Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Posted: 29 Jan 2014 06:11 AM PST Oleh Siti Aishah Yusoff IBRAHIM Ismail (tengah) bergambar bersama model-model yang mengenakan pakaian berhias manik pada sidang akhbar pameran Manik Untuk Kecantikan di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Manik yang dikenali sebagai 'marik' di Sarawak yang berasal dari perkataan Sanskrit 'maniknya', bermaksud batu berharga telah digunakan sebagai alat perhiasan penting sejak berabad dahulu. Keindahan dan kecantikannya menyebabkan manik diangkat sebagai simbol kemewahan yang melambangkan status sosial si pemakai dalam masyarakat. Manik dinilai secara berbeza-beza bergantung kepada kualiti yang tertentu yang sebahagiannya mempercayai individu yang memiliki manik mempunyai kuasan istimewa kepadanya. Sementara itu, dari aspek kecantikan pula, manik didatangkan dalam pelbagai warna menarik, saiz dan bentuk yang menggambarkan kecantikan dan keunikannya. Daya kreativiti yang diilhamkan melalui jalinan biji-biji manik mampu memikat hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Meskipun saiznya agak kecil, keindahan manik terserlah dengan kepelbagaian corak dan warnanya yang memukau. Keunikannya menyebabkan manik sejak dahulu lagi sering sering menjadi pilihan untuk tujuan perhiasan diri dan menghias barangan keperluan harian. Manik menjadi identiti tersendiri khususnya dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah dan Sarawak serta golongan Cina Peranakan. Bagi masyarakat Orang Ulu khususnya kaum Kayan dan Kenyah di Sarawak, manik mempunyai peranan yang sangat signifikan dalam kehidupan seharian. Manik bukan sahaja dijadikan perhiasan tetapi turut digunakan dalam upacara keagamaan dan perkahwinan. Manik-manik antik yang jarang diperolehi disifatkan sangat berharga dan melambangkan kedudukan atau status sosial pemakai dalam masyarakatnya. Sesetengah manik seperti 'bau'u si' ada' (bead of theghost) yang berwarna gelap kemerah-merahan pula dianggap memiliki kuasa ajaib. Sesetengahnya pula menjadi azimat dan pelindung tatkala berlangsungnya upacara ritual yang memerlukan kekuatan dan semangat luar biasa pawang sebagai penghubung dua dunia yang berbeza. Keunikan manik diberi nilai dan penghargaan yang sangat tinggi khususnya oleh penduduk di bahagian timur Sarawak. Diilhamkan oleh kecantikan flora dan fauna serta motif imej yang bersifat ritual, manik disesuaikan dan disusun atur sedemikian rupa bagi menyerlahkan rupa paras si pemakai. Untaian manik yang menghiasi tangan, leher dan dada si pemakai menjadi simbol kemewahan dan menunjukkan status sosial si pemakai Di Sabah pula, manik digayakan oleh masyarakat Kadazan Dusun,Rungus dan juga Murut. Hiasan manik yang digayakan oleh setiap kaum ini mempunyai fungsi dan identiti berbeza. Manik yang dikenali sebagai 'lukut sekala' misalnya mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam kalangan suku etnik Kenyah. Manik ini disifatkan sebagai harta pusaka berharga yang diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi. Bagi masyarakat Lun Bawang dan Kelabit, manik yang dipanggil sebagai 'let alai' mempunyai nilai yang lebih tinggi berbanding manik-manik yang lain. Sejenis rantai manik yang dipanggil sebagai 'ba'o alai' dianggap sangat berharga dan menjadi milik eksklusif golongan atasan masyarakat Kelabit. Masyarakat Bidayuh pula secara tradisinya sangat terkenal dengan perhiasan manik berwarna hitam, merah, kuning dan putih yang merupakan aksesori wajib dalam pemakaian kostum tradisional mereka. Hiasan leher yang dikenakan ketua suku dan pawang masyarakat Bidayuh juga sangat unik. Menyedari kepentingan manik sebagai bahan warisan, Jabatan Muzium Malaysia telah menganjurkan pameran bertajuk Manik Untuk Kecantikan. Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Ibrahim Ismail berkata, pameran yang berlangsung dari 15 Januari lalu hingga 15 Februari ini bertujuan menonjolkan keunikan manik, kreativiti. ilham dan imaginasi yang diaplikasikan pada penggunaannya. "Dalam pameran ini, terdapat lebih 200 koleksi manik bakal dipamerkan kepada pengunjung. "Antara yang bakal dipamerkan dalam pameran ini adalah dari pelbagai artifak yang terpilih termasuklah hiasan kepala, pakaian, kasut, perhiasan diri dan hasil kraftangan. "Di antara pelbagai bahan bermanik yang dipamerkan adalah hasil kraf tangan seperti pengendung bayi kaum kelabit, penutup makanan kaum melanau. terendak orang ulu Sarawak, Pengalas kaki pengantin Cina dan lain-lain. "Bahan pameran yang amat penting termasuklah beg manik buatan kaum bidayuh yang berusia 200 tahun serta beg bermanik buatan suku Kenyah yang berusia 300 tahun,"katanya pada sidang akhbar Pameran Manik Untuk Kecantikan di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ibrahim juga menjelaskan, bagi menghargai nilai sejarah dan warisan negara, bermula pada tahun 2014, pihaknya telah menganjurkan karnival bersama-sam muzium untuk dikunjungi oleh orang ramai setiap bulan. "Pameran berikutnya pada bulan Mac hingga Mei nanti adalah Pameran Dongson yang memfokus kepada sejarah peninggalan dan warisan budaya era Dongson. "Setiap pameran ini akan berlansung di setiap negeri terpilih yang berada di bawah kendalian muzium malaysia,' katanya. |
Posted: 29 Jan 2014 06:11 AM PST Oleh Noor Fazrina Kamal SEBAGAI anak yang patuh kepada perintah ibu bapa, Julia (bukan nama sebenar) tidak pernah membantah atau menyalahkan ibu bapanya atas apa yang terjadi. Keputusan yang diambil Julia untuk berkahwin dengan Azizi (bukan nama sebenar) juga datang dari hatinya. Bagi Julia tiada alasan untuknya membantah sementelah segala keputusan hidupnya selama ini juga ditentukan ibu bapanya. "Tiada apa yang kurang pada Azizi apabila kami dipertemukan buat kali pertama. Dia memang segak, berpelajaran tinggi dan dengan pendapatan mencecah lima angka sebulan memang menjamin masa depan saya serta bakal anak kami. "Tiada alasan untuk saya membantah perkahwinan aturan keluarga ini, " imbas Julia pada peristiwa kira-kira lima tahun lalu. Ketika itu usia Julia baharu mencecah 25 tahun. Azizi pula bekerja di sebuah negara di Eropah menjadi penasihat untuk sebuah syarikat perkapalan antarabangsa. "Masakan saya tidak teruja. Seorang penganggur seperti saya dapat berkahwin dan tinggal di Eropah, memang itulah impian saya sejak zaman remaja lagi. Selesai majlis saya terus mengikut Azizi ke luar negara dan tinggal bersamanya di sebuah apartment yang boleh dikatakan mewah dan cukup selesa. "Perkahwinan kami memang bahagia, kami tidak pernah bergaduh. Azizi melayan saya dengan baik sekali. Dia cukup romantik dan pandai mengambil hati saya. "Walau masih banyak yang saya belum kenali tentang dirinya, tetapi saya berjanji untuk belajar dan memahami segalanya serta berusaha menjadi yang terbaik untuk Azizi, " cerita Julia. Genap tiga bulan berkahwin, Julia akhirnya mengandung, berita yang paling menggembirakan Azizi dan ahli keluarga mereka. "Sampai masanya saya melahirkan seorang bayi perempuan yang sangat comel. Azizi memang sangat gembira, saya juga gembira kerana kini bergelar ibu. Saya yakin kehadiran, Puteri (bukan nama sebenar) menambah kebahagiaan keluarga kami, " katanya. Rakan suami Sepanjang tempoh berpantang, Azizi memang memberikan kerjasama yang bagus kepada Julia. Dia mengupah seorang pembantu untuk membantu Julia menguruskan bayi dan rumah tangga mereka. Kata Azizi, Puteri perlu disusukan sepenuhnya dengan susu ibu supaya mendapat zat yang sepatutnya ada pada seorang bayi. "Saya semakin bersyukur atas kehidupan ini, Azizi juga mahu mengadakan majlis kesyukuran dan akikah untuk Puteri di kediaman kami di London. "Ramai juga yang hadir, namun saya rasa tidak begitu selesa melihat seorang rakan Azizi, seorang lelaki berbangsa Inggeris yang saya lihat 'luar biasa' mesra dengan suami saya. "Dalam majlis tersebut saja saya lihat dia tidak berenggang dengan Azizi. Pelik juga saya, dalam kesibukan saya melayan tetamu kami yang tidak begitu ramai, mata saya tidak lepas melihat kemesraan Azizi dan Jack (bukan nama sebenar). "Dalam kemusykilan saya berusaha menidakkan apa yang saya rasa dan memaksa diri mengubah sangkaan buruk terhadap suami sendiri, " jelas Julia. Genap usia Puteri setahun, Azizi menganjurkan parti hari lahir Puteri dalam suasana penuh meriah. Julia pula merasakan sudah tiba masanya dia membawa Puteri pulang ke Malaysia berjumpa datuk dan nenek serta ahli keluarganya yang lain. "Permintaan saya dipandang sepi oleh Azizi. Dia seakan tidak mahu membawa Puteri pulang ke Malaysia, malah dia memberitahu bahawa saya boleh pulang seorang diri tanpa dirinya dan Puteri. "Dek kerana terlalu rindukan keluarga saya bersetuju pulang sendiri untuk seminggu kerana tidak sanggup berjauhan dari Puteri. Tiket kembali ke London sengaja saya beli kemudian kerana tidak mahu terikat dengan tarikh tersebut, " jelas Julia. Di Malaysia, Julia terpaksa memberikan 1,001 alasan kepada ahli keluarga kerana tidak membawa Puteri bersama-sama. Julia juga yakinkan yang dia hanya balik sementara untuk melepaskan rasa rindu pada ibu dan ayahnya di kampung. "Disebabkan banyak masa terluang, pada waktu malamnya saya melayari internet. Entah kenapa, jari jemari saya tergerak untuk melihat akaun facebook Jack, dengan mudah akses saya sampai ke capaian tersebut. "Nauzubillah terkejut saya melihat beberapa gambar suami saya dengan aksi luar biasa bersama Jack. Ada aksi berpeluk, bercium mulut dan aksi tanpa pakaian di katil yang cukup membuktikan apa yang saya takuti sejak pertama kali melihat Jack di majlis kenduri Puteri. "Bergetar tubuh saya seakan mahu pitam melihat gambar-gambar tersebut yang mana masa ketika diambil sama sepanjang tempoh rumah tangga saya dengan Azizi dibina. "Tahulah saya Azizi mempunyai agendanya sendiri ketika berkahwin dengan saya iaitu semata-mata mahu memperalatkan saya untuk mendapatkan zuriat, " ujar Julia panjang lebar. Julia tidak memberitahu Azizi kepulangannya ke London. Azizi ada mengubunginya, namun sengaja ditutup talian kerana Julia sukar membendung rasa kecewa terhadap sikap songsang Azizi. "Niat saya memang mahu berkonfrontasi dengan Azizi tapi saya mahu menunggu masa yang sesuai. Rupanya apa yang saya rancang langsung tak menjadi sama sekali. "Azizi dahulu yang telah merancang apa yang mahu dilakukan dengan saya. Dia rupanya memang mahu saya terus pulang ke Malaysia tanpa Puteri. "Akhirnya dipendekkan cerita saya terpaksa melalui beberapa proses guaman dan akhirnya dapat menuntut hak penjagaan ke atas Puteri, " jelasnya. Walau peristiwa tersebut sudah lima tahun berlalu, ia masih segar dalam ingatan Julia. Dia kini bahagia bersama Puteri walau mengusahakan butik Muslimah secara kecil-kecilan dia yakin mampu menjadikan Puteri anak solehah tanpa seorang yang bergelar bapa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |