Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Kegembiraan dan keterujaan Megan, Jun Yong, Baki Posted: Kegembiraan dan keterujaan Megan, Jun Yong, Baki
SEMPENA perayaan Tahun Baru Cina ini, Kosmo! menggandingkan tiga orang personaliti televisyen daripada program hiburan 8TV Quickie, Megan Tan, Baki Zainal dan Jun Yong bagi menceritakan kisah menarik mereka. Bersua dengan tiga pengacara ini merupakan suatu pengalaman yang menarik. Ini kerana bukan sahaja dapat mengetahui tentang cerita Tahun Baru Cina daripada kaca mata mereka, malah tentang ritual lama yang masih diamalkan kaum Cina. Ketika menjelang Tahun Baru Cina khususnya, banyak pantang larang yang harus diikuti. Bagaimanapun, ketiga-tiga personaliti TV ini mempunyai pandangan yang sama bahawa peredaran zaman membuatkan kesemua ritual sempena Tahun Baru Cina pupus dan kurang diamalkan oleh masyarakat moden kini. Walaupun begitu, ada beberapa ritual atau pantang larang yang masih diteruskan oleh Megan, Jun Yong dan Baki. Megan tak suka beraya di KL Bicara gadis manis kecil molek ini, perancangan Tahun Baru Cina bersama keluarga tidak pernah berubah sejak kecil lagi. Ceritanya, pulang ke kampung halaman di Pulau Pinang merupakan tradisi dan mereka sekeluarga hanya menaiki sebuah kereta walaupun kesemua adik-beradik sudah meningkat dewasa. "Kebiasaannya, kami akan tinggal di sana sekurang-kurang- nya seminggu. Saya gembira kerana tahun ini saya akan berada di Pulau Pinang selama sembilan hari. "Apa yang menariknya, makan besar memang satu kemestian buat kesemua ahli keluarga kami. Kami akan masak beramai-ramai. "Namun, itu adalah ketika mendiang datuk masih ada, kini kami hanya akan pergi ke restoran untuk makan bersama," imbaunya yang mengatakan stimbot merupakan hidangan kegemaran seluruh keluarga. Menambah cerita mengenai beraya di bandar raya Kuala Lumpur, dia pernah sekali ingin merasa sambutan di ibu negeri Malaysia itu, namun ternyata keadaan di bandar tidak meriah sebagaimana di kampung. "Sejujurnya, ia agak membosankan kerana tidak meriah seperti di kampung. Mungkin juga kerana semua orang telah pulang ke kampung halaman. "Kemeriahan sambutan itu tidak langsung dirasai di Kuala Lumpur dan setelah itu kami buat keputusan untuk pulang ke Pulau Pinang setiap tahun," pemilik nama sebenar Megan Tan Yue Mei berusia 25 tahun ini. Mengenai ritual kaum Cina pula, antara yang masih diikuti oleh Megan sekeluarga ialah tidak menyapu lantai rumah sepanjang Tahun Baru Cina. Memandangkan dia seorang penganut Buddha, maka kesemua ahli keluarganya akan melakukan upacara sembahyang di tokong bagi kebaikan di hari mendatang. Baki cuti 15 hari Walaupun beragama Islam, namun Baki Zainal tetap menjadikan Tahun Baru Cina sebagai perayaan yang mesti dirayakan bersama keluarga. Ini kerana ibu Baki berdarah Cina, maka setiap tahun pasti ada peran- cangan bagi merayakan tahun baru itu bersama ahli keluarga yang lain. "Apa yang kami gemari ketika sambutan Tahun Baru Cina ialah hari perjumpaan itu sendiri. Ini kerana ia merupakan hari yang mana semua ahli keluarga berkumpul dalam satu rumah untuk jamuan makan besar menjelang Tahun Baru Cina. "Antara perkara menarik dalam keluarga saya ialah kepelbagaian makanan yang dihidangkan. Ia termasuk kari, abalon, sup dan kadangkala kami adakan barbeku. "Kemeriahan setiap kali menjelang perayaan ini adalah perkara yang sangat saya suka," tuturnya yang menyambut perayaan ini di rumah bot milik keluarganya di Sementa, Kelang, Selangor. Tuturnya teruja, oleh itu dia telah diberikan cuti selama 15 hari dan akan meluangkan masa tersebut bersama keluarga dan rakan-rakan yang lain. Menariknya tentang Baki, walaupun dia bukan berbangsa Cina, namun pengetahuan dirinya tentang pantang larang dan masyakarat Cina dalam menyambut Tahun Baru Cina sangat luas. "Salah satu sebab antara Tahun Baru Cina merupakan hari yang paling meriah adalah kerana menurut legenda, ia berkenaan cerita tentang menghalau lebah. "Maka, dengan itu mereka terpaksa memasang mercun untuk menghalau lebah yang datang. Cerita yang lain pula, lagi kuat bunyi mercun itu, lagi besar kejayaan yang bakal diperoleh," cerita jejaka berusia 33 tahun ini. Ungkapnya lagi, sebagaimana perasaan gembira ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri, maka begitu juga perasaan yang dirasai ketika menjelang Tahun Baru Cina. Jun Yong tak potong kuku Walaupun masih muda, gadis cantik yang selesa disapa sebagai Jun Yong ini masih mengamalkan beberapa ritual tradisional yang sering dilakukan menjelang Tahun Baru Cina pada setiap tahun. "Kebiasaannya, beberapa hari sebelum sambutan tahun baru, kami akan membersihkan keseluruhan rumah. "Saya akui itu merupakan perkara yang kurang saya gemari. "Selain itu, setiap tahun juga saya dan ibu akan pergi ke salun untuk menata rias kuku. "Ini kerana kami tidak akan memotong kuku sepanjang 15 hari Tahun Baru Cina. "Begitu juga dengan rambut, jadi apa yang kami buat ialah melakukannya sebelum Tahun Baru Cina," tutur gadis berusia 22 tahun ini yang juga berasal dari Pulau Pinang. Bercerita lanjut mengenai perancangan untuk Tahun Baru Cina kali ini, ujar Jun Yong, setelah neneknya tinggal di Subang, maka kesemua ahli keluarganya akan berkumpul di sana. Justeru, cuti selama seminggu yang diberi majikannya akan dihabiskan bersama keluarga serta melawat saudara-mara dan rakan-rakan di sekitar kawasan Lembah Klang. Bagaimanapun katanya, walaupun kini menyambut Tahun Baru Cina di Kuala Lumpur, perbezaan ketara beraya di kampung tetap dirasai. "Ketika masih kecil, saya akan pulang ke Johor iaitu kampung bapa saya ketika datuk dan nenek saya masih ada. "Ini kerana bapa saya punya 10 orang adik-beradik. Memandangkan mereka ramai, jadi setiap kali berkumpul, pastinya sangat meriah. "Antara kenangan yang menarik buat saya adalah kebanyakan sepupu saya lelaki dan saya hanya ada seorang sepupu perempuan. "Justeru, kami yang perempuan ini juga ikut aktiviti mereka seperti memanjat pokok, memberi haiwan ternakan makan dan seumpamanya," kata- nya. Jun Yong percaya, peredaran zaman yang kini sudah moden membuatkan perkara sedemikian tidak diamalkan lagi. | |
Posted: Linda yakin masih popularOleh HARYATI KARIM
SELEPAS meraih populariti bersama kumpulan Elite pada zaman remajanya, Linda Rafar yang kini berusia 34 tahun, aktif sebagai pelakon. Bagaimanapun, minatnya dalam bidang nyanyian tidak pernah ditinggalkan. Buktinya pada tahun 2005, ibu kepada empat orang anak ini pernah menghasilkan album duet berjudul S.I.S pada tahun 2005 bersama adiknya, Diana Rafar. Terbaharu, Linda yang ditemui di lokasi penggambaran telefilem untuk Tribute P. Ramlee yang berjudul Mengapa Ku Diseksa di Rawang, Selangor, baru-baru ini memberitahu, dia bakal kembali memeriahkan industri seni suara. Ikuti temu bual Kosmo! bersama isteri kepada pelakon Syed Aiman Syed Mahmud ini. Kosmo!: Apakah yang membuatkan Linda ingin merakamkan album selepas sekian lama? LINDA: Selepas kumpulan Elite berpecah, saya sebenarnya masih aktif menyanyi setiap minggu, cuma orang tidak tahu sebab saya jarang muncul di media. Jemputan yang tidak putus-putus itu membuktikan saya masih lagi laris sebagai penyanyi. Jadi, saya fikir lebih baik keluarkan album. Adakah Linda yakin album itu akan mendapat sambutan kerana semua kos album ditanggung anda sendiri? Saya menghasilkan mini album iaitu enam buah lagu sahaja. Setakat ini sudah ada dua buah lagu, iaitu Cun Melecun dan Dia. Penerimaan peminat saya tidak tahu tetapi saya berusaha mencari lagu yang terbaik. Zaman Elite sudah berlalu, adakah Linda yakin anda masih popular? Susah saya nak cakap. Apa yang saya lihat, rezeki anggota Elite sampai hari ini masih ada. Cuba lihat anggota Elite yang lain, walaupun sudah tidak menyanyi, ada yang berlakon, berniaga dan ada yang sudah tidak aktif tetapi mereka masih lagi meraih perhatian khalayak. Maknanya kami semua masih panas dalam pasaran. Apakah yang Linda harapkan apabila kembali menyanyi? Sasaran saya bukan lagi untuk meraih populariti kerana semua itu saya sudah peroleh ketika bersama Elite. Apa yang saya harapkan, hanya untuk memeriahkan industri dan bidang seni sebenarnya terapi untuk diri saya sendiri. Khabarnya Linda sudah memperlahankan kerjaya sebagai pelakon. Apakah sebabnya? Sekarang saya sudah memiliki keluarga dan juga perniagaan produk kecantikan yang dikongsi bersama rakan iaitu LR Flawless Skincare. Waktu saya terbatas, jadi saya amat memilih tawaran lakonan. Jika penggambaran mengambil tempoh yang panjang dan di luar Kuala Lumpur, saya tidak akan terima. Adakah Linda menggunakan populariti diri untuk melariskan produk? Ya, saya akui perkara itu. Sebagai artis, saya mempunyai pengikut yang ramai di Facebook, Twitter dan Instagram. Jadi, saya menggunakan platform yang ada untuk mempromosikan produk secara percuma. Lebih mudah orang mengenali produk saya kerana saya artis dan saya sendiri menjadi duta kepada produk keluaran sendiri. Setakat ini bagaimanakah progres perkembangan perniagaan anda? Alhamdulillah, sejak produk dipasarkan lima bulan lepas saya sudah ada 50 orang stokis dan 100 ejen di seluruh negara. Selalunya peminat tanya apa rahsia kecantikan saya, jadi produk inilah yang saya kongsi bersama mereka. | |
Posted: SYJ tidak akan berpecahKUMPULAN SYJ mengakui markah rendah yang mereka perolehi rendah antaranya disebabkan mereka mengutarakan persembahan bertemakan silent comedy yang kurang meraih perhatian peminat program Maharaja Lawak Mega 2013. SAINGAN suku akhir Maharaja Lawak Mega 2013 (MLM 2013) yang berlangsung pada minggu lalu di Dewan Wawasan, Jitra, Kedah menyaksikan kumpulan SYJ tersingkir setelah mendapat markah terendah. Kumpulan yang dianggotai oleh Jihan, Yassin dan Syuk sekadar memperoleh markah sebanyak 53 peratus, berbanding Shiro yang berada di tangga teratas dengan 68 peratus, diikuti Jambu (66 peratus), Nabil (65 peratus), Sepahtu (65 peratus) dan Bocey (63 peratus). Salah seorang anggota SYJ, Jihan berkata, mereka berasa agak kecewa apabila tersingkir tetapi berasa bangga kerana berjaya mara sehingga ke peringkat suku akhir dan bersaing dengan peserta yang hebat. "Ini merupakan suatu kebanggaan buat kami kerana SYJ baru sahaja ditubuhkan untuk menyertai MLM 2013. Kami akui SYJ bukanlah peserta yang popular dan itu yang menyebabkan kami gembira dengan pencapaian yang diraih ini. "Kalau diikutkan, kami agak kurang mendapat undian daripada penonton. Jadi, kami terpaksa berusaha lebih keras supaya mendapat markah yang lebih tinggi daripada barisan juri tetap," jelasnya. Mengulas lebih lanjut mengenai penyingkiran mereka itu, Jihan menyatakan bahawa antara faktor utama ialah persembahan pertama mereka yang bertemakan silent comedy yang kurang mendapat perhatian. Menurutnya, tema yang ditetapkan itu agak menyukarkan buat mereka yang baru kali pertama bergandingan sehingga persembahan yang ditampilkan itu kurang menyengat dan sekadar mendapat dua bintang sahaja daripada salah seorang juri iaitu Nora Danish. "Kami akui mengalami kesukaran untuk mendapatkan idea bagi tema silent comedy berbanding Karoot Komedia untuk persembahan kedua. Malah, idea yang diperoleh juga adalah pada saat-saat akhir. "Bagaimanapun, kami tetap berusaha untuk tampil dengan persembahan terbaik pada malam ini. Cuma, kami beranggapan apa yang kami tampilkan dalam persembahan itu kurang difahami juri dan penonton," luahnya. Seorang lagi anggota SYJ iaitu Syuk berkata, meskipun gagal untuk meneruskan saingan dalam MLM 2013, ia bukanlah penamat kepada kumpulan tersebut kerana mereka akan terus bersama pada masa akan datang. Ujarnya, jika pertandingan tersebut diadakan pada masa akan datang, SYJ akan cuba memberikan saingan sekali lagi dan mereka sesekali tidak akan berpecah setelah gagal buat kali pertama. "Pada mulanya agak sukar buat kami bertiga mendapatkan keserasian memandangkan tidak pernah bekerjasama sebelum ini. Namun begitu, semakin lama, kami bertambah selesa sehingga mampu layak ke saingan suku akhir. "Tidak dinafikan peserta lain yang berjaya ke saingan seterusnya memang cukup popular dan mempunyai kekuatan masing-masing. Jadi, kami akur dengan penyingkiran yang telah dibuat ini," ujarnya. Bersikap terbuka Mengulas lanjut mengenai persembahan para peserta yang bertanding, Datuk Yusof Haslam selaku salah seorang juri tetap berkata, semuanya telah tampil dengan persembahan yang baik kecuali SYJ yang dilihat cukup lemah dalam persembahan silent comedy. Ujarnya, dengan tinggal lima peserta yang bersaing ke separuh akhir, pihak juri yakin saingan akan menjadi lebih sengit dan masing-masing pastinya mempunyai strategi untuk merebut gelaran juara yang menawarkan hadiah wang tunai RM500,000. "Kalau melihat kepada persembahan para peserta, ada yang cuba mengenakan barisan juri. Misalnya, seperti kumpulan Jambu yang melabel saya sebagai seorang pemandu sehingga mendapat sorakan penonton. "Saya anggap perkara tersebut bukanlah menjadi satu masalah yang besar dan sebagai juri saya perlu bersikap terbuka dan tidak ambil hati. "Lagipun apa yang dilakukan itu merupakan kreativiti tersendiri mereka sehingga menghidupkan lagi suasana menjadi lebih meriah," ujarnya. Dengan penyingkiran SYJ, saingan MLM 2013 kini tinggal lima peserta iaitu Shiro, Sepahtu, Jambu, Nabil dan Bocey yang akan merebut tempat untuk bersaing pada peringkat akhir. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |