenai kraf tangan. "Sebagai seorang pelajar, saya agak teruja melihat pelbagai produk kraf tangan terutamanya ukiran kayu cengal yang memang saya minati," katanya. Seorang lagi pengunjung, Nurilyani Ahmad Zamri, 21, berharap lebih banyak promosi kraf tangan diadakan pada masa hadapan. "Program seperti ini perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk mendidik remaja supaya lebih mengenal produk kraf kita," katanya. |
Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST Oleh SHAHRINNAHAR LATIB SEKUMPULAN pelajar berdoa sebelum menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad, Indera Mahkota, Kuantan, Pahang, semalam. - utusan/ MAHATHIR ALI KUANTAN 6 Nov. - Seramai 24,681 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Pahang menduduki peperiksaan tersebut yang bermula hari ini, membabitkan 253 pusat peperiksaan. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail berkata, daripada jumlah itu, seramai 55 calon adalah kategori pelajar kurang upaya (OKU) termasuk mempunyai masalah pembelajaran. "Jumlah OKU paling ramai adalah di daerah Kuantan iaitu 16 calon, Pekan (14), Bera (sembilan), Temerloh (empat), Jerantut (tiga), Lipis (satu) manakala Cameron Highlands, Maran, Rompin serta Raub masing-masing dua," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Menurut beliau, calon yang menduduki peperiksaan pada tahun ini menurun sebanyak 660 orang, namun jumlah pusat peperiksaan bertambah sebanyak 52 berbanding tahun lalu. Sementara itu kata Rosdi, pihaknya juga bersiap sedia kemungkinan menghadapi banjir sepanjang musim peperiksaan ini. "Kita menjalankan operasi ini di kawasan yang berisiko banjir seperti di Paloh Hinai, Pekan dan Sungai Lembing, Kuantan. "Kita akan mengutamakan calon yang tersekat dalam banjir dan tidak dapat mengambil peperiksaan, jadi petugas-petugas khas peperiksaan serta guru-guru akan mengambil langkah awal bagi memastikan setiap daripada calon dapat menduduki peperiksaan," katanya. Menurut beliau, jika ada sekolah yang menjadi pusat peperiksaan dilanda banjir, calon terbabit akan dibawa ke pusat peperiksaan lain yang mempunyai kemudahan asrama. |
Kekurangan diri bukan halangan ambil SPM Posted: 06 Nov 2013 11:56 AM PST EMPAT pelajar OKU, Nur Aliah Kay Abdul Rashid Kay (kiri), Muhammad Ali (dua dari kiri), Liang Yue Kai (kanan) dan Tuan Mohammad Adib Ashman (dua kanan) sempat menelaah buku rujukan sebelum memasuki dewan peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang di Kuantan, Pahang, semalam. KUANTAN 6 Nov. - Walaupun mengalami masalah pembelajaran kerana kekurangan yang ada pada diri mereka, keadaan itu tidak menjadi halangan bagi empat pelajar orang kurang upaya (OKU) untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula hari ini. Empat pelajar itu, Nur Aliah Kay Abdul Rashid Kay, Muhammad Ali, Liang Yue Kai dan Tuan Mohammad Adib Ashman dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang hadir ceria bersama pelajar normal lain untuk mengambil ujian Bahasa Melayu kertas 1 yang bermula pukul 8 pagi. Bagaimanapun keempat-empat pelajar tersebut yang menghadapi masalah lembam, diasingkan dengan pelajar lain dan mengambil ujian di dalam bilik khas yang disediakan untuk OKU di sekolah berkenaan. Mereka juga diberikan masa lebih panjang berbanding pelajar normal iaitu kira-kira 30 minit bagi membantu mereka menyiapkan ujian tersebut. Menurut Guru Penolong Kanan Pentadbiran sekolah berkenaan, Masayu Mukhtar, keempat-empat pelajar berkenaan memang rajin datang ke sekolah dan menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran. "Walaupun mempunyai masalah pembelajaran, mereka tetap hadir ke sekolah. Malah mereka tidak belajar di dalam kelas khas tetapi ditempatkan bersama pelajar yang lain," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut beliau, pada percubaan SPM baru-baru ini, Nur Aliah menunjukkan peningkatan dalam pembelajaran apabila mendapat keputusan yang agak cemerlang dalam peperiksaan tersebut. "Walaupun menghadapi masalah dalam pembelajaran, mereka amat rajin apabila membuat segala tugasan yang diberikan guru. "Saya yakin dengan usaha yang telah dilakukan oleh mereka selama ini dan hasil bimbingan guru-guru mereka akan berjaya menjawab soalan dengan baik," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |