{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Suara ulama semakin terpinggir?

Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

HARUN Taib berucap dalam Muktamar Dewan Ulama Pas di Shah Alam Khamis lalu.

APABILA kumpulan pro ulama dikatakan membuat kesepakatan untuk meletakkan seorang calon sahaja bagi kerusi Timbalan Presiden, ramai yang meramalkan penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu akan tumbang.

Andaian yang dibuat ialah pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 ini tidak akan berlaku pecahan undi bagi golongan pro ulama seperti tahun 2011 apabila Mat Sabu menduduki jawatan itu selepas menewaskan dua calon ulama iaitu, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun jangkaan itu ternyata meleset, Mat Sabu kekal sebagai orang nombor dua Pas apabila berjaya mengetepikan pencabar tunggalnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah dengan majoriti 98 undi.

Populariti ternyata memberi kelebihan kepada Mat Sabu memandangkan Mohd.Amar dilihat pemimpin di peringkat negeri sahaja.

Biar pun 'diserang' habis-habisan dalam blog dan media sosial sehingga beliau menganggap inilah kali pertama beliau melihat kempen pemilihan paling buruk dalam Pas namun semua itu tidak menghalang Mat Sabu untuk mencapai kemenangan.

Sama ada Mat Sabu menang 98 undi atau 21 undi seperti mana tahun 2011, beliau tetap pemenang dan berhak menjadi Timbalan Presiden Pas, tidak kira berapa pun jumlah undi yang diperolehi Mohd.Amar.

Bagi Mohd.Amar pula, ini merupakan kekalahan ketiga dalam usahanya untuk menduduki salah satu jawatan tertinggi dalam Pas. Sebelum ini, beliau pernah mencuba sebanyak dua kali untuk kerusi Naib Presiden tetapi tewas.

Sebab itulah, ada yang melihat Mohd.Amar memasuki gelanggang merebut jawatan Timbalan Presiden dalam keadaan rekod yang tercalar berbanding Mat Sabu.

Harapan penyokong golongan ulama sebenarnya kepada Tuan Ibrahim tetapi beliau mengambil keputusan untuk bertanding Naib Presiden sahaja biar pun dikatakan memperolehi pencalonan lebih banyak berbanding Mohd.Amar bagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara Tuan Ibrahim diramalkan tidak akan menghadapi masalah untuk menduduki salah satu kerusi Naib Presiden yang akan diumumkan hari ini, ramai tertanya-tanya apa akan berlaku kepada perjuangan ulama dalam Pas.

Ia memandangkan perwakilan dan ahli Pas ternyata mempunyai pertimbangan tersendiri dalam soal perjuangan politik parti itu.

Sebab itulah, dalam senarai Ahli Jawatankuasa Pas pusat yang terpilih, kumpulan ulama tidak sampai 10 orang. Antara yang terpilih termasuklah dua bekas pemimpin Dewan Pemuda Pas pusat iaitu Nasrudin Hassan dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Walaupun barisan kepimpinan yang terpilih tidak akan meminggirkan golongan ulama namun apa yang menjadi persoalan ke manakah haluan golongan itu selepas ini?

Ia memandangkan mereka tidak mempunyai kekuatan politik yang begitu jitu bagi menentukan hala tuju perjuangan Pas selepas ini. Sebaliknya, agenda politik parti tersebut ini dilihat akan ditentukan sepenuhnya oleh golongan profesional atau lebih popular digelar 'Anwarinas'.

Situasi ini juga akan memungkinkan peranan Dewan Ulama dan Majlis Syura Pas dilihat tidak lebih daripada pelengkap organisasi sahaja.

Kenyataan tegas golongan ulama sebelum ini yang mahu tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikaji semula dikatakan turut menjadi punca calon golongan ulama gagal mencapai kejayaan diharapkan.

Tindakan Dewan Ulama itu dikatakan mengecewakan banyak pihak dalam Pas yang berpendapat jika mahu menawan Putrajaya mereka perlu meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Malah ada antara mereka begitu bangga menganggap melalui tahaluf siyasi, Pas mampu menawan Kedah dan Perak pada tahun 2008, mempertahankan Kelantan dan berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang sehingga ke hari ini.

Selain itu, mereka juga berhujah bahawa Pas semakin diterima oleh bukan Islam kerana kerjasama tersebut, justeru kenapa golongan ulama memadai-madai mahukan ia dikaji semula?

Ternyata, biar pun dilayan seperti pak turut dan melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang, namun sebahagian ahli-ahli Pas tidak peduli, apa yang penting mereka mahu meneruskan keterujaan untuk bersama PKR dan DAP bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mungkin atas sebab itu jugalah, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib telah dikecam dan dicerca dalam laman-laman sosial sehingga ada ahli Pas tergamak menuduh golongan ulama 'gila kuasa'.

Golongan ulama turut dikaitkan dengan usaha mengadakan kerjasama dengan UMNO biar pun Dewan Ulama sudah menegaskan bahawa seruan supaya tahaluf siyasi disemak adalah bertujuan untuk menilai apakah keuntungan secara keseluruhan terutamanya kepada Islam.

Bagaimanapun niat murni golongan ulama ini tidak dipertimbangkan dengan telus dan ia terbukti apabila dalam sesi perbahasan majoriti perwakilan seolah-olah tidak berani untuk mengkritik layanan PKR dan DAP terhadap Pas.

Sebaliknya, semua lebih selesa mahu ia diperteguhkan dengan andaian sudah banyak keuntungan politik yang Pas perolehi.

Berikutan keputusan dalam pemilihan Pas kali ini, mana-mana pihak juga tidak boleh mengharapkan apa-apa lagi kepada perjuangan golongan ulama dalam parti itu.

Tambahan pula, sebelum ini usul Dewan Ulama yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamarnya pada Khamis lalu iaitu memasukkan satu fasal yang memperuntukkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri daripada ulama, tidak mendapat sambutan mana-mana pihak dalam Pas.

Ia secara langsung memberi isyarat kepada golongan ulama bahawa suara mereka semakin terpinggir dalam parti itu biarpun golongan itulah selama ini yang bertanggungjawab memperkasakan Pas. Apa pun, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan mengakui keterujaan ahli-ahli Pas untuk menampilkan satu barisan kepimpinan yang akan mampu memenuhi impian mereka untuk bersama-sama PKR dan DAP menawan Putrajaya.

Kalau selepas ini Pas akan terus dilayan sebagai 'penumpang' dalam pakatan pembangkang terima sahajalah kerana itu kehendak ahli-ahli parti tersebut. Oleh itu tidak keterlaluan untuk kita menyatakan tidak payahlah Pas bermimpi melaksanakan hukum hudud termasuklah di Kelantan kerana ia akhirnya akan menjadi retorik politik semata-mata dan sekadar 'hiburan' untuk berbahas di muktamar parti tersebut.

Ini kerana kita percaya dan yakin DAP serta PKR tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas untuk berbuat demikian. Setakat ini apa yang kita saksikan, hanya Pas yang ibarat 'syok sendiri' dalam soal hukum hudud dan lebih selesa untuk menuding jari kepada UMNO dan kerajaan BN jika ia tidak dapat dilaksanakan.

Dengan semakin kurangnya suara golongan ulama dalam penentu agenda politik Pas berikutan keputusan pemilihan semalam, maka apa juga agenda parti tersebut selepas ini sudah pasti memerlukan restu daripada PKR dan DAP. Tetapi tidak mengapalah kerana pemimpin, ahli dan penyokong Pas tidak mahu menerima pandangan orang di luar parti tersebut termasuklah media.

Bagi mereka, orang luar hanya bertujuan untuk mengkucar-kacirkan parti itu dan cuba memecah belahkan perpaduan pakatan pembangkang. Oleh itu, berilah peluang dan ruang kepada barisan baru kepimpinan Pas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Apa yang pasti, keputusan pemilihan kali ini sudah jelas membuktikan bahawa suara golongan ulama semakin dan akan terus 'terhakis' di dalam Pas.

Bagaimanapun sebagai salah seorang yang bertanggungjawab mencetuskan idea kepimpinan ulama dalam Pas, Mat Sabu tentulah memahami sentimen yang wujud berikutan apa yang berlaku. Tambahan pula beliau sudah berjanji, pihaknya akan meneruskan usaha mengukuhkan pakatan pembangkang berdasarkan usul-usul yang diluluskan dalam muktamar tersebut.

Dan untuk rekod, antara usul yang diluluskan tanpa bahas ialah, ''Dewan Ulama Pas Pusat mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas pusat mewujudkan khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syariah dengan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU-14.''

Adakah ini akan dilaksanakan? Terserahlah kepada barisan baru kepimpinan Pas menentukannya. Yang pasti orang Melayu di luar Pas sedang memerhati dan sebahagian besar mereka percaya keputusan pemilihan kali ini memungkinkan bak kata seorang teman dalam parti itu selepas keputusan diumumkan, ''Orang Pas memilih, ahli PKR dan DAP yang bertepuk gembira.' 'Apakah maksudnya, fikirlah sendiri.

DAP sudah jauh menyimpang

Posted: 23 Nov 2013 10:07 AM PST

TINDAKAN bekas Naib Pengerusi DAP, ZULKIFLI MOHD. NOOR mengumumkan peletakan jawatannya dalam parti dan kerajaan negeri berkuatkuasa serta-merta bulan lepas telah menambahkan lagi kekusutan parti itu.

Umpama telur tembelang yang tidak boleh ditutup lagi, kisah mengenai kecelaruan dan perpecahan dalam DAP memasuki episod parah. Kepada wartawan Mingguan Malaysia, KASTHURI JEEVENDRAN beliau meluahkan perasaan kurang senang terhadap parti itu yang didakwanya semakin lupa diri.

DAP sudah lain sejak menang pada PRU 2008 dan 2013. Sudah bongkak. Daripada demokratik dan sosial, sudah jadi parti kapitalis. Dari makan di gerai-gerai kecil, kini sudah pandai menjamu selera di hotel-hotel lima, tujuh bintang.

Dari gelaran 'saudara' sesama sendiri, kini haruslah dipanggil Yang Berhormat. Tangisan si miskin sudah tidak didengar, yang kedengaran hanyalah gelak ketawa si kaya raya. Ini adalah DAP sekarang. Ini bukanlah parti yang pernah saya bersama selama 26 tahun," katanya.

BOLEH ceritakan penglibatan anda dalam DAP?

ZULKIFLI:Saya mula berjinak-jinak dengan DAP kerana pengaruh Allahyarham Ahmad Noor sekitar 1986 dan membuat keputusan untuk menjadi ahli seumur hidup pada 1993. Sebelum itu saya ialah pegawai kerajaan dalam Kementerian Pertahanan. Saya menjadi tentera selama 21 tahun malah pernah dihantar menjadi diplomat di London selama lima tahun sekitar 70-an. Selama saya dalam DAP, saya sudah tiga kali bertanding pada pilihan raya umum tetapi saya diberi kerusi yang tidak selamat bagi orang Melayu. Selalunya saya akan bertemu dengan calon lawan hebat-hebat dan sukar ditandingi. Antaranya, anak mendiang Tun Dr. Lim Chong Eu bagi kerusi Bayan Lepas. Saya juga pernah bertanding dengan Pengerusi MCA negeri dan kali ketiga pula dengan Setiausaha Agung Gerakan.

Saya tidak faham mengapa saya perlu berdepan dengan 'gergasi-gergasi politik' seperti mereka sedangkan DAP juga mempunyai ahli politik yang hebat-hebat ketika itu. Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Masing-masing lebih berani bertanding di kerusi-kerusi selamat. Apabila saya bertanya kepada mereka, jawapan mereka sama sahaja. Anda hebat, anda sahaja yang layak lawan dengan mereka, hanya anda 'gergasi' kepada DAP. Walaupun pada hakikatnya, seorang Melayu seperti saya tidak boleh menang di kawasan orang Cina. Berkali-kali saya beritahu mereka, ini adalah strategi yang salah. Namun demi cinta kepada parti, saya akur juga akhirnya. Saya pernah terfikir malah bersuara, mengapa tidak pengerusi di peringkat nasional atau negeri seperti Kit Siang dan Karpal lawan 'gergasi' seperti Tun Abdullah Badawi atau Anwar Ibrahim di Permatang Pauh namun mereka tidak berani. Secara demokratik, ini tidak betul.

Tapi siapa kisah apa yang betul dan salah sebenarnya? Janji agenda dan kepentingan peribadi masing-masing dapat dilaksanakan. Pilihan raya yang lalu pula, saya tidak diberikan kerusi, mungkin kini mereka yakin tanpa saya pun mereka boleh menang berikutan tsunami penolakan rakyat lebih kepada mereka. Kali ini saya tidak diberi kerusi kerana saya rasa (pandangan peribadi) saya mungkin akan menang. Jika menang, nak tak nak mereka terpaksa beri jawatan exco dan sebagainya. Saya pula bukan jenis yang memihak pada sesiapa. Saya lantang dan akan mengkritik apa yang salah. Sikap saya akan membuat mereka hilang arah. Baik diamkan saya dari awal.

Kenapa anda membuat keputusan keluar dari DAP setelah sekian lama berjuang di dalam parti itu?

ZULKIFLI: Saya tidak pernah tinggalkan DAP. Saya masih ahli yang sah dalam DAP. Perjuangan saya dalam parti itu sudah menjangkau lebih 26 tahun. Apabila sudah terlalu kecewa dengan kepimpinan dan prinsip DAP yang pada asalnya sosial demokratik namun berubah kepada kapitalis apabila memegang 'sedikit' kuasa pada tsunami 2008, saya meletakkan semua jawatan dalam parti dan peringkat negeri. Saya sudah tidak tahan. Antara jawatan tersebut adalah Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parlimen Bayan Baru, Ahli Jawatankuasa DAP negeri dan Pengarah Penang Global Tourism.

DAP sudah lain sejak menang pada PRU 2008 dan 2013. Sudah bongkak. Daripada demokratik dan sosial, sudah jadi parti kapitalis. Dari makan di gerai-gerai kecil, kini sudah pandai menjamu selera di hotel-hotel lima tujuh bintang. Daripada gelaran 'saudara' sesama sendiri, kini haruslah dipanggil Yang Berhormat. Tangisan si miskin sudah tidak didengar, yang kedengaran hanyalah gelak ketawa si kaya raya. Ini adalah DAP sekarang. Ini bukanlah parti yang pernah saya bersama selama 26 tahun. Kekecewaan inilah yang menyebabkan saya jauh hati, saya sakit hati sehingga tidak mahu menjawat apa-apa dalam parti. Bukannya suara veteran dan Melayu seperti saya didengari pun. Jawatan hanya untuk mengaburi mata dan hati umum.

Ada pihak mengatakan anda kecil hati kerana dipinggirkan?

ZULKIFLI: Selama ini pun, saya hidup dengan duit pencen saya, bukan gaji yang di bayar oleh DAP. Ada juga desas-desus dari dalam yang mengatakan saya bersuara kini kerana tidak puas hati dengan jawatan yang diberikan dan elaun yang diberikan oleh parti atau kerajaan negeri. Jangan memandai-mandai membuat tuduhan. Yang buat tuduhan itu, sila berdepan dengan saya, saya ialah antara orang yang telah berkorban wang, masa dan keselesaan diri demi parti. Sebagai kaunselor, saya hanya dibayar sebanyak RM700 yang saya berhabis untuk bil telefon sahaja. Saya tidak mendapat apa-apa daripada jawatan itu. GLC yang saya sebagai pengerusi selama lima tahun tidak pernah dibayar sesen pun. Tetapi beberapa pemimpin lain yang memegang pelbagai jawatan nasional dan kerajaan negeri pula, hidup mewah dengan elaun-elaun yang berpuluh ribu.

Ini dinamakan keadilan? Saya lebih tahu apa yang berlaku di sekeliling saya, janganlah cuba perbodohkan saya. Janganlah hantar 'budak-budak hingusan' untuk menyoal kelantangan saya akhir-akhir ini. Saya berhak kerana saya masuk dalam DAP kerana percayakan prinsip parti. Apa yang saya tahu, selepas tsunami 2008, semuanya telah berubah. Selama ini kami membangkang apa sahaja yang dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional. Apa yang tidak betul, semuanya kita bangkang. Apa yang kini kita lakukan (DAP)? Kita memerintah dan menerajui jauh lebih 'teruk' daripada mereka. Mengapa begini? Sekiranya kita ke Putrajaya, apa yang akan terjadi? DAP tidak akan mempunyai pemimpin seperti saya yang telah berjuang untuk negara dan parti namun seperti biasa, agenda mereka lebih penting dan bukannya kita.

Sebagai antara beberapa kerat orang Melayu di dalam DAP, bagaimana anda melihat kesungguhan parti ini memperjuangkan nilai-nilai demokratik dan hak orang Melayu selama ini, atau ia umpama nilai 50 sen sahaja?

ZULKIFLI: Mana ada hak dan nilai orang Melayu dalam DAP? Tidak ada. DAP tidak lagi sosialis demokrat sejak memerintah Pulau Pinang kerana dulu kita (pemimpin DAP) sentiasa bersama rakyat. Tidak kira agama bangsa. Minum air tebu, tau foo fah, cendol di tepi jalan, panggil semua saudara. Hubungan kekeluargaan rapat. Tapi kini, mereka makan di Hotel G, Equatorial, Traders dan sebagainya. Adakah ini perjuangan asal kita? Kita mula berdamping dengan orang-orang kaya sahaja. Dalam parti pun berdamping dengan orang kaya, luar parti juga begitu. Tangisan orang bawah, seperti peniaga kecil (rata-ratanya Melayu dan India) sudah tidak kedengaran. Malah tindakan-tindakan drastik diambil terhadap mereka. Adalah satu kenyataan orang Melayu dan India ditindas di Pulau Pinang.

Mengapa ini terjadi? Kalau orang Melayu boleh mereka tindas, kaum minoriti lain terutamanya kaum India akan kena tempias. Contohnya, dalam tempoh lima tahun ini, peluang pelaburan yang sering menjadi kebanggaan DAP, sekitar RM9 billion hingga RM 20 billion ini diberikan kepada mereka? Berapakah gerai-gerai orang miskin ini dinaik taraf lebih baik? Yang bertaraf antarabangsa seperti Singapura, yang ada cuma gerai-gerai peninggalan BN yang DAP naik taraf sedikit. Bagaimana pula dengan gerai-gerai baru? Usahlah bercakap tentang peniaga-peniaga kecil, rumah mampu milik pun tidak mampu dimiliki. Yang ada semuanya berjuta harganya dan tidak mampu dimiliki. Apakah survival Melayu? Nasib Melayu dalam DAP seperti 'melukut di tepi gantang' sahaja. Demi retorik slogan pelbagai kaum, Malaysian Malaysia.

Apabila saya bercakap sesuatu tentang orang Melayu, mulut saya akan ditutupkan sama ada dengan 'gag order' (arahan jangan bercakap) atau beberapa pemimpin tertinggi pernah menyatakan hal orang Melayu perlulah dibiarkan sahaja kepada PKR dan Pas untuk tangani. Ia bukan hal DAP. Jadi slogan DAP untuk berbilang kaum hanyalah omong kosong. Saya juga baru-baru ini tidak dibenarkan berceramah atau bercakap dengan sesiapa kerana terlalu menyoal kepincangan parti. Kalau demokratik, haruslah dibenarkan bersuara secara demokratik juga. Adakah kerana saya Melayu? Kadang-kadang saya rasa pekerja asing di negara ini nasib mereka jauh lebih baik daripada orang Melayu atau India. Mengapa begitu, pekerja asing ini mampu menghantar beribu ringgit untuk keluarga mereka di sana, kita di sini bolehkah memberi keluarga kita sebanyak itu? Sebelum menang pada pilihan raya, pembangkang begitu gah dalam janji dan manifesto, mampu memperbaiki hidup kita. Mengapa sekarang tidak lagi, bukankah sebagai pembangkang yang kini pemerintah, perubahan yang dijanjikan harus dilakukan? Rata-rata kami dalam DAP hanyalah boneka untuk pemimpin tertentu.

Jelas sekali orang Melayu tidak mendapat tempat dalam DAP, apakah ia berlaku kerana terlalu berkiblatkan negara asing?

ZULKIFLI: DAP bukan tempat berteduh orang Melayu. Tidak sesekali tertipu. Saya ingin tanya, selama ini mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang sering berkunjung bagi tujuan pelaburan ke negara-negara seperti Hong Kong, China, Korea Selatan dan Taiwan sahaja? Mengapa semua yang ada di sana diciplak' ke sini? Mengapa tidak ke negara Islam? Timur Tengah? India? Pakistan? Mengapa begitu? Katanya berbilang kaum bukan? Mengapa anjur lawatan ke negara-negara ini sahaja? Mengapa hanya membawa masuk budaya mereka ke sini? Mengapa tidak berkunjung ke negara Islam dan memahami budaya dan cara mereka berfikir pula? Bukankah kononnya perjuangan DAP juga untuk membela orang Melayu dan Islam? Mana datangnya budaya cukur kepala ini sebagai tanda protes? Ini budaya kitakah? Perjuangan DAP bukanlah berbilang kaum sebaliknya perkauman cauvinis dan kapitalis.

Bagaimana pandangan anda tentang tokoh yang kini membentuk dinasti dalam parti iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng?

ZULKIFLI: Idola saya satu ketika dulu ialah Kit Siang dan semangatnya untuk membawa perubahan kepada rakyat di negara ini. Saya juga sangat menghormati mendiang P. Patoo dan Allayarham Ahmad Noor yang banyak mengajar saya tentang budaya politik. Namun Kit Siang telah mengecewakan saya selepas 2008. Semuanya telah berubah. Saya begitu harapkan Kit Siang akan membawa bendera perjuangan kita. Perjalanan kami dalam DAP selama puluhan tahun ini sebenarnya sangat sukar. Dan apabila menang, sudah tentu saya mengharapkan kepada perubahan yang telah menjadi wawasan kami. Namun saya kecewa dengan sikap Kit Siang. Warna sebenar Kit Siang terserlah. Perjuangan Malaysian Malaysia itu tidak benar. Semuanya cauvinis. Dan kini, beliau juga antara yang tidak sukakan saya bersuara lantang kepada umum.

Kit Siang sebenarnya ialah kekuatan kepada anaknya, Guan Eng. Apa yang telah dibina oleh Kit Siang selama ini seolah-olah untuk anaknya. Guan Eng tidak mempunyai kelebihan, kebolehan atau keistimewaan berbanding ramai pemimpin lain dalam parti termasuk saya. Bapanya sahaja kekuatan buat dirinya. Tiga kelebihan Guan Eng hanyalah, pertama beliau seorang berkelulusan akauntan dari segi akademik, tetapi saya ada 10 kelulusan akademik berbandingnya. Kedua, pernah masuk penjara tetapi saya sudah lawan dengan komunis, saya pernah terlibat dengan 13 Mei secara langsung dan pernah ke Sarawak lawan konfrontasi Indonesia. Ketiga dan lebih penting, bapanya Kit Siang. Tidak lebih daripada ini. Sikap bongkak Guan Eng mentadbir Pulau Pinang yang sememangnya sudah maju kerana usaha Gerakan dan BN selama puluhan tahun.

'Tokong' yang sering menjadi gelaran buatnya sebenarnya sangat sesuai berikutan sikap sombong yang keterlaluan. Beliau rasa Pulau Pinang itu kepunyaan mereka. Sudah ramai pemimpin yang menegurnya namun apakan daya, sekali ditegur, habislah karier mereka dalam politik. Guan Eng adalah 'rejected item' dari Melaka yang melompat ke Pulau Pinang. Semua orang di Melaka tahu itu. Sifat bongkak ini akan membawa kepada kehancuran satu hari nanti. Saya sangat pasti. Terperangkaplah orang di Pulau Pinang dengan pemerintahan ala kapitalis ini. Guan Eng dengan senang-lenang mengambil segala kredit pujian yang telah dibina oleh pemimpin lain. Pulau Pinang yang anda lihat hari ini bukanlah Pulau Pinang yang dibina oleh DAP tetapi Gerakan dan BN. Itulah kebenaran dan hakikat sebenar.

Bagaimana pula anda melihat kerjasama antara DAP, PKR dan Pas. Apakah ia satu kerjasama yang hanya dibentuk atas prinsip mahukan kuasa atau bagaimana?

ZULKIFLI: Kerjasama mereka ini olok-olok sahaja demi kuasa memerintah negara ini. Keinginan ke Putrajaya. Tidak pernah ada kerjasama antara mereka terutamanya di peringkat negeri. Mungkin pemimpin di peringkat nasional mempunyai sedikit persamaan dan persetujuan antara mereka namun hakikatnya di peringkat negeri semuanya kucar-kacir. Bayangkan mesyuarat antara ketiga-tiga parti peringkat negeri selama memerintah Pulau Pinang hanya tiga kali dalam tempoh lima tahun. Pas lebih banyak memberi daripada menerima manakala DAP dianggap lebih dominan. Mengapa ketika Barisan Alternatif, DAP boleh keluar daripada Pas tetapi kini tidak dalam Pakatan Rakyat?

Sejarah telah membuktikan. DAP tarik diri daripada bekerjasama dengan Pas dulu kerana tidak boleh menerima polisi dan dasar Pas. Mengapa pula kini tidak boleh walaupun menolak pelbagai perkara? Daripada langkah mayat 'Karpal', mengapa tidak keluar sahaja kerana tidak setuju dengan hudud? Jawapannya hanya satu, menawan Putrajaya. Islam bukan lagi tunjang atau persoalan, yang penting kuasa. Sekiranya keluar, kuasa memerintah bagaimana kerana masing-masing memegang kuasa dan negeri masing-masing. Ini mendukacitakan kita. Pas juga seolah-olah sudah lari daripada perjuangan asal. Usahlah tertipu dengan ideologi Pakatan Rakyat. Saya mohon kepada Pas supaya segera kembali kepada prinsip dan pegangan asal yang bertunjangkan Islam dan Melayu.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat