{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Sandiwara hudud Pas lagi?

Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST

oleh Zulkifli Noordin

Barisan pemimpin pakatan pembangkang dalam sidang media sewaktu Konvensyen Pertama pakatan itu di Wisma MBSA, Shah Alam, Selangor pada tahun 2009.

NAMPAKNYA tiap kali ada pilihan raya, sama ada pilihan raya umum (PRU) atau pilihan raya kecil (PRK), pasti Pas akan mula memukul gendang hudud dan PRK Sungai Limau tidak terkecuali.

Malah mereka semakin galak bila Sultan Brunei mengumumkan negara itu akan melaksanakan hudud; tanpa sedikit pun memahami perbezaan besar di antara Malaysia dengan Brunei Darussalam.

Pertama, Brunei Darussalam adalah negara milik tuanku sultan sebagai pemerintah mutlak. Tiada siapa boleh mempertikai kuasa tuanku sultan Brunei. Dan kita bersyukur walaupun diberi kekayaan hasil minyak yang melimpah ruah, dan menjadi antara orang terkaya didunia, Tuanku Sultan Brunei tetap meletakkan undang-undang Allah sebagai keutamaan. Alhamdulillah dan sekarang tuanku telah bersedia melaksanakan hudud.

Kedua, Brunei Darussalam tidak ada parti cauvinis rasis, ekstremis atau pelampau perkauman dan agama. Dan Brunei tidak ada Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng. Brunei tidak ada Anwar Ibrahim. Brunei tidak ada Suaram, Bar Council, atau pelopor penganjur seks bebas LGBT. Brunei tidak jual kalimah Allah. Brunei tidak bersekongkol dengan mana-mana kafir harbi!

Suasana di Brunei berbeza dengan Malaysia. Malaysia sebuah negara yang tidak dimiliki atau dikuasai oleh individu. Malaysia milik seluruh rakyat dan warganegaranya, dengan tuanku sultan dan Raja-raja negeri sebagai payung mahkota bagi rakyat jelata.

Kalau Pas benar-benar ikhlas mahu mengikut seperti Brunei, saya cadangkan kepada Pas supaya membawa usul ke Parlimen supaya hak milik dan kekuasaan pemerintahan negara diserah kembali kepada Raja-raja Melayu secara mutlak, sebagaimana Tuanku Sultan Brunei.

Dan setelah hak milik negara dan kuasa pemerintahan mutlak diserahkan kepada Raja-raja Melayu, barulah kita usulkan kepada tuanku supaya mengikut jejak langkah Tuanku Sultan Brunei.

Jika tidak, janganlah bandingkan Malaysia dengan Brunei. Itu perbandingan yang cukup kurang cerdik namanya. Dan bagi Datuk Seri Hadi Awang untuk sekali lagi bermain kompang hudud, dan menolak sistem Malaysia kononnya ini negara yang berpaksikan Perlembagaan sekular, saya mahu tanya Hadi Awang:

1. Beranikah Hadi Awang membawa usul hudud ke Mesyuarat Kepimpinan Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas supaya hudud diterima dan dilaksanakan sebagai undang-undang negara jika pembangkang menang PRU dan berkuasa?

2. Bukankah Hadi Awang sendiri pada 8 Sept 2008 menandatangani Suratcara Persefahaman Pakatan Pembangkang yang menegaskan pendirian 'menjunjung prinsip-prinsip dasar yang termaktub didalam Perlembagaan Persekutuan termasuk dasar seperti kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan?'.

3. Bukankah Hadi Awang sendiri pada 19 Disember 2009 di Auditorium MBSA Shah Alam dalam Konvensyen Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas menandatangani Memorandum Persefahaman yang menegaskan akan 'mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan?'.

4. Bukankah Hadi Awang sendiri menyatakan dalam Amanat Perdana Pemangku Presiden bertajuk 'Pilihan raya ke 11: Formula Kemenangan" pada 18 Januari 2003 bahawa 'justeru kerana isu negara Islam dan perlaksanaan hudud dan syariat menjadi punca perpecahan Barisan Alternatif (BA) dahulu, maka Pas perlu membuat satu pengorbanan dan (ijtihad besar) untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan perlaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukkan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat federal. Seandai menang dalam pilihan raya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat Federal atau Pusat, yang mendokong Perlembagaan Persekutuan sedia ada?'.

5. Bukankah Hadi Awang yang menyatakan semasa Muktamar Agung Pas 2011 bahawa 'Negara Islam tidak disebut dalam al-Quran, yang disebut ialah Negara Berkebajikan?'.

6. Bukankah Hadi Awang pada 08 Jan 2013 bersama-sama dengan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang menyatakan Kristian boleh mengguna pakai kalimah Allah dan walaupun Majlis Syura Pas telah pada 13 Jan 2013 menegaskan kristian tidak boleh mengguna pakai kalimah Allah atas soal akidah, Hadi Awang tidak pernah menarik balik persetujuan pembangkang 8 Januari 2013 tersebut?

7. Adakah Hadi Awang lupa kenyataan beliau mengenai pelaksanaan hudud semasa mengambil alih menjadi Menteri Besar Terengganu?

Sebenarnya saya boleh aturkan beberapa lagi kenyataan dan pendirian Hadi Awang dan Pas mengenai hudud dan negara Islam yang jelas berbolak-balik dan tidak konsisten. Depan orang Melayu lain cerita, depan Karpal Singh dan DAP lain cerita.

Pokok pangkalnya, janganlah jadikan hudud sebagai modal meraih undi bila tiba musim pilihan raya sahaja. Ittaqullah. Takutlah kepada Allah!

Dan janganlah bermegah dengan calon Pas bagi PRK Sungai Limau lulusan agama, lulusan Al-Azhar. Kita orang Melayu memang sejak dahulu diajar menghormati para ulama dan ilmuwan, termasuk para ustaz dan ustazah yang benar-benar hidup melaksanakan ajaran Islam.

Tetapi tidak semua ustaz dan ustazah, tidak semua lulusan Al-Azhar yang benar-benar melaksanakan dan mengamalkan perjuangan dan cara kehidupan menurut al-Quran dan Sunah. Malah ada yang pernah sampai murtad keluar daripada Islam, nauzubillah.

Jangan lupa pernah ada dua orang ustaz dan ustazah lulusan Al-Azhar Mesir telah mengisytiharkan diri murtad dan keluar daripada agama Islam. Pernah ada ustaz dicekup berkhalwat. Pernah ada ustaz yang menyondol isteri orang.

Menjadi ustaz dan ustazah, menjadi graduan dan lulusan Al-Azhar semata-mata bukan tiket dan kelayakan untuk menjadi pemimpin dan wakil rakyat.

Untuk membolehkan seorang Muslim itu mengerjakan solat jemaah di masjid, kita perlukan pembangunan. Individu itu memerlukan kenderaan untuk ke masjid.

1. Dia perlu makan dan minum mengisi perut supaya solatnya tidak terganggu akibat kelaparan. Ini bermakna dia perlukan pekerjaan atau peluang untuk mencari rezeki melalui perniagaan;

2. Dia perlu kesihatan yang baik untuk menyempurnakan solat. Maknanya dia perlu persekitaran yang sihat dan prasarana perubatan yang baik seperti hospital dan pusat kesihatan;

3. Dia perlukan rehat yang cukup bermakna dia perlukan rumah yang sempurna dan selesa;

4. Dia perlukan kenderaan yang selesa seperti motor atau kereta untuk ke Masjid, bermakna dia perlu ada pendapatan untuk membeli kenderaan tersebut;

5. Dia perlukan adanya sebuah Masjid untuk membolehkan dia solat berjemaah. Dan Masjid itu perlukan peralatan dan seperti paip air, kipas, pembesar suara dan lain-lain;

6. Dia perlukan jalan raya untuk ke Masjid, bermakna sebatang jalan raya perlu dibina;

7. Dan bila dia pergi berjemaah waktu Subuh, Maghrib atau Isyak dia perlu melalui jalan yang terang berlampu supaya tidak kegelapan.

8. Dan bila dia ke masjid, keluarga dan harta benda dirumah perlu dijaga, maka dia memerlukan polis untuk menjaga keselamatannya;

Bermakna, cukupkah sekadar menjadi ustaz maka rakyat wajib mengundi calon itu. Adakah cukup sekadar dia boleh jadi imam solat. Bagaimana pula dengan segala prasarana yang diperlukan untuk melaksanakan solat itu?

Kalau kebolehan dan kelayakan calon sekadar menjadi ustaz, elok bertanding jawatan imam atau bilal, bukan untuk menjadi wakil rakyat. Dan calon yang akan menjadi wakil rakyat memerlukan bantuan dan kerjasama sebuah Kerajaan untuk melaksanakan tugas dan tanggung jawab dia. Dan kerajaan Barisan Nasional telah membuktikan bahawa sejak dulu, kini dan selamanya, BN adalah sebuah kerajaan yang bukan sahaja mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai sebuah Kerajaan, malah akan menepati semua janji-janji yang diberikan.

Menjadi wakil rakyat memerlukan lebih daripada hanya seorang ustaz. Dan rakyat serta pengundi Sungai Limau sedar akan perkara itu.

Rakyat Sungai Limau sedar bahawa hanya calon Barisan Nasional sahaja yang boleh melaksanakan dan menterjemahkan tanggungjawab sebagai seorang wakil rakyat, bukan sekadar untuk menjadi khalifah tahlil.

Yang penting bagi seorang pemimpin termasuk wakil rakyat ialah amanah dan quwwah, selain beriman dan benar-benar memperjuangkan Islam yang sebenarnya seperti yang diperintahkan Allah didalam al-Quran dan Sunah Rasulullah SAW.Rasulullah SAW bersabda, "Akan datang sesudahku penguasa-penguasa yang memerintahmu. Di atas mimbar mereka memberi petunjuk dan ajaran dengan bijaksana, tetapi bila turun mimbar mereka melakukan tipu daya dan pencurian. Hati mereka lebih busuk dari bangkai." Hadits Riwayat Ath-Thabrani

Gabem pergiatkan kempen 1K1S

Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST

Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my

PADA masa ini pemilikan ekuiti bumiputera dalam syarikat masih lagi berada pada tahap yang kurang memuaskan iaitu sekitar 24 peratus sahaja.

Hakikat itu adalah sesuatu yang cukup mengecewakan kita memandangkan bumiputera merangkumi 67 peratus daripada penduduk negara ini jika dibandingkan dengan kaum Cina yang hanya berjumlah 23 peratus tetapi memiliki hampir 50 peratus ekuiti dalam syarikat.

Menyedari hakikat itu, maka Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) sedang menjalankan kempen Skim Satu Keluarga Satu Syarikat (1K1S) secara agresif bagi meningkatkan bilangan bumiputera yang memegang ekuiti dalam syarikat.

Pengerusi Gabem, Tan Sri Dr. Abdul Rahim Tamby Chik berkata, menerusi kempen itu yang boleh disifatkan sebagai satu anjakan paradigma kepada bumiputera, mereka akan digalakkan menubuhkan syarikat keluarga.

"Segala aset seperti hartanah yang dimiliki suami, isteri dan anak-anak akan dijadikan hak milik syarikat dan kemudiannya akan ditukarkan menjadi saham yang diagihkan sesama mereka.

"Saya rasa kita perlu berbuat sedemikian bagi meningkatkan nilai harta orang Melayu dan bumiputera. Sekarang banyak daripada harta orang Melayu ini tidak dimasukkan dalam perkiraan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan tidak dihitung dalam perangkaan pemegangan ekuiti nasional," katanya.

Beliau berkata, keadaan itu adalah berbeza dengan kaum Cina yang mana tanah, rumah, kenderaan dan lain-lain harta mereka dijadikan aset kepada syarikat keluarga sehingga menyebabkan pemilikan ekuiti mereka menjadi lebih tinggi.

Menurut beliau, selain bermanfaat untuk meningkatkan pemilikan ekuiti golongan bumiputera di negara ini kepada sekurang-kurangnya 30 peratus, kempen 1K1S juga akan mendedahkan orang Melayu dengan budaya persyarikatan.

"Dengan adanya syarikat keluarga, orang Melayu akan tahu macam mana nak mengendalikan syarikat termasuk menguruskan kewangan supaya sentiasa mendapat keuntungan.

"Bila orang Melayu dan bumiputera sudah mahir untuk mentadbir sebuah syarikat, baharulah dia dengan senang boleh mengendalikan projek. Sekarang terbalik, dia pergi lobi untuk dapatkan projek dulu, selepas itu baharu dia tubuh syarikat.

"Sebab itu sekarang, daripada setiap 100 syarikat bumiputera yang ditubuhkan, hanya antara 18 hingga 20 peratus yang berjaya.

"Orang Cina dia tubuh syarikat dulu walaupun kecil. Sebab itu dia sudah faham macam mana nak uruskan perniagaan dan apabila diberikan projek yang besar, dia boleh kendalikan," ujarnya.

Katanya, Gabem menyambut baik pengumuman kerajaan dalam Bajet 2014 untuk mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) dengan dana permulaan RM30 juta dan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak RM100 juta.

"Langkah ini adalah selaras dengan kempen 1K1S yang kita jalankan dan kita berharap ini akan meningkatkan penglibatan bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan," katanya.

Tambah beliau, kempen 1K1S juga adalah bagi menyokong usaha kerajaan yang telah menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera (Equibumi).

"Saya difahamkan Equibumi dengan peruntukan RM300 juta yang telah diamanahkan kepada SME Bank bertujuan membantu syarikat bumiputera yang berwibawa mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia melalui pembiayaan yang disediakan.

"Kebiasaannya, ia akan diuruskan oleh Ekuiti Nasional Bhd. (Ekuinas) bagi membolehkan syarikat bumiputera mengambil alih syarikat bukan bumiputera supaya pemegangan saham kita dapat ditingkatkan dengan segera.

"Prasyarat kepada kejayaan pengambilalihan syarikat-syarikat bukan bumiputera ini ialah Ekuinas dan lain-lain agensi kerajaan yang telah diberikan peranan harus menyediakan satu barisan kepimpinan pengurusan yang profesional.

"Tidak guna kita ambil syarikat, lepas itu kita tak boleh hendak mengendalikannya. Mungkin syarikat berpotensi untuk disenaraikan tetapi kerana ketiadaan barisan kepimpinan baharu yang berwibawa, ia akhirnya masuk ke dalam parit," katanya.

Dalam pada itu, katanya, langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan peruntukan RM200 juta yang akan disalurkan melalui SME Bank bagi Program Pembangunan Semula Tanah Rizab Melayu akan memastikan kawasan-kawasan berkenaan tidak terus ketinggalan daripada arus pembangunan.

"Pembangunan secara komersial kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat di Kuala Lumpur akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup mereka seiring dengan pembangunan pesat di kawasan sekitarnya.

"Kita berharap pembangunan yang dimulakan pada 2014 ini akan menjangkaui tahun-tahun berikutnya sehingga boleh wujud satu bentuk pembangunan seperti Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang hebat itu," ujarnya.

Menurut beliau, Gabem suka menyarankan pembangunan tanah-tanah rizab Melayu tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur sahaja sebaliknya perlu diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk di Johor Bahru, Melaka dan Pulau Pinang.

"Bagi meningkatkan pulangan pendapatan kepada orang Melayu, maka bangunan yang telah siap dibina bolehlah disewa kepada semua kaum.

"Penyewaan mestilah diliberalisasikan, sekurang-kurangnya 30 peratus ataupun sehingga 50 peratus premis disewakan kepada bukan bumiputera asalkan hak milik hartanah tersebut tidak berpindah kepada bukan Melayu.

"Dalam skim penyewaan seperti ini, hak milik tetap pada tangan Melayu. Kita sewakan kepada bukan Melayu bagi membolehkan pemilik-pemilik premis mendapat pendapatan yang lebih tinggi," katanya.

Sementara itu, katanya, Penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global (Magic) dengan dana sebanyak RM50 juta seperti yang diumum dalam Bajet 2014 membuktikan kerajaan serius untuk memastikan bahawa inovasi dan kreativiti menjadi asas kepada syarikat bumiputera.

"Untuk trend yang akan datang kita tidak mahu lagi bumiputera hanya menubuhkan syarikat kontraktor kecil kelas F sahaja sebaliknya dengan adanya bantuan daripada Magic ini mereka akan terlibat dalam perniagaan yang jarang orang buat.

"Apabila terlibat dalam bidang perniagaan sedemikian peluang untuk berjaya adalah lebih tinggi lagi dan ini harus direbut terutama di kalangan orang Melayu yang mempunyai ilmu dan berpendidikan tinggi.

"Dengan segala program yang telah diumumkan kerajaan, kita berharap usahawan baharu bumiputera yang bakal dilahirkan adalah benar-benar berdisiplin, lebih komited, profesional, dinamik dan berorientasikan pasaran," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat