Utusan Online - Mahkamah
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Mahkamah |
5 warga Myanmar dituduh culik, kurung, peras Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT Lima warga Myanmar yang menghadapi tuduhan culik, kurung dan peras dibawa ke Mahkamah Sesyen, Kota Bharu, semalam. - UTUSAN/ZUHARMAN MOHAMAD NOR KOTA BHARU 12 Mac - Lima lelaki warga Myanmar dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga tuduhan menculik, mengurung dan melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki dikenali mereka, bulan lalu. Bagaimanapun, hanya tertuduh pertama, Muhamad Osman Muhamad, 23, dan tertuduh ketiga, Mohamad Rashid Abd. Basir, 28, memahami pertuduhan dan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. Pertuduhan bagaimanapun tidak dibacakan terhadap tiga lagi tertuduh iaitu, Nor Salam Mohd. Huson, 28, Nur Bashor Dudu Miya, 23, dan Abdul Nasar Dodo Miya, 37, kerana tidak memahami bahasa Melayu. Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama-sama menculik Zahid Hussin Idris, 30, dengan tujuan hendak mengurung mangsa di Kampung Bendang Selinsing, Pasir Puteh pada pukul 12.30 tengah hari, 23 Februari lalu. Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun dan denda. Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa mengurung mangsa dan memeras hartanya antara pukul 9 malam hari yang sama dan 9.30 malam, 27 Februari di Kampung Sedar, Tumpat. Mereka didakwa mengikut Seksyen 347 kanun tersebut yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda. Bagi pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa melakukan pemerasan yang menyebabkan mangsa berada dalam ketakutan dan mendorongnya menyerahkan wang berjumlah RM9,800. Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 386 kanun tersebut yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan denda atau sebatan. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Azhari dan tiada jaminan dicadangkan dengan alasan kesemuanya bukan warganegara Malaysia. Mahkamah menetapkan 30 Mac depan bagi sebutan semula kes terhadap kedua-dua tertuduh dengan khidmat jurubahasa Myanmar untuk membacakan pertuduhan kepada tiga lagi tertuduh. |
Penganggur dijel 6 tahun, 3 sebatan Posted: 12 Mar 2014 12:13 PM PDT KUALA LUMPUR 12 Mac - Seorang penganggur dihukum penjara enam tahun dan sebatan tiga kali oleh Mahkamah Sesyen Kajang dekat sini hari ini selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas tuduhan melakukan rompakan berkumpulan, tahun lalu. Hakim Nor Hazani Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Fakhrullah Ma'mon, 36, dan memerintahkan hukuman tersebut berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditahan, 6 September tahun lalu. Lelaki yang tidak diwakili peguam itu didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan itu dengan bersenjatakan satu objek yang menyerupai pistol terhadap Nik Nor Baizuri Datuk Sabiamad, 32. Dalam kejadian itu tertuduh melarikan tiga unit telefon pintar jenama Samsung, rantai tangan emas dan wang tunai RM1,000 milik mangsa. Perbuatan itu didakwa dilakukan di kedai Persona Cinta, No. 34, Jalan 4/12B, Seksyen 4 Tambahan, Bandar Baru Bangi, dekat sini pada pukul 2.25 petang, 1 Julai 2013. Timbalan Pendakwa Raya, Siaw Chooi Chin mengemukakan pertuduhan itu mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 395 kanun sama yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan. Sebelum hukuman dijatuhkan, Fakhrullah memohon mahkamah meringankan hukuman kerana dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan yang sama. Mengikut fakta kes, tertuduh dan seorang lagi yang memakai topi keledar meluru masuk ke dalam kedai tersebut sebelum mengeluarkan pistol sambil mengarahkan mangsa untuk mengeluarkan wang dari mesin wang di kaunter dan barang kemas mangsa. Kedua-dua lelaki itu kemudian melarikan diri menunggang sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan kedai tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Mahkamah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |