Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Pakar keliru kehilangan MH370
- Duta Malaysia dedah isyarat radio terakhir MH370
- 600,000 orang lihat imej satelit cari MH370
Posted: Pakar keliru kehilangan MH370
LONDON - Banyak pihak keliru berhubung kehilangan sebuah pesawat Boeing 777-200 milik Penerbangan Malaysia (MAS) pada Sabtu lalu ketika kebanyakan negara memiliki teknologi pengesanan yang serba canggih, lapor akhbar Mail Online semalam. Walaupun dilengkapi perakam data penerbangan, kotak hitam dan sistem komunikasi radio, Boeing 777-200 milik MAS itu hilang pada awal pagi dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China pada Sabtu lalu. Pakar-pakar masih keliru tentang punca pesawat MH370 terputus hubungan komunikasi dengan sebahagian mereka menyatakan pesawat itu sama ada dibom dan meletup di udara atau hilang dalam lohong hitam aeronautik atau menjadi mangsa perang elektronik. Dalam pada itu, kehilangan kapal terbang tersebut mungkin juga berpunca daripada perbuatan mematikan sistem komunikasi dalam pesawat. Seorang pakar kejuruteraan, Dr. Martyn Thomas dari Institusi Kejuruteraan dan Teknologi, London memberitahu, beliau berpendapat kehilangan pesawat MH370 itu berpunca daripada penyahmampatan pesawat yang menyebabkan para penumpang dan kru pengsan manakala peralatan komunikasi turut rosak. Dalam senario tersebut, Boeing 777-200 masih boleh terbang dengan menggunakan sistem kemudi automatik tanpa penglibatan manusia sejauh 3,200 kilometer. Satu lagi kebarangkalian adalah kapal terbang itu mungkin terjatuh ke dalam lohong hitam aeronautik di rantau berkenaan, kata seorang lagi pakar penerbangan Akademi Kejuruteraan Diraja, London, Stewart John. "Radar digunakan untuk menjejaki pesawat di kawasan penempatan penduduk tetapi apabila pesawat tersebut memasuki pedalaman seperti bahagian dalam Rusia atau hutan rimba Malaysia, satu-satunya kaedah pengesanan adalah supaya pesawat berkenaan menghantar maklumat pada kadar masa yang tetap," jelasnya. Kata John, kotak hitam yang sebenarnya berwarna oren digunakan untuk merakamkan sebarang arahan yang dihantar ke pesawat, komunikasi radio atau komunikasi sesama kru. REUTERS Apabila sesebuah pesawat hilang, kotak hitam akan aktif pada frekuensi tertentu iaitu dalam tempoh 30 hingga 70 hari. Peralatan tersebut boleh dikesan dalam lingkungan lapan kilometer. Kotak itu direka untuk kebal daripada impak pesawat terhempas, tekanan laut dalam dan kalis suhu ais atau api. "Namun, pasukan-pasukan penyelamat boleh terlepas pandang jika mereka tidak berada pada jarak sesuai atau menggunakan frekuensi yang betul," kata Stewart. Menurutnya, terdapat juga kemungkinan kotak hitam penerbangan MAS itu musnah akibat letupan kuat seperti bom. Terdapat teori lebih radikal yang mengaitkan kehilangan pesawat MH370 dengan peperangan elektronik susulan pengesahan sekurang-kurangnya 20 penumpang pesawat tersebut merupakan kakitangan firma semikonduktor Amerika Syarikat, Freescale. Setiap penumpang itu memiliki pengetahuan tentang teknologi elektronik untuk aplikasi pertahanan. Ia termasuk teknologi untuk menjadikan pesawat itu "halimunan" sekali gus gagal dikesan oleh radar. Laman web Beforeitnews melaporkan teknologi tersebut melibatkan susunan panel kaca yang digunakan untuk memesong cahaya di sekitar objek. Beberapa teknik lain melibatkan teknologi menghentikan isyarat untuk mengelak pesawat itu dikesan oleh radar. - Agensi | |
Duta Malaysia dedah isyarat radio terakhir MH370 Posted: Duta Malaysia dedah isyarat radio terakhir MH370REUTERS BEIJING - Isyarat radio terakhir yang diterima daripada kokpit sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan adalah ungkapan yang menyatakan: "Baik, selamat malam." Ungkapan itu didedahkan Duta Besar Malaysia ke Beijing, Datuk Iskandar Sarudin semalam dalam satu pertemuan dengan saudara-mara para penumpang warga China di sebuah hotel di sini. Sejumlah 153 daripada 227 penumpang dan 12 kru pesawat tersebut merupakan rakyat China. Penerbangan MAS MH370 dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing, China hilang daripada skrin radar pada awal pagi Sabtu lepas tanpa panggilan kecemasan manakala tiada bangkai pesawat ditemui sehingga kini walaupun selepas operasi mencari besar-besaran dilancarkan. Akhbar Singapura, Straits Times semalam melaporkan bahawa ungkapan tersebut diucapkan oleh salah seorang juruterbang pesawat berkenaan ketika penerbangan MH370 mula memasuki ruang udara Vietnam. Ketika kekeliruan timbul berhubung isu lokasi operasi mencari dan sama ada radar tentera Malaysia mengesan kapal terbang Boeing itu, Iskandar berkata:KOKPIT pesawat Boeing 777-200. "Sekarang bukan masa untuk mendedahkan tentang maklumat yang diberikan oleh tentera kepada pihak berkuasa awam." Pesawat itu dipandu juruterbang Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, dan pembantunya, Fariq Ab Hamid, 27. Dalam pada itu, sebahagian saudara-mara penumpang di sini memberitahu agensi berita AFP bahawa pertemuan itu berlangsung dengan teratur sekali gus berbeza dengan pertemuan serupa melibatkan beberapa pegawai China pada Isnin lalu. Pada pertemuan tersebut, beberapa saudara-mara penumpang MH370 menyelar para pegawai berkenaan. "Saya berpendapat, pemerintah China perlu lebih aktif dalam menangani isu itu," kata seorang lelaki yang menggunakan nama keluarga Zhang. Anak perempuannya menaiki pesawat tersebut. "Tambahan pula, insiden itu berlaku melibatkan rakyat China," tambahnya. - AFP | |
600,000 orang lihat imej satelit cari MH370 Posted: 600,000 orang lihat imej satelit cari MH370REUTERS LONGMONT, Colorado - Sekitar 600,000 orang telah mengimbas imej-imej satelit DigitalGlobe Inc. untuk mencari petunjuk tentang sebuah pesawat syarikat Penerbangan Malaysia MH370 yang hilang. Pendedahan itu dibuat firma DigitalGlobe Inc dari Amerika Syarikat (S) itu kepada agensi berita AP kelmarin. Pengguna laman web firma DigitalGlobe itu boleh menandakan imej yang mereka temui seperti bangkai kapal atau pesawat, bot keselamatan, tumpahan minyak dan bukti-bukti lain. Laman web satelit itu melancarkan kempen bagi meminta bantuan orang ramai untuk sama-sama membantu dalam operasi mencari pesawat MH370 itu. Firma berkenaan merancang untuk mengemas kini imej-imej di laman web pencarian berkenaan, www.tomnod.com, pada setiap hari. Pengarah Kanan Data DigitalGlobe, Shay Har-Noy berkata, sambutan yang kami terima agak menakjubkan. "Sistem pelayan kami bekerja keras untuk memproses semua maklumat yang diterima," ujar Har-Noy. "Selain orang awam, agensi-agensi kerajaan AS turut memiliki akses untuk melihat imej-imej di laman web DigitalGlobe," tambahnya. Pesawat tersebut meninggalkan Kuala Lumpur pada Sabtu lepas bersama 227 penumpang dan 12 kru. Har-Noy memberitahu, DigitalGlobe mula menerima e-mel daripada ramai individu yang berminat menyertai pencarian itu tidak lama selepas pesawat tersebut hilang pada Sabtu lalu. Beliau berkata, firma tersebut membekalkan imej satelit untuk lima hingga 10 operasi mencari dan menyelamat di seluruh dunia sejak 18 bulan lalu. DigitalGlobe yang berpangkalan di negeri Colorado, AS memiliki lima satelit pengimejan di orbit. - AP |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |