Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
- Berpotensi sebagai produk pelancongan negara
- Canberra ibarat Putrajaya
- Sukan memancing lonjak imej Sarikei
Berpotensi sebagai produk pelancongan negara Posted: Berpotensi sebagai produk pelancongan negaraPENGANJURAN Pesta Kabut juga menjadi medan peserta bersosial selain menambah pendapatan. GAMAT pekarangan Pusat Pelancongan Malaysia (Matic) di Kuala Lumpur, baru-baru ini apabila kira-kira 100 peserta Pesta Kabut berusaha memasarkan produk masing-masing kepada ribuan pengunjung yang hadir. Julung-julung kali diadakan di Kuala Lumpur di lokasi tumpuan pelancong, pesta jualan tersebut membuka ruang kepada pengunjung tempatan dan asing melihat sendiri kepelbagaian produk menarik yang ditawarkan dari but kereta dan bukannya kaedah lazim iaitu gerai. Produk-produk yang dipasarkan meliputi makanan, suplemen kesihatan, pakaian baharu dan terpakai serta kelengkapan gaya wanita yang disusun rapi di but kereta peniaga. Sungguhpun demikian, perhatian pengunjung tidak hanya tertarik kepada barangan yang ditawarkan, malah keramahan peniaga turut mempesonakan mereka. Isyarat tangan Seorang pelancong dari London, Patrick Bernard, 44, berkata, sepanjang membeli-belah di pesta itu, dia hanya menggunakan isyarat tangan sambil sesekali berkomunikasi menggunakan bahasa Inggeris. "Lucu apabila saya teringat kembali ketika berada di sini. Ada peniaga yang mengelak daripada bertentang mata, tidak kurang pula menarik saya ke gerai mereka. "Walaupun komunikasi kami terbatas dek perbezaan bahasa, mereka tetap memberikan perkhidmatan yang terbaik," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada pesta yang berlangsung pada 22 dan 23 Februari lalu. Kemeriahan suasana makin terserlah apabila terdapat peniaga yang lantang memanggil pelanggan untuk mempromosikan produk dan ternyata tindakannya berkesan apabila ramai pengunjung mendekati tempatnya berniaga. MASKOT Bela (tiga dari kanan) berlegar di Pesta Kabut bertujuan menarik minat masyarakat menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan. Bagi Ryan Mc Causland, 28, yang kali pertama berkunjung ke Malaysia, jualan but kereta di negaranya hanya melibatkan kelompok kecil dan kebanyakan barangan yang dipasarkan juga tidak berkualiti. Lelaki yang berasal dari Australia itu memberitahu, kesemua barangan yang terdapat di Pesta Kabut kelihatan seperti baharu malah dijual pada harga yang sangat berpatutan. "Saya ingin mencari sedikit cenderahati di pesta ini buat keluarga di Australia," ujarnya yang bercuti di Malaysia selama tiga hari. Selaras dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014, penganjuran Pesta Kabut dengan usaha sama Pertubuhan Pengurusan Pelanggan dan Pusat Perhubungan Malaysia (CCAM) itu berjaya mengumpulkan pelancong asing di pekarangan pesta itu. Menyokong Seorang peserta Syafina Zahara Asma Hussin, 23, menyokong penuh usaha CCAM menganjurkan program jualan but kereta yang diyakini mampu menjadi sebahagian daripada produk pelancongan negara. "Lebih ramai peniaga adalah lebih bagus. Selain memberi pelbagai pilihan kepada pembeli, ia juga dapat mengumpulkan pelbagai barang yang pelik dan unik di tapak ini," jelasnya. Kali pertama mengikuti program jualan but kereta, Syafina Zahara memuji pihak pengurusan kerana memilih Matic sebagai tapak pesta itu memandangkan ia merupakan lokasi strategik untuk menarik perhatian pelancong asing dan masyarakat tempatan. SETIAP produk yang dipasarkan di Pesta Kabut dijual pada harga serendah RM5. Sambutan Sementara itu, Presiden CCAM, Mohd. Irwan Rizal bersyukur kerana sambutan daripada peserta jualan but kereta amat menggalakkan. Menurutnya, penganjuran berkenaan dilihat menjadi medan peminat jualan but kereta berkumpul dan bersosial di antara satu sama lain. Selain itu, katanya, kesemua mereka boleh memperoleh pendapatan sampingan dan menghulurkan sumbangan bagi membantu golongan yang memerlukan. Katanya, buat masa ini pesta tersebut hanya disertai peniaga di sekitar Lembah Klang. "Kita sudah mempunyai beberapa senarai institusi dan badan bukan kerajaan yang akan menerima dana ini. "Antaranya, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan 100 buah rumah anak yatim terpilih di sekitar Kuala Lumpur," katanya sambil memaklumkan pihaknya menyasarkan kutipan sebanyak RM20,000 daripada aktiviti jualan, sumbangan peserta dan pengunjung. |
Posted: Canberra ibarat PutrajayaTAMAN permainan kanak-kanak berbentuk kacang oak mengingatkan penulis dengan watak tupai bernama Scrat dalam filem animasi Ice Age. PERCUTIAN selama lima hari ke bumi kanggaru pada penghujung tahun lalu meninggalkan pelbagai kenangan manis buat saya dan sahabat, Natasha Mohamad Idris. Kami berdua begitu teruja untuk menerokai Sydney, Australia sepanjang berada di sana. Namun, selepas terpengaruh dengan nasihat seorang kenalan yang mengatakan tidak banyak lokasi menarik terdapat di Sydney, kami berdua memasukkan Canberra ke dalam destinasi pilihan. Betul kata sesetengah orang yang berkata, 'mengembara adalah untuk membuktikan cakap-cakap orang tentang sesebuah tempat itu silap'. Selepas berada di Sydney selama tiga hari, kami berdua berasa terlalu banyak destinasi menarik di ibu kota itu yang belum sempat diterokai sepenuhnya. Memandangkan perjalanan ke Canberra sudah dirancang, kami berdua meninggalkan Sydney dengan berat hati. Kami memilih untuk menyewa sebuah kereta daripada seorang rakyat Malaysia yang sudah lama menetap diPENULIS (kanan) dan sahabat, Natasha sengaja mengenakan baju kurung untuk merakamkan gambar kenangan di negara orang. Sydney bagi perjalanan sejauh 287 kilometer ke Canberra. Jika dikira, jarak perjalanan tersebut adalah seperti antara Kuala Lumpur ke Kuantan, Pahang yang biasanya memakan masa selama dua jam setengah. Bagaimanapun, kami diingatkan berkali-kali agar mematuhi had laju yang ditetapkan di negara berkenaan. Harga minyak Berbekalkan alat navigasi yang disediakan pemilik kereta, kami bertolak pada pukul 2 petang menuju ke Canberra. Sepanjang perjalanan, kami disajikan dengan pemandangan padang rumput seluas mata memandang di kanan dan kiri lebuh raya. Ia sangat berbeza dengan keindahan negara kita yang tumbuhannya hidup subur menghijau. PENULIS tidak melepaskan peluang untuk merakam kenangan di arca gergasi di Taman Arboretum Negara. Di sana, pemandangan seperti kanggaru yang secara tiba-tiba melintas di lebuh raya merupakan perkara biasa. Kami juga melihat beberapa bangkai haiwan berkenaan tersadai di bahu jalan. Jika di Malaysia, pengurangan subsidi atau lebih popular dengan istilah kenaikan harga minyak sudah cukup menaikkan amarah rakyat. Bayangkan pula keadaannya di Australia apabila tiada subsidi minyak diberikan dengan harga bahan bakar itu mencecah RM4.50 seliter dan berubah-ubah seperti harga pasaran saham. Lain stesen, lain harganya dan berubah setiap jam mengikut harga gas semasa. Keadaan tersebut agak melucukan bagi kami berdua yang sentiasa berusaha mencari stesen minyak yang menawarkan harga paling rendah. Selepas empat jam memandu, kami tiba di kediaman kenalan yang sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah di sana yang telah berbesar hati membenarkan kami menginap di rumahnya untuk satu malam. RUANG tempat letak kereta yang disediakan di Taman Arboretum Negara. Hargai tanah air Keesokannya, kami menuju ke Taman Arboretum Negara di Tuggeranong. Taman tersebut berkeluasan 250 hektar yang menempatkan pelbagai spesies flora yang berjumlah lebih 48,000 pokok dari seluruh dunia. Saya juga terpegun melihat keunikan reka bentuk taman permainan yang terdapat di taman negara tersebut. Ia membuatkan saya seolah-olah berada dalam sebuah filem animasi kanak-kanak. Bukan itu sahaja, tidak lengkap kunjungan pelancong jika tidak merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan arca perkataan Wide brown land yang dibina menggunakan besi dengan ketinggian tiga meter dan 35 meter panjang. Sebelum pulang, kami berkesempatan bersiar-siar di pusat bandar Canberra yang mirip seperti Putrajaya. Ini kerana bandar tersebut merupakan ibu negara dan pusat pentadbiran kerajaan di Australia. Bukan mahu mendabik dada, namun secara peribadi saya berpendapat bahawa Putrajaya jauh lebih cantik dengan keistimewaan reka bentuk bangunan dan landskapnya. Kunjungan ini membuatkan saya lebih menghargai keindahan negara sendiri. |
Sukan memancing lonjak imej Sarikei Posted: Sukan memancing lonjak imej SarikeiOleh MULLER ASEN PENDUDUK Kampung Selalang bergambar bersama siput sedut yang dikutip di sekitar kawasan hutan bakau. PERALATAN memancing sudah disediakan. Begitu juga dengan bekalan makanan untuk aktiviti memasak di tengah-tengah Lubok Sungai Selalang, Sarikei, Sarawak pada hari itu. Namun begitu, masih ada individu yang masih sibuk memeriksa bekalan dan memilih umpan terbaik untuk memastikan mereka dapat mendaratkan ikan bersaiz besar atau XL. Tepat pukul 9 pagi, seramai 100 orang kaki pancing yang mengikuti program Sarikei sebagai destinasi pelancongan pilihan anjuran Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Sarikei baru-baru ini sudah mula terbayang-bayang keseronokan beraksi di perairan Sungai Rajang itu. Ada juga di antara mereka yang tidak sabar untuk merasai pengalaman pertama memasak di restoran terapung yang disediakan. Selepas hampir sejam perjalanan menyusuri kawasan paya bakau sejauh 10 kilometer, bot yang dinaiki akhirnya sampai ke destinasi popular dalam kalangan penggemar sukan memancing iaitu Lubok Sungai Selalang. Dikelilingi keindahan alam semula jadi, pemancing yang mengambil bahagian dapat melihat kehadiran haiwan-haiwan seperti monyet dan kepelbagaian burung ketika mereka sedang memancing. Di sebelah malam pula, persekitaran sungai itu diterangi dengan cahaya kelip-kelip yang mempesonakan. PEMANCING sedang menyediakan peralatan dan perkakasan sebelum bertarung dengan ikan di perairan Sungai Rejang. Nilai perubatan Bagi Bakri Ihi, 46, Lubok Sungai Selalang merupakan syurga buat peminat sukan memancing memandangkan aneka ikan air tawar yang boleh didapati di situ. "Menawarkan pengalaman memancing yang menyeronokkan sambil dihidangkan keindahan alam semula jadi dan dikatakan ia destinasi memancing sempurna bagi setiap kaki pancing. "Tambahan pula, terdapat banyak ikan di sini. Oleh itu, tidak sia-sia menghabiskan masa memancing di Lubok Sungai Selalang, terutamanya untuk mendapatkan ikan terusan," ujarnya ketika ditemui Kosmo! pada program berkenaan. Berkongsi ilmu, Bakri berkata, percaya atau tidak, bahagian limpa ikan terusan boleh dijual sehingga harga yang mencecah RM1,000. "Ini kerana ia didakwa mempunyai nilai-nilai perubatan tinggi seperti merawat penyakit sakit tulang belakang dan buah pinggang," jelasnya. Menurut pekerja am dari Kampung Baru Sarikei itu, pengalaman memancing sambil memasak di Lubok Sungai Selalang pada waktu malam lebih menarik dengan persekitaran yang sejuk, tenang dan selesa. IKAN yu kecil merupakan antara hasil tangkapan kaki pancing di Lubok Sungai Selalang. Ceritanya, aktiviti memancing pada tengah malam menjanjikan cabaran berbeza, sekali gus menguji kecekapan kaki pancing mengawal joran mereka. "Ada bezanya memancing di sebelah siang dan malam. Pada waktu tengah malam, ikan jarang makan umpan. Tetapi sekali ia makan, bukan calang-calang beratnya sebab waktu malam ikan besar lebih aktif berbanding ikan kecil. "Kalau memancing tengah malam, pemancing perlu peka dengan suhu air kerana pada waktu begini, ikan tidak berapa aktif dan suka bergerak di dasar kolam. Jadi, pemilihan umpan dan joran yang tepat akan membantu pemancing mendapatkan hasil lumayan," ujarnya tersenyum. Bapa kepada empat orang cahaya mata itu menambah, seseorang pemancing itu perlu kreatif, tidak mudah putus asa dan sentiasa peka dengan keadaan sekeliling termasuk riak permukaan air jika memilih memancing pada waktu tengah malam. Namun demikian, dia mengingatkan, hasil pancing bergantung kepada rezeki dan tidak akan berhasil tanpa usaha. "Di sini letaknya daya imaginasi dan kreativiti bagi mendapatkan ikan yang besar," katanya. Destinasi baharu Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Manis, Datuk Norah Tun Abdul Rahman mengakui Lubok Sungai Selalang merupakan destinasi baharu yang perlu diterokai oleh pengunjung. Katanya, Sarikei amat bertuah kerana dianugerahkan perairan yang kaya dengan sumber ikan air tawar sebagai tarikan aktiviti memancing ikan. Di Sarikei, ujarnya, lokasi-lokasi perairan yang kaya dengan sumber ikan ialah di Lubok Sungai Selalang dan Lubok Sungai Nyamuk. "Kerajaan bersedia memajukan kawasan perikanan ini sebagai satu destinasi pelancongan utama bagi menarik kedatangan pelancong pada Tahun Melawat Malaysia 2014. "Pada masa sama, kita turut merancang untuk menganjurkan program Safari Memancing Sarikei 2014 bagi menarik kedatangan pengunjung tempatan dan asing terutamanya kaki pancing ke sini," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |