{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Peniaga maut, abang parah

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED
utusankelantan@utusan.com.my

Orang ramai melihat keadaan kereta yang dinaiki Mohd. Zuraidi Che Mansor dan Mohd. Zamri yang merempuh tiang elektrik di Kilometer 11.5, Jalan Jeli - Dabong di Jeli, semalam. - UTUSAN/Samsul Bahari Mohamed

JELI 10 Mac - Seorang perniaga ikan maut manakala abangnya cedera parah apabila kereta yang mereka naiki terbabas dan merempuh tiang elektrik di Kilometer 11.5, Jalan Jeli-Dabong, di sini hari ini.

Dalam nahas pada pukul 6.20 pagi itu, mangsa, Mohd. Zuraidi Che Mansor, 35, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera di kepala dan badan.

Abangnya, Mohd. Zamri, 37, yang memandu kereta tersebut cedera parah dan dirawat di Hospital Jeli.

Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Sheik Azhar Sheik Omar berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku kerana mangsa dikatakan cuba mengelak seekor binatang yang melintas.

"Mereka dikatakan dalam perjalanan dari arah Kuala Balah ke Bukit Bunga sebelum terbabas dan berpusing ke bahu jalan lalu merempuh tiang elektrik," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sheikh Azhar berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang duduk di kerusi penumpang hadapan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, mayat Mohd. Zuraidi telah dibawa ke Hospital Jeli untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh ahli keluarga untuk urusan pengebumian.

"Kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan," katanya.

JKKK Terengganu gagal capai KPI ditamatkan

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

KUALA TERENGGANU 10 Mac - Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di negeri ini yang tidak berfungsi dan gagal mencapai tahap petunjuk prestasi utama (KPI) akan ditamatkan perkhidmatan.

Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, A. Latiff Awang ketika membuat peringatan itu berkata, mereka yang tidak mampu memikul tanggungjawab di peringkat akar umbi akan menimbulkan rungutan rakyat sekali gus menjejaskan imej kerajaan.

Beliau menarik perhatian, bagi daerah Marang, sebanyak tujuh JKKK telah digantung tahun lalu dan tugas mereka diambil alih penghulu mukim untuk sementara waktu.

"Kalau prestasi dan KPI tidak memuaskan, mereka boleh ditamatkan pada bila-bila masa. Kerajaan negeri berhak memberhentikan mereka sebab mereka dipilih oleh kerajaan dan kalau tidak layak, boleh diberhentikan.

"Memang ada JKKK yang bermasalah dan antara masalah serta kesalahan yang dilakukan ialah tidak adakan mesyuarat, tidak buat laporan selain timbul banyak rungutan daripada orang kampung," katanya.

A. Latiff berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Bicara Media Bersama Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia negeri di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pada masa sama, lebih 1,000 JKKK di negeri ini akan melalui proses transformasi untuk tujuan penambahbaikan bagi memastikannya benar-benar berperanan membantu menyampaikan agenda pembangunan kerajaan kepada rakyat.

Menurut beliau, proses itu merangkumi pelantikan pengerusi serta anggota JKKK baharu yang dijangka selesai Mei ini.

"Di seluruh negeri, 80 peratus JKKK adalah orang lama," katanya.

Justeru, katanya, semua Pegawai Daerah diarah memantau KPI setiap JKKK di kawasan masing-masing secara berterusan demi kepentingan kerajaan dan rakyat setempat.

"Kita mahu setiap Pegawai Daerah memantau JKKK bagi menentukan KPI mereka secara berterusan.

"Tugasan JKKK bukan saja dalam pembangunan fizikal malah dalam pembangunan ekonomi dan sosial," jelasnya.

Polis tumpas geng curi kenderaan, tiga ditahan

Posted: 10 Mar 2014 11:53 AM PDT

Ab. Rahim Che Ghani (kiri) menunjukkan kenderaan curi yang dirampas dalam serbuan di dua lokasi berasingan di Kampung Temalir pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, semalam. - UTUSAN/Rosmizan Resdi

KUALA KRAI 10 Mac - Polis menumpaskan satu geng curi kenderaan di daerah ini selepas menahan dua beradik serta seorang rakan mereka dalam dua serbuan berasingan di Kampung Temalir di sini, kelmarin dan semalam.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas tujuh buah motosikal serta empat buah kereta.

Dalam serbuan pertama, kira-kira pukul 3 pagi kelmarin, pihak polis menahan dua beradik serta merampas empat buah motosikal di sebuah rumah yang turut dijadikan sebagai bengkel haram untuk meleraikan kenderaan curi itu.

Ketua Polis Daerah, Supritendan Ab. Rahim Che Ghani berkata, dalam serbuan di sebuah bengkel lain kira-kira pukul 3 pagi ini, pihak polis menahan seorang lelaki dan merampas tiga buah kereta serta empat buah motosikal.

"Kita percaya dengan penahanan mereka yang berusia 30-an itu, akan dapat membantu untuk menyelesaikan lebih banyak kes curi kenderaan di daerah ini dan daerah lain," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai di sini, semalam.

Ab. Rahim berkata, kesemua suspek ditahan di bawah Seksyen 29 (1) Kanun Keseksaan kerana gagal memberikan keterangan berkaitan barang yang dimiliki.

"Selepas pengesahan daripada Unit Forensik, ketiga-tiga suspek berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan. Rampasan kenderaan curi berkenaan adalah yang terbesar di daerah Kuala Krai bagi tahun ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat