Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Pelantikan, pemecatan tidak sah
- Melaka sasar bina 10,000 rumah mampu milik 2015
- Op Selamat turut libatkan aktiviti cegah jenayah
Pelantikan, pemecatan tidak sah Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR Mohamad Hasan SEREMBAN 29 Jan. - Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan disiplin terhadap pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) yang melantik mahupun melucutkan ahli jawatankuasa masjid di daerah- daerah sebelum penghujung Mac ini. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah menerima beberapa aduan berlakunya pemecatan dan pelantikan baharu imam, bilal dan siak yang dilakukan oleh pegawai agama daerah. ''Kita amat memandang serius terhadap perkara ini kerana saya telah keluarkan arahan bahawa semua ahli jawatankuasa masjid sedia ada sudah dilanjutkan perkhidmatannya sehingga hujung Mac. ''Tetapi malang sekali ada pegawai agama daerah yang bertindak mengeluarkan surat melucutkan jawatan imam, bilal dan siak di beberapa daerah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri, di sini hari ini. Sehubungan itu, Mohamad menegaskan, sebarang pelantikan mahupun pemecatan yang dilakukan oleh pegawai agama terbabit adalah tidak sah. ''Jika ada kekeliruan tentang definisi jawatankuasa masjid kerana ada yang mengatakan mereka hanya terdiri daripada nazir, setiausaha dan bendahari, ia tidak tepat. ''Saya ingin mengingatkan bahawa imam, bilal dan siak turut tergolong dalam jawatankuasa masjid, maka semua pelantikan baharu yang dilakukan oleh pegawai agama Islam daerah adalah tidak sah," ujarnya. Tambahnya, perkara tersebut wajar diperbetulkan atau pihak berkuasa kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang bertanggungjawab memecat mahupun melakukan pelantikan baharu sebelum tempoh terbabit. ''Semua pelantikan baharu yang dilakukan sebelum hujung Mac adalah bertentangan dengan polisi kerajaan negeri. ''Mereka yang melakukan perkara ini tidak menghiraukan polisi sedia ada dan boleh dikenakan tindakan kerana mencabuli peraturan kerajaan negeri," katanya. |
Melaka sasar bina 10,000 rumah mampu milik 2015 Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST Idris Haron (dua dari kanan) menerima replika cek bayaran yuran komitmen daripada Pengarah Urusan Mega Three Sdn. Bhd., Tan Suan Ching (dua dari kiri) sambil disaksikan Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka, Saleh Mohd. Dom (kanan) di Ayer Keroh, Melaka, semalam. MELAKA 29 Jan. - Kerajaan negeri menyasarkan untuk membina 10,000 rumah mampu milik dalam tempoh dua tahun bagi menggalakkan rakyat negeri ini memiliki kediaman sendiri. Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, peningkatan jumlah penduduk negeri ini juga antara faktor usaha berkenaan dilakukan. Menurutnya, pada masa ini, kerajaan negeri kurang memberi tumpuan kepada projek perumahan elit tetapi lebih memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik. "Projek perumahan mampu milik ini adalah salah satu usaha kerajaan negeri menjaga kebajikan rakyat terutamanya yang berpendapat rendah supaya semuanya mampu memiliki rumah. "Projek ini akan dilaksanakan secara berterusan dan akan ditingkatkan dari semasa ke semasa bergantung kepada keperluan dan permintaan rakyat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan Mega Three Sdn. Bhd. (Mega Three) di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. Dalam perjanjian itu, Mega Three bersetuju membina 388 unit rumah mampu milik di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah. Projek pembinaan di tanah berkeluasan 12.14 hektar itu dijangka siap sepenuhnya pada 2016. Idris menyeru lebih banyak pemaju bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui LPM bagi membangunkan projek yang dapat memberikan manfaat besar kepada rakyat keseluruhannya. |
Op Selamat turut libatkan aktiviti cegah jenayah Posted: 29 Jan 2014 10:58 AM PST Ismail Lasim melepaskan Skuad Peronda Polis pada majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu Cina di Tol Setul, Lebuhraya Kajang-Seremban, semalam SEREMBAN 29 Jan. - Pengawasan kenderaan pada musim perayaan melalui Op Selamat 4/2014 yang dilaksanakan tidak hanya tertumpu di jalan raya, malah melibatkan keseluruhan aspek berkaitan keselamatan dan cegah jenayah. Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Manan Mohd. Hassan berkata, tumpuan Op Selamat adalah mengurangkan kadar kemalangan jalan raya, mendidik pengguna serta memastikan mereka selamat ke destinasi masing-masing. "Selain itu, aspek cegah jenayah dengan memastikan keselamatan kejiranan terjaga apabila mereka pulang ke kampung," katanya di Tol Setul, Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas), dekat sini hari ini. Beliau ditemui selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya sempena Tahun Baharu China di Lekas yang dirasmikan oleh Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR), Datuk Ismail Lasim. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemudahan Awam, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Datuk Abu Ubaidah Redza dan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri, Saiful Azzri Hamzah. Kata Abd. Manan, buat masa ini statistik kemalangan dalam Op Selamat sejak dilancarkan pada 24 Januari sehingga hari ini menunjukkan sebanyak 289 kemalangan dengan lima kematian. "Kita berharap angka ini dapat dikawal melalui Op Selamat dan esok, adalah kemuncak apabila ramai akan balik kampung. Nasihat saya, berhati-hati memandu dan sentiasa utamakan keselamatan," jelasnya. Sementara itu, Ismail memberitahu, lokasi Lekas dipilih kerana terdapat peningkatan kenderaan yang memerlukan kempen kesedaran ini dilaksanakan. "Pada hari ini pelbagai agensi terlibat termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak hotel. Ini menunjukkan NGO mahu bersama-sama dalam kempen keselamatan jalan raya ini," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |