Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
- Bermain kaedah terbaik rangsang minda
- Anak istimewa penghibur keluarga
- Kes culik resahkan ibu bapa di China
Bermain kaedah terbaik rangsang minda Posted: Bermain kaedah terbaik rangsang mindaTEPAT pukul 7.30 pagi, Fazila Ali, 22, bersama tiga guru terapi di Taska Anak Istimewa Sindrom Down (Anisd), menerima kunjungan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke taska tersebut. Fazila memulakan sesi pengajaran dengan aktiviti audio visual sebagai langkah awal untuk menarik minat lapan orang anak-anak sindrom Down melakukan aktiviti seterusnya sepanjang hari. Melalui aktiviti itu, dia memasang lagu kanak-kanak dan kartun Upin dan Ipin yang berjaya mencuri tumpuan mereka. Usai tamat aktiviti itu pada pukul 9 pagi, Fazila memulakan aktiviti oral motor. Kesemua lapan orang anak-anak istimewa itu wajib melakukan aktiviti itu kerana ia merupakan langkah terbaik untuk tubuh badan mereka. "Oral motor merupakan teknik urutan untuk bayi sindrom Down yang baru lahir hingga tiga tahun. Urutan ini dilakukan pada mulut, kaki dan tangan bayi. Menerusi urutan ini, ia memberi rangsangan otot pada ketiga-tiga bahagian tersebut," ujar Fazila yang juga merupakan penyelia Taska Anisd. Kepada yang tidak didedahkan dengan teknik urutan itu pasti menganggap ia merupakan pendekatan yang kasar kepada bayi. Sekiranya bayi itu sudah biasa dengan urutan itu, mereka akan sentiasa tersenyum sebagai tanda selesa. Selain itu, urutan bercorak dengan melakukan pergerakan tengkuk dan kaki juga mampu memberi kekuatan pada bahagian tersebut. KAEDAH terapi yang betul akan membantu kecergasan mental dan fizikal anak-anak sindrom Down. Taska Anisd merupakan satu-satunya pusat penjagaan bayi dan kanak-kanak sindrom Down di Malaysia di bawah kendalian Persatuan Sindrom Down Malaysia (PSDM) yang mendapat geran dari Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM). Beroperasi sejak 1 Julai lalu, seramai lapan orang bayi dan kanak-kanak sindrom Down yang berusia kurang setahun hingga tujuh tahun mendapat khidmat di taska tersebut. Taska merupakan sebuah pusat awal untuk menempatkan anak-anak istimewa sebelum mereka memasuki alam persekolahan kelak. Di taska Anisd, pihak pengurusan menerapkan dua konsep utama iaitu terapi cara kerja dan fisioterapi. Ia merupakan antara elemen yang penting untuk tumbesaran anak-anak istimewa. Menurut Fazila, aktiviti bermain pelbagai permainan merupakan kaedah terbaik untuk mengajar mengenai pengetahuan asas kepada mereka. "Anak-anak istimewa mempunyai kesukaran untuk fokus dalam melakukan sesuatu perkara. Kami menggunakan permainan manik dan benang. Melalui permainan itu, mereka cuba memasukkan manik ke dalam benang. Ia juga merupakan kaedah dalam mendidik mereka agar lebih memberi perhatian dan tumpuan dalam melakukan sesuatu perkara. "Kadangkala, anak-anak istimewa ini sukar mengikut arahan ibu bapa atau guru di sini. Melalui permainan yang disediakan di taska ini, ia merupakan cara terbaik untuk merangsang minda mereka dengan keadaan persekitaran," ujar graduan Diploma Terapi Cara kerja, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam, Selangor itu. Tingkat kesedaran Objektif utama penubuhan taska tersebut ialah untuk meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman ibu bapa dan penjaga terhadap anak-anak sindrom Down. Selain itu, pihak pengurusan taska juga menitikberatkan kemahiran asas kehidupan iaitu menulis, membaca dan mengira melalui aktiviti harian.
Seorang ibu yang menghantar anaknya di Taska Anisd, Zuraini Ismail, 44, memberitahu, perkembangan fizikal anak bongsunya, Muhammad Danish Akmal Aisham, 3, semakin baik sejak dihantar ke taska tersebut empat bulan lalu. Menurutnya, pengisian jadual yang padat setiap hari memberi peluang kepada Muhammad Danish untuk melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukannya sebelum ini. "Di rumah, Muhammad Danish tidak didedahkan dengan aktiviti yang sesuai dengannya. Sekiranya tiada aktiviti, anak saya hanya duduk termenung. Saya dapat melihat Muhammad Danish lebih aktif dan berkebolehan untuk menyebut perkataan yang mudah. Bagi saya, terapi pertuturan di taska ini banyak membantunya untuk bercakap. "Muhammad Danish juga berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan anak-anak istimewa yang lain. Pihak taska juga banyak memberi saranan dan panduan yang ternyata membantu ibu bapa agar lebih memahami kehidupan anak sindrom Down," ujar penjawat awam di sebuah kementerian di Putrajaya itu. Menceritakan pengalaman menjaga anak kesayangannya itu, Zuraini pernah bercuti separuh gaji selama enam bulan untuk menjaga anaknya itu. Menurutnya, Muhammad Danish ketika itu berusia setahun enam bulan. Sifat fizikal anak-anak sindrom Down sememangnya mengalami kelewatan tumbesaran. Ketika itu, anaknya masih belum berkeupayaan berjalan. "Sepanjang enam bulan bercuti, saya menumpukan perhatian sepenuhnya untuk menjaga Muhammad Danish. Ketika itu, saya turut mendaftar sebagai ahli dalam PSDM. Keahlian saya dalam PSDM memberi peluang untuk saya mengumpul maklumat mengenai kaedah penjagaan anak sindrom Down. Dengan izin Allah SWT, Muhammad Danish berupaya untuk berjalan ketika berusia dua tahun," ujarnya. Tambah ibu kepada empat orang cahaya mata itu, dia amat yakin bahawa kemampuan guru terapi dan jadual aktiviti di Taska Anisd itu mampu membantu perkembangan minda dan fizikal anak-anak istimewa ketika tidak berada di bawah pengawasan ibu bapa. Guru terapi juga membantu kemahiran motor kasar dan halus fizikal serta minda anak-anak sindrom Down. Otot anak sindrom Down lebih lemah dan lembik jika dibandingkan dengan individu normal. SETIAP ruang di taska memudahkan anak-anak istimewa untuk melakukan aktiviti harian mereka dengan dibantu oleh guru terapi. Kemahiran motor Sehubungan itu, kemahiran motor kasar dan halus merupakan cara terbaik untuk menguatkan otot-otot mereka. Kemahiran otot kasar terbahagi kepada aktiviti yang menguatkan otot serta berkemampuan melakukan pergerakan merangkak, berjalan, melompat berlari dan menendang tanpa bantuan. Kemahiran motor halus pula bertujuan untuk menguatkan otot-otot jari yang membantu agar anak-anak sindrom Down dapat memegang, menulis dan mengepit sesuatu barangan dengan sendiri. Sementara itu, seorang ibu kepada anak sindrom Down yang kini berumur 18 tahun, Teng Irene, 59, berkongsi pendapat, taska Anisd merupakan tempat yang sesuai bagi ibu bapa bekerjaya untuk meninggalkan anak mereka sewaktu bekerja. Menurutnya, kaedah terapi cara kerja dan fisioterapi merupakan langkah terbaik untuk membantu perkembangan fizikal dan minda anak-anak sindrom Down. "Jika dibandingkan dengan masa dahulu, pusat penjagaan anak-anak sindrom tidak menekankan dua aspek ini. Fisioterapi merupakan cara terbaik untuk merangsang peraran darah anak-anak istimewa ini. Melalui cara itu, mereka mudah untuk mengadaptasi setiap perkara yang diajar dalam terapi cara kerja. "Semasa saya menjaga anak saya, Lim Zir Ren sewaktu dia masih bayi, pihak hospital mahupun doktor tidak memberi maklumat lengkap mengenai terapi cara kerja dan fisioterapi. Sebagai ibu bapa, kita perlu mempunyai inisiatif sendiri untuk membantu tumbesaran anak istimewa. Ibu bapa juga tidak seharusnya hanya bergantung kepada pihak taska semata-mata," ujarnya yang kini menetap di Kepong, Kuala Lumpur. | |
Anak istimewa penghibur keluarga Posted: Anak istimewa penghibur keluargaANAK-ANAK sindrom Down seharusnya memerlukan perhatian dan penjagaan rapi daripada ibu bapa. - Gambar Hiasan. KELAHIRAN Sheila Shahira Mohamed Hamidi, 13 tahun lalu ternyata membuka lembaran baharu dalam kehidupan Mohamed Hamidi Mohamed, 50, dan Sazila Salim, 49. Hasil perkahwinan selama lebih 20 tahun, mereka dikurniakan seramai lima orang anak. Namun, Sheila Shahira, 13, ternyata berbeza dengan seorang abang dan tiga kakaknya. Tidak diminta untuk dilahirkan sebagai sindrom Down atau anak istimewa, Sheila Shahira dianggap sebagai penghibur dalam keluarganya tidak kira suka atau duka. Pulang dari sekolah, Sheila Shahira atau lebih mesra disapa dengan panggilan Dikya gemar menonton televisyen. Dia mudah mengikut apa yang ditayangkan di kaca televisyen terutamanya bait-bait lirik lagu dalam siri kartun atau artis tempatan mahupun antarabangsa. "Penjagaan Sheila Shahira tidak sama seperti menjaga abang dan kakaknya sewaktu mereka kecil. Saya dan suami perlu memberi lebih tumpuan terhadapnya. Kulit yang membaluti tubuh selembut hatinya. Dia mudah tersentuh sekiranya saya menegur sesuatu kesalahan yang dilakukan. Tetapi dia juga cepat melupakan sesuatu perkara negatif," tutur Sazila ketika ditemui Kosmo! di kediamannya di Presint 15H, Putrajaya baru-baru ini. Proses pembelajaran Cerita Sazila, ketika Sheila Shahira dilahirkan sehingga berusia empat tahun, dia dan suami menghantar anaknya itu ke Hospital Selayang, Selangor untuk menjalani latihan terapi cara kerja dan fisioterapi. Banyak perkara yang dapat dipelajari daripada proses pembelajaran itu dan mereka juga dapat melihat perkembangan fizikal Sheila Shahira juga sejajar dengan usianya. "Ketika dia berusia 10 bulan, pihak hospital memberitahu, pemikirannya masih berada di tahap bayi empat bulan. Melalui rujukan doktor dan pembacaan di internet serta buku mengenai sindrom Down, kami mendapati ia merupakan fasa normal bagi anak-anak istimewa. "Keluarga memainkan peranan utama dalam perkembangan mental dan fizikal Sheila Shahira. Suami saya menetapkan peraturan yang ketat untuk anak-anak. Tetapi, setiap peraturan dan larangan diselangi dengan sebab yang munasabah terutama untuk Sheila Shahira. Dia mudah mendengar arahan asalkan keluarga tahu mengambil hatinya," ujar penjawat awam di salah sebuah organisasi kerajaan itu.
Tambah Sazila, ada dalam kalangan rakan-rakannya yang menyorokkan anak-anak sindrom Down kerana malu untuk berdepan dengan masyarakat. "Bagi saya, ibu bapa tidak seharusnya malu dengan kelahiran anak-anak istimewa ini. Ibu bapa perlu menjaga amanah Allah SWT tidak kira sama ada normal atau istimewa. Hanya keluarga terpilih sahaja yang diberi kurniaan anak istimewa ini," tuturnya. Penyusuan susu ibu Berkongsi panduan penjagaan bayi sindrom Down sewaktu kecil, Pakar Perunding Otorinolaringologi (kajian tentang penyakit telinga, hidung dan kerongkong), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Dr. Asma Abdullah memberitahu, penyusuan susu ibu merupakan antara langkah intervensi awal untuk anak-anak sindrom Down selepas dilahirkan. "Melalui teknik penyusuan susu ibu, ia membantu oral motor bayi sindrom Down berfungsi dengan baik. Bayi tidak akan mengalami masalah air liur meleleh sekiranya teknik penyusuan ibu diberikan kepada anak-anak sindrom Down. Bayi akan mengawal otot mulut dan pipi sewaktu proses tersebut sekali gus memperoleh khasiat penuh susu ibu. "Ibu juga perlu melakukan stimulasi tulang belakang iaitu urutan pada bahagian tulang belakang anak-anak sindrom. Urutan itu berupaya menguatkan otot leher dan tulang belakang bayi," jelasnya ketika ditemui Kosmo!. Tambahnya, anak-anak sindrom Down juga mempunyai masalah lambat untuk bertutur yang mempunyai kaitan dengan pendengaran mereka. "Kebanyakan anak-anak sindrom Down mempunyai masalah kehilangan pendengaran konduktif iaitu cecair di dalam telinga tengah. Cecair itu boleh dikeluarkan dengan pembedahan. Tetapi ia ternyata lebih sukar kerana fitrah anak-anak istimewa ini mempunyai lubang telinga yang kecil. Sebaiknya, mereka perlu memakai alat bantuan pendengaran. "Kebiasaannya, apabila anak-anak ini sudah dapat mendengar, mereka akan mudah untuk bertutur. Sekiranya perkembangan pertuturan dan pendengaran tidak selari, sila rujuk pakar-pakar di hospital dengan segera," ujarnya. - MUHAMMAD AYMAN GHAFFA | |
Kes culik resahkan ibu bapa di China Posted: Kes culik resahkan ibu bapa di ChinaPERNAH kehilangan anak kandungnya, Jinxiu kini membantu keluarga yang mengalami masalah sama. SELAMA 17 tahun, dia mencari anak lelakinya yang diculik, sehingga sanggup mengorbankan perkahwinan dan keluarga. Ironinya, selepas kedua-duanya bertemu semula, anak yang sudah dewasa memilih untuk tinggal berasingan. Kini, Ye Jinxiu hidup terbiar dan kembali bersendirian. Dia berkeliaran di jalan-jalan sekitar Fuzhou yang terletak di timur laut China sambil menghamparkan kanvas yang dipenuhi kepingan gambar kanak-kanak. Wanita berusia 59 tahun itu melakukan usaha murni dengan membantu ibu bapa yang kehilangan anak mereka. Setiap tahun, dicatatkan berpuluh ribu kanak-kanak di China hilang yang hampir kesemuanya adalah lelaki. Kebanyakan mereka dijual secara domestik memandangkan negara itu mempunyai polisi seorang anak dalam satu keluarga. Selain itu, kepercayaan tradisional yang mengutamakan anak lelaki dan sikap tidak peduli pihak berkuasa menjadi faktor peningkatan jumlah tersebut. "Kehilangan anak lebih teruk daripada jantung yang ditarik keluar. Jika seseorang mengeluarkan organ itu, ia hanya sakit dalam beberapa saat dan akhirnya mati. "Tetapi apabila kehilangan anak dan tidak menjumpainya kembali, perasaan sakit itu berlanjutan sehingga ke hari-hari seterusnya," ujar Jinxiu. Pihak berkuasa negara Tembok Besar itu tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai jumlah tepat kanak-kanak yang hilang tetapi memberitahu, mereka telah menyelamatkan 24,000 orang sehingga Oktober 2013. "Sejumlah besar kanak-kanak yang diculik adalah daripada keluarga miskin dan dijual kepada masyarakat kaya seperti di wilayah Fujian," ujar wartawan dari Beijing, Deng Fei. Dia menambah, ribuan kanak-kanak yang hilang dijual pada harga puluhan ribu yuan. Mangsa-mangsa culik kebiasaannya tinggal bersama ahli keluarga lain memandangkan ibu bapa mereka berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan. "Pihak polis menolak untuk membuka kes siasatan kerana peluang tipis untuk dijumpai semula. Kegagalan menyelesaikan kes itu akan merosakkan rekod pencapaian mereka. Terdapat juga sebahagian daripada mereka yang telah dirasuah oleh pembeli," ujar Deng Fei. Antara faktor lain pemerdagangan kanak-kanak adalah dilakukan oleh individu yang dipercayai oleh ahli keluarga mangsa. PENINGKATAN kes penculikan di China didalangi oleh satu sindiket pemerdagangan kanak-kanak. Mahkamah Menurut laporan media tempatan pada bulan Disember lalu, seorang doktor dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menjual tujuh orang bayi. Tertuduh melakukan kesalahan itu selepas meyakinkan ibu bapa mangsa untuk merawat anak mereka yang menghidap penyakit serius. Dua bulan sebelum itu, sepasang ibu bapa di Shanghai menjual anak perempuan mereka untuk membeli telefon pintar, iPhone. Mereka memberi alasan kehidupan yang lebih baik bakal diterima oleh bayi tersebut jika bersama keluarga kaya. Berbeza dengan kes dialami Yang Jing, 35, seorang ibu dari Sichuan, yang cuba mencari anaknya selepas dijual kepada keluarga kaya di Jiangsu oleh sang suami. "Saya diberitahu, kes tersebut tidak dikategorikan sebagai penculikan kerana bayi 'diberikan' oleh suami saya," ujarnya. Mengimbas detik sedih dalam hidup Jinxiu, dia menjelajah sehingga ke 10 wilayah untuk mencari anak lelakinya yang ketika itu berumur enam tahun pada tahun 1993. Sepanjang pencarian itu, dia mengutip sampah, mencuci pinggan di restoran dan meminjam wang daripada ahli keluarganya untuk meneruskan hidup. Dia hampir menemui ajal walaupun pernah dipujuk suaminya untuk berhenti mencari. Namun, dia enggan berhenti mencari menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk berpisah. Wanita itu mendakwa telah menjumpai rumah sindiket penculikan itu pada tahun 1995 tetapi pihak berkuasa hanya bertindak selepas bertahun-tahun didesak desakan. Hanya pada tahun 2000, tiga orang lelaki dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan sedekad selepas itu, barulah pihak polis menemui semula anak lelaki Ye iaitu Lu Jianning. Malam sebelum pertemuan antara kedua anak-beranak itu, Jinxiu mengakui tidak dapat tidur nyenyak. Namun, anaknya langsung tidak memeluk ibunya itu yang mencari lebih sedekad. Jianning tinggal selama setahun bersama ibunya tetapi menghilangkan diri dan langsung tidak menghubungi Jinxiu. "Saya tidak menyesal mencari dia. Terpulang kepada Jianning untuk menentukan perjalanan hidupnya," kongsi Jinxiu. Seperti hari-hari sebelumnya, dia terus memberikan helaian kertas mengandungi wajah-wajah kanak-kanak hilang. Beberapa orang yang lalu-lalang berhenti untuk mengambil gambar dan maklumat tersebut. Antaranya, seorang lelaki dikenali sebagai Zhen. Ekonomi Dia menyalahkan pihak pemerintah kerana gagal membantu ekonomi penduduk kampung. "Jika mereka tidak berpindah ke bandar, ramai ibu bapa mampu menjaga keluarga dan dapat mengurangkan masalah penculikan," tegasnya. Kegigihan Jinxiu membawa kesan negatif kepada kesihatannya. Dia sering mengalami batuk berdarah dan penglihatannya semakin kabur. Malah, hutang keliling pinggang membuatkan dia takut untuk kembali ke kampungnya. "Memikirkan kembali wajah-wajah comel kanak-kanak ini membuatkan hati saya hancur. Saya sudah menemui anak saya tetapi ramai lagi tidak mempunyai peluang yang sama. Ia menguatkan saya untuk tidak berhenti memberikan bantuan," luah Jinxiu. - AFP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |