Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Persatuan Nelayan Tumpat bantah
- Empat negara sertai Persidangan Sekolah-Sekolah Rendah Antarabangsa 2013
- Jabatan kerajaan di Terengganu sedia hadapi banjir
Persatuan Nelayan Tumpat bantah Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST Oleh YATIMIN ABDULLAH SEBAHAGIAN daripada lebih 200 nelayan berhimpun secara aman membantah tindakan kerajaan yang memperkenalkan pengunaan mata pukat bersaiz 38 milimeter di Jeti LKIM Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan, semalam. - UTUSAN/Rosni Masri TUMPAT 3 Nov. - Lebih 200 nelayan dari Persatuan Nelayan Kawasan Tumpat berhimpun secara aman membantah tindakan kerajaan yang memperkenalkan pengunaan mata pukat bersaiz 38 milimeter (mm) di keroncong pukat tunda, berkuat kuasa Jumaat lalu. Pengerusinya, Abdullah Omar berkata, langkah tersebut menyebabkan hampir 400 pengusaha bot pukat tunda di situ tidak dapat turun ke laut kerana masih menggunakan mata pukat bersaiz 20mm yang telah pun diharamkan. Menurutnya, langkah kerajaan membuat pengumuman tersebut secara mengejut memberi masalah kepada mereka kerana mata pukat tunda bersaiz 38mm tidak dijual di pasaran tempatan, sebaliknya hanya terdapat di negara jiran. Tambahnya, dia berharap kerajaan dapat mengkaji semula penguatkuasaan tersebut kerana khuatir jika peraturan tersebut diteruskan, nelayan tidak dapat turun ke laut, bimbang dikenakan tindakan sekiranya berbuat demikian. "Keadaan ini bukan sahaja menjejaskan pendapatan nelayan, pada masa sama menyebabkan bekalan ikan di pasaran berkurangan, sekali gus harga melonjak tinggi dan akhirnya semua orang susah. "Bila pengumuman mengejut seperti ini dibuat, kami yang paling terkesan kerana kesukaran mendapatkan mata pukat baharu, selain harganya yang mahal di luar negara," katanya ketika ditemui selepas bantahan tersebut di Pangkalan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengkalan Kubor di sini hari ini. Baru-baru ini, kerajaan mengharamkan penggunaan bot pukat tunda yang menggunakan saiz mata di bawah ukuran 38mm bagi menyelamatkan spesies marin dan benih ikan daripada dimusnahkan mulai 1 November ini. Katanya, Jabatan Perikanan telah menahan dua bot nelayan yang menggunakan pukat tunda jenis itu dua hari lalu menyebabkan nelayan lain tidak berani turun ke laut kerana tidak mahu berhadapan dengan risiko didenda. Jelasnya lagi, bantahan tersebut dibuat bagi membuka mata pihak berkuasa tentang kesusahan dialami para nelayan terutama kos tinggi yang perlu ditanggung untuk mendapatkan pukat tunda baharu. "Itu baru pukat tunda, bagi kerja-kerja menggantikan mata keroncong pula akan melibatkan kos tinggi, yang mana keroncong saiz 38mm ke atas juga akan menyebabkan hasil tangkapan kurang berkualiti," katanya. |
Empat negara sertai Persidangan Sekolah-Sekolah Rendah Antarabangsa 2013 Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST SEBAHAGIAN daripada guru dan pelajar yang terlibat dalam program Persidangan Sekolah-Sekolah Rendah Antarabangsa 2013 di Perdana Resort, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini. KOTA BHARU 3 Nov. - Persidangan Sekolah-sekolah Rendah Antarabangsa (IPSC) 2013 anjuran Sekolah Kebangsaan (SK) Zainab 2 di sini, bertujuan memperkasa penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar. Seramai 215 murid daripada 26 buah sekolah rendah dari empat negara iaitu India, Sri Lanka, Indonesia dan Malaysia menyertai persidangan selama empat hari tersebut. Pengarah Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan, Dr. Nai'mah Ishak berkata, persidangan itu memberi peluang kepada pelajar khususnya dari negara ini untuk menimba pengalaman tentang budaya dan pendidikan dalam bahasa Inggeris. "Dalam era globalisasi ini, para pelajar digalak berbahasa Inggeris. Jadi, penganjuran persidangan ini merupakan usaha ke arah pengantarabangsaan pendidikan dan melalui pengalaman ini dapat meningkatkan pengetahuan tentang budaya negara lain," katanya. Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas merasmikan Persidangan Sekolah-Sekolah Rendah Antarabangsa 2013 di Perdana Resort, dekat sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Guru Besar SK Zainab 2, Aidah Mohd Salleh. Menurut Nai'mah, persidangan anjuran kali kedua SK Zainab 2 itu merupakan salah satu langkah pemindahan ilmu kepada para pelajar dari negara terlibat dengan memfokuskan kepada kemahiran berkomunikasi, mendengar, membaca dan menulis di samping berfikir secara kritis. "Secara tidak langsung program ini akan menjadi pemangkin kepada usaha menyahut seruan kerajaan meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah rendah dengan mempertingkat keyakinan diri mereka," ujarnya. Beliau berkata, persidangan ini akan dibuat secara berterusan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan modal insan yang yang mahir tentang pemikiran aras tinggi, meningkatkan kemahiran berfikir, inovatif dan kreatif. "Dengan penglibatan guru, ibu bapa serta pertubuhan bukan kerjaan (NGO) kita pasti dapat meningkatkan kualiti pendidikan dalam kalangan pelajar," ujarnya. Nai'mah turut berharap lebih banyak sekolah rendah di negara ini akan dijemput menyertai persidangan tersebut pada masa hadapan. |
Jabatan kerajaan di Terengganu sedia hadapi banjir Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST MOHD. Iskandar Jaafar (dua dari kanan) menyerahkan alat sokongan OKU kepada Ismail Taib (kanan) sempena Program Kembara Karisma Peringkat Negeri Terengganu di Kampung Kuala Kubang di Besut, Terengganu, semalam. BESUT 3 Nov. - Semua jabatan dan agensi kerajaan, termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri sudah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan banjir dengan bermulanya musim Monsun Timur Laut. JKM negeri telah membekukan cuti kira-kira 400 pegawai dan kakitangannya bagi memastikan mereka dapat menumpukan sepenuhnya kepada kerja-kerja membantu menyelaraskan keperluan mangsa. Pengarah JKM negeri, Zuhami Omar berkata, pihaknya telah selesai menghantar barang-barang keperluan ke semua 113 pangkalan hadapan dengan peruntukan hampir RM1 juta yang dapat menampung 7,000 hingga 8,000 mangsa yang lazimnya terpaksa dipindahkan setiap tahun. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Program Kembara Karisma peringkat negeri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Mohd. Iskandar Jaafar di Kampung Kuala Kubang dekat sini semalam. Sempena program itu, seramai tujuh penerima bantuan JKM dikunjungi oleh rombongan Kembara Karisma untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian termasuk alat bantu berjalan. Beliau berkata, JKM tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan barangan keperluan untuk mangsa banjir kerana sudah mempunyai sebuah depot di Marang yang boleh menampung keperluan untuk tiga negeri. Selain itu jelasnya, JKM telah bekerjasama dengan beberapa pasar raya di setiap daerah supaya barangan keperluan kepada mangsa sentiasa dapat dibekalkan dan tidak terputus sebagaimana sebelum ini. Dalam pada itu Zuhami berkata, setakat ini sebanyak 222 penduduk di negeri ini sudah mendaftarkan diri sebagai Sukarelawan Kebajikan yang boleh membantu menjalankan kerja-kerja sukarela termasuk membantu mangsa banjir. Sementara itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menubuhkan pasukan tindakan khas bagi menghadapi kemungkinan banjir dan mereka akan mengawasi kejadian pokok tumbang, longkang tersumbat dan sebagainya. Pengarah Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBKT, Ghani Idris memberitahu, MBKT akan membuka bilik gerakan banjir di Kelab Eksekutif MBKT di Batu Buruk tahun ini, sebagaimana dilakukan tahun-tahun lepas. Jabatan Kesihatan negeri pula menubuhkan 96 pasukan khas dengan 45 pasukan perubatan manakala 51 pasukan kesihatan yang mengandungi tiga hingga empat kakitangan (setiap pasukan). Pengarah jabatan itu, Datuk Dr. Anwa Sulaiman memberitahu pemberita di Kemaman kelmarin, pasukan perubatan akan bersiap sedia memberi rawatan apabila ada mangsa banjir dipindahkan ke pusat pemindahan banjir yang disediakan. "Pasukan kesihatan pula akan membuat pemantauan dari aspek kebersihan dengan membuat pemeriksaan di pusat-pusat pemindahan bagi memastikan sentiasa berada dalam keadaan bersih dan selamat digunakan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |