Kosmo Online - Horizon
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Horizon |
Sayap kelawar di cuping telinga Posted: Sayap kelawar di cuping telinga Oleh AHMAD ISYAFIQ MAD DESA SEMPIT dan gelap sambil sesekali kedengaran kibasan sayap sang kelawar di cuping telinga menambah keresahan hati. Tambahan pula sumber cahaya hanya bergantung kepada sinaran matahari yang sesekali menerobos dari celahan dinding gua yang berusia ribuan tahun ini. Pergerakan juga terbatas kerana pengunjung terpaksa berbaring di atas pelampung sejauh 200 meter semasa menempuh laluan sungai yang terdapat di dalam Gua Merapoh. Mujur topi keselamatan yang dipakai lengkap dengan lampu hadapan dan berjaya melegakan tekanan apatah lagi selepas menyaksikan keindahan permukaan batu gua berkenaan yang berkilau bagaikan bintang di langit. Demikian gejolak adrenalin yang akan dilalui peserta yang melakukan aktiviti cave tubing selama 30 minit di Gua Merapoh. Seorang pengunjung, Akira Baharuddin, 21, berkata tekanan yang dirasai sepanjang 30 minit menyusuri gua berkenaan tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Bagaimanapun katanya, saat tiba di lokasi yang dituju dan menyaksikan sendiri keunikan garis-garis pada dinding gua yang diselang-seli dengan batu bergemerlapan dapat mengubat seketika perasaan gemuruh sepanjang menyusuri air di gua itu. "Kami diberikan latihan ringkas untuk membiasakan suhu tubuh dengan keadaan air gua. Air di gua ini juga kelihatan seperti bertakung dan tidak berarus. "Selepas beberapa minit bermain dengan air, bermulalah perjalanan kami menyusuri air dengan melalui setiap ruang di dalam gua," ceritanya ketika ditemui Kosmo!. Akira menambah, cabaran utama cave tubing terletak pada ketahanan psikologi berbanding cabaran fizikal. KEUNIKAN lapisan permukaan dinding yang terbentuk secara semula jadi di Gua Tahi Bintang menarik perhatian pengunjung. Diapit "Tubuh kita bagaikan diapit di antara dinding gua dan permukaan air. Kalau ikutkan hati mahu sahaja saya menjerit. Tetapi jika anda berbaring dan kendurkan otot perasaan itu hilang serta-merta. "Apatah lagi ketika anda membuka mata dan menyalakan lampu hadapan di topi keselamatan, anda pasti terpukau dengan ukiran dinding gua yang cantik," jelasnya. Aktiviti cave tubing sangat sesuai bagi mereka yang ingin melihat keunikan dinding gua dengan cara yang berbeza dan mencabar. Dalam satu masa hanya lima orang dibenarkan mengikuti aktiviti itu. Alatan yang diperlukan adalah pelampung dan jaket keselamatan. Namun, pengunjung perlu bersedia untuk basah sepanjang aktiviti itu dilakukan. Bagi pengunjung yang tidak gemarkan aktiviti air, terdapat juga pilihan meneroka keindahan gua melalui ekspedisi berjalan kaki. Antara gua yang sering menjadi pilihan dan buah mulut masyarakat tempatan ialah Gua 1001 Cerita yang terletak kira-kira 50 meter dari lokasi cave tubing. Mengapa ia memegang gelaran Gua 1001 Cerita sering menjadi tanda tanya dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke sini. Permukaan batu dan tanah yang sedikit lembap serta licin menyukarkan lagi pergerakan peserta. Walaupun tidak mengenali antara satu sama lain, ukhuwah jelas terjalin dalam kalangan peserta sepanjang usaha menawan Gua 1001 Cerita. Selepas berhempas-pulas hampir setengah jam melalui kawasan hutan renek yang basah dan 'berperang' dengan pacat serta lintah, permukaan dinding gua yang dipenuhi lakaran purba menyambut kedatangan pengunjung. Ketika tiba di pintu masuk gua berkenaan, Gua 1001 Cerita tiada bezanya berbanding gua-gua yang lain. Seperti lazimnya, air menitik ke atas lantai bergema di dalam gua. CORAK permukaan lantai dan dinding Gua Tahi Bintang terhasil daripada hakisan air sejak 400 tahun lalu. Tetapi keunikan dan tarikan gua berkenaan terletak pada lakaran purba di dinding gua yang dipercayai berusia lebih 100 tahun. Kepelbagaian lakaran dan karakter pada permukaan dinding gua sekali gus menjawab persoalan dalam kalangan pengunjung mengapa gua itu menerima jolokan Gua 1001 Cerita. Ketika majoriti pengunjung leka merakamkan gambar dan foto lakaran di dinding gua, seorang pengunjung khusyuk menyentuh dan meraba setiap lakaran yang ada. Jelas riak pada wajahnya mengekspresikan pelbagai persoalan, kadangkala mengerutkan dahi, kemudian termenung jauh sebelum duduk dan memangku dagu. Tara Yean, 24, memberitahu, dia seakan-akan tergamam saat menyaksikan lakaran pada dinding gua tersebut. Katanya, jika benar ia dilukis oleh orang asli kuno seperti yang didakwa masyarakat tempatan di sini, ia penemuan yang sangat berharga dan perlu dipelihara. Muzium "Inilah pertama kali dalam hidup saya menyaksikan lakaran yang berusia hampir seabad dengan mata saya sendiri. Malah, saya boleh sentuh dan membeleknya sepuas-puasnya. "Pada kebiasaannya lakaran purba seperti ini hanya wujud atau dilukis semula dalam bentuk arkib di muzium. Perasaan sangat berbeza apabila berpeluang menyaksikan lukisan purba ini secara langsung," katanya. Ujarnya lagi, dia turut tergamam apabila menyaksikan setiap lukisan itu mempunyai gambaran masa hadapan seperti usaha untuk menerbangkan manusia. "Mungkin kita mempunyai satu perasaan kononnya kitalah generasi yang penuh dengan idea dan impian yang menggunung tinggi. "Tetapi lakaran di sini menjadi bukti bahawa manusia sebelum kita terlebih dahulu memikirkan pelbagai kaedah termasuk menerbangkan manusia," katanya sambil membelek lakaran seperti manusia diikatkan pada sebuah layang-layang besar. Selain Gua 1001 Cerita, Gua Tahi Bintang turut mempunyai keunikannya kerana dinding gua tersebut dipenuhi dengan ukiran semula jadi hasil hakisan air. Ia digelar Gua Tahi Bintang kerana hakisan dan ukiran pada gua terbentuk bagaikan tahi bintang yang sedang jatuh.
Gua Tahi Bintang juga adalah gua yang paling mudah untuk dilawati dan menyimpan pelbagai fosil yang juga melambangkan usia gua berkenaan. Walaupun gua tersebut paling mudah untuk dilawati, setiap batu gua yang memerlukan tempoh 10 juta tahun membentuk satu lapisan boleh mati sekiranya disentuh. Gua berkenaan yang berusia hampir 400 juta tahun dipercayai pernah ditenggelami laut berdasarkan beberapa fosil cengkerang dan batu karang yang tertanam di dalam dindingnya. Peserta ekspedisi, Yuslinda Fozi, 31, berkata, gua-gua yang terdapat di Merapoh perlu dipertahankan. 'Kita terlalu mudah untuk tidak menghargai kelebihan alam semula jadi yang berada di sekeliling kita berbanding di negara luar. Apabila ia semakin pupus dan mula terancam baru kita hendak ambil tindakan. "Pada saya sekiranya langkah lewat diambil untuk memulihara gua ini, tiada gunanya ia dipertahankan lagi," katanya. | |
Hamparan salji menyelimuti Astana Posted: Hamparan salji menyelimuti AstanaOleh NORSHAZLINA NOR' AZMAN KHAN Shatyr atau Maharaja Khemah sering menerangi waktu malam Astana dengan warna neonnya. BUKAN sahaja rasa dingin sampai ke tulang tetapi diri bagaikan membeku seperti ais. Demikian pengalaman penulis sewaktu berkunjung ke Astana, ibu negara Kazakhstan pada pertengahan Disember tahun lalu. Peluang berada di Kazakhstan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-22 negara itu membuka ruang kepada penulis berkongsi keindahan seni bina yang terdapat di ibu negara Kazakhstan iaitu Astana. Selepas menempuhi lapan jam penerbangan, penulis akhirnya selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Almaty di Kazakhstan. Namun perjalanan penulis ke Astana masih berbaki kira-kira sejam 45 minit dengan pengangkutan udara. Penulis yang turut bersama lima lagi rakan media dari Malaysia menaiki penerbangan seterusnya ke Astana. Pada suhu paras negatif 15 darjah Celsius, Kazakhstan yang juga negara bekas jajahan Soviet Union dikenali sebagai sebuah negara yang mempunyai inovasi seni bina bercirikan alam semula jadi. Bandar paling sejuk Astana yang merupakan sebuah bandar pentadbiran di Kazakhstan turut memegang gelaran ibu negara kedua paling sejuk di dunia. Sepanjang menaiki sebuah van mini dari lapangan terbang ke rumah penginapan, tiada apa yang dapat penulis lihat kecuali hamparan salji yang menyelimuti bumi Astana. Cuma sesekali beberapa bangunan masih gah menyerlahkan reka bentuk yang sangat futuristik. Selepas menerima gelaran ibu negara Kazakhstan pada tahun 1997, Astana, menjadi sebuah bandar raya moden dan dirancang rapi pembangunannya oleh Presiden, Nursultan Nazarbayev. Astana yang mempunyai kepadatan kira-kira 700,000 penduduk menyaksikan pelbagai struktur bangunan yang pelik tetapi mengagumkan. Antara monumen yang sering menjadi tarikan ialah bangunan kaca piramid setinggi 62 meter yang dikenali sebagai Palace of Peace and Reconciliation. Bangunan lima tingkat itu menempatkan sebuah dewan opera dengan kemampuan tempat duduk sebanyak 1,323, termasuk dewan serba guna dan kemudahan lain. Reka bentuk bangunan itu adalah hasil tangan arkitek tersohor Britain iaitu Sir Norman Foster. Monumen itu turut berfungsi sebagai tempat pertemuan para pemimpin agama dunia untuk mewujudkan persefahaman antara agama. MASJID Hazrat Sultan mampu menampung sehingga 12,000 jemaah pada satu-satu masa. Menara setinggi 105 m yang kelihatan seperti sepohon pokok poplar sedang menatang telur emas burung ajaib sering dikaitkan dengan kebahagiaan dalam kalangan penduduk tempatan. Menara yang bernama Bayterek adalah tarikan pelancongan di Kazakhstan menawarkan perkhidmatan menyaksikan keindahan seluruh Astana di tingkat teratas menaranya. Suasana malam di Astana diterangi dengan gemerlapan warna neon menghiasi sebuah khemah putih gergasi dengan jolokan nama Khan Shatyr bermaksud maharaja khemah. Direka oleh Norman Foster, khemah terbesar dunia itu merangkumi pusat hiburan, membeli-belah termasuk pusat kecantikan dan kolam renang seakan-akan pantai. Teater terbesar Kaya dengan kepelbagaian keseniaan dan kebudayaan, Astana Opera merupakan antara teater terbesar di dunia yang dibina di atas tanah seluas 3.6 hektar bersama pentas gergasi dengan keluasan 3,000 meter persegi. Tidak lengkap rasanya jika penulis tidak berkunjung sebentar di masjid terbesar di Asia Tengah iaitu Masjid Hazrat Sultan. Mampu menampung sehingga 12,000 jemaah pada satu-satu masa, ia dibuka kepada pengunjung hampir setiap hari termasuk kepada pengunjung bukan muslim. Masjid yang putih berkilat itu dibina bercirikan gaya klasik Islam dan hiasan dalamannya dihiasi dengan perhiasan tradisional Kazakh. Anehnya, meskipun suhu di luar jatuh sehingga bawah 0 darjah Celsius, para pengunjung masih boleh merasa kehangatan di dalam masjid itu. Ini kerana masjid itu dilengkapi dengan sistem pemanas moden di bawah permaidani. Masjid setinggi empat tingkat itu mempunyai dewan solat khas untuk lelaki dan wanita, bilik membaca al-Quran termasuk kelas khas untuk tajwid dan bahasa Arab. Selain itu, terdapat kemudahan lain seperti perpustakaan, dewan majlis perkahwinan dan studio rakaman radio dan televisyen. Kazakhstan merupakan sebuah negara sekular dengan penduduk beragama Islam sebagai majoriti. Dianggarkan 70 peratus daripada 17 juta penduduk Kazakhstan beragama Islam fahaman Sunah berasaskan mazhab Hanafi. – Bernama | |
Dingin desa di Resort Long Mio Posted: Dingin desa di Resort Long MioOleh MOHD NOOR MAT AMIN PEMANDANGAN indah Kampung Long Pasia dari kawasan bukit kampung itu pastinya meninggal kenangan indah buat pengunjung. KEDAMAIAN dan keindahan alam semula jadi perkampungan yang terletak di kawasan rimba pastinya memberikan pengalaman yang amat menarik kepada pengunjung. Terletak 128 kilometer dari pekan Sipitang, Sabah, Kampung Long Pasia dan Kampung Long Mio betul-betul berada di sempadan Sabah, Sarawak dan Kalimantan, Indonesia. Kedua-dua kampung itu terkenal sebagai perkampungan tanpa wayar berikutan bantuan kerajaan yang menyediakan kemudahan Wi-Fi di samping elektrik, sekolah, perubatan dan televisyen secara percuma. Terdapat lebih kurang 85 buah rumah di sini yang dihuni kira-kira 600 orang penduduk daripada etnik Lundayeh. Bagi memudahkan pengunjung bercuti di situ, Resort Long Mio dibuka atas usaha Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sipitang. Dibina 8 kilometer dari perkampungan itu, Resort Long Mio mempunyai keunikannya yang tersendiri. Ia terletak berdekatan dengan sungai manakala kedinginan malamnya dirasakan sangat semula jadi. Hanya perkhidmatan kenderaan pacuan empat roda yang boleh digunakan untuk ke resort dan perkampungan ini, itu pun dengan menggunakan laluan lori balak. Pemanduan dari pekan Sipitang mengambil masa selama lima jam. Jika dahulu penduduk mengambil masa sehingga empat malam berjalan kaki untuk keluar ke pekan Sipitang, kini laluan lori balak ini memudahkan mereka berulang-alik ke sana. Sepanjang perjalanan melalui jalan yang berliku itu, pengunjung dapat menyaksikan keindahan panorama hutan rimba serta mendengar kicauan burung yang terbang bebas. Pegawai PPK Sipitang merangkap Pengurus Resort Long Mio, Abdul Jamil Ebrahim berkata, resort itu dibuka sejak tahun 2008. Menurutnya, pihaknya juga menawarkan dua jenis kategori bilik dan dua buah asrama yang dapat memuatkan seramai 50 orang pada satu masa. SEBUAH bilik asrama menyediakan kelengkapan untuk 25 orang tetamu. Terdapat juga sebuah dewan terbuka yang sesuai untuk mengadakan seminar dan majlis. "Tiada pendingin hawa dipasang di bilik resort ini. Tenaga elektrik yang menggunakan generator akan dimatikan tepat pukul 12 tengah malam dan dihidupkan kembali pada pukul 5 pagi. Ia bertujuan agar semua pengunjung dapat menikmati bunyi-bunyian rimba secara jelas," ujarnya. Penyelidik Kebiasaannya, Resort Long Mio menjadi tempat penginapan sementara para penyelidik dari dalam atau luar negara, di samping kakitangan kerajaan dan swasta yang mengunjungi perkampungan tersebut. Sementara itu, pelbagai agensi kerajaan dan swasta telah mengadakan kursus dan seminar di resort ini memandangkan persekitarannya yang bebas daripada dunia luar sama ada akses telefon bimbit mahupun siaran televisyen. Pada musim cuti sekolah, resort ini turut menjadi tumpuan penuntut universiti, pelajar sekolah dan keluarga yang mengadakan lawatan ke Long Pasia. Menurut Abdul Jamil, harga bilik penginapan bermula RM120 semalam, sementara asrama RM25 seorang. "Pihak kami juga menyediakan pakej dan perkhidmatan lain bagi kemudahan semasa dengan harga yang amat berpatutan. "Pakej penginapan asrama termasuk makan bermula RM70, namun begitu ia bergantung kepada jumlah pengun |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Horizon To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |