Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- KR1M, pasar tani diperluas di Johor
- FAMA perkenal Pasar Bergerak 1Malaysia
- MAINJ rancang bina 100 rumah bernilai RM5.5 juta bantu golongan miskin
KR1M, pasar tani diperluas di Johor Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST Oleh NURUL HUDA HASSAN Mohamed Khaled Nordin (dua dari kanan) bersama Lim Ik Kin (tiga dari kanan) menggaul yee sang sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Persekutuan Tiong Hua, Johor Bahru, semalam. - Utusan/Amin Farij Hasan JOHOR BAHRU 31 Jan. - Dalam usaha memastikan rakyat tidak terbeban dengan kenaikan kos sara hidup pada masa kini, kerajaan negeri akan memperbanyakkan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di negeri ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pada masa sama, enam lagi lokasi pasar tani di Johor akan ditambah supaya rakyat dapat membeli barangan keperluan dengan harga lebih murah. "Selain itu, kita juga akan mewujudkan 12 lagi pasar ikan di seluruh negeri ini dan lokasinya kini sedang dikenal pasti sekali gus pembinaannya kelak dapat dimanfaatkan masyarakat di negeri ini. "Kerajaan negeri akan sentiasa berusaha membantu meringankan beban rakyat," katanya ketika berucap di hadapan lebih 500 kaum Cina sempena sambutan Tahun Baharu Cina di Wisma Persekutuan Tiong Hua, di sini hari ini. Yang turut hadir, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor, Lim Ik Kin. Selain menghadiri sambutan di situ, beliau turut menghadiri majlis rumah terbuka dianjurkan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong di Benut, Pontian. Sementara itu, Mohamed Khaled turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persekutuan Tiong Hua supaya terus memainkan peranan dalam usaha mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat di negara ini. Tambahnya, perpaduan yang kukuh dapat membantu dalam usaha membangunkan negeri ini terutama untuk menarik pelaburan asing ke Johor khususnya di kawasan Iskandar Malaysia yang kini sedang pesat berkembang. "Persekutuan Tiong Hua ini juga boleh terus memainkan peranan dengan menjadi jambatan antara kerajaan dan kaum Cina supaya hubungan yang sudah terjalin sekian lama dapat terus dieratkan pada masa akan datang," katanya. |
FAMA perkenal Pasar Bergerak 1Malaysia Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST Mohd. Sharizan Mansur (dua dari kanan) dan Sapawi Johari (tengah) memotong pulut kuning sempena Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-29 di Johor Bahru, kelmarin. JOHOR BAHRU 31 Jan. - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan memperkenalkan perkhidmatan baharu iaitu Pasar Bergerak 1Malaysia bermula Februari ini. Timbalan Pengarah FAMA negeri, Mohd. Sharizan Mansur berkata, projek tersebut masih berada dalam fasa percubaan dan Johor Bahru akan menjadi salah satu lokasi projek berkenaan selain Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. "Pengenalan pasar bergerak ini bertujuan untuk memudahkan orang ramai khususnya yang berada di kawasan perumahan berkepadatan tinggi untuk membeli barangan keperluan harian mereka. "Barangan yang akan dijual pula selain produk asas tani, pasar bergerak ini akan turut menjual barangan yang dijual di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M)," katanya pada majlis Sambutan Ulang Tahun Pasar Tani Ke-29 di Pasar Tani Datin Halimah, di sini semalam. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Peserta Pasar Tani negeri, Sapawi Johari. Buat permulaan, kata Mohd. Sharizan, pasar bergerak tersebut akan beroperasi di kawasan Desa Mutiara, Kempas, Sri Stulang dan Pasir Gudang. Tambahnya, sepanjang 29 tahun penubuhan FAMA, pihaknya kini menyediakan sebanyak 57 tapak pasar tani di seluruh negeri dan bakal menambah enam lagi tapak di lokasi berbeza. "Selain memberi kemudahan kepada masyarakat umum untuk mendapatkan barang keperluan mereka dengan mudah, penambahan lokasi pasar tani ini juga memberi peluang kepada usahawan tani untuk memasarkan produk mereka," katanya. |
MAINJ rancang bina 100 rumah bernilai RM5.5 juta bantu golongan miskin Posted: 31 Jan 2014 11:55 AM PST JOHOR BAHRU 31 Jan. - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) akan membina kira-kira 100 unit rumah baharu yang menelan kos kira-kira RM5.5 juta untuk golongan miskin pada tahun ini. Ketua Penolong Pengarah Zakat Baitulmal dan Wakaf MAINJ, Mustafa Omar berkata, peruntukan untuk membina rumah di tanah persendirian dan bukan persendirian dengan kebenaran merupakan sebahagian daripada dana RM178 juta bagi membantu golongan asnaf di negeri ini. "Kita juga berhasrat untuk menggunakan peruntukan itu bagi memperbanyakkan lagi bantuan rumah transit di negeri ini kepada golongan asnaf, namun masih belum menemui lokasi yang bersesuaian. "Hingga kini, kita hanya mempunyai 17 rumah transit yang terletak di daerah Johor Bahru, Muar, Ledang dan Segamat," katanya dalam Majlis Penyerahan Rumah Transit Kepada Asnaf di Taman Impian, Skudai di sini semalam. Pada majlis itu, MAINJ menyerahkan rumah transit kepada Ramudin Yusuf, 56, yang dahulunya tinggal secara daif di kawasan Kempas bersama tiga anaknya berusia lapan, 16 dan 22 tahun. Mustafa berkata, MAINJ mendapat maklumat tentang Ramudin yang sudah lebih 25 tahun tidak bekerja kerana kecederaan di tempat kerja daripada jirannya. "Kesemua penerima bantuan rumah transit berkenaan dibenarkan tinggal seberapa lama mungkin dan diberikan bantuan sara hidup berjumlah RM400 sehingga mampu hidup berdikari," katanya. Terdahulu, MAINJ menyampaikan bantuan rumah transit di Pangsapuri Jasa, Mutiara Rini dekat sini kepada ibu tunggal, Rubiah Omar, 60, yang tidak mempunyai pendapatan tetap dan bergantung dengan hasil jualan kuih-muih. Rubiah bersyukur kerana diberikan rumah dan bantuan sara hidup oleh MAINJ setelah lima kali berpindah rumah kerana tidak mampu membayar sewa. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |