Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
Perkhemahan tingkat kreativiti Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Oleh M. RIZAL NOR Aktiviti tali aras rendah agak mencabar peserta Perkhemahan Pendidikan Luar Daerah Jerantut di Kampung Gintong, Jerantut, Pahang, baru-baru ini. JERANTUT 4 Nov. - Pendidikan luar merupakan satu elemen penting yang menyokong perkembangan minda seseorang pelajar sama ada di peringkat sekolah rendah mahu pun menengah. Tanggapan segelintir masyarakat aktiviti kokurikulum akan mengganggu prestasi pembelajaran pelajar adalah tidak benar kerana penglibatan mereka dalam aktiviti luar bilik darjah turut diambil kira untuk melanjutkan pelajaran. Sehubungan itu, satu Perkhemahan Pendidikan Luar Peringkat Daerah ini diadakan di Pusat Kokurikulum Pedah (PKP) dan Kampung Gintong, di sini baru-baru ini. Perkhemahan selama empat hari itu disertai oleh 120 pelajar sekolah menengah di daerah ini termasuk pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP). Ketua Unit Pusat Kokurikulum Sultan Haji Ahmad Shah (PKSHAS), Jabatan Pendidikan Pahang, Muhamad Sapiee Meon berkata, program tersebut bertujuan membuka minda para pelajar mengenai dunia luar dan meningkatkan kreativiti mereka selain perkongsian idea dan kerjasama dalam kumpulan. "Aktiviti luar bilik darjah sebenarnya sangat penting untuk mengelak tekanan emosi para pelajar yang telah memberikan banyak masa untuk belajar di dalam kelas. "Para peserta sangat seronok kerana mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti secara berkumpulan malah ada sesetengah aktiviti yang mereka tidak pernah buat sebelum ini," katanya dalam majlis penutup perkhemahan berkenaan di Kampung Gintong, di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Ketua Unit Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jamalruddin Samsudin; Penyelia Kokurikulum PPD, Sharim Mohd. Dahlan dan Ketua Jurulatih (PKP), Abdul Rahman Mohd. Isa. Muhamad Sapiee berkata, aktiviti yang dijalankan adalah seperti kawad, pandu arah menggunakan kompas, memedap ikan di sawah, ikhtiar hidup, paintball, permainan tradisional dan tali aras rendah. Menurutnya, aktiviti paintball paling mencabar kerana kebanyakan peserta belum pernah bermain sukan lasak itu. "Sebelum ini peserta bermain paintball di atas padang namun kali ini ditukar ke kawasan hutan kecil di Kampung Gintong yang lebih mencabar berbanding di atas padang. "Secara tidak langsung semua pelajar dapat merasai peperangan ala tentera dan kerjasama berpasukan amat penting untuk kejayaan pasukan masing-masing," ujarnya. Menurutnya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama jurulatih dari PKP, PKSHAS, penduduk kampung dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjayakan perkhemahan tersebut. "Program ini adalah aktiviti tahunan pusat kokurikulum dan kita akan membuat penambahbaikan dari semasa ke semasa mengikut kemampuan dan kesesuaian peserta," jelasnya. Sementara itu, Abdul Rahman memberitahu, perkhemahan tersebut julung-julung kali melibatkan pelajar PPKIBP di daerah ini. "Kita mahu murid PPKIBP turut merasai pengalaman pendidikan luar ini dan saya lihat mereka sangat seronok ketika melakukan aktiviti berkumpulan malah pergaulan dengan pelajar yang normal juga tidak ada masalah," kata beliau. |
Perkhemahan beri impak positif Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST walaupun permainan paintball baharu bagi pelajar tetapi mereka tetap bersemangat menggempur kubu lawan. JERANTUT 4 Nov. - Perkhemahan Pendidikan Luar Peringkat Daerah Jerantut berjaya membuka minda dan memberi pengalaman baharu kepada pelajar. Seorang peserta, Wan Muhammad Nurikmal Hakim Muhammad Nazrul Shah, 13, berkata, selain mendapat kenalan baharu, banyak perkara yang dipelajarinya dalam membentuk jati diri yang baik. "Semangat kerja berpasukan dan keyakinan diri amat diperlukan untuk melakukan semua aktiviti sepanjang perkhemahan ini dan pelaksanaannya telah membuatkan kami berjaya mengharungi semua cabaran dengan baik," kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Sungai Retang itu. Bagi pelajar SMK Lepar Utara, Nur Farida Hanim Hamdan, 14, perkhemahan tersebut bukan sahaja menyeronokkan malah banyak pengetahuan baharu yang diterapkan oleh jurulatih. "Aktiviti ikhtiar hidup memberi peluang kepada kami merasai kesusahan ibu bapa yang bersusah payah menyediakan makanan kepada kami menggunakan dapur kayu pada suatu ketika dahulu. "Kami dibekalkan kompas untuk mencari bahan-bahan masakan dan terpaksa menangkap ikan keli sebelum dimasak sendiri sebagai hidangan makan tengah hari dan ini amat menyukarkan," ujarnya. Pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi Bermasalah Pembelajaran (PPKIBP), Hazrul Hamzah, 17, dari SMK Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah memberitahu, dia sangat seronok dapat bermain paintball dan menangkap ikan keli di sawah. "Saya tidak pernah bermain paintball dan kali ini saya dapat bermain sepuas hati. Permainan paintball sangat mencabar berbanding sukan lain," jelasnya. Sementara itu, pelajar SMK Jengka 24, Izetty Ayuni Jamaluddin, 14, menyifatkan perkhemahan tersebut banyak memberi manfaat dan kesan positif kepada peserta. "Setiap peserta mempunyai peranan masing-masing dalam kumpulan mereka. Di sini kita dapat mengikiskan sikap pentingkan diri sendiri dan kami perlu bekerjasama sepenuhnya agar semua aktiviti berjalan lancar," katanya. |
Latihan hadapi banjir dipertingkat Posted: 04 Nov 2013 10:40 AM PST Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN Seorang mangsa warga emas yang cedera dipapah oleh dua anggota bomba setelah diselamatkan dari kawasan banjir dalam operasi latihan khas menjelang musim tengkujuh di Esplanade, Tanjung Api, Kuantan, Pahang, baru-baru ini. KUANTAN 4 Nov. - Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri giat merangka persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bulan depan dan Januari ini termasuk mengadakan latihan insentif melibatkan anggota dari seluruh negeri ini. Terbaru, bertempat di Esplanade Tanjung Api, di sini kelmarin, sebanyak 100 anggota dari 21 buah balai di negeri ini menyertai latihan operasi menjelang musim tengkujuh. Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata, latihan kali ketujuh itu juga bagi membuat persediaan dari sudut peralatan supaya segalanya dalam keadaan terbaik apabila musim banjir kelak. "Latihan ini dapat menguji tahap kesiapsiagaan anggota dan juga bagi menguji peralatan kelengkapan dan jentera-jentera yang diguna pakai ketika menghadapi banjir. "Latihan ini juga akan dibuat secara berkala dan akan menjelajah ke daerah lain seperti Temerloh, Pekan dan Bera. "Selain itu, menjelang musim tengkujuh nanti, semua cuti anggota penyelamat akan dibekukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas latihan itu di sini. Menurut Abdul Wahab, dalam latihan kelmarin, pihaknya dapat menguji sistem komunikasi dan juga dapat mengenal pasti keperluan lojistik seperti bot dan lain-lain peralatan. "Antara yang disiapkan pihak kami ialah kenderaan pacuan empat roda, van, lori tiga tan, bot dan juga jet ski. Bomba juga turut mempersiapkan operasi menyelamat melalui udara," jelasnya. Tambah beliau, latihan bersama agensi lain akan turut diadakan seperti latihan bersama polis, tentera, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan beberapa lagi agensi yang berkaitan. Selain itu, katanya, kekuatan anggota sebanyak 995 orang akan turut dibantu pasukan bomba sukarela seramai 1,700 orang dan latihan persiapan bersama ahli pasukan tersebut juga bakal dilakukan. Dalam pada itu, Abdul Wahab turut mengingatkan penduduk di kawasan berpotensi banjir seperti Rompin, Pekan dan Kuantan bersiap sedia dengan memastikan dokumen-dokumen penting dan barangan berharga diletakkan di tempat yang selamat dan mudah dibawa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |