Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
MH370: Patriotisme dan politik benci Posted: 16 Mar 2014 11:20 AM PDT Oleh Zulkiflee Bakar SEKUMPULAN mahasiswa dan mahasiswi Universiti Tun Hussien Onn mengikuti laporan terkini berhubung kehilangan pesawat MH 370 semasa sidang Dewan Rakyat berhenti rehat di lobi Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Sekarang adalah waktu-waktu yang sukar bagi Malaysia. Seluruh dunia memberi tumpuan berikutan kehilangan pesawat MH370. Ketika ini rakyat Malaysia perlu bersatu dan menyokong usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. Lupakan soal perbezaan politik sebaliknya sama-sama mendoakan kejayaan usaha tersebut." Demikianlah pandangan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed ketika berbual-bual dengan wartawan Malaysia di Mauritius pada Selasa lalu. Beliau menjadi wakil kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menangguhkan lawatan ke Mauritius berikutan peristiwa pesawat berkenaan. Sememangnya gesaan Mustapa tepat pada masanya memandangkan ketika ini media barat terus melakukan serangan kiri dan kanan, depan dan belakang kepada Malaysia. BBC London contohnya, setiap hari menjadikan berita tentang kehilangan pesawat ini sebagai tajuk utama tetapi semuanya dari sudut yang memperlekehkan Malaysia. Malah walaupun diberi peluang membuat liputan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), BBC merendah-rendahkan pasukan itu apabila menganggap pegawai dan anggota TUDM dalam pesawat tersebut hanya menjenguk dari tingkap sahaja bagi mencari MH370, maksudnya TUDM tidak menggunakan sebarang peralatan untuk berbuat demikian. Tetapi dalam soal media barat ini, ia bukanlah perkara baru apabila mereka menyerang Malaysia, namun apa yang lebih dikhuatirkan adalah bagaimana sebahagian daripada rakyat negara kita seolah-olah semakin luntur semangat patriotisme. Seruan pemimpin-pemimpin negara kita termasuklah Mustapa supaya kita bersatu dalam isu MH370 boleh diibarat seperti mencurah air ke atas daun keladi kepada mereka. Ini memandangkan bagi sesetengah ahli politik pembangkang, peristiwa kehilangan pesawat itu dijadikan peluru untuk menyerang kerajaan Barisan Nasional (BN) apatah lagi ketika ini kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang sedang berlangsung. Mereka cuba meracuni fikiran rakyat apabila mendakwa kelewatan mengesan pesawat itu disebabkan kononnya ada kaitan dengan penyelewengan peruntukan dalam pembelian aset kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan. Walaupun mereka mengetahui kerajaan benar-benar perlu berhati-hati dalam menangani isu MH370 khususnya dalam membuat pengumuman perkembangan terbaru seperti mana yang dilakukan oleh Najib kelmarin, tetapi sesetengah pemimpin pembangkang tidak mempedulikan soal itu. Tetapi dalam masa sama mereka jugalah yang bersedia menyerang habis-habisan jika kerajaan tersilap membuat pengumuman yang boleh memalukan negara ini. Oleh kerana ada dalam kalangan pemimpin pembangkang mempolitikkan isu ini maka ia diambil kesempatan oleh penyokong-penyokong mereka untuk turut berbuat demikian. Bacalah komen-komen dalam portal berita pro pembangkang, sudah pasti kita akan mendapati bagaimana politik kebencian akhirnya menyebabkan mereka semakin terhakis semangat patriotisme. Pelbagai komen, tohmahan dan fitnah dilemparkan malah lebih biadab lagi ada pula menjadikan peristiwa kehilangan pesawat MH370 bahan lawak. Dalam memperkatakan soal ini, cuba berfikir sejenak jika peristiwa seumpama ini yang menjadi tumpuan dunia berlaku di negara lain, adakah rakyatnya akan bersikap seperti mana sesetengah rakyat Malaysia? Beberapa peristiwa besar sebelum ini termasuk serangan ke atas Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York membuktikan rakyat Amerika Syarikat bersatu menyokong pemerintah negara itu. Walaupun mereka mengetahui ada kelemahan dari segi perisikan negara itu namun mereka tidak mengambil kesempatan untuk menyerang pemerintah. Soal perbezaan politik diketepikan, tumpuan utama ialah bersatu keganasan dan menentang pencerobohan. Tetapi lihatlah apa yang berlaku di Malaysia. Kita sukar untuk bersatu sehingga pengganas menceroboh negara ini pun seperti di Lahad Datu, Sabah mahu dipolitikkan. Keadaan ini amat bahaya kepada negara kerana akibat politik kepartian, semangat untuk bersatu semakin luntur, sebaliknya politik kebencian semakin disemarakkan. Sebahagian rakyat kita sudah tidak dapat membezakan yang mana harus dilihat dari sudut politik dan yang mana pula tidak boleh. Bagaimanapun apa yang berlaku sekarang semuanya dilihat dari sudut politik bukan sahaja dalam kes pesawat MH370 tetapi juga dalam perkara lain termasuklah keputusan mahkamah yang tidak menyebelahi pemimpin pembangkang. Politik kebencian yang ditiupkan oleh pembangkang sejak penghujung 1998 mula membuahkan hasil dan ini adalah satu petanda buruk kepada negara. Ia terbukti apabila dari semasa ke semasa sebahagian rakyat semakin ghairah melakukan perbuatan yang mengugat keharmonian kaum dan agama serta bersedia memperlekehkan negara sendiri. Dalam isu MH370 ini pula, politik kebencian diiringi pula dengan politik taksub sehingga kejadian pesawat itu dikaitkan dengan keputusan mahkamah beberapa jam sebelum pesawat itu hilang. Penulis yang pulang ke Kedah semalam dimaklumkan pada Jumaat lalu dalam khutbahnya, seorang khatib di sebuah masjid di Permatang Pauh secara terbuka membuat kesimpulan bahawa kehilangan pesawat itu adalah pembalasan Allah. Alangkah jahilnya khatib tersebut yang begitu mudah membuat kesimpulan sedemikian tanpa usul periksa akibat hati dan minda sudah dibutakan dengan politik kepartian. Apa pun, kita percaya dan yakin bahawa majoriti rakyat Malaysia mendoakan yang terbaik kepada penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Biarlah puak yang mahu melihat ia dari sudut politik berbuat demikian kerana kelompok seumpama itu sudah tersongsang minda dan penglihatan mereka sebab itulah yang buruk mereka pertahankan dan yang baik mereka persendakan. |
Posted: 16 Mar 2014 11:20 AM PDT Oleh NIZAM YATIM Wawancara bersama Raduan Che Ros (kiri) dan Ahmad Darus mengenai Kongres Kediaman Suara Hati Rakyat, di Putrajaya, baru-baru ini. - UTUSAN APAKAH nasib bumiputera pada masa depan kerana kebanyakan mereka tidak mampu membeli rumah terutama di bandar-bandar kerana harganya yang melambung tinggi? Golongan majoriti berkenaan sudah pasti akan merempat di negara sendiri dan hanya mampu melihat kaum lain dan rakyat asing berlumba-lumba membeli rumah. Itulah senario yang bakal terjadi kerana agensi kerajaan tidak mampu menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi bagi keperluan isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah yang mendapat gaji di bawah RM4,000 sebulan yang rata-ratanya adalah bumiputera. Masih ramai golongan itu yang tidak mempunyai kediaman sendiri walaupun kerajaan menerusi Program Perumahan Rakyat telah menyediakan lebih 63,000 rumah di seluruh negara sejak 1998 sehingga kini. Bumiputera juga tidak boleh mengharapkan pemaju swasta membina rumah mampu milik kerana pihak berkenaan kini lebih ghairah untuk membina kediaman mewah yang memberikan keuntungan lumayan. Dianggarkan rumah mampu milik yang dibina hanya mampu menampung 60 peratus daripada permintaan manakala rumah mewah yang ditawarkan dalam pasaran pula adalah 200 peratus daripada keperluan. Berikutan itu, badan pemikir dianggotai 2,500 profesor iaitu Majlis Profesor Negara (MPN) akan menganjurkan Kongres Kediaman Suara Hati Rakyat bagi membincangkan isu berkenaan yang boleh disifatkan sudah berada pada tahap kronik. Kongres dua hari yang dijangka diadakan pada 16 dan 17 Jun ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur akan dihadiri 1,000 peserta yang terlibat secara langsung dalam industri perumahan. Antaranya, Perbadanan PR1MA Malaysia, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Majlis Tindakan Ekonomi Bumiputera (MTEB). Hasil resolusi kongres berkenaan akan diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kesejahteraan Rakyat untuk tindakan selanjutnya. Setiausaha Agung MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, antara isu yang akan dibincangkan adalah fenomena peminggiran kaum tertentu daripada kawasan-kawasan tertentu terutama bandar. Beliau berkata, keghairahan pemaju membina rumah yang berharga tinggi di luar kemampuan majoriti rakyat terutama bumiputera menjadikan tahap pemilikan rumah di kalangan golongan itu adalah rendah. Situasi ini memberi gambaran seolah-olah pembinaan rumah dibuat berasaskan kehendak pasaran dan keuntungan semata-mata serta berdasarkan permintaan daripada kalangan tertentu pembeli sahaja seperti spekulator. Ini adalah satu keadaan tidak sihat apabila perumahan ini menjadi satu sumber perniagaan ataupun pelaburan bagi mengaut keuntungan bukan untuk menentukan rakyat mempunyai tempat kediaman sempurna. Sebagai rakyat kita memang berbangga apabila nampak banyak kawasan perumahan yang cantik dan kondominium tinggi di Malaysia. Cuma kita tertanya-tanya, milik siapakah kediaman berkenaan kerana rata-rata rakyat tidak mampu membelinya, itu yang kita sedih. Sudah sampai masanya kerajaan memperkenalkan harga siling kediaman kerana harga rumah sekarang tidak menggambarkan nilai sebenar hartanah berkenaan sebaliknya semakin meningkat jika ada permintaan," ujarnya kepada Utusan Malaysia di Putrajaya, baru-baru ini. Beliau berkata, harga rumah yang tinggi bukan sahaja menekan golongan bumiputera malah turut memberi kesan kepada generasi muda yang baharu bekerja atau mereka yang ingin memulakan hidup berkeluarga. Mereka ini mendapati terlalu susah untuk membeli dan memiliki rumah. Satu kajian di Johor baru-baru ini mendapati hanya 20 peratus responden yang mampu membeli rumah yang dibina di kawasan mereka. Selain harga rumah mahal, golongan ini juga sukar mendapat pinjaman kerana bank lebih mengutamakan untuk mengaut keuntungan dan bukannya membantu rakyat," katanya. Menurut beliau, satu lagi isu yang akan diberi perhatian ketika kongres adalah kurangnya penghayatan Dasar Perumahan Negara (DPN) di kalangan pihak-pihak yang bertanggungjawab meluluskan projek perumahan. Antara kandungan DPN sedia ada adalah menggalakkan pihak swasta membina rumah kos sederhana bagi memenuhi keperluan golongan berpendapatan sederhana iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah antara RM2,500 hingga RM3,999 sebulan. Pemberian kelulusan untuk projek perumahan yang berharga tinggi adalah di luar kemampuan kebanyakan rakyat yang betul-betul memerlukan dan tidak selari dengan aspirasi untuk mengutamakan kepentingan rakyat. Dulu ada dasar setiap kawasan perumahan mesti ada rumah kos rendah. Kini polisi berkenaan tidak lagi dikuatkuasakan," ujarnya. Katanya, sudah tiba masanya diwujudkan satu dasar yang jelas berhubung keperluan membina rumah bagi memenuhi kehendak rakyat berpendapatan sederhana dan rendah serta diwujud sama kerangka perundangan yang akan memastikan dasar terbabit dipatuhi. Dalam pada itu, Ketua Kluster Kejuruteraan, Teknologi dan Alam Bina MPN, Prof. Datuk Dr. Ahmad Darus turut mengulas mengenai inti pati DPN yang menyentuh mengenai perlunya disediakan kawasan perumahan yang mempunyai persekitaran selamat, sihat dengan kemudahan awam yang lengkap. Tidak banyak pemaju yang mematuhi dasar ini. Mereka sekarang membina rumah dan bukannya kediaman. Takrif kediaman adalah lebih luas kerana ia bukan sahaja merujuk kepada tempat tinggal malah meliputi kemudahan di sekitarnya serta aspek-aspek keselamatan untuk kesejahteraan rakyat," katanya. Tambah beliau, satu lagi isu yang akan dibincangkan ketika kongres adalah pembinaan rumah mampu milik di tempat yang tidak strategik. Beliau berkata, kesan daripada tindakan sedemikian menyebabkan rakyat berpendapatan sederhana dan rendah, baik kakitangan kerajaan atau swasta terpaksa membeli rumah yang kedudukannya jauh daripada kawasan bandar atau tempat kerja. Ini menimbulkan beberapa masalah termasuk kos pengangkutan yang tinggi, masa yang terbuang dan risiko terdedah kepada kemalangan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |