Kosmo Online - Dunia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Dunia |
- Keluarga penumpang MH370 ancam saman kerajaan Malaysia
- Pusat kawalan udara Vietnam jadi tempat operasi cari MH370
- Tentera India tingkat usaha cari pesawat MAS
Keluarga penumpang MH370 ancam saman kerajaan Malaysia Posted: Keluarga penumpang MH370 ancam saman kerajaan Malaysia
BEIJING - Sebilangan saudara-mara penumpang pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang di Laut China Selatan mendesak kerajaan Malaysia dan China memberikan jawapan berhubung kehilangan misteri pesawat malang berkenaan, lapor agensi berita Reuters semalam. Mereka juga mengancam untuk menyaman kerajaan Malaysia selain mahu berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping kerana pesawat tersebut masih belum ditemui. Anggota-anggota keluarga itu juga memarahi para petugas media, MAS dan juga kerajaan mereka sendiri kerana tidak mengendahkan permintaan mereka. "Saya betul-betul mahu berjumpa dengan Jinping dan saya juga tidak tahu apa yang lebih penting daripada nyawa 239 orang di dalam pesawat itu," kata seorang wanita muda yang mahu dikenali sebagai Wen. "Saya juga mahu bertanya kepada Jinping jika orang tersayang atau ahli keluarga anda berada dalam pesawat itu, apakah perasaan anda," katanya sambil menangis. "Suami saya berada dalam pesawat itu dan setiap hari anak-anak saya bertanya mengenai bapa mereka, apa yang patut saya beritahu mereka. "Kami kini tidak tahu apa yang patut dilakukan dan memerlukan kerajaan untuk menyokong kami," tambahnya. Seorang lagi keluarga mangsa yang enggan dikenali memberitahu bahawa, dia mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia. "Sudah tentu kami akan mengambil tindakan undang-undang kerana apa yang terjadi sesuatu yang teruk. "Kami tidak menyaman MAS tetapi kerajaan Malaysia," katanya kepada wartawan. Pesawat itu membawa 227 penumpang dan 12 kru. Seramai 153 penumpang pesawat itu ialah warga China. Pesawat tersebut juga membawa 38 rakyat Malaysia itu hilang pada Sabtu lalu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing. - Agensi | |
Pusat kawalan udara Vietnam jadi tempat operasi cari MH370 Posted: Pusat kawalan udara Vietnam jadi tempat operasi cari MH370AFP PULAU PHU QUOC - Pihak berkuasa Vietnam menjadikan sebuah pusat kawalan trafik udara di pulau ini sebagai pusat kawalan bagi operasi mencari dan menyelamat pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang pada Sabtu lalu. Laporan awal menyatakan bahawa pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur, Malaysia menuju ke Beijing, China terhempas di perairan berhampiran pulau berkenaan. Kumpulan wartawan dari China, Malaysia, Kemboja dan dari negara-negara Barat juga membanjiri pulau kecil ini sejak Ahad lalu. Bagaimanapun, selepas hampir enam hari, usaha mencari tersebut masih belum menemui sebarang petunjuk. AFP Sebuah pusat kawalan udara di pulau ini kini dijadikan sebuah pusat arahan apabila para pegawai Vietnam turut memberikan sidang media hampir setiap hari. Sidang media itu mula didapati semakin kurang menarik bagi para wartawan selepas operasi mencari sejak beberapa hari lalu tidak membuahkan sebarang hasil. Sebahagian wartawan mula mempertimbangkan untuk pergi ke lokasi lain dan beberapa petugas media yang lain menghubungi ibu pejabat masing-masing untuk berbincang langkah mereka yang seterusnya. Namun, mereka kembali semula ke pusat kawalan berkenaan selepas kerajaan Vietnam menghantar sebuah lagi pesawat untuk meninjau perairan itu sekali lagi dan berharap ada petunjuk baharu yang ditemui. Timbalan Komander Tentera Laut Vietnam, Navy Le Minh Thanh memberitahu wartawan, kerajaan melakukan apa sahaja yang termampu untuk mencari pesawat malang berkenaan. "Misi itu tidak berubah dan semua pasukan penyelamat terus mencari di barat perairan Pulau Phu Quoc dan pantai timur Vietnam tetapi tiada sebarang serpihan atau tanda pesawat itu dijumpai," katanya. - Bernama | |
Tentera India tingkat usaha cari pesawat MAS Posted: Tentera India tingkat usaha cari pesawat MASNEW DELHI - Tentera India semalam meningkatkan usaha mencari pesawat Penerbangan Malaysia yang hilang pada Sabtu lalu dengan menghantar tiga buah kapal dan tiga kapal terbang ke Laut Andaman dan Kepulauan Nicobar, kata sumber Tentera Laut India semalam. Seorang pegawai kanan tentera laut berkata, Kementerian Pertahanan mengarahkan penghantaran kapal dan pesawat itu untuk mencari pesawat malang berkenaan di perairan tersebut yang lebih hampir dengan Myanmar dan Malaysia berbanding India. "India secara rasmi menyertai operasi mencari kapal milik Penerbangan Malaysia itu pada waktu tengah hari dengan menghantar tiga buah kapal," katanya. Ujarnya, pihaknya kini sedang bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia dalam misi tersebut. Dalam pada itu, Tentera Laut Diraja Thailand mengumumkan bahawa ia akan terus membantu Malaysia dalam usaha mencari pesawat-pesawat Boeing 777-200 itu, lapor agensi berita Thai News Agency. Ketua Tentera Laut Diraja Thailand, Narong Pipatanasai menegaskan bahawa pihaknya akan terus bekerjasama dengan Malaysia untuk mencari pesawat yang hilang tersebut. Beliau memberitahu, Thailand hanya akan menarik diri misi berkenaan sekiranya diminta sendiri oleh kerajaan Malaysia. Tentera Laut Diraja Thailand telah menghantar kapal peronda, HTMS Pattani, sebuah helikopter dan sebuah pesawat bagi menyertai misi beberapa negara mencari pesawat itu di Laut Andaman dan Teluk Siam selepas Malaysia meminta bantuan. Sehingga kini, pesawat itu yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing masih belum ditemui dan kehilangan itu dianggap paling misteri dalam sejarah penerbangan moden.- - Agensi |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Dunia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |