Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST Oleh ANI AWANG SHABUDIN Yahaya (dua dari kanan) beramah mesra dengan para pembeli rumah pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Projek Perumahan Taman Sungai Dua Utama Fasa 2 di Butterworth, Pulau Pinang, semalam. TASEK GELUGOR 3 Nov. - Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) akan membangunkan projek bandar baharu yang dikenali sebagai Perda Valley di Kubang Menerong dekat sini. Projek membabitkan kawasan seluas 200 hektar itu akan dibangunkan dalam tempoh lima tahun melibatkan pembinaan sebuah dewan konvensyen dan hotel bertaraf tiga bintang bernilai RM50 juta, kawasan industri ringan dan 5,000 unit rumah mampu milik. Pengerusi Perda, Datuk Shabudin Yahaya berkata, tender pembinaan dewan itu akan dibuka pada awal tahun depan bagi membolehkan penduduk menggunakannya untuk sebarang majlis keramaian. Menurut beliau, itu bakal memberikan keselesaan kepada masyarakat di sini dan Kepala Batas, di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. "Dalam kawasan Perda Valley itu beberapa kemudahan akan diwujudkan seperti Bank Islam, pajak gadai Islam dan sebagainya. "Kita percaya dalam tempoh 10 tahun, kawasan itu akan menjadi sebuah perbandaran baharu yang pesat membangun," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini. Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Teres Dua Tingkat Taman Sungai Dua Utama Fasa 2 di Sungai Dua dekat sini. Projek bernilai RM53 juta itu membabitkan pembinaan 204 buah rumah teres dua tingkat berharga RM250,000 setiap sebuah, rumah teres setingkat (104 buah berharga RM164,450 sebuah), empat rumah berkembar jenis A dan B berharga antara RM550,000 dan RM577,000 seunit), rumah berkembar (24 unit) banglo (11 unit), rumah kedai dua tingkat (21 unit) dan rumah kedai tiga tingkat membabitkan empat unit. Shabudin yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, setakat ini kawasan itu sudah mempunyai sebuah Pusat Pameran dan Perdagangan serta 1,300 rumah yang telah siap untuk diduduki. Beliau yakin pembangunan tersebut apabila siap sepenuhnya akan membantu penduduk mendapat kehidupan lebih selesa di kawasan Seberang Perai. Sementara itu, katanya, Perda akan membina antara 7,000 dan 8,000 buah rumah mampu milik di Balik Pulau dan Seberang Perai. "Projek itu adalah sebahagian 20,000 rumah mampu milik yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk dibina di negeri ini. "Sebahagian lagi projek rumah tersebut akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Uda Holdings dan sebagainya," ujarnya. Shabudin berkata, pihaknya akan memohon peruntukan dari kerajaan Pusat untuk membeli tanah-tanah yang strategik bagi membina rumah untuk menampung permintaan tinggi rakyat di negeri ini. |
Penjaja diingat patuhi peraturan - Reezal Merican Posted: 03 Nov 2013 10:17 AM PST KEPALA BATAS 3 Nov. - Para penjaja dan peniaga kecil diingatkan supaya mematuhi peraturan serta syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan terutamanya pihak berkuasa tempatan bagi mengelak perniagaan mereka berhadapan dengan sebarang masalah. Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, perkara itu penting kerana bantuan sukar untuk dihulurkan kepada penjaja dan peniaga sekiranya permasalahan yang dibangkitkan berpunca daripada sikap penjaja sendiri yang tidak mahu mengikut peraturan perniagaan. "Kalau masalah disebabkan penjaja sendiri yang tidak mematuhi syarat, kita tidak boleh berbuat apa-apa tetapi sekiranya wujud unsur diskriminasi, ketidakadilan dan penyelewengan terhadap penjaja, kita akan bawa perkara berkenaan ke tengah. "Golongan penjaja juga merupakan mereka yang penting dalam sektor ekonomi negara kerana biarpun tergolong dalam penjaja kecil-kecilan, peranan mereka sebagai pemain ekonomi tetap membantu dalam menjana dan mengembangkan ekonomi negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Penjaja Kecil peringkat negeri di Dewan Milenium di sini semalam. Karnival dua hari itu yang menyasarkan kehadiran 20,000 pengunjung, juga memberi peluang kepada para peniaga dan penjaja kecil untuk memasarkan produk mereka. Sebanyak 100 gerai disediakan dalam karnival yang diadakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pulau Pinang serta Pejabat Pembangunan Persekutuan Pulau Pinang. Reezal Merican dalam pada itu menambah, penjaja dan peniaga kecil juga disaran supaya lebih komited dalam mengembangkan perniagaan mereka dan bukan membiarkan perniagaan diusahakan sentiasa berada di takuk lama. "Kalau sekarang perolehan mereka mencapai RM10,000 sebulan, pada masa hadapan mereka perlu melipatgandakan perolehan berkenaan," jelasnya. Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan juga perlu menubuhkan satu bahagian khas dalam kementerian terlibat yang akan dipertanggungjawabkan bagi menjaga hal-hal berkaitan penjaja. Selain itu tegasnya, kerajaan DAP negeri juga seharusnya lebih memberi fokus dalam membantu para penjaja dan peniaga kecil. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |