{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Politik khabar angin di Perak

Posted: 13 Nov 2013 10:12 AM PST

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-11 tahun 2004, Pas terpaksa memerintah Kelantan dengan kelebihan dua kerusi sahaja dan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Barisan Nasional (BN) Terengganu terpaksa memerintah negeri dengan kelebihan hanya satu kerusi.

Tetapi sama ada BN di Kelantan mahupun Pas di Terengganu, mereka tidak pernah berniat untuk menganggu gugat pentadbiran kerajaan negeri. Masing-masing menghormati keputusan yang dibuat oleh rakyat dalam pilihan raya yang diadakan.

Keadaan itu membolehkan kerajaan negeri di Kelantan dan Terengganu mampu mentadbir tanpa sebarang gangguan politik termasuklah daripada golongan yang boleh dianggap 'gila talak' mahu kuasa.

Bagaimanapun situasi ini tidak berlaku di Perak, kejayaan BN mendapat mandat mutlak di negeri itu dalam PRU-13 walaupun dengan kelebihan tiga kerusi ternyata tidak begitu disenangi oleh kelompok tertentu.

Bagi mereka Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir yang pernah puak-puak tersebut gelar 'Menteri Besar Haram' berikutan kemelut politik pada 2009 tidak harus dibiarkan bekerja dengan selesa bagi membangunkan rakyat negeri Perak.

Kelebihan tiga kerusi itu seolah-olah tidak diiktiraf sebagai suara demokrasi yang diterjemahkan oleh rakyat melalui pilihan raya, sebaliknya mereka ingin terus bermain politik dengan tujuan melihat Dr.Zambry 'tidur tak lena' dengan andaian dengan kelebihan tiga kerusi mana-mana juga kerajaan negeri boleh tumbang dalam satu malam.

Berikutan itu, menjelang sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada 25 November ini, maka isu lompat parti kembali dimainkan, kononnya ada dua wakil rakyat BN akan melompat parti dan sekali gus meletakkan kerajaan negeri berada dalam kedudukan 'telur di hujung tanduk'. Sebenarnya, ini bukanlah kali pertama isu seumpama itu dimainkan malah sudah acap kali iaitu sejak 2009 lagi dan matlamatnya hanya satu - mengganggu kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

Sebab itulah, ketika diminta reaksi beliau berhubung perkara tersebut, Dr.Zambry berkata, "Tak perlu kita layan benda-benda ini, kita mahu terus bekerja untuk rakyat Perak."

Menurut beliau, BN Perak mempunyai misi lebih penting daripada memikirkan perkara seumpama itu dan lebih mengutamakan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

Jadi tidak payahlah mana-mana pihak cuba menarik BN untuk melayan 'politik tidak cukup segantang' ini kerana ia hanya membuang masa.

Ia memandangkan ada gesaan oleh Pas Perak supaya Dr.Zambry membuat laporan polis bagi menafikan khabar angin tersebut. Secara logiknya, nama pun sudah khabar angin, biarlah hembusannya berlalu begitu sahaja.

Kalau khabar angin hendak dilayan, kenapakah Pas Perak tidak menggesa supaya pemimpin-pemimpin DAP negeri membuat laporan polis kerana ada khabar angin yang menyatakan, isu lompat melompat ini ada kaitan dengan parti tersebut menjelang pemilihan DAP peringkat negeri? Tanyalah juga kepada DAP, betulkah isu melompat parti ini sengaja dibangkitkan untuk mengalih pandangan terhadap kemelut dalam parti itu yang dikatakan semakin parah?

Kenapa Pas Perak tidak bertanya secara langsung kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) negeri betulkah khabar angin ada dua wakil rakyat BN telah mengadakan perbincangan dengan pemimpin kanan PKR di Permatang Pauh?

Justeru hujah Pas Perak kononnya khabar angin tersebut merupakan satu perkembangan tidak sihat dan boleh mengakibatkan ketidakstabilan politik serta ekonomi Perak hanya alasan sahaja.

Bagi kelompok pembangkang yang tidak ada kerja apatah lagi yang bukan bergelar wakil rakyat, mungkin mereka ada masa untuk melayan pelbagai khabar angin tetapi bagi kerajaan negeri BN banyak kerja lain hendak dilakukan.

Oleh itu, tidak perlulah pakatan pembangkang di Perak hendak menyeret BN ke dalam gelanggang politik khabar angin mereka.

Berpolitiklah secara matang seperti mana ditunjukkan oleh BN di Kelantan dan Pas di Terengganu. Kalau benarlah mereka mengaku kononnya perjuang untuk rakyat dan mengutamakan rakyat dalam percaturan politik mereka, maka jangan mengganggu pentadbiran kerajaan Perak yang dipilih oleh rakyat. Kalau mahu juga kuasa, maka berusahalah dalam pilihan raya umum akan datang dan bukannya mengharapkan khabar angin menjadi kenyataan.

Seperkara lagi kepada pemimpin-pemimpin pembangkang di Perak belajar untuk menerima hakikat bahawa rakyat sudah memilih BN. Jika mereka memperjuangkan suara keramat rakyat maka hormatilah keputusan rakyat. Tidak kiralah sama ada sesebuah kerajaan negeri itu memerintah dengan kelebihan satu atau dua kerusi, yang penting itu mandat rakyat.

Cukup-cukuplah sejak 2009, apabila kerajaan pakatan pembangkang tumbang kerana kesilapan sendiri, kerajaan BN yang memerintah tidak habis-habis diganggu. Tidak cukup dalam gelanggang politik, perjalanan sidang DUN negeri juga dikacau sehinggakan ia tidak ubah seperti 'tadika'. Kalau pun ada masalah dalam parti sendiri, janganlah cuba mengaitkan pentadbiran kerajaan BN Perak.

Dr.Zambry, barisan exco dan pemimpin-pemimpin BN mempunyai banyak lagi urusan rakyat yang harus diselesaikan, bukannya hendak melayan mainan politik pembangkang atau penyokong mereka sahaja.

Daripada mana-mana pihak termasuk penyokong pembangkang berfikir siang malam bagaimana hendak menggugat kerajaan BN Perak adalah lebih baik jika mereka memikirkan bagaimana hendak membangunkan negeri itu. Pertarungan politik seharusnya berlaku ketika musim pilihan raya sahaja bukannya hendak politik 24 jam tanpa mengira musim.

Oleh itu, Dr.Zambry mengambil tindakan bijak apabila tidak mahu melayan khabar angin dalam isu lompat melompat ini. Biasanya orang yang pernah alami 'penyakit' ini memang trauma dengan keadaan itu.

Berikutan itu, mereka berharap 'penyakit' yang sama akan terkena kepada orang lain pula, tetapi mereka terlupa bahawa berbanding BN, kecenderungan untuk melompat parti ini lebih banyak dilakukan oleh pembangkang.

Bukan kerana dibeli atau dipancing dengan habuan tetapi disebabkan pemimpin itu sendiri sudah tidak yakin dengan perjuangan parti mereka. Lanjutan itu, langkah terbaik ialah memihak kepada parti yang mereka percaya mampu membela nasib rakyat iaitu BN, jadi janganlah salahkan BN kalau itu berlaku.

Tetapi biasalah pembangkang, mana hendak mahu mengkaji kelemahan sendiri. Bagi mereka, apa sahaja yang berlaku semuanya kerja BN, tetapi mereka akan melenting pula kalau orang akan dakwa mereka terlibat menyebarkan khabar angin dalam isu lompat melompat ini.

Namun begitu, kita yakin Dr.Zambry seorang pemimpin yang sanggup tidur di surau dan menumpang rehat di rumah orang kampung demi mendengar suara hati rakyat tidak akan terpengaruh dengan politik picisan seumpama ini.

Biarlah khabar angin itu bertebaran, biarlah khabar angin berlanjutan yang pasti apabila tiba masanya kebenaran pasti meranapkan kebatilan. Apa yang penting, BN Perak perlu meneruskan agenda membangunkan negeri itu dan memakmurkan kehidupan rakyat, jangan membuang masa hendak bertanya kenapa pohon bergoyang kerana itu perbuatan mereka yang sudah bangkrap isu dalam berpolitik.

Perundangan lapuk AS yang menyusahkan

Posted: 13 Nov 2013 10:12 AM PST

Gerbang Global
Azmi Hassan

MUNGKIN ramai rakyat Malaysia mengambil mudah hasrat Kuala Lumpur untuk menduduki kerusi Lembaga Eksekutif Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) untuk penggal 2015-2019 kerana ada yang membuat andaian organisasi itu tidak mempunyai pengaruh dalam mewarnai geopolitik antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata demikian ketika menghadiri Persidangan Agung UNESCO di Paris beberapa hari lepas.

Tambah beliau, Jemaah Menteri pada 25 Oktober telah bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan untuk Malaysia sekali lagi bertanding kerusi Eksekutif kerana semenjak menganggotai pertubuhan itu pada 1958, Malaysia sudah lima kali menduduki kerusi berkenaan.

Sebagai salah satu organisasi di bawah naungan PBB, pertubuhan tersebut mempunyai peranan tersendiri bukan sahaja dalam bidang pendidikan atau kebudayaan tetapi juga mampu secara tersirat memperjuangkan isu berkaitan demokrasi dan hak asasi.

Pemilihan ini akan menjadi platform terbaik untuk kita berkongsi pendapat dan amalan terbaik dengan negara-negara anggota lain di samping memastikan kepentingan dan pendirian Malaysia dapat didengari di peringkat antarabangsa," tegas Muhyiddin sebagai dalil asas keputusan Jemaah Menteri.

Menarik sekali kerana sehari sebelum itu Ketua Pengarah UNESCO Irina Bokova mengumumkan Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah hilang hak mengundi dalam organisasi tersebut kerana gagal membayar yuran yang telah tertunggak selama dua tahun.

Ketetapan itu dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan UNESCO yang menetapkan mana-mana negara ahli yang gagal melunaskan tunggakan yuran selama dua tahun akan dilucutkan hak mengundi. Jumlah tunggakan yang ditanggung AS adalah AS$80 juta setahun dan perlu dinyatakan keengganan Washington melunaskan hutang itu adalah kerana terikat dengan peruntukan undang-undang AS yang melarang menghulurkan bantuan kewangan terhadap mana-mana organisasi PBB yang mempunyai Palestin sebagai ahli penuh.

Pada Persidangan Agung 2011 sebanyak 107 negara ahli UNESCO menerima permohonan Palestin sebagai ahli penuh sementara 14 menentang dan 52 lagi mengambil pendirian berkecuali. AS dan Israel adalah antara negara yang menentang kemasukan Palestin dalam organisasi itu.

Hasrat Washington sebenarnya mahu mengekalkan keahlian dengan hak mengundi kerana landasan UNESCO adalah antara wadah terpenting yang digunakan oleh AS untuk memperjuangkan hak demokrasi dan hak asasi secara tersirat. Ini adalah kerana negara sasaran akan merasa agak sangsi dengan niat sebenar bantuan yang dihulurkan jika ia dilakukan oleh AS secara langsung.

Tetapi jika bantuan dihulurkan melalui UNESCO maka persepsi serong sedemikian rupa lazimnya tidak akan wujud. Pentingnya UNESCO kepada AS dan begitu juga sebaliknya adalah kerana setiap tahun dana kewangan yang dihulurkan AS merangkumi hampir 22 peratus dari keseluruhan perbelanjaan organisasi tersebut.

Sebagai penyumbang terbesar, AS mempunyai pengaruh yang agak besar dalam melaksanakan program pilihan mereka. Tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini apabila dana organisasi berkurangan, banyak program terpaksa dibatalkan dan majoritinya adalah program dimana AS mempunyai kepentingan secara langsung.

Kesan paling ketara adalah pembatalan program pendidikan berasaskan peristiwa Holocaust. Maksud tersurat program ini adalah untuk memberi kemudahan pendidikan kepada negara yang memerlukan tetapi yang paling penting adalah maksud tersirat yang cuba mempengaruhi persepsi masyarakat antarabangsa terhadap peristiwa Holocaust.

Presiden AS Barack Obama sedaya upaya cuba mengubah perundangan yang ditanda tangani pada era 1990an Presiden George H.W. Bush dan juga Presiden Bill Clinton kerana ditafsirkan sebagai ketinggalan zaman dan bertentangan dengan dasar rasmi Washington yang mahu melihat dua negara merdeka iaitu Palestin dan Israel ujud secara aman. Tetapi masalahnya adalah Kongres AS menilai kehilangan hak mengundi dalam UNESCO sebagai perkara remeh kerana setiap kali Obama mengemukakan cadangan penambahbaikan terhadap perundangan itu, maka setiap kali cadangan itu langsung tidak dibangkitkan di Kongres.

Selagi wujudnya perundangan yang menghalang penyertaan AS dalam organisasi yang turut membabitkan Palestin sebenarnya lebih banyak merugikan AS dan Israel berbanding dengan Palestin itu sendiri. Dalam UNESCO umpamanya wujud sentimen anti Israel yang antara lain mengecam tindak tanduk rejim tersebut yang telah memusnahkan tempat bersejarah di Baitulmaqdis Timur dan Tebing Barat.

Paling menarik juga apakah tindakan yang bakal diambil AS dan Israel jika diandaikan Palestin membuat permohonan menjadi ahli dalam Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) yang pada ketika ini antara agensi PBB terpenting selepas Majlis Keselamatan jika isu pembangunan nuklear Iran di ambil kira. Lebih menarik lagi jika Palestin diterima sebagai ahli Pertubuhan bagi Pencegahan Senjata Kimia (OPCW) yang dianggap mempunyai tanggung jawab kritikal mengekang penularan senjata kimia seperti mana IAEA dengan tugas mereka mengekang penularan senjata nuklear.

Apakah Kongres AS akan membiarkan Washington hilang pengaruh dalam IAEA atau OPCW seperti mana menimpa mereka dalam UNESCO adalah begitu menarik untuk diperhatikan. Tetapi jika Dewan Perwakilan Kongres yang dikuasai oleh Parti Republikan sanggup membiarkan Kerajaan Pusat lumpuh selama 17 hari, maka bukan perkara mustahil Kongres membiarkan AS meninggalkan IAEA atau OPCW.

PENULIS ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat