{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Keluarga

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Keluarga


Keikhlasan taut ati bapa mertua

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

Oleh HISYAMUDDIN AYUB

BERSAMA dua daripada enam anak yang melengkapi kehidupan rumah tangga Samsudin dan Azzuri.

PENANGAN cinta pandangan pertama sememangnya hebat, malah mampu mendorong si arjuna melakukan apa sahaja demi merebut apa yang dikatakan sebagai cinta suci miliknya itu.

Itulah yang berlaku kepada Mejar Samsudin Rapie apabila pertama kali terpandang wajah seorang gadis manis ketika dia berada di dalam sebuah trak askar. Si dara pula ketika itu sedang menunggu bas untuk pulang dari sekolah. Ketika itu, dara pujaan baru berusia 16 tahun.

Raut wajah manis milik gadis bernama Azzuri Naser itu ternyata tidak mampu menahan gelodak jiwa lelakinya untuk mengenali gadis sunti itu dengan lebih dekat.

Secara spontan dan seperti magnet yang menariknya, Samsudin seakan mahu terjun dari trak askar yang dinaikinya untuk berkenalan dengan gadis tersebut.

Namun tindakannya untuk membuka pintu trak tidak kesampaian apabila halangan kecil pertama terjadi kerana pintu tidak boleh dibuka, sekali gus membantutkan hasratnya untuk berkenalan biarpun pemandu trak sudah cuba membantu membuka pintu tersebut.

Kegagalan Samsudin membuka pintu trak rupa-rupanya disedari Azzuri yang tertawa kecil melihat tindakan tidak kesampaian abang askar tersebut yang kini bertugas sebagai Komandan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem KK Di Bawah Bayu, Tuaran.

Namun dugaan kecil itu tidak menghalang Samsudin untuk bertemu gadis impiannya dan kali ini dengan menggunakan motosikal kawan, Samsudin tekad bertemu Azzuri dengan menyapa si gadis di hadapan sekolah dengan ucapan Boleh datang ke rumah awak tak?', sementara si gadis dengan spontan berkata Datanglah.

Kira-kira seminggu selepas pertemuan pertama itu, Samsudin bersama seorang rakan pergi ke rumah Azzuri dan tindakan berani itu ternyata sama sekali tidak diduga oleh pelajar Sekolah Menengah Jenis Cina Hua Lian, Taiping, Perak tersebut.

Dengan selamba, Azzuri memanggil ibunya dengan berkata ada pakcik askar datang rumah dan hendak berjumpa dengan keluarga. Kesempatan itu digunakan sebaiknya oleh anak muda kelahiran Benut, Johor itu meluahkan rasa bagi menjadikan Azzuri sebagai permaisuri hidupnya.

Permohonan memperisterikan Azzuri diberi lampu hijau oleh keluarga si dara, namun dia hanya diberi masa selama enam bulan oleh bapa si gadis bagi menyunting pilihan hatinya itu atau dia berhadapan situasi yang tidak sama sekali diinginkan olehnya iaitu langsung tidak boleh berkawan dengan Azzuri.

Syarat itu diterima dengan hati terbuka meskipun pada mulanya ingin memohon tempoh selama tiga tahun sebelum menempuh alam perkahwinan.

Saya sedaya upaya cuba mengumpul duit hantaran kahwin dalam tempoh diberikan itu. Alhamdulillah, Allah permudahkan dan kami selamat diijabkabul pada 21 September 1991, biarpun kami baru bertemu pada akhir tahun 1990 dan bertunang pada Februari 1991.

Namun itu bukan cabaran sebenar kepada saya. Dugaan besar apabila saya terpaksa berhadapan secara berseorangan dengan ahli keluarga Azzuri yang ramai sehari sebelum ahli rombongan keluarga saya dari Johor datang merisik, sekali gus bertunang.

Disebabkan berlaku salah maklumat dan kekeliruan, keluarga saya terlambat sehari datang ke rumah Azzuri bagi mengadakan majlis merisik dari tarikh yang telah ditetapkan. Kesilapan yang tidak disengajakan itu telah menyebabkan saya terpaksa bertemu ahli keluarga dan sanak saudara Azzuri bagi menyatakan rasa bersalah.

Pada waktu itu, saya secara berseorangan terpaksa menangkis segala soalan yang dikemukakan oleh datuk-datuk saudara serta ahli keluarga Azzuri dengan sebaik mungkin. Akhirnya, saya berjaya harungi dengan sempurna dan esoknya baru majlis merisik serta bertunang dilakukan," katanya sambil tersenyum.

Sementara itu, Azzuri berkata, sikap jujur, ikhlas dan berani yang ditunjukkan oleh suaminya itu telah menyebabkan ayahnya bertambah sayang kepada menantu sulungnya itu, malah lebih berkeyakinan untuk melepaskan anak gadisnya itu bagi dijaga oleh seorang pakcik askar yang digelar olehnya.

Katanya, dia ketika itu langsung tidak pernah terfikir untuk menempuh alam perkahwinan dalam usia muda, biarpun sering kali menjadi perhatian pelajar lelaki dari sekolah berhampiran.

Saya ketika itu langsung tidak membantah cadangan abah untuk mengahwinkan saya. Langsung tidak bertanya kenapa dikahwinkan pada usia muda dan hanya mengikut sahaja kata abah. Itulah dikatakan jodoh kami," katanya dengan penuh syukur dikurniakan dengan seorang suami yang baik hati.

Perkahwinan pasangan muda yang ketika itu berusia 23 tahun dan 16 tahun telah diserikan dengan kehadiran Muhammad Ansaruddin, 21; Mohammad Nazirul Hakim, 19; Muhammad Amenuddin Haziq, 15; Puteri Samhana Nabilah, 14; Muhammad Irfan Harraz, 10, dan Muhammad Fayyad Uqaeil, lapan bulan.

Bodohnya saya terlalu percayakan kawan

Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST

BENAR kata pepatah, dunia ini sebenarnya berpusing, sekejap kita di atas, sekejap kita di bawah, semuanya bergantung pada perjalanan hidup yang diatur oleh Allah SWT.

Dalam rumah tangga pun begitu juga, tidak ada yang sempurna dan setiap saat berdepan dengan pelbagai ujian yang harus ditempuh dengan tabah. Ini juga dikaitkan dengan persahabatan, terlalu baik juga tidak membawa erti apa-apa malah akan mengundang kekecewaan sebelah pihak jika kawan yang dipercayai menikam dari belakang.

Inilah kisah yang dilalui oleh Hanim (bukan nama sebenar). Persahabatan dari zaman persekolahan membawa kekecewaan dalam diri Hanim apabila sahabat baiknya itu bertukar menjadi madunya.

Kita ikuti kisah Hanim dalam e-melnya kepada saya.

"Saya berusia lewat 40-an, mempunyai tiga orang anak berusia antara 12 hingga 20 tahun. Saya bekerja sebagai penjawat awam dan suami seorang ahli perniagaan. Hidup kami mewah dan saya mendapat kasih sayang penuh daripada suami, begitu juga anak-anak.

"Sejak sekolah saya mempunyai seorang kawan rapat bernama Wan (bukan nama sebenar). Dia bekerja dengan sebuah syarikat swasta. Kami menuntut di universiti yang sama tetapi memilih kerja yang berlainan.

"Saya bertemu jodoh agak awal selepas tamat pengajian tetapi Wan tidak. Setelah saya mendapat anak kedua, baru dia bernikah, sayang jodohnya tidak panjang. Dia berpisah dengan suaminya tanpa ada anak.

"Sejak itu, saya dan keluarga menjadi tempat Wan menumpang kasih. Anak-anak saya seperti anak-anak dia juga. Setiap waktu ada kelapangan Wan akan ke rumah saya untuk bermain dengan anak-anak dan sesekali pergi bercuti bersama.

"Saya tidak nampak ada udang di sebalik batu dalam hubungan Wan dengan keluarga saya. Memang sejak kami mula berkenalan saya percaya 100 peratus kepadanya. Dia tempat saya berkongsi cerita tentang susah senang saya.

"Malah, jika saya kerja luar daerah Wan akan membantu menguruskan anak-anak saya untuk ke kelas tuisyen dan juga sekolah agama tanpa sedikit pun rasa sangsi saya terhadap kejujurannya dalam perhubungan kami. Kami boleh saling membantu antara sama lain dalam semua perkara termasuk kewangan. Keluarganya juga menjadi keluarga saya.

"Tapi saya silap. Dalam diam-diam rupanya Wan dan suami saya menjalin hubungan sulit. Mereka jatuh cinta dan bermain kayu tiga di belakang saya. Semuanya terbongkar apabila anak bongsu saya terserempak dengan Wan dan suami sedang berdua-duaan dalam bilik tidur saya semasa saya kerja luar.

"Setelah sedar rahsia mereka telah diketahui anak bongsu saya, kedua-duanya memberi pelbagai alasan kenapa mereka berada bersama dalam bilik tidur saya. Tapi budak sedang naik, mana dia percaya terutama apabila melihat kawan baik mamanya bermesra dengan ayahnya.

"Pada mulanya anak bongsu saya tidak berani hendak beritahu saya tetapi setelah saya pujuk dan tanya kenapa dia macam takut-takut apabila saya dan Wan bersama, lalu dia pun bercerita tentang apa yang dia nampak.

"Berderau darah saya mendengar ceritanya. Berkali-kali saya tanya, jawapannya tetap sama. Saya yakin dia tidak bohong sebab budak-budak tidak akan buat cerita melainkan apa yang dia nampak. Saya tidak gelojoh bertanya suami akan hal itu.

"Saya perasan sejak anak bongsu saya bercerita tentang perkara itu, Wan jarang datang ke rumah kami dan suami pula seperti mengelak apabila berada di ruang tamu dengan saya dan anak-anak.

"Bagi mengesahkan apa yang anak saya beritahu, saya juga membuat intipan dan pergerakan mereka. Saya periksa telefon bimbit suami, bil makan minumnya dan menjejak perjalanannya dari rumah ke pejabat menggunakan kereta adik saya.

"Maka terbukti yang mereka ada hubungan sulit yang melebihi daripada kawan. Saya juga pasti mereka sudah syak saya tahu hal sebenar dan cuba mengelak daripada bertemu dengan saya. Tuhan itu maha kaya dan mendengar doa hamba-Nya.

"Saya berjaya mengesan suami berada di rumah Wan sehari suntuk, sedangkan pada hari itu dia beritahu saya ada urusan kerja di selatan tanah air. Setelah mengumpul bahan bukti akhirnya saya memanggil Wan ke rumah dengan alasan untuk meraikan hari lahir anak bongsu saya. Saya mahu selesaikan masalah kami dengan segera dan tidak mahu bermasam muka. Saya hanya mahukan penjelasan daripada mereka berdua, sama ada benar atau tidak apa yang anak saya ceritakan.

"Saya tidak menampakkan rasa susah hati dan ada masalah di hadapan keluarga tetapi buat ceria seperti biasa. Selesai makan, ketika kami semua berada di ruang tamu menonton televisyen, saya membuka mulut.

"Saya tanya suami, apa hubungan dia dengan Wan? Adakah sebagai suami kepada kawan saya atau selebihnya? Tergamam kedua-dua mereka. Wan saya nampak gelisah dan suami pula macam cacing kepanasan. Saya ceritakan apa yang anak bongsu saya nampak. Mereka tidak dapat mengelak lagi. Nak buat apa menafikan perkara benar, anak saya juga ada di situ untuk menjadi saksi.

"Akhirnya dengan muka merah padam dan suara tersekat-sekat, suami mengaku mereka telah enam bulan bernikah. Mudah sahaja alasan mereka. Rupanya mereka memang sudah bercinta di luar pengetahuan saya sejak lama dahulu.

"Mereka ambil kesempatan dengan kebaikan dan kejujuran saya. Saya yang bodoh terlalu percaya mereka. Saya reda apa yang sudah berlaku dan bangkit meninggalkan ruang tamu dan masuk ke bilik. Di luar saya dengar bunyi kecoh suami dan Wan bertengkar.

"Saya tidak peduli lagi. Saya bagi tahu suami, saya tidak mahu lagi melihat mukanya di dalam rumah kami buat sementara, begitu juga dengan Wan. Saya minta mereka tinggalkan saya dan anak-anak. Saya mahu bersendiri. Melayan perasaan kecewa saya dengan tindakan dua orang yang saya sayang, suami dan sahabat baik saya. Tergamak mereka buat saya macam ini?

"Syukur alhamdulillah, Allah telah membuka rahsia ini dengan cepat. Mujur anak saya ternampak, jika tidak saya akan terus dipermainkan oleh mereka entah sampai bila. Betapa bodohnya saya, terlalu percaya kepada sahabat, akhirnya suami saya dikebas olehnya.

"Saya berharap Allah bagi saya kekuatan untuk menghadapi keadaan ini. Saya sayang rumah tangga kami dan tidak mahu ia musnah begitu sahaja.

"Tetapi saya juga ada maruah. Kalau anda di tempat saya bagaimana? Saya bagi masa kepada suami dan Wan untuk mengembalikan keadaan. Sesungguhnya hati saya sudah tawar, sedih dan kecewa.

"Kini, saya sedang menyerah diri kepada Allah dan mohon diberi petunjuk agar saya boleh menyelesaikan masalah ini dengan baik. Anak-anak menjadi keutamaan saya dalam apa juga perkara. Saya berharap ada penyelesaiannya nanti. Doakan saya," begitu Hanim menamatkan ceritanya.

Aduh! Saya dapat merasakan kesakitan yang Hanim tanggung akibat daripada kejadian ini. Bayangkan sahabat karib merampas suami! Macam dalam drama pula tetapi inilah realiti hidup.

Saya berharap Hanim akan menghadapi masalah ini dengan tabah, kuatkan semangat dan tabahkan hati. Insya-Allah, akan ada jalan penyelesaiannya nanti. Saya kagum dengan kata-kata Hanim yang meletakkan anak-anak sebagai keutamaan dalam apa juga keadaan.

Itulah yang sepatutnya dilakukan oleh pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga. Saya percaya Hanim seorang wanita yang cekal dan boleh menimbang mana yang terbaik untuk masa depannya.

Nasihat saya, dapatkan nasihat dan kaunseling daripada pihak berkaitan untuk meredakan kerunsingan anda sambil jangan putus berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah SWT dalam setiap kali solat.

Menutup catatan, pesanan saya untuk renungan bersama. Banyak perkara yang kita lalui membawa kebaikan tetapi dalam perjalanannya, kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran.

Salam

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat