Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST Oleh OPAT RATTANACHOT KU Rahman Ku Ismail (kanan) menunjukkan ayam segar selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Pasar Besar Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA KULIM 29 Jan. - Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati, terutamanya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina boleh membuat aduan di kaunter khas yang disediakan di pasar- pasar awam utama negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kaunter tersebut diwujudkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) sebagai langkah membolehkan orang ramai membuat aduan terus kepada pegawai yang bertugas. Katanya, langkah tersebut juga memudahkan pihak berkuasa memantau kenaikan harga barangan secara melampau hingga membebankan pengguna. "Dengan adanya kaunter ini, aduan disalurkan terus kepada pegawai PDNKK dan mereka boleh mengambil tindakan serta-merta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pasar Besar Awam Kulim, di sini baru-baru ini. Yang hadir bersama ialah Pengarah PPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee dan Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Datuk Mohd. Hadzir Ismail. Ku Abdul Rahman berkata, secara umumnya, harga bahan makanan di pasar-pasar utama negeri ini masih terkawal meskipun berlakunya sedikit peningkatan terhadap ikan dan hasil laut. "Sayur-sayuran tempatan juga berlaku sedikit kenaikan. Contohnya kobis Cameron Highlands. Namun begitu, para pengguna mempunyai pilihan dan saya melihat ramai daripada pengguna memilih kobis import dari Thailand yang harganya rendah sekitar 50 sen berbanding kobis tempatan," katanya. Sementara itu, Mohd. Sakri berkata, pihaknya telah membekukan cuti rehat semua 150 kakitangan pejabat itu di negeri ini sepanjang tempoh berlangsungnya kempen kawalan harga mulai 26 Januari lalu hingga 9 Februari ini. |
Rakyat perlu hargai keamanan di Malaysia Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST SUNGAI SIPUT 29 Jan. - Rakyat diminta supaya bersyukur dan menghargai keamanan yang dinikmati hari ini sehingga membolehkan semua kaum meraikan dan menyambut hari kebesaran masing-masing dalam suasana yang meriah dan harmoni. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun berkata, keadaan di Malaysia tidak sama di sesetengah negara yang bergolak sehingga ada yang menyebabkan rakyatnya terpaksa melarikan diri. Menurutnya, pergolakan di negara luar bukan lakonan tetapi kenyataan sebenar kehidupan yang terpaksa dilalui oleh rakyatnya kerana ketidakstabilan politik dan ketidakmampuan kerajaan mentadbir dengan baik. "Walaupun Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, suasananya aman sehingga rakyat dapat meraikan dan bebas merayakan hari kebesaran masing-masing tanpa diganggu gugat oleh kaum lain. "Untuk itu rakyat haruslah menghargai keamanan, ekonomi dan politik yang stabil yang kita nikmati hari ini," katanya ketika penyampaian angpau sempena Tahun Baharu Cina di Wisma UMNO Bahagian Sungai Siput di sini hari ini. Pada majlis itu, seramai 200 orang kaum Cina yang terdiri daripada golongan kurang upaya, warga emas, ibu tunggal dan miskin di kawasan Parlimen Sungai Siput menerima angpau sempena Tahun Baharu Cina. Mohd. Zolkafly menegaskan, kerajaan tidak pernah melupakan rakyat dengan memberikan pelbagai bantuan dan berharap rakyat menilai sendiri apa sumbangan kerajaan terhadap mereka. Katanya, terlalu banyak memberikan bantuan kepada rakyat termasuklah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM), bantuan persekolahan, bantuan orang kurang upaya dan orang miskin untuk meringankan beban hidup mereka. "Kerajaan juga memberikan bantuan menjelang sambutan hari kebesaran setiap kaum, contohnya pemberian angpau sempena ketibaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi," katanya. |
Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST Oleh FAJAR NUR SURIA AZMAN PULAU PINANG 29 Jan. - Jabatan Kesihatan negeri mengarahkan supaya sebuah tapak pembinaan di Seberang Perai Tengah ditutup ekoran gagal mematuhi arahan dan membiarkan kawasan itu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes. Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Lailanor Ibrahim berkata, arahan penutupan itu dibuat mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957. "Hasil pemeriksaan yang dijalankan menerusi Ops Gempur Aedes semalam, kita dapati kawasan tapak pembinaan berkenaan mempunyai beberapa tempat pembiakan nyamuk aedes yang menjadi punca demam denggi. "Untuk itu kita mengarahkan tapak pembinaan itu ditutup sehingga pihak pengurusannya selesai menjalankan kerja-kerja pembersihan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Sementara itu ditanya mengenai statistik denggi di negeri ini Lailanor berkata, kes demam denggi meningkat sebanyak 208 kes bagi tempoh 25 hari pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu. Katanya, daerah Timur Laut dan Seberang Perai Tengah merupakan daerah yang mencatatkan peningkatan ketara kes demam denggi di negeri ini. "Dua kematian disebabkan denggi dicatatkan di daerah Timur Laut dan satu kematian di daerah Seberang Perai Tengah. "Antara punca peningkatan kes demam denggi ini adalah terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes sama ada di dalam kawasan rumah atau di kawasan-kawasan perumahan," katanya. Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat sama-sama bertanggungjawab dalam memastikan kawasan persekitaran rumah bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes. "Bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda demam denggi seperti demam panas dengan tiba-tiba yang disertai dengan sakit kepala dan badan, mereka perlu segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan. Sebarang aduan mengenai denggi atau kawasan pembiakan nyamuk aedes boleh terus disalurkan kepada Pejabat Kesihatan negeri melalui talian 04-2828500 atau e-mel kepada kesihatan@ppg.moh.gov.my, katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |