{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Politik kotor muncul kembali

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh Salleh Buang

Aksi Anwar Ibrahim sewaktu meninggalkan mahkamah di Putrajaya, pada 7 Mac lalu, selepas dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana didapati bersalah meliwat pembantunya . - AGENSI

ANTARA kenyataan yang amat menarik sehari dua ini pada saya adalah kata-kata Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengenai Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail, calon PKR bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Apabila mengulas tentang Manifesto Kajang yang dilancarkan oleh Wan Azizah sebagai pengisian kempennya, Shafie berkata; Dia presiden parti. Tak perlu buat manifesto lagi. Beri arahan sahaja kepada Menteri Besar (Selangor) untuk buat kerja."

Manifesto Kajang itu menyatakan empat komitmen calon - membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil, menangani masalah kesesakan lalu lintas dan meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang.

Pastinya kita rakyat Malaysia (terutama pengundi Kajang) masih ingat kata-kata aneh Tan Sri Khalid Ibrahim, orang kuat PKR, pada satu masa dulu bila dia menyatakan bahawa manifesto bukan janji.

Pada mulanya saya jangkakan tahap politik pembangkang di negara ini sudah matang dan bertanggungjawab. Ternyata kini jangkaan saya itu silap dan harapan tinggi saya meleset.

Dalam media sosial kini sudah ada klip video mengandungi sedutan ucapan Azmin Ali sewaktu berkempen bagi pihak Wan Azizah baru-baru ini. Dalam nada suara yang tinggi (stail biasa dia berucap) dia berkata bahawa; Datuk Seri Najib (Tun Razak), Perdana Menteri kita ialah haiwan ternakan Tun Dr. Mahathir (Mohamad)".

Ayat ini diucapkannya berkali-kali, menzahirkan rasa kebencian yang amat sangat. (http://medan-info-kita.blogspot.com/2014/03/video-ini-memang-panaassss-bukan-main.html)

Azmin kemudian mengapi-apikan rakyat supaya menggulingkan kerajaan BN yang jahat menerusi protes jalanan". Azmin juga berjanji dan berikrar Anwar tidak akan merengkok walau sehari pun dalam penjara.

Dia juga mendakwa demokrasi sudah mati di negara ini. Hanya satu cara kita boleh menang, iaitu melalui protes jalanan". (http://lifeofaannie.blogspot.com/2014/03/anwar-innocent-my-ass.html)

Inilah yang dipanggil gutter politics (politik longkang) yang amat kotor, busuk dan berbahaya sekali.

Mereka bukan berkempen dengan memaklumkan pengundi apa kebaikan untuk rakyat yang telah dapat mereka lakukan pada masa lalu, atau dirancang akan dilakukan pada masa depan. Sebaliknya apa yang mereka lakukan adalah membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu sambil menuduh demokrasi tidak wujud lagi di negara ini.

Jika tidak membuat serangan peribadi terhadap individu tertentu, mereka menjadikan institusi kehakiman negara ini sebagai punching bag mereka.

Dalam kempen PRK Kajang ini, mereka menuduh kerajaan telah menyalahgunakan mahkamah untuk menganiayai Anwar Ibrahim, yang akibatnya pemimpin kesayangan mereka itu hilang kelayakan untuk bertanding, sekali gus memadamkan cita-citanya menjadi Menteri Besar Selangor yang baru.

Mereka terlupa (atau sengaja melupakan) fakta sebenar yang menunjukkan bahawa mahkamah telahpun menetapkan tarikh pendengaran rayuan pasukan pendakwa dalam kes Sodomi II. Hakikatnya Anwar yang merancang perletakan jawatan ADUN sedia ada (Lee Chin Cheh) bagi membolehkan dia bertanding dalam PRK Kajang ini.

Penganalisis politik mengatakan bahawa antara matlamat Anwar menyebabkan PRK Kajang ini terpaksa diadakan adalah bagi memberi tekanan kepada Mahkamah Rayuan.

Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria merasa terpanggil menjawab tohmahan jahat ini. Katanya; Saya boleh beri jaminan tidak ada perkara seperti itu. Bagi hakim, apa sahaja keputusan mereka buat, mereka perlu beri alasan dan alasan ini tertakluk kepada penelitian Mahkamah Rayuan".

Ditakdirkan sewaktu segala panglima dan hulubalang PKR mendakwa ketua mereka dizalimi oleh Mahkamah Rayuan apabila dia disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun, Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong mengeluarkan kenyataan bahawa perbuatan Anwar meliwat pembantunya itu tidak salah kerana ia dilakukan atas dasar suka sama suka. Sama ada dia sedar atau pun tidak, perbuatan Christopher itu memusnahkan asas tuduhan liar pembangkang bahawa mahkamah telah menzalimi Anwar.

Sementara segala panglima dan hulubalang PKR terus mengatakan ketua mereka tidak pernah melakukan liwat, Christopher mengakui liwat berlaku, cuma pada pendapatnya ia sepatutnya dibenarkan dan bukan satu jenayah di bawah Kanun Keseksaan. Liwat bukan satu kesalahan jenayah di banyak negara barat. Mengikut Wikipedia, liwat masih lagi satu kesalahan jenayah di 70 negara (dari 195 negara di dunia).

Memikirkan kembali kata-kata liar Azmin menggelar Najib sebagai haiwan ternakan Dr. Mahathir ini, saya teringat kepada komen Datuk Nik Aziz Nik Mat satu ketika dulu mengenai rakyat negara ini yang menerima BR1M. Mengikut Nik Aziz, penerima bantuan itu umpama lembu dan ayam yang diberi hampas kelapa dan padi.

Yang menghairankan kita, semasa berkempen dalam PRK Galas ada laporan media yang menunjukkan dia juga ada memberi bantuan wang kepada pengundi.

Pada awal Februari lalu, sebuah portal propembangkang memetik veteran DAP, Lim Kit Siang sebagai bertanya; Apakah PRK Kajang akan menjadi pilihan raya paling kotor atau paling bersih dalam sejarah Malaysia?"

Kedua-dua kemungkinan itu ada, katanya. Segala-galanya bergantung kepada calon-calon yang bertanding (daripada BN dan Pakatan Rakyat) dan badan penyelia seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), PDRM dan sebagainya, tambahnya lagi.

Saya rasa kita sudah tahu jawapannya.

Kalau setakat bermodalkan air liur...

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh Marhaini Kamaruddin

Seorang kakitangan sokongan Malaysia Airlines (MAS) mendengar dengan sabar luahan emosi ahli keluarga penumpang MH370 di restoran sebuah hotel di Beijing, China pada 11 Mac lalu. - AFP

UMPAMA mencari jarum dalam timbunan jerami. Mungkin itu perumpamaan yang paling hampir untuk menggambarkan betapa sukarnya misi mencari dan menyelamat (SAR) pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang daripada udara sejak awal pagi Sabtu lalu.

Sejak operasi SAR digerakkan atas kerjasama pelbagai negara termasuk Amerika Syarikat dan China yang diketahui memiliki teknologi satelit yang begitu canggih, petunjuk yang dicari tidak semudah disangka untuk ditemui.

Yang pasti tugas anggota polis dan tentera yang terlibat menjejaki pesawat Boeing 777-200 bersama 239 penumpang dan anak kapal itu tidak semudah yang disangka.

Ia tidak semudah melakar lokasi ramalan di atas peta.

Dalam pada pasukan mencari dan menyelamat bertungkus-lumus mencari sekecil-kecil petunjuk agar dapat menemukan semula MH370, peranan sokongan yang dimainkan oleh Pasukan Intervensi Krisis Malaysia (MCIT) tidak kurang pentingnya.

Pasukan seramai 45 orang kaunselor ini yang diketuai oleh pengerusinya, Dr. Abdul Halim Mohd. Hussin telah berkampung di Hotel Everly, Putrajaya, tempat kaum keluarga penumpang pesawat MH370 ditempatkan sejak Sabtu 8 Mac lalu.

Ke mana sahaja ahli keluarga dan waris bergerak, mereka ini yang datang dari pelbagai agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bernaung di bawah MCIT seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Pendidikan, Persatuan Psikologi Perkhidmatan Awam Malaysia, Persatuan Kaunseling Antarabangsa Malaysia dan lain-lain, pasti ada bersama.

Mereka bertugas secara bergilir sebanyak empat shift iaitu enam jam setiap satu sesi dari seawal 7 pagi hingga 1 tengah hari, 1 tengah hari hingga 7 petang, 7 petang hingga 1 pagi dan 1 pagi hingga 7 pagi.

24 jam sehari sentiasa ada 10 hingga 12 orang pegawai bertugas setiap sesi menemani dan memberi kaunseling kepada keluarga dan waris penumpang serta anak kapal MH370.

Setiap keluarga ada kaunselor yang memantau perkembangan emosi mereka. Mereka ini sentiasa bersedia meminjamkan bahu untuk ahli keluarga dan waris melepaskan emosi yang terbuku, membantu menenangkan dan menyediakan perasaan mereka bagi menghadapi apa jua perkhabaran.

Pada masa sama, MAS turut menugaskan kakitangannya sebagai care givers bagi memastikan segala kebajikan ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 daripada makan minum dan tempat tidur mereka diuruskan sebaik-baiknya. Satu kumpulan care givers bahkan diterbangkan ke Beijing, China untuk menguruskan kebajikan ahli keluarga penumpang MH370 di sana.

Dalam keadaan ini, para kaunselor dan care givers bersedia menadah telinga menerima bukan sahaja keluhan bahkan mungkin rungutan dan hamunan waris yang gagal mengawal amarah akibat perasaan yang tidak terbendung sejak kehilangan orang tersayang.

Bagi mereka, ini adalah sebahagian daripada asam garam tugas yang perlu diterima.

Baik anggota polis dan tentera yang terlibat dalam operasi SAR, mahupun para kaunselor dan care givers, masing-masing telah menjalankan tugas dan tanggungjawab sebaik-baiknya dalam menghadapi insiden kehilangan misteri pesawat MH370.

Apa pula sumbangan kita yang tidak terlibat secara langsung dalam usaha mencari, menyelamat mahupun membantu menenangkan ahli keluarga dan waris penumpang serta anak kapal pesawat berkenaan?

Jika tidak ada apa yang hendak kita berikan, cukuplah sekadar berdoa dan menghulur simpati. Janganlah pula kita sibuk menghentam sana-sini, mempertikai kerja-kerja yang dilakukan oleh pihak berwajib dalam usaha menemukan semula pesawat MH370 bersama-sama penumpang dan anak kapalnya. Apatah lagi jika usaha kita itu hanya bermodalkan air liur sahaja.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat