Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Keluar operasi pada hari nikah Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT Oleh ABDUL RAZAK IDRIS SHAHARUDDIN Omar dan isteri, Oziah Musa (tengah) bergambar kenangan bersama keluarga pada sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa tahun yang lalu. MAJLIS akad nikah merupakan majlis yang paling bermakna bagi pasangan yang mendirikan rumah tangga kerana pada majlis itulah, pasangan kekasih sah diiktiraf sebagai suami dan isteri mengikut ajaran agama Islam. Pada hari majlis itu berlangsung, mempelai akan disatukan dengan ikatan suci yang penuh dengan kasih sayang. Hari itu juga menyaksikan pasangan yang diijabkabulkan itu akan hidup bersama menempuh masa mendatang dalam kepayahan ataupun kesenangan. Pada hari yang bahagia itu juga, sudah pasti setiap pasangan mahu majlis berlangsung dalam suasana meriah dengan diiringi doa, bunga manggar, paluan kompang dan kemuncak majlis adalah pengantin baru akan disandingkan di pelamin yang indah. Tidak cukup dengan itu, bilik pengantin pasangan Kapten (B) Shaharuddin Omar, 55, dan Oziah Musa dihiasi dengan cadar yang cantik dengan bantal kekabu bersulam tekat benang emas. Suasana meriah diimpikan dari pagi sehingga ke malam, namun semua itu tidak berlaku. Shaharuddin yang kini menyandang jawatan Timbalan Presiden Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM), berkata, kesemua itu tidak memberi makna kepadanya kerana beliau dipanggil bertugas pada hari pernikahan, tanggal 31 Mei 1983. "Pada petang hari pernikahan, saya diarahkan untuk masuk ke hutan bagi menjalankan operasi ketenteraan di Pangkalan Hulu, Kroh, Perak. Tanpa sempat berbual panjang dengan isteri yang baru beberapa jam dinikahi, saya bertolak pada petang itu juga ke stesen keretapi menuju ke Butterworth sebelum dijemput dengan trak tentera untuk ke tempat operasi. "Isteri saya pula keesokan harinya, terbang ke Sarawak untuk menyambung tugas sebagai seorang guru di Sibu. Perasaan rindu sukar untuk diceritakan kerana terpaksa berpisah dengan isteri yang baru dinikahi," katanya ketika ditemui S2 di rumahnya di Kanchong Darat, Kuala Langat, Selangor baru-baru ini. Shaharuddin berkata, isteri tersayang yang sebaya dengannya dan merupakan rakan sekolah, merupakan insan yang tabah kerana memahami negara lebih memerlukan orang yang dikasihinya untuk bersama rakan sepasukan menjaga keamanan dan kedaulatan tanah air. Menceritakan semula detik itu, beliau memberitahu, selepas bernikah pada bulan Mei, mereka disandingkan enam bulan kemudian. Bagaimanapun, bulan madu yang dirancang tidak menjadi kerana pada hari persandingan di rumah isteri di Kelanang, beliau sekali lagi perlu keluar menjalankan kewajipan sebagai seorang anggota tentera. "Pada petang hari bersanding dan selepas habis makan nasi minyak serta rendang daging, saya sudah bersiap sedia untuk ke Port Dickson bagi menyertai pertandingan menembak sebagai menyahut arahan pihak atasan. "Sedih memanglah kita sedih, kerana tidak mengecap hari bahagia seperti orang lain, namun sebagai seorang beragama Islam, kita perlu reda dengan ketentuan-Nya kerana Allah sebaik-baik perancang," katanya. Oziah pula berkata, perpisahan dan pertemuan telah ditentukan oleh Allah dan sebagai seorang isteri, beliau perlu faham dengan tugas suami tercinta sebagai wira negara. Menurutnya, beliau bangga dengan khidmat suaminya kepada negara dan sebagai isteri, beliau mengambil tugas mendidik anak-anak dalam pelajaran dan pendidikan sahsiah sepanjang suami bertugas di perbatasan. "Walaupun saya melangsungkan hari bahagia tidak seperti orang lain, namun peristiwa itu mengajar saya untuk menjadi manusia yang sanggup berkongsi kasih dengan tugas suami dalam membela negara tercinta. "Alhamdullillah! Segala ujian Allah kepada saya, berjaya dilalui dengan tabah. Kini, setelah suami bersara dan aktif dalam PBTM, saya merasa lega kerana kami sekeluarga dapat solat berjemaah bersama anak-anak," katanya. Perkahwinan berusia 31 tahun itu dirahmati dengan lima cahaya mata. Anak sulung mereka, Intan Zanariah, 27, seorang doktor di Hospital Kangar; anak kedua, Mohd. Shah Redza, 26, melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Sains Pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris dan anak ketiga, Intan Naquiyah, 25, seorang jurutera Carigali Petronas. Sementara anak ketiga, Intan Shafika masih belajar di Universiti Southampton, United Kingdom dalam bidang Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik manakala paling bongsu, Shah Ozair, 21, pelajar perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian, Kelantan. Shaharuddin memberitahu, beliau sentiasa mendidik anak-anak untuk patuh kepada perintah Allah dan menjauhi segala larangannya sebagai petua berguna untuk menjadi manusia yang berjasa kepada bangsa, agama dan negara. "Sebagai orang Islam, kita harus mendidik anak-anak untuk faham al-Quran dan rapatkan diri kepada tuhan dengan mendirikan solat, berdoa dan berzikir, baharu boleh jadi manusia yang cemerlang. Jika kita bersyukur, Allah akan beri rezeki berlipat ganda," ujarnya. |
Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD HEMBUSAN angin Laut China Selatan yang mula bertiup kuat cukup mendamaikan, sekali gus membuatkan fikiran terlupa sejenak kesibukan tugasan seharian. Ditemani lambaian pepohon kelapa di tepian pantai sambil bersantai di The Legend Resort Cherating, Kuantan, Pahang, suasana itu sudah cukup mewujudkan persekitaran yang nyaman dan sukar digambarkan dengan kata-kata. Desiran ombak pula mendayu-dayu perlahan sambil disulami siulan angin ibarat melengkapkan irama alam yang cukup mempesonakan. Ternyata percutian di The Legend Resort Cherating mempunyai kelas tersendiri kerana di samping panorama yang menakjubkan, kemudahan yang ditawarkan cukup mesra pelanggan. Terletak kira-kira 45 kilometer dari Kuantan, The Legend Resort Cherating merupakan kawasan resort yang cukup popular kerana mempunyai pantai berpasir putih terbaik di Semenanjung Malaysia. Menurut pengurusnya, G.Shivaraam (gambar), resort yang dikelilingi kehijauan tropika yang subur itu menawarkan dekorasi terbaik mengikut pilihan pelanggan terutama untuk seminar, mesyuarat dan acara keraian seperti perkahwinan, sambutan hari jadi atau majlis makan malam tahunan. "Keutamaan dan kepuasan pelanggan adalah matlamat kami. Di The Legend Resort Cherating, kami menawarkan kelainan yang pastinya memberikan keseronokan mengikut cita rasa pelanggan. "Sebagai contoh, kami mencari kelainan dengan menawarkan pakej mesyuarat di dalam air di laut dan konsep tersebut paling diminati golongan korporat. Selain berbincang, mereka dapat menghilangkan tekanan sambil bermain-main dengan ombak," katanya kepada Utusan Malaysia di resort berkenaan di Kuantan, Pahang baru-baru ini. Tambahnya, selain untuk aktiviti perniagaan, resort yang mempunyai 248 bilik itu juga sesuai untuk seisi keluarga atau pasangan mengabadikan kenangan keseronokan semasa bercuti. "Di tapak seluas 6.5 hektar ini, pelbagai kemudahan rekreasi bagi aktiviti lasak dan santai disediakan untuk semua golongan sama ada tua atau muda dan lelaki mahu pun perempuan. "Tetamu boleh berehat dengan menyaksikan keindahan sekeliling atau memilih untuk ke gimnasium, spa, bermain tenis atau skuasy, snuker, bermain jet ski, berkayak atau menunggang ATV. "Kami turut menawarkan aktiviti snorkeling di Pulau Ular, melihat kelip-kelip, melihat penyu dan memancing dengan kemudahan bot dan pemandu pelancong," katanya. Menariknya, resort ini turut menyediakan dua buah kolam iaitu kolam biru dan hijau yang boleh memuatkan 300 orang dalam satu-satu masa beroperasi sehingga pukul 10 malam. "Kami melanjutkan masa sehingga 10 malam dengan menempatkan beberapa orang krew keselamatan dengan menawarkan beberapa aktiviti demi kepuasan para tetamu. "Malah, di kolam hijau, para tetamu bebas mengenakan apa jua pakaian dan tidak hanya tertakluk kepada pakaian renang. Semua disajikan demi kepuasan pelanggan agar percutian yang dipilih di The Legend Resort Cherating menjanjikan kenangan terindah," katanya sambil memberitahu resort berkenaan telah beroperasi sejak 25 tahun lalu. Resort ini menawarkan dua jenis bilik iaitu Deluxe Single dan Double Deluxe yang berjumlah 248 buah dan dilengkapi katil saiz queen atau katil seorang. Setiap bilik mempunyai balkoni yang membolehkan pemandangan indah laut dilihat dengan jelas, dan setiap bilik juga diperindahkan dengan gabungan unik konsep kasual dan mewah tradisional. Sementara itu, jangan lupa untuk mencuba makanan yang ditawarkan di tempat peranginan ini. Selain makanan barat dan hidangan tempatan, menu Nasi Goreng Lagenda antara menu wajib yang patut dicuba. Selain itu, gabungan makanan laut dan masakan Melayu pastinya tidak menghampakan. Beralamat di Sungai Karang Darat, Cherating, Kuantan, anda boleh menghubungi 09-5819818 atau talian bebas tol 1-800-88-8866 atau melayari laman sesawang legendresort.com.my untuk membuat tempahan bilik bermula pada harga RM160 semalam. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |