{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


10 peserta diminta berundur

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamed (tiga dari kanan) melawat sudut pameran dalam majlis menutup Agro Mini Johor Daerah Muar di pekarangan Stadium Sultan Ibrahim, Muar, Johor, semalam.

MUAR 11 Nov. - Lebih 10 peserta Projek Pertanian Moden di Kluang dekat sini, yang gagal membangunkan kawasan masing-masing diminta berundur dan memberi peluang peserta baharu mengusahakannya bagi memastikan projek yang menelan kos RM155 juta itu tidak tergendala.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, pengusaha terbabit telah diberikan amaran dan bagi yang masih berhutang dengan kerajaan negeri melalui pinjaman sebelum ini diminta segera melunaskannya.

"Ada yang sedang berunding dengan kita untuk menyelesaikan pelbagai premium dan cukai menerusi pakej tertentu, kita akan pantau setiap bulan, yang mana tidak berdaya perlu menarik diri.

"Projek ini dikendalikan Kerajaan Persekutuan sejak 2004 tetapi terdapat pengusaha mengalami sedikit masalah dan gagal menjadi pemain industri berwibawa," katanya dalam sidang akhbar selepas menutup Agro Mini Johor Daerah Muar di pekarangan Stadium Sultan Ibrahim, di sini semalam.

Projek itu yang dilancar pada Februari 2004 adalah usaha untuk mengeluarkan bahan makanan selain sebagai projek perintis pertanian campuran berskala besar diurus secara komersial menggunakan teknologi dan amalan pertanian yang terkini.

Menerusi projek tersebut, pengeluaran makanan negara dijangka akan meningkat dan secara langsung menambah bekalan makanan bagi keperluan domestik serta pada masa yang sama mengurangkan import bahan makanan negara.

Ismail berkata, projek itu juga bertujuan melahirkan pemain industri pertanian berjaya dalam skala besar, tetapi ada yang tidak berdaya sehingga berhutang dengan kerajaan negeri.

Tanpa mendedahkan jumlah hutang berkenaan, Ismail berkata, setakat ini 10 daripada lebih 40 pengusaha dikenal pasti bermasalah yang beroperasi di situ.

"Ada yang masih berhutang dengan kerajaan negeri tetapi yang ingin teruskan kita ada skim pembayaran berperingkat. Bukan semua tidak berjaya dan projek berkenaan membabitkan tanaman, perikanan, industri kecil dan sederhana termasuk agro pelancongan," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan petani dan penternak supaya membuat laporan sekiranya kebun atau ladang mereka terjejas atau rosak akibat banjir yang mula melanda negeri ini sejak seminggu lalu supaya siasatan dapat dilakukan sebelum mereka diberi bantuan segera.

Mengenai Agro Mini Johor, beliau berkata, penganjurannya sudah dilaksanakan di lima daerah iaitu di Pasir Gudang, Kota Tinggi, Mersing, Pontian dan terakhir di daerah ini serta dilawati oleh kira-kira 25,000 pengunjung.

Ramai tidak guna baucar saringan kesihatan percuma

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

Tong Sing Chuang (belakang, kanan) melihat seorang wanita membuat pemeriksaan kesihatan dalam program Saringan Kesihatan Perkeso Johor Bahru di Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 11 Nov. - Seramai 28,960 pekerja swasta berusia 40 tahun ke atas yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di negeri ini memanfaatkan baucar saringan kesihatan percuma yang disediakan kerajaan dalam Bajet 2013 setakat ini.

Timbalan Pengarah Perkeso negeri, Tong Sing Chuang berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 16,279 orang adalah lelaki manakala bakinya 12,681 (wanita).

Beliau berkata, terdapat banyak kemungkinan kenapa sebahagian besar penerima tidak menggunakan kemudahan disediakan kerajaan yang melibatkan peruntukan RM200 juta itu.

"Antaranya mereka tidak mempunyai masa yang cukup, selain bimbang tentang tahap kesihatan masing-masing terutamanya apabila mereka mendapat tahu mempunyai penyakit dan sebagainya.

"Biarpun begitu, Perkeso sentiasa menjalankan kempen kesedaran bagi menggalakkan lebih ramai pencarum menggunakan baucar yang diberikan dengan tarikh akhir pemeriksaan adalah 31 Disember ini," katanya selepas merasmikan program Saringan Kesihatan Perkeso Johor Bahru, di sini semalam.

Program saringan kesihatan yang bertujuan membolehkan pencarum membuat pemeriksaan kesihatan penyakit tidak berjangkit itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam sesi pembentangan Bajet 2013 tahun lalu yang memberi manfaat kepada 1.9 juta pekerja di seluruh negara.

Menerusi baucar itu, pekerja lelaki menerima RM100 bagi menjalani pemeriksaan kesihatan manakala RM200 (pekerja wanita yang berpeluang menikmati pemeriksaan mamogram).

Mengulas lanjut tentang program hari ini, Sing Chuang berkata, seramai 142 pencarum berpeluang membuat pemeriksaan kesihatan yang dijalankan di bangunan Perkeso di sini.

Ujarnya, lebih separuh pencarum yang hadir hari ini adalah mereka yang pertama kali melakukan pemeriksaan kesihatan dengan kebanyakannya adalah golongan wanita.

"Saya harap dengan berbaki lagi sebulan lebih ini, semua pencarum yang telah menerima baucar diseru menggunakan kemudahan yang diberikan bagi mengetahui status kesihatan mereka," katanya.

SWRT gabung kepakaran bomba, polis

Posted: 11 Nov 2013 10:21 AM PST

LABIS 11 Nov. - Segamat Water Rescue Team (SWRT) yang baharu ditubuhkan bakal menjadi agensi penyelamat tunggal yang menggabungkan tenaga mahir Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kerja menyelamat di kawasan berair di daerah ini.

Menurut Ketua Unit Selam Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Mohd Aizat Mamat, hanya 50 anggota berkelayakan dan pernah mengikuti kursus tertentu dari PDRM dan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini terpilih menyertai pasukan tersebut.

"Secara dasarnya, salah satu tujuan utama penubuhan SWRT adalah untuk meningkatkan keupayaan serta kemahiran anggota kedua-dua agensi Bomba dan Penyelamat dan PDRM sebagai satu agensi penyelamat tunggal bagi menghadapi bencana di daerah ini.

"Melalui latihan bersama yang diadakan, anggota akan dapat berkongsi kepakaran dan peralatan, selain menjalin kesefahaman serta disiplin tinggi dalam kalangan anggota," katanya ketika ditemui dalam penutupan Latihan Bersepadu Persediaan Menghadapi Banjir Dan Pra Rancang Sasaran Penting di Empangan Juaseh di sini kelmarin.

Kursus selama tiga hari tersebut yang berakhir semalam disertai oleh 45 orang peserta dari kedua-dua pasukan, lengkap dengan pendedahan terhadap pelbagai kemahiran seperti tatacara pengendalian bot, teknik menyelamat di dalam air, latihan menyelam, latihan asas skuba dan penyelaman mencari dan menyelamat.

Penutupan majlis disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim, selain menyampaikan sumbangan kewangan berjumlah RM7,000 untuk kegunaan SWRT dalam menjalankan aktiviti meningkatkan kemahiran.

Kata Mohd Aizat, pengalaman semasa mengikuti latihan yang dijalankan membolehkan peserta mengenal pasti segala halangan serta masalah yang mungkin timbul sekiranya berlaku sebarang bencana di kawasan empangan tersebut.

Sementara itu, Mohd. Azahar berkata, penubuhan SWRT adalah tepat peda masanya memandangkan Segamat merupakan sebuah daerah yang sering berdepan dengan masalah banjir dengan harapan kerja mencari dan menyelamat mangsa dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

"Walaupun kita sering berusaha untuk meramal bencana tetapi seringkali juga gagal untuk memahami kuasa alam dengan tepat dan kesiapsiagaan pasukan penyelamat bagi berdepan bencana amatlah perlu," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat