Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Sebar maklumat peniaga tamak
- Peniaga Melayu dakwa bekas ADUN Kajang tidak bertanggungjawab
- JPS cadang bina palung baharu
Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR KUALA LUMPUR 30 Jan. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi membolehkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai harga barangan serta makanan di kedai dan restoran di Lembah Klang. Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, aplikasi tersebut dapat membantu pengguna dalam memilih kedai atau restoran yang menawarkan harga berpatutan. "Masyarakat perlu mencegah peniaga yang meletakkan harga barangan yang tidak berpatutan dengan cara menyebarkan maklumat yang mereka miliki kepada pengguna lain," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional Wilayah Persekutuan yang dianjurkan UMNO Wilayah Persekutuan bersama Kementerian Kewangan di Dewan Tan Sri Mahfuz Khalid di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan; Pengarah Kastam Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Isa Endot; Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff dan Pengarah Kanan Unit Peneraju Ekonomi Bumiputera, Norizan Sharif. Sementara itu, Tengku Adnan memberi saranan supaya rakyat negara ini menggunakan pendekatan yang diamalkan di Taiwan dalam memerangi pihak yang menjual pada harga mahal. "Di negara itu, rakyatnya menyebarkan kepada satu sama lain mengenai kedai mahupun restoran yang menjual makanan dengan harga tidak berpatutan," katanya. Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa dirinya sendiri pernah berdepan dengan situasi harga makanan yang terlalu mahal di negara ini. "Terdapat sebuah restoran yang yang menjual segelas teh tarik dengan harga RM2.80," katanya. |
Peniaga Melayu dakwa bekas ADUN Kajang tidak bertanggungjawab Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST KAIN rentang ucapan Tahun Baharu Cina oleh Lee Chin Cheh yang dipasang di Kajang, namun beliau meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat baru-baru ini. HULU LANGAT 30 Jan. - Golongan peniaga kecil Melayu di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang mendakwa bekas wakil rakyat kawasan itu tidak bertanggungjawab kerana mengabaikan kebajikan mereka walaupun tidak sampai setahun dipilih oleh majoriti penduduk. Menurut mereka, sikap tidak bertanggungjawab itu diperlihatkan lagi oleh bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terbabit, Lee Chin Cheh apabila mengumumkan peletakan jawatan baru-baru ini dengan alasan yang tidak masuk akal iaitu gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat. Sebaliknya kata mereka, peniaga Melayu di kawasan itu sedar tujuan bekas ADUN itu meletakkan jawatan adalah bagi memberi peluang kepada Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menutup kemelut yang melanda kerajaan negeri Selangor ketika ini. Pengerusi Persatuan Pertubuhan Kios Melayu Hulu Langat, Mohammad Hanfiah, 52, mendakwa, bekas wakil rakyat tersebut jelas sekali tidak bertanggungjawab walaupun telah dipilih kerana mengabaikan kebajikan peniaga Melayu di kawasan DUN tersebut. "Tidak pernah beliau turun padang untuk melihat keadaan kami. Bertambah buruk lagi apabila beberapa gerai kecil yang diusahakan peniaga Melayu diberi notis amaran malah sudah ada yang dirobohkan oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). "Perkara itu sepatutnya tidak terjadi, para peniaga terlibat mempunyai lesen perniagaan yang sah dan sudah beroperasi melebihi lima tahun, malah terdapat beberapa kedai kereta terpakai yang diusahakan kaum Cina yang diragui status lesennya tidak pula dirobohkan," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini. Tambah Mohammad, hampir 200 peniaga Melayu sekitar kawasan Kajang terpaksa meneruskan perniagaan dalam keadaan tidak selesa tanpa perhatian daripada wakil rakyat mereka. "Setakat ini, sebanyak 31 gerai dirobohkan manakala 50 peniaga lain telah diberi notis amaran oleh MPKj dan selebihnya hanya menunggu nasib yang sama," katanya. Sementara itu Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya bersedia menjalankan kempen habis-habisan dalam pilihan raya kecil di DUN tersebut bagi mengembalikan kesejahteraan penduduk dan peniaga. "Pihak kami sudah lama menerima aduan kurang memuaskan berhubung khidmat yang diberikan oleh Chin Cheh. "Dalam pilihan raya kecil akan datang, Ikhlas bersama peniaga-peniaga yang ditindas akan berkempen dan memberi sokongan penuh kepada Barisan Nasional untuk menawan semula kerusi DUN ini daripada pakatan pembangkang," katanya. |
Posted: 30 Jan 2014 10:36 AM PST Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR TANAH mendap yang membimbangkan penduduk di hadapan sebuah rumah di Kampung Pindah, Kampung Baru, Kuala Lumpur. KUALA LUMPUR 30 Jan. - Kerja-kerja membaik pulih kawasan Kampung Pindah, Kampung Baru yang dilanda tanah mendap dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015. Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Wan Mohd. Sulaiman Wan Ismail berkata, pihaknya dalam proses membuka tender bagi kerja-kerja tersebut. "Setakat ini, kita sedang merancang reka bentuk baharu untuk saluran air atau palung serta laluan terowong yang kini dilihat menyusahkan penduduk di kawasan itu. SEORANG penduduk menunjukkan sebuah rumah di Kampung Pindah, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang retak ekoran tanah mendap sejak tiga tahun lalu. - UTUSAN/QAMARUL RIZAL "Kita akan bina laluan baharu yang tidak melibatkan penempatan penduduk bagi menggantikan laluan sebelum ini yang rosak," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini. Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu berhubung kejadian tanah mendap ekoran kerosakan saluran air di bawah tanah di Kampung Pindah yang semakin serius. Masalah yang berlarutan sejak tiga tahun lalu itu menyebabkan beberapa buah rumah penduduk retak dan hampir runtuh sekali gus memaksa mereka mengosongkan kediaman terbabit. Dalam pada itu, Wan Mohd. Sulaiman memberitahu, kerja membaik pulih kawasan itu dijangka bermula pada Julai tahun ini. "Semasa proses membaik pulih kawasan itu, penduduk mungkin perlu dipindahkan kerana kami akan menimbus semula laluan saluran air yang lama dan ini mungkin mengundang risiko kepada keselamatan mereka," katanya. Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, tanggungjawab membaik pulih kawasan tersebut dijalankan oleh JPS. "Kita sudah minta JPS melaksanakan projek tersebut sejak lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di situ kira-kira tiga tahun lalu. "Dalam perbincangan itu, kita sudah putuskan untuk memindahkan penduduk ke kawasan yang lebih selamat serta dipindahkan semula setelah projek siap sepenuhnya," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |