Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Promosi bidang teknikal, vokasional
- Dua kapal asing ditahan
- Amaran terhadap cubaan adakan demonstrasi
Promosi bidang teknikal, vokasional Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI BATU PAHAT 11 Mac - Bidang teknikal dan vokasional seharusnya dijadikan sebagai bidang pilihan utama oleh generasi muda kini dan bukannya sebagai pilihan kedua. Dekan Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM), Dr. Razali Hassan berkata, usaha untuk mengubah persepsi masyarakat bahawa bidang teknikal dan vokasional berdiri sama tinggi dengan pelbagai bidang lain seharusnya diperluaskan. "Terdapat pendapat umum masyarakat iaitu bidang teknikal dan vokasional hanyalah pilihan kedua selepas mereka gagal untuk mengikuti kursus sains dan teknologi lain. "Tetapi sebenarnya perkara tersebut tidak benar kerana bidang ini banyak memainkan peranan dalam usaha menjadikan sesebuah negara bertaraf negara maju," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Katanya, mengambil contoh negara maju di dunia Barat seperti Jerman dan Perancis, keupayaan yang tinggi warganegaranya dalam bidang teknikal dan vokasional membantu secara langsung dalam kemajuan sesebuah negara. "Perkara seperti ini harus ditekankan dalam minda masyarakat bahawa bidang teknikal dan vokasional memainkan peranan amat penting bukan sahaja kepada pendidikan seseorang individu, namun kemajuan sesebuah negara. "Malah kini individu yang mempunyai kemahiran tinggi dalam bidang teknikal dan vokasional juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan mereka yang mempunyai pekerjaan berbentuk profesional lain," katanya. Sehubungan itu pihaknya telah menubuhkan Briged FPTV yang berperanan menyebarkan maklumat kepada masyarakat umum khususnya penduduk setempat bahawa bidang teknikal dan vokasional adalah sama berkualiti berbanding bidang lain. Razali berkata, briged tersebut aktif dengan program kemasyarakatan dan tugas promosi, sekali gus dapat membuka hati dan minda masyarakat bahawa bidang itu dapat membantu dalam kehidupan seharian mereka. "Kini masyarakat sudah mula membuka mata untuk menjadikan bidang teknikal dan vokasional sebagai pilihan pendidikan mereka dan ini merupakan satu impak positif yang berjaya dilakukan Briged FPTV," katanya. |
Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT Kapal MV Stadt Marburg ditahan Maritim Malaysia Wilayah Selatan selepas berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 11 Mac - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan menahan dua buah kapal asing kerana berlabuh tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai dan Pulau Kukup, Pontian, baru-baru ini. Ketua Penguat Kuasa Maritim Daerah Johor Bahru, Kapten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata, dalam kejadian pertama pukul 10.30 pagi Khamis lalu, pihaknya menahan kapal MV Stadt Marburg kira-kira 2.7 kilometer barat daya Tanjung Piai. Katanya, kapal yang didaftarkan di Antiga and Barbuda itu dikesan berada dalam keadaan mencurigakan oleh kapal peronda agensi berkenaan yang sedang menjalankan operasi di kawasan perairan Selat Melaka. "Sebuah lagi kapal, MT Ocean Accord yang didaftarkan di Panama ditahan pukul 2.10 petang semalam, kira-kira 4.6 kilometer tenggara Pulau Kukup. "Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua kapal berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen daripada Pengarah Laut untuk berlabuh di kawasan perairan negara ini selain gagal membayar dius api. "Ketua jurutera dan dua krew kedua-dua kapal telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Wilayah Selatan di Johor Bahru untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. Aminuddin berkata, ketika ditahan kapal MV Stadt Marburg sedang membawa 21 anak kapal terdiri daripada 17 warga Filipina dan empat warga Ukraine berusia antara 20 hingga 59 tahun manakala kapal MT Ocean Accord pula membawa 22 anak kapal terdiri daripada 16 warga Filipina dan lima warga Korea Selatan berusia antara 25 hingga 52 tahun. Katanya, pemilik kapal boleh didakwa di bawah seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu berlabuh dikawasan yang tidak dibenarkan, bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Jabatan Laut dan gagal membayar dius api. Ujar beliau, pemilik kapal boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. |
Amaran terhadap cubaan adakan demonstrasi Posted: 11 Mar 2014 12:19 PM PDT Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff menyerahkan sijil pelantikan Ketua Polis Daerah Ledang kepada Mohmad Salleh Abd.Razak pada Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor Bersama Warga IPD Ledang dan Masyarakat Ledang di Tangkak, Ledang, Johor, kelmarin. LEDANG 11 Mac - Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak di negeri ini yang cuba melakukan demonstrasi jalanan sebagai membantah keputusan mahkamah kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jumaat lalu. Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff ketika memberikan amaran keras itu berkata, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengenakan tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012. "Saya nasihatkan agar patuh kepada undang-undang. Mereka yang tidak tahu undang-undang bukan alasan untuk terlibat atau mengadakan perhimpunan. Undang-undang kata perlu patuh kepada Akta Perhimpunan Aman, jadi patuh sahajalah. "Polis dibayar gaji untuk menguatkuasakan undang-undang, kita bukan suka-suka untuk tangkap orang. Jika semua orang patuh kepada undang-undang, tidak ada masalah akan berlaku (perhimpunan jalanan)," katanya mengulas kemungkinan pihak tertentu di negeri ini yang berhasrat mengadakan demonstrasi. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Ketua Polis Johor Bersama Masyarakat Ledang di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, Tangkak, di sini semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Serom, Abd. Razak Minhat; Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Ismail Yatim dan Ketua Polis Ledang, Mohamed Salleh Abd. Razak. Anwar yang juga Ketua pembangkang dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Rayuan selepas didapati bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu. Mohd. Mokhtar bagaimanapun yakin rakyat negeri ini bijak, menghormati undang-undang dan tidak mudah terlibat dengan demonstrasi yang boleh menggugat keamanan serta keselamatan awam. Beliau meminta rakyat supaya tidak percaya atau mudah terpedaya dengan maklumat tidak tepat yang diperoleh selain menyifatkan sumber daripada internet adalah sampah. Setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan polis yang dibuat oleh mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tentang perkara tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |