{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


Kia Optima K5 lebih mengancam

Posted:

Kia Optima K5 lebih mengancam

Kia Optima K5 lebih mengancam

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR


HARGA yang ditawarkan cukup berbaloi kerana ia sarat dengan pelbagai teknologi dan aksesori baharu.


PENGEDAR rasmi kenderaan Kia Motors di Malaysia, Naza Kia Malaysia (Kia Malaysia) baru-baru ini melancarkan model naik taraf Optima K5 yang disifatkan sebagai pengubah landskap segmen D.

Biarpun kenderaan generasi ketiga itu sekadar satu lagi model naik taraf, perubahan yang diberikan oleh jurutera Kia Motors agak signifikan sehinggakan 25 bahagian pada kenderaan sedan itu ditukar ganti.

Sejarah Kia Optima bermula pada tahun 2000 menerusi pengenalan model rebadged Hyundai Sonata. Model itu turut dikenali sebagai Kia Magentis di beberapa buah negara.

Sejak diperkenalkan sehingga tahun 2005, Kia Optima dipasang di kilang Hyundai. Bermula tahun 2005, Kia Motors mengambil alih sepenuhnya proses penghasilan kereta itu dan memperkenalkan Kia Optima generasi kedua.

Nasib Kia bertambah baik tiga tahun kemudian apabila bekas Ketua Pereka Audi dan Volkswagen Peter Schreyer mula menyertai Kia Motors.

Sentuhan pertama Peter Schreyer pada Kia Optima melibatkan model naik taraf pada tahun 2010. Bagaimanapun, model itu tidak dibawa masuk ke pasaran Malaysia dan Amerika Syarikat.

Tahun 2011 menyaksikan ketibaan generasi ketiga yang dikenali sebagai Kia Optima K5. Model ini mula memaparkan aplikasi gril tiger nose yang menjadi trademark Kia Motors selepas penyertaan Schreyer.


RUANG kabin dan papan pemuka Kia Optima K5 tampak lebih selesa selepas direka semula oleh pasukan jurutera Kia.


Model global segmen D itu mencetuskan saingan sengit kepada para pengeluar lain ekoran ledakan pelbagai ciri-ciri menarik.

Nilai tambah yang ditawarkan oleh Kia Motors itu membuatkan Kia Optima K5 tidak berdepan sebarang kesukaran untuk memikat hati pelanggan yang berusia 40 tahun ke bawah.

Awal tahun ini, Kia Malaysia telah melancarkan Kia Optima K5 yang dipertingkatkan dengan mengutamakan keselesaan keluarga pada harga yang berpatutan.

Menurut Pengurus Besar Operasi Kia Malaysia, Roshdy Hassan, Kia Optima K5 menjadi salah satu model yang dinanti-nantikan dan bakal menyumbang kepada peningkatan jumlah jualan Naza Kia tahun ini.

"Ciri-ciri premium yang ditawarkan pada Kia Optima K5 ini menjadikannya salah satu model segmen D yang mengagumkan dan berdaya saing di negara ini," katanya sambil menambah model sedan itu pernah memenangi pelbagai anugerah sebelum ini.

Antaranya termasuklah Best of the Best pada 2011 ,Red Dot Design Awards dan People's Choice Car of the Year di New Straits Times (NST) Maybank Car of the Year 2012.

Pengiktirafan itu mencerminkan Kia Optima K5 bukan sebuah model biasa tetapi satu pesaing yang perlu digeruni oleh pemain dalam pasaran Malaysia.

Kia Optima K5 naik taraf menerima pelbagai pembaharuan termasuk bampar hadapan dan belakang baharu serta rekaan lampu utama yang lebih menyerlah.

Citarasa Eropah

Rekaan set lampu utama dan belakang dengan paparan lampu LED dicipta dengan mengambil inspirasi citarasa produk Eropah. Pelengkap kepada wajah hadapannya ialah lampu kabus.

Ruang kabin Kia Optima K5 nyata lebih selesa dengan susun atur tempat duduk yang direka semula bagi meningkatkan aspek keselesaan kepada pemandu dan para penumpang.

Barisan kerusi bahagian hadapan didatangkan dengan sistem alih udara manakala sistem penghawa dingin pada papan pemuka cukup kuat untuk menyalurkan angin sejuk ke penumpang di belakang agar tetap selesa biarpun perjalanan jarak jauh.

Model itu turut dilengkapi beberapa aksesori menarik termasuk sebuah skrin 4.3 inci TFT LCD dengan kamera undur dan sistem audio lapan speaker jenama Infinity, sambungan Bluetooth serta fungsi bebas tangan, pemain cakera padat, AUX, USB dan sambungan iPod.


BUMBUNG panorama pada kereta ini memberikan pemandangan yang luas kepada pemandu dan penumpang di dalamnya.


Tiga mod pemanduan

Bagi meningkatkan pengalaman pemanduan, Kia Optima K5 didatangkan dengan ciri Select Drive Mode yang menawarkan tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport.

Selain itu, ciri-ciri premium lain disertakan sekali ialah Brek Parkir Elektronik, lapan tetapan cara tempat duduk pemandu kuasa dengan kerusi memori, penyelarasan empat cara untuk kerusi penumpang, pengelap cermin automatik dengan sensor hujan, cermin hidrofobik dan bumbung panorama.

Sarat ciri keselamatan

Kia Optima K5 memperoleh tenaga daripada enjin 2.0 CVVL dan kelancaran pemanduan dibantu oleh transmisi automatik enam kelajuan.

Seperti biasa, Kia Motors juga sarat dengan pelbagai ciri keselamatan iaitu enam unit beg udara , Electronic Stability Control, EBD, ABS, TCS, Brake Assist System, sensor hadapan dan belakang dan VSM.

Untuk makluman, Kia Optima K5 berjaya mencatat lima bintang skor keselamatan untuk ujian keselamatan NHTSA di Amerika Syarikat.

Kia Optima K5 ditawarkan dalam empat warna baru seperti putih, hitam, biru dan kelabu. Harga di atas jalan bagi model naik taraf itu ialah RM149,888 seunit. Sebagai kelegaan buat para pemilik, Kia Malaysia memberi tempoh jaminan selama lima tahun tanpa pengiraan had perbatuan.

Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno

Posted:

Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno

Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno

Oleh FARID AWALUDIN


JENTERA kesayangan Mohd. Hafis diberi salutan tona hitam putih.


DESAS-desus berhubung kelahiran semula model Toyota 86 pernah bertiup kencang seawal tahun 2002. Perkara itu masih segar dalam ingatan penulis gara-gara tersebarnya sekeping gambar Toyota Altezza dengan bentuk belakang iras-iras Toyota AE86 liftback dalam internet.

Mengapa Altezza? Jawapannya mudah. Sebelum lahirnya generasi baharu Toyota 86, Altezza ialah kereta sport Toyota terakhir dengan susun atur enjin pada bahagian hadapan dengan pacuan roda belakang. Ia ringan dan memiliki ciri pengendalian yang menyerupai model AE86.

Kemungkinan besar konsep itu berjaya menarik perhatian Mohd. Hafis Hamad dari Johor Bahru untuk melaksanakan transformasi pada kereta Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno miliknya. Lebih mesra dipanggil Cikgu, modifikasi yang dilakukan pada kereta jenama Jepun itu agak unik.

Lazimnya, pemilik AE86 lain lebih suka mengekstrak kuasa dari unit enjin 4A-GE 16V asal atau menggantikannya dengan enjin 4A-GE 20V kerana cagak enjin yang sama. Berbeza pula dengan selera Cikgu. Dia memilih enjin 3S-GE Beams Dual VVT-i Toyota Altezza.


RUANG kabin menerima solekan mininum agar kelihatan lebih ringkas dan kemas.


Berbekalkan kapasiti 2,000cc tanpa bantuan turbo, enjin itu masih berupaya menjana kuasa output 210PS biarpun dalam konfigurasi standard. Karakteristik enjin itu hampir sama dengan enjin 4A-GE lebih-lebih lagi ketika ia menjerit pada RPM tinggi. Pendek kata, ia tidak membunuh pemanduan asli AE86.

Enjin itu kemudiannya diadun bersama pengekstrak ekzos kustom dengan paip ekzos berukuran dua inci tanpa perendam bunyi. Cikgu mahu mendapat kuasa tambahan daripada enjin itu. Kadar penyaluran minyak petrol ke dalam kebuk pembakaran enjin dilaraskan semula hasil bantuan pengatur bahan api SARD.

Roda tenaga (flywheel) asal ditukar kepada jenama TODA jenis ringan untuk menjayakan pergerakan mekanikal enjin yang lebih baik. Sentuhan seterusnya membabitkan talaan semula kotak komputer asal.

Kotak gear lima kelajuan manual asal digantikan dengan transmisi manual enam kelajuan Altezza. Penghantaran kuasa dari enjin ke kotak gear diperkemaskan dengan pemadanan klac prestasi tinggi dari Exedy.

Modifikasi seterusnya melibatkan sistem suspensi agar mampu menggalas tugas menampung kuasa tambahan dari rangkaian kuasa AE86 itu. Suspensi hadapan digantikan dengan set absorber dan spring boleh laras sepenuhnya jenama Tein.


ENJIN dua liter Altezza dipadankan pada model AE86 untuk hamburan kuasa yang lebh berprestasi.


Suspensi belakang AE86 asal dikekalkan namun bendalir dalam penyerap hentak itu digantikan untuk mendapatkan kadar kekerasan secukupnya untuk menampung keperluan pemandu. Untuk sistem brek pula, set lengkap brek hadapan dari Altezza disalin terus ke kereta itu sementara brek belakang asal AE86 dikekalkan.

Masuk ke bahagian dalaman, kelihatan semua peralatan asal AE86 masih kelihatan asli cuma fabrik ala Bride diberi pengenaan pada bahagian tempat duduk dan panel pintu. Rupa paras AE86 disolek hasil pengenaan bampar dan skirt sisi dari Vertex. Badan jentera pula diberi pengenaan tona hitam putih atau 'Panda' yang cukup popular bagi peminat Toyota AE86.

Sentuhan terakhir transformasi luaran adalah pemasangan rim Black Racing berukuran 15X9jj dengan offset -20 dan dibaluti tayar jenis Falken Zeix 195/55/R15 di bahagian depan manakala jenama Goodyear Eagle (saiz sama) dipasang pada bahagian roda belakang.

Biarpun kereta ini sudah berusia lebih 30 tahun,ia masih kelihatan segar dan menawarkan prestasi pemanduan yang mampu menandingi sebahagian besar kereta-kereta baharu. Jika ditanya harga untuk memiliki sebuah Toyota AE86 yang sempurna seperti ini, ia lebih mahal daripada sebuah Proton Persona baharu.

Masih efisien bahan api

Posted:

Masih efisien bahan api

Masih efisien bahan api

Oleh SHAWKATH AZDE


HONDA Wave Dash 110 menghasilkan hamburan kuasa yang sesuai dengan kategorinya


SEPANJANG tahun 2013, Boon Siew Honda Sdn. Bhd. (Boon Siew Honda) rancak memperkenalkan pelbagai model motosikal Honda baharu ke pasaran tempatan. Tindakan itu bertujuan mengemaskini semula rangkaian model sedia selain menyusun strategi untuk kekal relevan dalam edaran semasa.

Sekurang-kurangnya sembilan model motosikal baharu dan naik taraf diperkenalkan ke dalam pelbagai segmen sepanjang tempoh 12 bulan itu. Model terakhir dilancarkan pada tahun 2013 ialah Honda Wave Dash 110. Ia merupakan model generasi kedua sejak pengenalan Wave Dash pada 2011.

Generasi kedua

Rangkaian generasi kedua merangkumi dua varian iaitu Type R dan Type S. Perbezaan hanya melibatkan aplikasi set brek cakera. Type R didatangkan bersama dua set brek cakera. Type S hanya dilengkapi set brek cakera pada roda hadapan.

Produk baharu itu menggunakan rangkaian kuasa sama seperti EX5 Dream 110 dan Honda Wave 110. Apa yang membezakan ketiga-tiga motosikal itu hanyalah penalaan enjin. Jadi, ada perbezaan pada aspek hamburan kuasa output dan ledakan tork.


KANAN: Ruang simpanan barang terlalu kecil dan tidak begitu sesuai untuk simpanan barang saiz sederhana.


Proses menghidupkan enjin empat lejang itu boleh dilakukan dengan hanya menekan punat pemula atau gunakan khidmat penendang kaki. Deruman ekzos nyata lembut. Pendikit menawarkan respons yang setimpal jika dilihat pada kelas motosikal itu.

Boon Siew Honda membenarkan penulis meminjam varian Type R bagi sesi tunggang uji kali ini. Selayang pandang, reka bentuk produk underbone itu nampak gagal memikat hati penulis. Persepsi penulis mula berubah selepas selesai tunggang uji di sekitar kawasan Selangor dan ibu negara.

Tiada keraguan

Honda Wave Dash 110 menawarkan aspek pengendalian dan keseimbangan yang cukup memuaskan. Malah anda tidak perlu rasa ragu-ragu memerah pendikit sehingga tahap maksimum ketika mengambil selekoh. Ia nyata stabil. Ergonomik tunggang sememangnya cukup baik.

Fork hadapan dan sistem suspensi kembar belakang menggalas tugas cemerlang menyerap hentakan tanpa mencetuskan sebarang rasa kurang selesa pada bahagian pinggang dan tapak tangan. Pelana model itu agak tebal turut menyumbang kepada aspek keselesaan tunggangan.

Hamburan kuasa dan kadar pecutan motosikal itu disifatkan sekadar sederhana. Penulis hanya mampu catat kelajuan maksimum 100 kilometer sejam (km/j). Respons tuil gear pula agak lembut namun tidak mengganggu kelancaran tunggangan. Apa yang perlu diperbaiki pada model itu ialah kesan getaran enjin.

Kadar penggunaan bahan apinya berada pada paras menjimatkan biarpun masih menggunakan khidmat karburator. Berbekalkan belanja RM5 untuk RON95, Honda Wave Dash 110 mampu mencapai jarak sejauh 102km. Kadar kelajuan untuk jarak itu dikekalkan antara 80 hingga 100km/j.


LAMPU isyarat membelok dipadankan pada bahagian hadapan badan jentera.


Prestasi kedua-dua set brek cakera untuk memperlahankan dan memberhentikan jentera sepenuhnya boleh diberi pujian. Begitu juga dengan kadar pencahayaan lampu utama sewaktu tunggangan malam.

Untuk menyimpan barang, anda dinasihatkan memasang kotak simpanan aftermarket. Honda Wave Dash gagal memenuhi tawaran ruang simpanan diperlukan. Kebuk simpanan barangan bawah pelana terlalu kecil. Ia hanya sesuai untuk meletakkan barangan kecil seperti dompet dan telefon bimbit sahaja.

Secara keseluruhan, Honda Wave Dash 110 tetap praktikal memandangkan peningkatan kos sara hidup apatah lagi di kawasan bandar utama. Berbekalkan empat pilihan warna termasuk tema Repsol, ia masih mampu menarik perhatian pembeli muda biarpun pasaran tempatan sudah dilambakkan dengan pelbagai model kapcai.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat