{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Pembuli pasaran musuh sebenar ekonomi

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

SEMASA berada di Mexico menghadiri Persidangan Ahli Parlimen Pasifik baru-baru ini, Presiden Majlis Belia Selangor yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM sempat mengirimkan khidmat pesanan ringkas (SMS) melahirkan kebimbangannya mengenai isu ekonomi yang disensasikan di tanah air.

Beliau melihat kenaikan harga barang berlaku gara-gara manipulasi orang tengah yang mengambil kesempatan menghisap darah rakyat, yang akhirnya kerajaan dipersalahkan apabila pembangkang menangguk di air keruh.

Untuk lebih jelas tentang siapa dalang di sebalik isu kenaikan harga barang, ZAINAL RASHID AHMAD menemubual wakil rakyat muda ini yang kini juga menjadi Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Kebelakangan ini isu ekonomi menjadi topik hangat di kalangan rakyat. Apa komen Datuk?

IRMOHIZAM: Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) mengumumkan pada masa ini terdapat 220 juta penganggur di seluruh dunia, merujuk pada kumpulan umur yang sepatutnya bekerja. Angka ini meningkat lima juta pada 2013, berbanding 215 juta penganggur pada 2012.

Data terkini ILO membuktikan ekonomi dunia masih dalam kemelesetan. Jumlah 220 juta penganggur mewakili enam peratus kadar pengangguran sejagat iaitu lebih tinggi daripada paras stabil di bawah tiga peratus.

Menjelang sidang ILO di Davos, Argentina, kadar pengangguran terus menunjukkan trend peningkatan dan menjadi antara isu utama perbincangan dengan negara Sub-Sahara dan Asia Timur menjadi penyumbang angka pengangguran yang tinggi.

Dalam hal ini, kita perlu memahami realiti ekonomi dunia.

Pengangguran pada kadar dua angka turut dialami Sepanyol dan Portugis, selain Greece yang boleh dianggap masih lumpuh ekonominya walaupun sudah berulangkali menerima suntikan bantuan Kesatuan Eropah (EU).

Apakah isu-isu ekonomi mudah dimanipulasi kerana sukar untuk difahami?

Ya. Isu ekonomi adalah isu yang perlu difahami secara wajar kerana masalah ekonomi bukan bermula daripada percaturan emosi atau politik semata-mata. Dalam negara kita, berlaku manipulasi politik yang sengaja menjadikan isu ekonomi sekarang sebagai isu domestik yang seolah-olah tidak ada kaitan langsung dengan realiti ekonomi dunia. Pembangkang mengatakan segala-galanya berpunca daripada kegagalan kerajaan yang tidak cekap mengurus dan menyusun ekonomi negara.

Keluaran Negara Kasar (GDP) kita pada 2013 yang bakal diumumkan Bank Negara, Insya-Allah berupaya mencecah pertumbuhan lima peratus, angka yang cukup menarik memandangkan ekonomi dunia sekarang berada pada paras negatif dua peratus. Malah kuasa ekonomi dunia seperti China, turut mengalami penurunan mendadak berbanding 12 peratus pada 2012 kepada hanya tujuh peratus pada 2013.

Justeru saya mengingatkan secara jujur terutamanya kepada generasi muda bahawa protes dengan slogan TURUN atau NAIK, serta berarak di jalan raya atau mencela pemimpin dan kerajaan di platform media baharu, bukan jalan penyelesaian malahan akan memburukkan lagi keadaan.

Malaysia juga berada dalam kitaran ekonomi dunia. Sekiranya ekonomi dunia merudum, kesannya turut melanda persekitaran domestik. Kita tidak boleh memejamkan mata pada realiti ekonomi dunia, dengan sengaja memindahkan semua permasalahan ini sebagai isu politik untuk menyalahkan kerajaan. Setiap rakyat Malaysia mesti ada rasa tanggungjawab kepada negara. Jangan ambil kesempatan dengan menggunakan isu ekonomi sebagai umpan politik untuk menggugat keamanan dan membangkitkan kemarahan rakyat.

Apa pandangan Datuk tentang protes jalanan yang diadakan pada malam tahun baharu?

Macam saya kata awal tadi, isu ekonomi perlu difahami secara relatif dan berdasarkan fakta. Sekarang bukan masa mengkritik untuk menjadi popular semata-mata, sebaliknya masa berfikir secara wajar untuk mencari jalan keluar terbaik bagi memastikan ekonomi dan GDP kita pada 2014 dapat dicapai berdasarkan unjuran antara 5 ke 5.5 peratus.

Kritikan liar dan berbalas-balas hujah, tidak mengubah apa-apa kerana persekitaran ekonomi sekarang bukan isu sentimen perkauman atau agama. Ia isu angka yang realistik serta keadaan ekonomi dunia. Pada saya, keupayaan kita mengekalkan GDP pada sekitar 5 peratus bagi 2013, sudah cukup baik berbanding GDP dunia yang berada pada negatif 2 peratus.

Malah, kuasa ekonomi baru dunia; China sendiri - yang menjadi indeks rujukan dunia sejak kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat dan Eropah lima tahun kebelakangan ini - pada 2013 mengalami penurunan GDP sebanyak 5 peratus.

Rakyat khususnya anak muda perlu faham, isu ekonomi harus diselesaikan secara berstrategi bukan menerusi rusuhan atau protes jalanan.

Di Greece, lebih setahun rakyat bangkit memberontak di jalan raya, kerajaannya pula silih berganti dan sentiasa berpecah belah berikutan keputusan pilihan raya yang tidak memberi kuasa mutlak pada mana-mana parti untuk menguasai kerajaan. Akhirnya apa yang terjadi ?

Sampai sekarang Greece tidak dapat mengatasi masalahnya - walaupun korban penunjuk perasaan sudah berdarah di jalanan, malah pilihan raya yang berulangkali diadakan juga tidak membantu kestabilan politik, yang menjadi kunci bagi menyusun semula ekonomi negara itu.

Nasihat saya kepada rakan-rakan anak muda, kita mesti sentiasa berwaspada. Kita barangkali mahu menjadi juara atau jaguh bagi memenuhi kemahuan emosi dan andrenalin anak muda dengan memprotes dan berarak di jalanan namun ia bukan pintu keluar untuk menyelesaikan krisis ekonomi negara terutama kenaikan harga barang.

Tetapi tidakkah ada asas untuk mereka memprotes kerana kenaikan harga barang memang berlaku?

Saya faham. Namun kenaikan ini berlaku dalam persekitaran yang terancang. Ada pihak yang menyusun strategi untuk mencetuskan kenaikan panik. Mereka juga sengaja menuding ke arah langkah rasionalisasi subsidi sebagai puncanya. Pada dua atau tiga bulan pertama harga petrol naik hujung tahun lalu, keadaan tidak berubah tetapi tiba-tiba sahaja pada Januari tahun ini, harga barang naik mendadak. Saya percaya ia sesuatu yang telah dirancang.

Strateginya mudah iaitu awal tahun, keperluan kewangan rakyat akan meningkat kerana sesi persekolahan bermula. Kenaikan harga pada awal tahun mampu mencetuskan kemarahan rakyat terhadap kerajaan. Kempen TURUN pada malam tahun baharu memang bermatlamat untuk mencetuskan kemarahan rakyat.

Ini bukan kebetulan. Ini permainan mereka yang menguasai pasaran, yang menyusun secara strategik supaya kenaikan drastik dan mendadak harga barang dikaitkan dengan kenaikan kos operasi berikutan rasionalisasi subsidi minyak, ditambah pula dengan gembar-gembur kenaikan tarif elektrik dan kadar tol.

Apabila cengkaman harga barangan harian dimulakan di peringkat kuasa monopoli, maka kesannya pasti merebak ke pasar-pasar basah, pasar malam, kedai runcit dan pekan hari yang menjadi nadi utama rakyat mendapatkan bekalan.

Jadi yang nampak buruk ialah peniaga kecil dan peruncit kerana mereka pihak terakhir yang berhadapan dengan pengguna. Saya tahu, kenaikan harga barang bukan rancangan atau pakatan peruncit dan peniaga kecil - mereka juga orang kecil yang faham akan masalah orang kecil. Peniaga kecil dan peruncit juga menjadi mangsa cengkaman konspirasi harga barangan ini. Si peniaga kecil menerima bekalan daripada pemborong pada harga tinggi, jadi mereka tiada pilihan. Untuk mengekalkan margin keuntungan, peniaga kecil terpaksa menaikkan harga. Rakyat atau pengguna pula bingung dan panik, dan akhirnya percaya bahawa ini salah kerajaan.

Kelompok yang lantang bersuara kebanyakannya anak muda seakan-akan mereka mewakili suara majoriti rakyat?

Anak muda yang protes mengaku kononnya mereka mempunyai maklumat maklumat terkini. Masalahnya maklumat mereka hanya separuh benar.

Sepatutnya jadilah pemain yang bijak. Bantulah dengan memberi dan menyebarkan maklumat sebenar bahawa ada pihak yang sedang memanipulasi ekonomi kita dengan menjadikan isu rasionalisasi subsidi sebagai punca. Kita sedarkan pengguna melalui kuasa komunikasi di media baharu. Sebarkan tentang dalang sebenar kenaikan harga supaya rakyat faham dan tahu cara untuk bertindak balas sebagai pengguna.

Macam isu kenaikan harga ikan kembung sehingga RM16 sekilogram di pasaran, rakyat kena tahu bahawa kenaikan ini tiada kaitan pun dengan isu petrol. Ini manipulasi orang tengah atau peraih, yang mengambil kesempatan dengan alasan musim tengkujuh. Mereka menangguk di air keruh.

Pada hal kalau kita pergi ke mana-mana pelantar ikan, harga masih stabil. Tak mungkin kerana kenaikan harga petrol (yang nelayan mendapat subsidi), harga ikan kembung yang sepatutnya sekitar RM6 ke RM8 sekilogram, tiba-tiba boleh mendadak naik menjadi RM16?

Ketika ikan kembung di pasaran jadi RM16, di pelantar masih sekitar RM4 ke RM5. Kalau harga naik pun kerana musim tengkujuh, sepatutnya sampai ke paras siling RM7 sahaja.

Tetapi apabila orang tengah ambil kesempatan, harga yang sampai ke tangan peniaga kecil mencecah paras RM10 hingga RM13. Jadi peniaga kecil tiada pilihan untuk mengekalkan margin untung, terpaksa menaikkan harga ikan kembung pada paras RM15 hingga RM16 sekilogram.

Isu harga kembung ini satu contoh dramatik. Harga pantai masih stabil tetapi harga orang tengah yang bertindak memanipulasi dengan menaikkan harga. Saya percaya, trend manipulasi yang sama berlaku terhadap barangan keperluan lain. Bukan isu kos, tetapi sengaja mengambil kesempatan.

Kelompok anak muda bandar banyak memprotes isu kenaikan harga barang di media sosial seperti Facebook dan Twitter, tidakkah ini menunjukkan kepekaan mereka terhadap isu semasa?

Jika niat kita baik, kita mesti bertindak berdasarkan fakta yang benar. Tak boleh menyebarkan maklumat berdasarkan persepsi semata-mata. Budaya komunikasi ilmiah dan media baharu juga ada etikanya. Saya yakin kerajaan akan mendengar, asalkan kita bersuara dengan fakta yang betul serta kaedah komunikasi yang berniat mencari penyelesaian ke arah kebaikan rakyat dan kerajaan.

Tidak salah ada gerakan anak muda dalam media baharu tetapi matlamatnya mesti patriotik. Kita buat kerana rakyat dan negara, bukan menjadi alat kepada mana-mana pihak.

Memang wajar ada gerakan rakyat bersifat kuasa pengguna. Mungkin kita boleh saran supaya kerajaan ubah polisi atau gubal undang-undang baharu bagi mengawal secara ketat kenaikan harga barang.

Saya yakin kerajaan akan mendengar. Cuma kita kena perbaiki kaedah komunikasi dan cara menyalurkan komen dan idea agar menuju ke arah penyelesaian yang baik.

Apa yang saya takuti ialah tanpa disedari oleh anak muda, niat baik mereka di manipulasi oleh pihak lain untuk tujuan kepentingan politik singkat mereka. Cukuplah selama 15 tahun ini anak muda dijadikan alat protes jalanan.

Marilah kita mulakan era baharu. Jadikan anak muda sebagai penggerak idea, pendesak yang prolifik dan akhirnya mendidik rakyat untuk menghadapi cabaran sebenar dalam kemelut ekonomi. Kita sebagai rakyat tak boleh lagi dibuli oleh golongan yang memonopoli pasaran.

Khalid terpaksa bergayut di dahan DAP, Pas untuk survival politik

Posted: 24 Jan 2014 10:42 AM PST

Oleh Zulkiflee Bakar

DI ATAS kertas, karier politik Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim boleh dianggap berada dalam keadaan genting selepas Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abdul Hamid mengesahkan pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor sebulat suara bersetuju tanpa sebarang bantahan Menteri Besar Selangor itu meletakkan jawatan.

Menurut Abdullah Sani, keputusan menggantikan Abdul Khalid tersebut dibuat berasaskan keadaan pentadbiran negeri yang dilihat tidak menepati aspirasi parti.

Berikutan keputusan itu, sudah jelas nasib Abdul Khalid lebih banyak bergantung kepada sekutu PKR iaitu DAP dan Pas, biar pun pendirian PKR Selangor itu perlu dibawa ke PKR pusat untuk diputuskan.

Abdul Khalid tidak boleh begitu mengharapkan keputusan PKR Selangor tersebut ditolak oleh PKR pusat memandangkan bukan rahsia lagi di peringkat pusat, beliau juga menghadapi tekanan daripada beberapa Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang mempunyai pendirian, ''setuju 100 peratus' beliau dipecat.

Apatah lagi, Abdul Khalid mempunyai perbalahan politik dengan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali yang bukan sahaja salah seorang pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu tetapi juga individu yang rapat dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Walaupun Abdul Khalid dijangka mendapat sokongan daripada Presiden PKR, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang sememangnya mempunyai sejarah 'tidak sebulu' dengan Azmin, namun kekuatan mereka tidak mampu menahan penolakan oleh pemimpin-pemimpin PKR lain terhadap Abdul Khalid.

Secara dasarnya, Abdul Khalid sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kekuatan untuk mempertahankan kedudukannya di Selangor dengan mengharapkan kepada PKR.

Sebaliknya, sejak konflik politik antara beliau dengan Azmin tercetus, ramai pemerhati politik sudah menjangkakan Abdul Khalid tidak akan mampu bertahan. Ia kerana 'serangan' dan tekanan bukannya datang dari luar tetapi dari dalam parti sendiri.

Keadaan menjadi bertambah buruk kepada Abdul Khalid apabila beliau dilihat sering sahaja membuat keputusan yang menyusahkan PKR dan meletakkan pentadbiran kerajaan negeri dalam kontroversi.

Abdul Khalid mungkin boleh bertahan jika di Selangor, wakil rakyat PKR memberi sokongan padu kepada beliau tetapi ini tidak berlaku sebaliknya beliau dikatakan hanya mendapat sokongan terlalu sedikit.

Namun begitu, Abdul Khalid masih boleh menaruh harapan untuk kekal sebagai Menteri Besar memandangkan PKR hanya memiliki 14 kerusi sedangkan DAP dan Pas masing-masing 15 kerusi.

Oleh itu, Abdul Khalid kini menaruh harapan sepenuhnya kepada DAP dan Pas untuk menyelamatkan beliau daripada 'terkorban' dalam pertempuran politik dengan PKR.

Abdul Khalid sememangnya mempunyai hubungan akrab dengan wakil rakyat kedua-dua parti itu di peringkat negeri.

Tambahan pula, dalam beberapa keputusan sejak menjadi Menteri Besar, beliau dikatakan lebih memihak kepada pendirian kedua-dua parti itu khususnya DAP.

Justeru DAP dan Pas boleh menjadi tembok penghalang yang akan mampu memintas 'gelombang' PKR untuk menyingkirkan Abdul Khalid.

Jika kedua-dua parti itu mahu Abdul Khalid kekal, ia sudah pastilah memusnahkan impian penyokong-penyokong kuat Azmin yang sudah teruja ingin melihat Menteri Besar Selangor itu berundur atau dipecat daripada jawatan berkenaan.

Selain itu PKR sudah tentu tidak mahu 'mencari fasal' dengan Pas yang dikatakan akan terus memberi sokongan penuh kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.

Pas tidak mahu individu lain termasuklah Azmin menggantikan Abdul Khalid. Jika PKR berdegil dengan pendiriannya, Pas dikatakan akan menuntut kerusi Menteri Besar yang sememangnya sejak awal lagi hak mereka berdasarkan jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dikuasai.

Senario ini memperkukuhkan lagi usaha Abdul Khalid untuk bertahan dengan sokongan Pas dan DAP.

Namun begitu ia bukanlah bermakna usaha untuk menyingkirkan Abdul Khalid sudah berakhir sebaliknya, beliau mungkin akan berhadapan dengan gangguan demi gangguan dari dalam parti sendiri dengan tujuan menjejaskan reputasinya sebagai Menteri Besar Selangor.

Malah seperti mana diramalkan banyak pihak, pemilihan PKR pada Mei ini bukan sahaja akan menyaksikan pertembungan antara beliau dan Azmin tetapi platform untuk memburuk-burukan Abdul Khalid.

Oleh itu, Abdul Khalid mungkin boleh kekal sebagai Menteri Besar Selangor dengan sokongan DAP dan Pas, tetapi perjuangan politik beliau sentiasa akan dihempas 'gelombang' akibat 'serangan' kawan-kawan sendiri - begitulah politik.

habis.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat