{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Nik Aziz terima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Nik Abdul Aziz Nik Mat (dua dari kiri) menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate daripada Ahmad Yakob (dua dari kanan) di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 7 Nov. - Bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menerima Anugerah Khas Ikon Anak Muda Kelate sempena Sambutan Hari Anak Muda Kelantan 2013 di Dewan Teratai, Kota Darulnaim di sini.

Anugerah tersebut diberikan terhadap sumbangan dan jasa beliau untuk agama Islam serta membangunkan negeri ini.

Anugerah disampaikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob dan turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) negeri, Dr. Ramli Mamat.

Sementara itu, Kapten pasukan bola sepak Kelantan, Mohd. Badhri Radzi menerima anugerah Tokoh Sukan, manakala pensyarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Mohd. Asri Mat Daud (Tokoh Ulama Muda).

Pensyarah Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Dr. Irfan Mohamad (Tokoh Akademik) dan ahli perniagaan, Syeikh Kadir Syamzari Wan Idris (Tokoh Usahawan).

Anugerah dwitahunan yang diadakan sejak tahun 2007 itu khusus untuk anak muda dari negeri ini yang mencatatkan kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Ini juga bagi mewujudkan ikon untuk dicontohi oleh anak muda di negeri ini dalam semua bidang yang diceburi.

Sementara itu, Ahmad ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan untuk pembangunan anak muda di negeri ini supaya mereka menjadi insan yang cemerlang dunia dan akhirat.

"Anak muda merupakan golongan yang sering dikaitkan dengan pencetus perubahan, penggerak kemajuan dan pelapis kepemimpinan.

"Justeru itu, pembangunan golongan ini adalah menjadi agenda utama program-program untuk menjadikan mereka insan cemerlang," katanya.

Beliau berharap, anugerah tersebut akan menjadi motivasi dan inspirasi kepada anak muda yang ada untuk meningkatkan kualiti dan jati diri bagi menggapai kecemerlangan.

10,805 kanak-kanak tadika khatam al-Quran

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.

KUALA TERENGGANU 7 Nov. - Sebanyak 10,805 kanak-kanak tadika dan prasekolah di negeri ini yang khatam al-Quran tahun ini diraikan dalam Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran Kanak-Kanak Tadika peringkat negeri di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan negeri di sini hari ini.

Difahamkan jumlah itu merupakan yang tertinggi sejak program yang melibatkan gabungan tadika kelolaan agensi kerajaan negeri dan Pusat serta prasekolah Kementerian Pendidikan itu dimulakan pada tahun 2006.

Minggu lalu, sebanyak 24,330 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang turut khatam al-Quran diraikan dan menjadikan kesemua 35,000 kanak-kanak peringkat prasekolah dan sekolah rendah berjaya khatam.

Dengan jumlah yang menepati sasaran itu, difahamkan Yayasan Islam Terengganu (YIT) bercadang meningkatkan bilangan keseluruhan kepada 40,000 orang pada tahun depan.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Yang turut hadir Ahli Lembaga Pemegang Amanah YIT, Muhammad Ramli Nuh; Pengarah YIT, Md. Kamaru Al-Amin Ismail dan Pengarah Pendidikan Terengganu, Zakaria Hussin.

Dalam majlis itu, tumpuan terarah kepada 232 kanak-kanak tadika yang berjaya menghafaz surah Yasin serta terjemahannya.

Acara bermula dengan persembahan bacaan al-Quran taranum oleh Tadika YIT, disusuli persembahan nasyid (Tadika YIT) serta persembahan Kalam Jama'ie (prasekolah JPNT).

Bacaan al-Quran oleh wakil kanak-kanak Tadika YIT, JPNT, Kemas dan JPNIN juga dilangsungkan sebelum acara bacaan Yasin dan terjemahan (21 ayat) oleh Tadika YIT sebelum majlis khatam al-Quran bermula.

Sebelum majlis bersurai, ribuan hadirin turut berpeluang menyaksikan persembahan gimik, selain majlis penyampaian Sijil Khatam Al-Quran yang disampaikan Mohd. Zubir.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad turut kagum dengan pencapaian kanak-kanak berkenaan yang bukan sahaja khatam al-Quran, malah mampu menghafaz surah Yasin serta terjemahannya.

"Kita yakin sekiranya kanak-kanak itu terus dibimbing dan diasuh dengan baik, generasi Ulul Albab yang diimpikan selama ini akan dapat dilahirkan kelak," katanya menerusi teks ucapan beliau yang dibaca oleh Mohd. Zubir.

'EEDP buka minda, harapan kami'

Posted: 07 Nov 2013 10:57 AM PST

Oleh Wan Zulkifli Wan Yaacob
utusanganu@utusan.com.my

Hamdan Ngah mengendalikan pembungkusan Kopi Rusa.

KUALA TERENGGANU 7 Nov. - Tidak mudah untuk berjaya dalam perniagaan kerana selain keazaman dan menyediakan modal, bidang yang penuh persaingan ini antara lain menuntut keupayaan memahami kehendak pasaran dan bagaimana untuk memasarkannya dengan berkesan.

Sepanjang penglibatan itu juga, mereka harus mengenal pasti masalah yang mungkin merencatkan perjalanan dan bagaimana untuk menangani ketika perniagaan belum bertapak kukuh.

Shaari Abidin, 43, yang terlibat dalam dua bidang perniagaan sebagai pengeluar produk makanan dan juga bahan cucian mengakui ilmu perniagaan dan pemasaran adalah perlu supaya hala tuju lebih terarah.

"Saya merasa minda saya terbuka dengan lebih luas dan dapat melihat hala tuju lebih jelas selepas saya terlibat sebagai peserta dalam Program Pembangunan Keusahawanan ECER (EEDP)," ujar Shaari.

Pemilik syarikat AA Restu Enterprise itu yang beroperasi di Chendering dekat sini berkata, beliau turut didedahkan dengan kemudahan bantuan, di samping kursus dan bimbingan dalam pelbagai selok-belok urusan perniagaan termasuk teknik pembuatan, penjenamaan, pelabelan dan mencari pasaran.

Dengan jenama Restu, syarikatnya yang dimulakan dengan modal sebanyak RM20,000, menghasil dan mengeluarkan produk sos cili, sos tomato, sos tiram, cuka, kicap manakala jenama Abeq bagi bahan cucian peralatan dapur dan pakaian sejak 2006.

"Dengan bantuan beberapa agensi kerajaan, saya bertambah yakin dan akan memulakan operasi di kilang baharu di Besut tidak lama lagi. Saya juga menyasarkan nilai jualan mampu mencecah tiga kali ganda berbanding RM70,000 sebulan kini," katanya.

Seorang lagi peserta, Hamdan Ngah, 31, pengusaha kopi di Pulau Rusa dekat sini mengakui perlunya perniagaan dikembangkan untuk terus berjaya dan tidak sekadar bertahan dengan keupayaan sedia ada.

Katanya, melalui bantuan EEDP, dia dapat menimba banyak ilmu dan melihat ruang untuk memajukan perniagaan, bukan sekadar menyambung perniagaan warisan ayah yang dilakukan secara kecil-kecilan di bengkel.

"Sudah ada tawaran dana oleh pihak bank tetapi saya masih belum memohon kerana tumpuan awal untuk mengubahsuai premis agar sesuai sebagai kilang dan pusat pemasaran. Sememangnya saya memerlukan kenderaan untuk memasarkan ke negeri lain," ujarnya.

Bekas juruelektrik di sebuah kilang kopi di Johor Bharu itu mengambil alih perniagaan ayahnya untuk dikomersialkan dengan jenama Kopi Rusa berdasarkan pengamatannya tentang kaedah pembuatan dan pemasaran di tempat kerjanya dahulu.

"Kini Kopi Rusa boleh diperoleh di pasar besar di negeri ini yang tidak mudah untuk dilakukan awalnya, selain di kedai runcit dan jualan secara online," ujarnya.

Katanya, secara purata, jualan kini sekitar RM17,000 sebulan dan dia menyasarkan melalui pendekatan lebih komersial, produk kopi 'warisan Haji Ngah' yang terus dihasilkan dengan pendekatan tradisional dapat mencecah RM50,000 sebulan tidak lama lagi.

EEDP yang melibatkan kerjasama dengan Agrobank dan SIRIM Berhad dilancarkan pada tahun 2011 dengan objektif menjadikan industri kecil dan sederhana (IKS) dan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputra (BCIC) sebagai kumpulan sasaran bagi membantu mereka dalam usaha untuk memperkembangkan perniagaan dan meningkatkan hasil pendapatan.

EEDP-Agrobank menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembiayaan kepada para usahawan sedia ada di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) yang berhasrat membangunkan dan mengembangkan perniagaan.

Pendekatan program ini menjurus kepada pemberian pembiayaan mudah kepada para usahawan yang memenuhi syarat dan kelayakan dengan kadar faedah pinjaman lebih rendah kerana sebahagian daripada faedah pinjaman dibiayai oleh Majlis Pembangunan ECER (ECERDC).

Pembiayaan kepada usahawan mikro adalah sehingga RM50,000 manakala pembiayaan untuk usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sehingga RM250,000 dan tempoh pembayaran balik pinjaman selama 96 bulan.

Faedah yang diterima oleh usahawan termasuk subsidi kadar pinjaman (4.8% - 7%) dan rebat 20% kepada pembayar balik yang memenuhi syarat, perolehan modal untuk mengembangkan perniagaan mereka seperti pembelian mesin, promosi produk, membeli atau sewaan premis tambahan atau menaik taraf.

Sehingga kini, sebanyak 742 usahawan seluruh ECER terpilih untuk menyertai program EEDP-Agrobank dan 294 daripada peserta dalam kalangan usahawan dan peniaga di negeri ini.

Kerjasama EEDP-SIRIM pula menjuruskan tumpuan kepada bantuan pembangunan dan bimbingan usahawan (handholding programme) kepada usahawan sedia ada yang berhasrat membangun dan mengembangkan perniagaan.

Pendekatan ini merangkumi aspek seperti pengurusan kewangan, pembangunan produk, pemasaran, pembangunan dan penyelidikan, penjenamaan, pensijilan halal, kawalan serta peningkatan kualiti dan pembungkusan.

Sebanyak 28 peserta telah menerima manfaat daripada program yang dijalankan dan enam daripada peserta tersebut adalah usahawan dari Terengganu dan kesemua mereka berjaya meningkatkan hasil jualan melebihi sasaran jualan 25% sebulan.

Kesemua produk 28 peserta berjaya didaftarkan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan penjenamaan dan pembungkusan yang baharu serta memperluaskan rangkaian pemasaran produk di dalam dan luar negeri.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat