Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Saya sedia dicabar - Sultan Ahmad Shah Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN KUALA LUMPUR - Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Sultan Ahmad Shah memberikan petanda yang baginda bersedia mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 30 tahun lalu. Di samping itu, baginda secara jujur mengakui sedia dicabar oleh mana-mana individu dalam pemilihan sempena Kongres FAM ke-50 pada 25 Mei ini bagi merebut jawatan nombor satu di FAM itu kerana beranggapan sesiapa pun bebas untuk berbuat demikian. Namun, Sultan Ahmad Shah meminta semua pihak agar bersabar hingga 19 April ini untuk mengetahui pendiriannya sama ada akan mempertahankan jawatan presiden untuk penggal 2014-2018. Pada tarikh itu, baginda dijangka mengumumkan keputusannya dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM. "Ramai pihak bertanyakan sama ada saya pertahankan atau tidak (jawatan presiden), sabar...tunggu sahaja pada 19 April ini iaitu pada mesyuarat Exco (menyatakan pendirian). "Saya tidak akan terburu-buru untuk menyatakan perkara ini dan apa yang hendak dibincangkan, saya tidak boleh maklumkan lagi namun saya masih lagi seorang presiden," katanya dalam sidang akhbar sempena majlis penyerahan sumbangan kereta Proton oleh DRB-Hicom Berhad kepada FAM di Istana Pahang, di sini semalam. Dalam majlis berkenaan, DRB-Hicom menyerahkan dua buah Proton Perdana, sebuah Proton Preve dan sebuah Proton Perdana kepada FAM DRB-Hicom turut menyumbangkan sebuah bas Taman Pengasih Sultan Haji Ahmad Shah. DRB-Hicom diwakili Pengarah Urusan Kumpulan, Tan Sri Mohd. Khamil Jamil. Turut hadir ialah Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal. Mengetahui terdapat dua calon lain yang turut mendapat sokongan ahli gabungan FAM iaitu anakandanya, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang merupakan Timbalan Presiden FAM, dan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, baginda sama sekali tidak menghalang sekiranya ada mana-mana pihak ingin mencabarnya. "Perkara normal kalau saya dicabar, dalam dunia ini kita kena bersaing dan perkara ini tidak terkecuali kepada diri saya. "Saya juga manusia biasa seperti anda semua dan mengabdikan diri kepada Allah SWT, ini adalah sebuah negara bebas dan saya tidak halang sesiapa untuk menentang saya. "Dalam media pun banyak artikel mengenai saya, ada yang baik dan ada yang tidak namun itu adalah tipikal bagi mana-mana media untuk bersikap kritikal kepada FAM," kata baginda. Dalam perkembangan lain, baginda memaklumkan kompleks pentadbiran baharu FAM di Putrajaya akan disiapkan sepenuhnya dalam masa kurang dua tahun lagi. Menurut baginda, kompleks itu turut menempatkan beberapa pusat latihan bola sepak bertaraf dunia, selain bangunan pentadbiran. "Diharapkan apa yang dibuat oleh FAM ini akan menggembirakan semua pihak walaupun hakikatnya ada orang yang bersikap kritikal kepada kami namun itu lumrah, tiada sesiapa yang sempurna," katanya. |
Posted: 10 Apr 2014 11:27 AM PDT Oleh YATIMIN ABDULLAH Steve Darby dikritik teruk oleh peminat disebabkan prestasi hambar pasukan kelantan musim ini. KOTA BHARU - Penyokong Kelantan terus mendesak Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) supaya menyingkirkan jurulatih kelahiran Liverpool, Steve Darby ekoran prestasi hambar The Red Warriors dalam persaingan Liga Super dan Piala AFC musim ini. Kemarahan penyokong tegar The Red Warriors bagaikan sudah tidak dapat dibendung selepas pasukan kesayangan mereka tersingkir awal daripada Piala AFC 2014 setelah tumbang 2-3 kepada Yangon United dalam perlawanan kelima di peringkat kumpulan di gelanggang sendiri Selasa lalu. Sehubungan itu, mereka mahu Kafa mengambil langkah segera dengan memecat Darby dalam usaha memulihkan semula imej pasukan yang tercalar teruk gara-gara aksi sumbang skuad didikannya. Kelab Penyokong The Red Warriors (TRWKB) berpendapat, sudah tiba masa Kafa melakukan perubahan drastik, iaitu menyingkirkan jurulatih itu daripada terus membimbing pasukan dalam baki persaingan musim ini. Presidennya, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, kesabaran penyokong Kelantan sudah sampai ke kemuncak memandangkan Kafa mengambil masa yang terlalu lama untuk mengambil tindakan ke atas Darby. "Saya akui bukan mudah mencari jurulatih lain tetapi berapa lama mereka mahu lihat Stadium Sultan Muhammad IV terus lesu tanpa kehadiran penyokong setia pada musim ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia. Mohd. Zainy memberitahu, Darby jelas tidak mempunyai hala tuju sebenar dalam memacu pasukannya dan seakan-akan bingung sama ada mahu memberi keutamaan terhadap Piala AFC atau pun liga. "Darby adalah satu-satunya jurulatih yang tidak konsisten dan gagal membawa kecemerlangan untuk pasukan ini. Beliau sudah kering idea kerana taktikal lapuknya tidak boleh dipakai. Beliau sudah tidak relevan menjadi jurulatih. "Tiada guna muncul juara Piala FA semata-mata mahu beraksi dalam kempen Piala AFC tetapi kesudahannya berakhir dengan cara sebegini (tersingkir awal). Alasan jadual padat sukar diterima, kerana itulah hakikat yang perlu diterima jika kita mahu bertanding di pentas antarabangsa," ujarnya. Mohd. Zaini berkata, pihaknya turut mencadangkan agar Kafa menggunakan kepakaran anak tempatan atau jurulatih lain bagi menggantikan Darby. "Sebagai contohnya, bekas penolong jurulatih Kelantan musim lalu, Kamaruddin Mohamad mempunyai Lesen Kelas A. "Apa salahnya kita beri peluang kepada dia seperti mana Pahang yang dibimbing Zainal Abidin Hassan pada musim ini," katanya. Mohd. Zainy turut mendesak Kafa menamatkan kontrak penyerang Liberia, Francis Forkey Doe dan menggantikan dengan pemain lain sebelum jendela pendaftaran kedua pemain import berakhir pada 23 April ini. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |