Kosmo Online - Stailo
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Stailo |
Posted: Wakil Asia pertama LVOleh ALIF ABU BAKAR
TINGGINYA luar biasa untuk standard rakyat Asia. Dengan ukuran 195 sentimeter, ia melebihi tinggi purata lelaki di Belanda. Jambang pada wajah polos si tinggi itu pula dibiar meliar. Garis rahang yang menonjol menambah 'kesempurnaan' seluruh fizikal dia yang bernama Godfrey Gao. Sebelum bertemu empat mata dengan model unggul antarabangsa itu, wajah dan ceritanya hanya dirujuk menerusi alam maya. Biografi jejaka berusia 30 tahun itu masih terlalu awal untuk direncanakan. Namun, peluang yang diatur syarikat Procter & Gamble (Malaysia) Sdn. Bhd. bagi menemu bual bintang yang sedang berkemilau cahayanya itu merubah andaian tersebut. Tidak keterlaluan sebenarnya mengangkat Godfrey sebagai ikon Asia kepada generasi baharu. Seisi dunia merestui legasi Jackie Chan, Datuk Michelle Yeoh, Datuk Jimmy Choo dan beberapa lagi nama Asia besar dalam sumbangan mereka kepada industri seni termasuk filem dan fesyen. Bukan sesuatu yang mustahil untuk melihat nama Godfrey dalam senarai yang sama pada masa hadapan. Permulaan sebagai model sampingan ketika menuntut di Universiti Capilano, Kanada tidak lebih sekadar hobi. Tamat pengajian dan tanpa sebarang perancangan profesion, Godfrey pulang ke negara kelahirannya, Taiwan. Ketika itu, pada tahun 2005, anak bongsu daripada tiga adik-beradik itu memberanikan diri untuk menjalani sesi uji bakat lakonan untuk satu drama televisyen (TV). Sejak itu, lakonan menjadi penyambung hidupnya sehingga sekarang. Lonjakan karier seni Godfrey tiba di puncak pertama apabila berjaya meraih watak dalam sebuah filem Hollywood. Filem The Mortal Instruments: City of Bones yang ditayangkan pada Ogos tahun lalu adalah penampilan sulung Godfrey di peringkat global. Pemilihannya bagi watak Magnus Bane dalam filem hasil adaptasi novel bersiri popular, The Shadowhunters karya Cassandra Clare itu tidak mengecewakan. Dia berjaya mengetepikan kira-kira 70 pelakon lain yang merebut watak serupa. Menerusi filem itu, Godfrey memainkan peranan sebagai seorang ahli sihir di Brooklyn, New York, Amerika Syarikat. Dia berusia lebih 800 tahun dan dilahirkan hasil perkahwinan seorang wanita kacukan Belanda-Indonesia dan syaitan. Selain wataknya yang menjadi kegemaran pengikut setia novel tersebut, Godfrey juga tampil seksi dalam filem itu. "Saya tidak ada masalah untuk berbogel. Ia satu perkara yang subjektif. Namun ia perlu bersebab. Misalnya untuk karya seni," pendedahan itu dirungkai tenang Godfrey ketika Stailo bertemunya di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur baru-baru ini. Fesyen Gemilang karier lakonan Godfrey bagaimanapun belum mampu menandingi pencapaian bersejarahnya dalam dunia peragaan. Tahun 2011 menjadi detik paling manis dan membanggakan dalam hidup lelaki ini. Selama tempoh 157 tahun, rumah fesyen antarabangsa ternama, Louis Vuitton (LV) tidak pernah menggunakan khidmat model Asia untuk mana-mana kempen mereka. Godfrey merupakan wakil Asia yang pertama memecahkan rekod lebih seabad label mewah dari Perancis itu. Wajahnya menghiasi kempen LV untuk koleksi sedia pakai musim bunga/panas 2011. Tempiasnya besar. Godfrey kemudiannya dihujani pelbagai tawaran peragaan. Pengetahuan dalam fesyen juga diguna sepenuhnya. Bersama beberapa sahabat di Vancouver, Kanada, beliau mewujudkan label pakaian sendiri. Berkonsepkan pakaian ringkas seperti jaket dan item keperluan utama lelaki, bisnes pakaian tersebut bertambah rancak dengan perancangan menambah rekaan wanita. Projek terbaharu jenama tersebut iaitu penawaran topi besbol dengan kerjasama label New Era difahamkan kini antara trend hangat di Vancouver. Wajah kacak, ketinggian idaman dan tubuh berotot yang menawan melengkapkan pakej Godfrey sebagai pelakon dan model kelas pertama. Begitupun, dia masih mempunyai kebolehan lain untuk dikongsi kepada umum. Masakan merupakan antara kepakaran beliau, khususnya penghasilan pastri. Namun, bakat sebenar anak kepada wanita Peranakan dari George Town, Pulau Pinang ini adalah sukan. Sebelum lakonan dan peragaan, dunia Godfrey adalah di gelanggang bola keranjang. "Sekiranya saya bukan pelakon atau model, kemungkinan besar saya menjadi jurulatih bola keranjang kanak-kanak. Saya seorang yang aktif bersukan dan tidak mustahil juga saya menjadi pemain profesional. "Kalau bukan bidang sukan, saya dapat melihat diri membuka sebuah restoran. Kemahiran masakan saya tidak kurang hebatnya," kata Godfrey disambung tawa yang terkawal. Rejim Menjadi orang tampan ada harganya. Begitu juga Godfrey. Justeru, dia tidak malu untuk berkongsi ketegasannya terhadap rejim kecantikan diri yang menyeluruh. Rejim paling asas yang diamalkan beliau adalah mencuci muka sebanyak dua atau tiga kali sehari. Sejak dilantik selaku duta jenama SK-II pada tahun 2012, Godfrey telah menemui trio pembersihan wajah paling efisien. Variasi produk daripada rangkaian SK-II Men itu terdiri daripada pencuci muka, pelembap (age revitalize moisturizer) dan esen rawatan wajah. Pencuci muka jenama itu adalah item kegemaran Godfrey. Berdasarkan pengalamannya, ia tidak mengeringkan kulit wajah malah baunya juga menyamankan. Esen rawatan wajah pula digunakannya bagi mengimbangi tekstur kulit. Begitupun dia enggan mencukur bersih jambangnya. Penampilan itu dirasakan lebih sesuai dengan wajahnya, namun demikian jambang tersebut hanya akan dicukur jika ia melibatkan tuntutan kerja. Diari kecergasan aktor drama TV bersiri popular Momo Love itu pula banyak melibatkan senaman kardiovaskular. Keutamaan diberikan kepada permainan bola keranjang yang mengisi dua atau tiga kali dalam jadual mingguannya. Latihan fizikal di gim, berjoging dan berbasikal turut merangkumi rejim aktif Godfrey. Baginya, sangat penting bagi mengeluarkan peluh dan memastikan kesihatan terus konsisten. "Saya suka mencabar diri dan berharap untuk belajar seni mempertahankan diri jalanan. Waktu di sekolah dulu saya pernah belajar karate," kongsinya. Bagi mengekalkan tubuh badan yang tegap, perancangan diet jejaka ini juga diberi penekanan serius. Pisang dan buah kegemarannya iaitu beri biru dicampur menjadi minuman sarapan yang bertenaga. Makan tengah hari pula, beliau memilih salad, bayam, beri biru bersama ikan salmon atau ayam. Dia turut memastikan makan malamnya diambil sebelum pukul 9 malam. "Elakkan makan lewat malam. Diet yang betul juga menuntut kita untuk makan dalam amaun sederhana setiap kali waktu makan," saran beliau. | |||
Posted: Refleksi keajaiban New YorkJENAMA barangan aksesori mewah, Coach mengetengahkan rekaan sofiskated yang memenuhi cita rasa pengguna masa kini. KOLEKSI mewah dan berkonsep gaya hidup Coach Inc. (Coach) dari bandar raya metropolitan New York sentiasa mengetengahkan koleksi aksesori penuh glamor yang memenuhi cita rasa masyarakat hari ini. Sehubungan itu, baru-baru ini, Coach telah melancarkan kempen global, dibangunkan secara kreatif oleh agensi penjenamaan bersepadu Laird + Partners, yang menepati jenama tersebut sebagai satu jenama gaya hidup yang mewah dan eksklusif. BEG jenama mewah dan eksklusif Coach diperagakan Kloss. Kempen itu menampilkan peragawan dan peragawati terkemuka yang mempamerkan identiti global dan semangat serta keajaiban musim luruh di New York. "Usaha ini membuka satu lembaran baharu bagi Coach menerusi pelancaran koleksi bandar raya New York. "Koleksi ini mengetengahkan rekaan sofistikated dalam latar bandar raya yang menjadi inspirasi dan perwakilan jenama Coach," kata Naib Presiden Eksekutif Pemasaran dan Strategi Coach, Stephanie Stahl. Tambahnya, koleksi terbaharu itu terus menampilkan seni halus dan moden yang menjadi signatur jenama Coach selama ini. Hubungan peribadi Menjelaskan mengenai kempen tersebut, Stahl berkata, foto-foto yang dipaparkan telah dirakam oleh jurugambar terkemuka, Craig McDean dengan tumpuan di kawasan kejiranan utama di Manhanttan seperti daerah Meatpacking, Tribeca, High Line dan West Village. KEMPEN terbaharu Coach menampilkan hubungan peribadi model-model antarabangsa dengan bandar raya New York. Ia juga menampilkan model-model antarabangsa seperti Karlie Kloss , Liu Wen dan Will Chalker. Selain kempen cetak, hubungan peribadi setiap model dengan bandar raya itu juga turut dirakam dalam video yang dipaparkan di lawan web Coach.com. "Model-model untuk kempen musim luruh ini dipilih berdasarkan diri dan imej mereka yang sebenar. Kami mengkaji dengan mendalam watak, kasih sayang unik dan kesetiaan masing-masing terhadap New York," kata Ketua Eksekutif dan Pegawai Kreatif Laird + Partners, Trey Laird. Ujarnya, melalui kaca mata model-model terlibat, pihaknya memperoleh aura sahih Coach dan sejarah permulaan jenama terkemuka itu di New York kira-kira 73 tahun lalu. | |||
Posted: Jubah jelmaan varsitiOleh ALIF ABU BAKAR
FUNGSI asal sebagai pakaian beribadat dikekalkan. Justeru, tiada motif, cetakan atau sulaman perkataan yang tidak sopan diperincikan pada jubah kontemporari itu. Namun, rekaan pereka muda, Waridi Hamdan mempunyai tarikan luar biasa. Inspirasi jaket varsiti dan pelumba Formula Satu diilhamkan ke dalam lapan rekaan jubah yang mengagumkan. Percaturan Waridi menerusi koleksi WH Tobby Eastern Redux Sporty berpotensi mencetuskan trend baharu dalam kalangan jejaka di Malaysia. Sulaman akronim WH sebagai identiti busana pereka itu melatari sempurna setiap helaian. Ciri-ciri sporty ditambah dengan nombor yang boleh dipilih sendiri pelanggan mengikut definisi dan kepentingan individu.
Setakat ini, Waridi hanya menggunakan empat warna asas untuk koleksi jubahnya. Begitupun, jalinan bijak antara merah, biru, putih dan hitam membuatkan jubah santai itu tampak elegan. Rekaan khusus Menerapkan potongan normal, sama seperti jubah-jubah lain, Waridi tidak lupa menambah penutup kepala (hoodie) pada salah satu rekaannya. Bagaimanapun, pengguna bebas memilih sama ada mahukan hoodie itu atau tidak. "Untuk koleksi ini, saya banyak bermain dengan fabrik kapas dan kapas campur. Harga jualan juga berpatutan. Pelanggan hanya perlu membayar RM350 untuk sehelai jubah yang direka khusus untuk mereka. "Pelanggan juga perlu menempah awal jubah yang mereka inginkan memandangkan ia hanya dihasilkan mengikut tempahan. Selepas bayaran penuh, pelanggan akan menerima jubah mereka dalam tempoh dua minggu," jelas Waridi kepada Stailo.
Jubah berciri kasual tersebut boleh disesuaikan untuk apa jua acara, pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Ia tidak dicipta untuk musim perayaan sahaja malah relevan digayakan ketika berkunjung ke pusat beli-belah. Waridi menambah, keterbukaan masyarakat di negara ini khususnya lelaki dalam menjadikan jubah sebagai pakaian harian membolehkannya bereksperimen dengan pelbagai rekaan baharu. Pemakaian jubah tidak lagi tertumpu pada fungsi keagamaan. Kini ia menjadi fesyen tumpuan anak-anak muda yang berani mengekspresikan campuran budaya dan identiti agama dalam penampilan moden. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Stailo To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |