Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 19 Jan 2014 10:36 PM PST Oleh LAUPA JUNUS Pengeluaran kultur akar ginseng berskala makmal hasil penyelidikan Nuklear Malaysia. Sejak sekian lama, keghairahan kita kepada pokok tongkat ali tidak pernah luntur kerana pokok tersebut memberikan kita satu khasiat yang menakjubkan meskipun akhirnya tumbuhan itu menjadi mangsa ekoran permintaan dalam pelbagai industri. Pokok tongkat ali menjadi mangsa penggunaan tanpa kawalan akan diancam kepupusan. Sementara kita sebagai pengguna menjadi mangsa pemprosesan yang tidak betul dan menyebabkan berlakunya masalah kesihatan. 'Kuasa' tongkat ali dikatakan terletak pada bahagian akarnya. Dengan itu segelintir mereka yang tidak bertanggungjawab mengikis bahagian tersebut dengan menjadikannya sebagai bahan mentah untuk minuman tanpa melalui satu proses saintifik yang meyakinkan dan terjamin daripada segi kualiti dan keselamatan. Kegilaan tersebut bertambah hebat dengan kerakusan mencari pokok tongkat ali hingga hutan diselongkar tanpa mengambil kira kesan jangka panjang yang boleh memusnahkan sama sekali pokok tersebut. Gara-gara sikap tamak tersebut, saintis tempatan memikul beban mencari jalan bagaimana memanfaatkan pokok tersebut dengan cara yang lestari bagi mengelakkan kepupusan. Bagaimanapun pakar botani mengandaikan agak sukar membuat pemuliharaan tanaman ubatan tersebut dengan hanya bergantung kepada penanaman semula memandangkan tempoh matangnya agak lama iaitu antara tujuh dan 10 tahun. Penanaman menggunakan bijih benih pula tidak mampu memenuhi permintaan ekoran tahap tumbesaran rendah, lambat berakar dan kitaran hidup yang lama. Namun itu tidak bermakna tidak ada penyelesaian saintifik kepada masalah yang membabitkan pokok tingkat ali itu. Ini terbukti apabila Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berjaya mengeluarkan kultur akar tongkat Ali secara skala besar menggunakan teknologi bioreaktor. Teknologi ini adalah kaedah paling sesuai bagi menghasilkan bahan mentah tongkat ali dalam bentuk kultur sel dan akar yang berkualiti tinggi. Bahan tersebut mempunyai nilai tambah seperti mengandungi bahan bioaktif (novel compound) yang berpotensi bagi menyokong industri berasaskan pertanian moden dan biosumber, mengenalpasti kandungan bahan kimia, mencirikan (memprofilkan) dan akhirnya menjadikannya ekstrak piawai. Dengan menggunakan teknologi bioreaktor, sebatian bioaktif yang telah dikenal pasti mempunyai nilai yang tinggi dan dapat dihasilkan secara besar-besaran menggunakan kultur sel dan akar tersebut . Langkah ini mengelakkan pergantungan kepada sumber asal sebagai bahan mentah untuk diproses yang lazimnya didapati dari hutan. Dengan ini eksploitasi tongkat ali boleh dielakkan dan penghasilan bahan sumberbio tersebut terjamin untuk menjana produk baru bagi kegunaan pelbagai industri terutama produk barangan herba, farmaseutikal, kosmetik, dan juga makanan kesihatan tambahan. Penyelidik utama, Dr. Rusli Ibrahim berkata, penggunaan bioreaktor dapat mengurangkan masa bagi mencapai tempoh kematangan iaitu antara tujuh dan 10 tahun kepada masa yang lebih singkat. Katanya, mungkin beberapa bulan diperlukan bagi menghasilkan akar tongkat ali yang boleh dijadikan sebagai bahan mentah untuk digunakan dalam pelbagai industri. "Daripada bioreaktor berskala makmal ketika memulakannya pada tahun 2006, sebuah loji skala besar satu tan telah berjaya dibangunkan pada 2011 dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) ," ujarnya ketika ditemui di Nilai baru-baru ini. Loji tersebut dibangunkan di sebuah kawasan industri, iaitu Arab Malaysian Industrial Park di Nilai, Negeri Sembilan dengan kerjasama pelbagai pihak. Ini termasuk Malaysian Technology Consultants Sdn. Bhd. (MTC), Malaysian Agri Hi-Tech (MYAGRI), Chungbuk National University, Korea Selatan dan syarikat pembina bioreaktor, Plantec Co. Ltd. juga dari Korea Selatan. Menurut Dr. Rusli projek tersebut dibangunkan dalam dua fasa iaitu Fasa I (2006-2008) dan Fasa II ( 2009-2013) dengan peruntukan RM6.326 juta daripada Dana Penyelidikan, Pembangunan dan Pengkomersialan (CRDF). Objektif utamanya untuk mengkomersialkan teknologi bioreaktor bagi pengeluaran kultur akar tongkat ali secara skala besar. Loji bioreaktor tersebut merupakan yang pertama di bangunkan di negara ini juga rantau Asia Tenggara bagi pengeluaran akar tongkat ali dan tanaman ubatan dan herba lain secara skala besar. Menurut Dr Rusli, sistem bioreaktor tersebut telah diuji dan menampakkan kejayaan yang mana kultur akar tongkat Ali berjaya dihasilkan dalam tempoh 60 hari sahaja. Teknologi yang sama juga telah diuji untuk pengeluaran kultur akar ginseng dan hasilnya dapat diperolehi dalam tempoh 40 hari sahaja berbanding lima dan enam tahun mengikut kaedah pembiakbakaan konvensional. Sehubungan itu katanya, teknologi bioreaktor merupakan satu alternatif yang amat berpotensi untuk pengeluaran akar tongkat ali selain daripada kaedah pembiakan konvensional. Justeru, teknologi tersebut boleh digunakan untuk pengeluaran akar tongkat ali berasaskan pengeluaran secara pengilangan dengan menggunakan kaedah automasi Kaedah berkenaan dapat memastikan pengeluaran bahan mentah yang berkualiti secara berterusan. Kejayaan tersebut dapat memberi harapan baharu kepada pengusaha herba dan tumbuhan ubatan dan memandangkan teknologi bioreaktor boleh digunakan sebagai platform untuk tumbuhan lain seperti kacip fatimah, sambung nyawa, hempedu bumi, misai kucing dan lain-lain. Lebih menarik, akar tongkat ali yang dihasilkan daripada projek tersebut boleh dimanfaatkan untuk tujuan perubatan herba, diet herba, makanan kesihatan tambahan dan makanan berfungsi berasaskan herba. Menurut Dr. Rusli, teknologi bioreaktor juga boleh digunakan secara skala besar untuk tujuan lain seperti pembiakan mycelium cendawan bagi pengeluaran secondary metabolites seperti beta-glucan yang berpotensi sebagai antioksidan pengeluaran bakteria dan mycorrhiza untuk biobaja. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |