Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Sasaran 40 emasOleh SHANIKA ABDULLATIB
"JANGAN samakan sasaran pingat emas Sukan SEA lalu dengan di Myanmar. Selepas kehilangan beberapa acara yang menjadi prospek emas, sasaran 40 pingat emas pada kali ini saya anggap sangat realistik." Demikian reaksi Menteri Belia dan Sukan (KBS), Khairy Jamaluddin Abu Bakar ketika ditanya mengenai sasaran pingat emas pada temasya Sukan SEA di Myanmar yang hanya berbaki 25 hari untuk membuka tirai. "Sasaran realistik ini berdasarkan kajian yang dilakukan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Olimpik Malaysia (OCM) dan Persatuan Sukan Kebangsaan. "Secara jelas, kita tidak dapat mempertahankan 28 pingat emas yang diperoleh di Sukan SEA Palembang, Indonesia, dua tahun lalu kerana acara tersebut tidak dipertandingkan kali ini," jelas Khairy ketika ditemui selepas mengadakan pertemuan dengan pengurus-pengurus pasukan di Wisma OCM di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur semalam. Antara acara yang tidak dipertandingkan ialah akuatik (renang perairan terbuka dan renang berirama) yang sebelum ini menyumbang lapan emas, tujuh dari acara berbasikal trek, boling (lima) ski air (empat) dan dua daripada acara lawan pedang dan menembak. "Saya akui jumlah sasaran adalah lebih rendah tetapi ia sangat realistik iaitu 40 emas daripada 213 pingat yang ditawarkan," tambahnya. Dalam pada itu, acara terjun bakal menjadi lubuk emas kontinjen negara apabila ratu terjun negara, Pandelela Rinong mengesahkan penyertaannya. Dengan kombinasi Pandelela dan penerjun elit yang lain, skuad terjun diharap mampu membolot kesemua lapan emas yang dipertandingkan. Di samping itu, kontinjen negara juga meletakkan sasaran enam emas dari karate, olahraga (lima) renang, pencak silat, wusyu dan memanah (tiga). Acara hoki dan pelayaran turut diletakkan sasaran dengan dua emas manakala lumba basikal lebuh raya, bina badan, menembak dan muay thai dijangka membawa pulang sekurang-kurangnya sebutir emas. Untuk rekod, dua tahun lalu, Malaysia menyasarkan 45 emas tetapi berjaya membawa pulang 59 emas manakala di Laos (2009), kontinjen negara membawa pulang 40 emas. "Untuk itu, saya amat berharap agar peminat sukan negara tidak meletakkan sasaran yang tinggi dan memahami kenapa sasaran kali ini agak rendah. "Keadaan kali ini amat berbeza terutama jumlah acara yang boleh kita sertai. Bagaimanapun, dengan sasaran yang telah ditetapkan, saya percaya ia sangat realistik dan mampu dicapai," ulas Khairy. | |
Posted: Safee wajar berhijrahOleh NAN HIDAYAT NAN AZMIE "MOHD. Safee (Sali) wajar berhijrah menyertai mana-mana kelab di luar negara jika masih sayangkan kariernya sebagai pemain bola sepak." Demikian jelas Zakaria Ab. Rahim mengenai hala tuju penyerang sensasi Harimau Malaya itu yang masih belum membuat keputusan berhubung masa depannya sebaik kontraknya sebagai pemain pinjaman bersama Johor Darul Takzim (Johor DT) bakal tamat penghujung bulan ini. Zakaria berkata, mana-mana pemain negara termasuk Safee sewajarnya merebut peluang beraksi di negara luar biarpun menerima tawaran lumayan daripada mana-mana pasukan tempatan. "Duit boleh cari, namun pengalaman dan ilmu tiada nilainya dan tidak akan datang bergolek di depan mata. "Jika ada tawaran bagus termasuk kelab dari Thailand, mengapa tidak? Saya percaya Safee wajar merebut peluang ini," katanya kepada Kosmo! semalam. Polemik berhubung masa depan Safee, 29, mula tercetus apabila Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim memberikan peluang kepada penyerang itu sama ada mahu kekal bersama Johor DT atau pun tidak selepas menyertai pasukan itu secara pinjaman awal musim ini. Pegawai media Arema Indonesia (dahulunya dikenali sebagai Pelita Jaya), Sudarmaji baru-baru ini juga secara terbuka mengakui mereka tidak lagi memerlukan khidmat Safee sebaik kontraknya bersama kelab itu tamat pada Februari tahun depan. Buat masa ini, Safee dikatakan berada dalam radar naib juara Liga Perdana Thailand iaitu Suphanburi FC, selain cuba dilamar satu lagi kelab Indonesia - Persib Bandung. Mengulas lanjut, Zakaria juga menasihatkan Safee supaya bersedia berdepan sebarang kemungkinan termasuk nilai kontrak yang lebih rendah gara-gara prestasi kurang memberangsangkan sepanjang bersama Johor DT musim ini. "Mungkin sukar buat mana-mana kelab mengemukakan tawaran yang lebih baik seperti mana Pelita Jaya (Arema Indonesia), namun itu bukan isu utama kerana ia mampu meningkatkan karier Safee selain kebajikannya juga terjaga. "Ia telah dibuktikan sebelum ini apabila Safee berjaya muncul penjaring ketiga terbanyak Liga Super Indonesia bersama Pelita Jaya pada musim 2012," katanya. Justeru, Zakaria mengakui bersedia menguruskan semula karier Safee jika penyerang itu bersetuju untuk berhijrah ke luar negara selepas ini. "Ke Botswana pun saya boleh jaga. Bukan sahaja Safee, malah mana-mana pemain yang mahu meningkatkan karier (dengan menyertai kelab luar negara) juga saya boleh bantu," jelas Zakaria. Kecemerlangan Safee membantu Harimau Malaya mendakap trofi Piala Suzuki AFF 2010 mula membuka mata banyak kelab luar sebelum dilamar Arema Indonesia pada 2011, selain ditawarkan kontrak lanjutan bernilai RM2 juta untuk kekal bersama kelab itu setahun kemudian. Ketika ini, Safee berada di bumi Bahrain bersama Harimau Malaya menjelang aksi Kumpulan D kempen kelayakan Piala Asia 2015 di Stadium Nasional, Manama Jumaat ini. | |
Posted: Sasaran Suryani semakin tepatBIDIKAN ratu menembak negara, Nur Suryani Mohd. Taibi nyata masih berbisa apabila meraih emas kelima menerusi acara 50m Rifle tiga posisi pada Kejohanan Menembak Asia Tenggara (SEASA) ke-37 di Lapang Sasar kebangsaan Subang, Selangor semalam. Selepas agak lama menyepi, pencapaian cemerlang dilakar di Lapang Sasar Subang itu dilihat mampu menjadi azimat terbaik bagi menghadapi Sukan SEA 2013 yang berbaki 25 hari sahaja lagi. "Misi saya di Sukan SEA adalah sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland pada tahun depan. "Ia umpama pelaburan jangka panjang dan sebab itu, sasaran saya di Sukan SEA bukan hanya untuk mengutip pingat tetapi lebih daripada itu. "Saya mahu membuktikan kepada diri sendiri dan mencatat keputusan yang lebih baik malah memecahkan rekod sendiri," katanya. Nur Suryani juga menjelaskan, dia enggan meletakkan sebarang sasaran di Sukan SEA kerana tidak mahu berdepan dengan sebarang tekanan. "Saya tahu cabaran sangat sengit terutama dari Thailand, Indonesia, Myanmar dan Singapura. Kerana itu, saya lebih senang untuk tidak meletak sebarang sasaran," katanya. Dalam saingan semalam, penembak berusia 31 tahun itu mencatat 447.4 mata untuk mengenepikan cabaran penembak Vietnam, Nguyen Thi Xuan yang mengutip 441.1 mata, manakala pingat gangsa menjadi milik Teresa Acuna Amparo dari Filipina yang meraih 420.1 mata. Terdahulu, penembak dari Perak itu berada pada aksi terbaik dengan membawa pulang empat emas dari acara 10m Air Rifle individu dan berpasukan wanita serta 50m Rifle Prone individu dan berpasukan wanita. "Setakat ini, saya amat berpuas hati dengan pencapaian saya terutama ini adalah kejohanan antarabangsa yang pertama saya sertai selepas berehat panjang," katanya yang melahirkan cahaya mata pertama pada September tahun lalu dan kembali menjalani latihan sejak Julai lalu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |