{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Hiburan

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Hiburan


Hanis, Aliff, dan Hairul

Posted:

Hanis, Aliff, dan Hairul

Hanis, Aliff, dan Hairul

BILA ditawarkan berlakon dalam drama Jodoh musim kedua, hati pelakon dan pengacara, Hanis Zalikha dipagut resah. Benak fikirannya berselirat rasa gusar dibandingkan dengan heroin Jodoh musim pertama, Scha Al-Yahya. Ada sebabnya.

Bagi Hanis, menerusi Jodoh, Scha telah berjaya membawakan watak Olly di samping Dazrin dengan bagus sehingga meraih sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

Mencari ketenangan dalam gundah yang bertamu di hati, Hanis meminta sinopsis Jodoh 2 terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

"Bila saya minta sinopsis baru saya tahu yang saya pegang watak utama seperti Dazrin. Dan, akhirnya saya setuju berlakon dalam Jodoh 2.

Menerusi Jodoh, Dazrin membawa watak seorang pemuda yang mencari calon isteri dengan menyertai sebuah program realiti mencari jodoh yang disertai sekumpulan wanita jelita termasuk Olly.

Jodoh 2 sebaliknya mengenai Zara, lakonan Hanis - gadis yang mencari jodoh menerusi program realiti sama tetapi disertai sekumpulan pemuda kacak.

"Saya bukan takut bawa watak Olly lakonan Scha. Saya cuma takut dibandingkan dengan Scha. Juga takut jangkaan daripada peminat Jodoh terhadap Jodoh 2.

"Saya sendiri tengok Jodoh dan ia merupakan drama yang bagus. Scha bawa watak Olly dengan baik. Mula-mula saya ingatkan, watak saya lebih kurang dengan watak yang dibawakan Scha.

"Sebab itu, saya risau untuk berlakon dalam Jodoh 2. Rupa-rupanya macam watak Dazrin dalam Jodoh tetapi versi wanita. Jadi saya lega dan gembira membawakan watak Zara dalam Jodoh 2," ungkapnya mesra ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Jodoh 2 di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini.

Drama bersiri 13 episod arahan Syed Khairul Fariz yang bakal menemui penonton pada 24 Mac ini, berkisarkan tentang Zara yang mencari jodoh.

KETIKA awal kemunculannya dalam dunia hiburan, Hanis pernah dilabel sebagai seorang diva.


Seorang selebriti internet yang tidak mempunyai kekasih, Zara turut digambarkan sebagai seorang gadis yang naif dan sopan.

"Dia seorang selebriti internet yang naif. Dia masuk program cari jodoh itu sebab ingin mencari cinta sejati.

"Bagaimanapun dia berdepan dengan tekanan kerana tidak mampu memilih pasangan yang dia mahukan.

"Terlalu banyak elemen drama, kemahuan penerbit rancangan itu dan juga penonton dalam rancangan tersebut yang perlu dikutinya," ulasnya.

Karakter Zara nyata ada persamaan dengan Hanis yang sebelum menceburi bidang lakonan merupakan seorang blogger terkenal. Namun, pelakon berusia 24 tahun ini bukan seorang yang lemah lembut, tetapi sebaliknya bersikap gila-gila.

"Cabaran bawa watak Zara ialah apabila saya terpaksa kekalkan sikap sopan dan ayu. Kalau boleh, saya ingin bawa watak seperti Elly lakonan Jannah Nik yang gila-gila. Sebabnya itu karakter sebenar," ujarnya mengenai watak Elly yang dibawa oleh pelakon Jannah Nik, yang juga merupakan tunjang utama dalam drama Jodoh 2.

Aliff Aziz

Menjalani penggambaran drama Jodoh 2 selama 35 hari, Hanis turut berlakon di samping penyanyi sensasi, Aliff Aziz.

Pertama kali bergandingan dengan Aliff, ada cerita mengatakan mereka bermasam muka ketika penggambaran Jodoh 2 dijalankan.

Menjawab mengenai gosip tersebut, ulas Hanis, khabar yang mengatakan dia bermasam muka dengan Aliff adalah pelik.

"Saya tidak tahu macam mana boleh timbul khabar ini (bermasam muka dengan Aliff). Serius tidak ada langsung. Boleh tanya soalan ini kepada mereka di lokasi penggambaran ini.

"Saya rasa benda ini timbul sebab kami belum lagi ada babak bersama dalam Jodoh 2. Semua babak saya banyak dengan Fadlan Hazim (hero Jodoh 2). Kalau ada babak bersama Aliff sekalipun, ia membabitkan pelakon-pelakon lelaki lain juga.

HANIS mengakui hubungannya dengan Hairul tidak lebih sekadar teman rapat.


"Tetapi ia tidak bermakna kami bermasam muka dan tidak bertegur sapa. Kalau minum petang kami turut minum bersama," ungkapnya terkejut dengan khabar terbabit.

Disoal mengenai kontroversi yang mengaitkan Aliff dengan beberapa wanita dan selebriti sebelum ini, kata Hanis, dia tiada masalah mencipta keserasian berlakon bersama Aliff kerana umur mereka juga hampir sebaya.

"Hanis tidak pernah dengar kontroversi dia (Aliff) di set penggambaran - kami tiada masalah. Kami mudah serasi sebab saya, Aliff dan juga semua pelakon memiliki umur yang hampir sebaya," ujarnya.

Diva

Pernah didakwa bersikap diva dengan media sebelum ini, Hanis menangkis dakwaan tersebut. Sebaliknya dia mengakui, ketika itu dia belum pandai membawa diri.

"Kalau dulu, saya tidak pandai bawa diri ketika hadir ke majlis hiburan. Saya juga tidak tahu hendak berbual dengan orang yang tidak dikenali. Sekarang saya sudah kenal wartawan," jelasnya.

Disoal mengenai pandangan orang ramai terhadapnya selepas dituduh diva, kata Hanis, peminatnya yang mengenalinya sejak menjadi penulis blog tahu siapa dirinya dan masih menyokongnya.

"Saya cuma kesal kalau orang yang tidak kenal membaca dan mempercayai berita itu (isu diva). Alhamdulillah, sekarang saya sudah pandai bawa diri. Cerita sebegini tidak lagi timbul," akuinya.

Selain daripada Jodoh 2, Hanis juga baru menjalani penggambaran telefilem arahan Micheal Ang berjudul Patung.

Mengakui Patung merupakan karya paling berat pernah dibawa olehnya, akui Hanis, dia membawa watak seorang wanita psiko yang didera oleh ibunya serta dibomoh oleh suaminya.

"Patung merupakan cerita hantu. Saya bawa watak wanita yang dipaksa kahwin dengan orang lain selepas kekasihnya dibunuh. Dia kemudiannya menjadi psiko dan sering bermain dengan anak patung selepas dibomoh oleh suami," kongsinya lagi mengenai telefilem yang bakal ditayangkan pada bulan April ini.

Hairul Azreen

Turut disoal mengenai hubungannya bersama pelakon Hairul Azreen, Hanis memberitahu, pemuda itu merupakan lelaki yang paling rapat dengannya sekarang.

"Sejak di tingkatan tiga lagi, saya sudah mengenali dia ( Hairul). Kami kenal menerusi laman sosial Myspace. Sejak itu, kami berkawan dan menjadi rapat sehingga kini. Dia banyak membantu saya dalam bidang lakonan," ulasnya mengenai perkenalannya dengan Hairul.


HANIS (berdiri tiga dari kanan) bersama barisan para pelakon yang menjayakan drama bersiri Jodoh 2 yang akan mula ditayangkan pada 24 Mac ini.


Begitu sukar berkongsi lebih lanjut status hubungannya dengan Hairul, akui Hanis, sejak menjadi penulis blog lagi, dia tidak suka mencanangkan kisah peribadi.

Katanya, walaupun dia pernah mempunyai teman istimewa satu ketika dahulu dia tidak pernah bercerita mengenainya dengan peminat blognya biarpun disoal berkali-kali.

Berkongsi sasarannya untuk berkahwin, ujar anak kedua daripada tujuh orang adik-beradik itu, dia pernah berhasrat untuk berkahwin di usia 20 tahun.

Sebabnya, Hanis ingin mengikut langkah ibunya yang berkahwin di usia 20 tahun dan mempunyai anak yang ramai.

"Saya ingin ikut dia berkahwin di usia 20 sebab perbezaan umur kami tidak terlalu jauh. Dia sekarang 46 dan saya pula 24 tahun. Walaupun hubungan kami adalah ibu dan anak tetapi kami rapat seperti kawan baik.

"Tetapi bila mula berlakon saya tidak lagi teringin untuk berkahwin awal. Ini kerana, saya mulai suka memperoleh pendapatan sendiri. Memegang duit sendiri. Ibu juga pernah menasihati saya supaya tidak berkahwin di usia sepertinya," luahnya lagi.

Farid jaga pemakanan Diana

Posted:

Farid jaga pemakanan Diana

Farid jaga pemakanan Diana

Oleh IZWAN MOHD. ISA

FARID KAMIL mengakui anak kini menjadi keutamaan buat dirinya dan Diana.


SEJAK pelakon tinggi lampai, Farid Kamil, 33, mendirikan rumah tangga dengan Diana Danielle, 23, pada penghujung tahun 2012, ada sahaja kisah kurang enak serta kontroversi yang sering menghambat pasangan tersebut.

Daripada isu pakaian seragam dan lencana kententeraan yang dipakai pada majlis resepsi perkahwinan hinggalah keengganan Farid dan Diana untuk mengumumkan nama anak lelaki mereka, pasangan itu seperti mengambil keputusan untuk mengunci mulut apabila disoal mengenai kisah peribadi.

Ketika ditemui pada majlis pengumuman pelantikannya sebagai jurucakap kedai dobi layan diri CleanPro di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, pelakon yang pernah popular dengan filem I'm Not Single itu mengakui dia mempunyai sebab yang tersendiri untuk terus merahsiakan indentiti anak sulungnya itu.

Ikuti temu bual Kosmo! dengan Farid.

Kosmo!: Tahniah kerana dilantik sebagai duta rangkaian kedai dobi terbesar di Malaysia! Kenapa Farid begitu tertarik untuk menerima tawaran ini?

FARID: Terima kasih. Ketika saya berada di Amerika Syarikat (AS), saya telah menggunakan perkhidmatan seperti ini. Ia sangat mudah dan praktikal. Selain itu, saya tertarik untuk menerima tawaran ini kerana ia merupakan satu konsep yang menarik untuk diketengahkan di Malaysia.

Sebagai seorang seorang selebriti yang telah mendirikan rumah tangga, adakah Farid sudah bersedia untuk menjadi jurucakap sebarang produk bersama isteri dan anak?

Saya belum menerima sebarang tawaran untuk muncul bersama isteri dan anak. Lagipun, saya tidak mahu anak saya terlibat secara langsung dalam industri hiburan ketika dia masih kecil.

Adakah Farid melarang anak daripada menceburi dunia seni, terutamanya dunia lakonan?

Buat masa ini, ya. Saya tidak gemar melihat anak saya bekerja pada usia muda. Saya juga tidak menyokong child labor (kanak-kanak yang diminta untuk bekerja). Tetapi, jika dia mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam dunia hiburan ketika dia sudah dewasa, itu terpulang dengan keputusannya sendiri.

Sudah hampir setahun sejak anak sulung anda dilahirkan. Kenapa Farid mengambil keputusan untuk tetap merahsiakan nama anak anda?

Saya akan mengumumkan tentang anak saya apabila tiba masa yang sesuai nanti.

FARID dan Diana masih belum mendedahkan nama anak sulung mereka ini kepada umum.


Apakah perancangan Farid untuk anak?

Saya bercadang untuk menghantarnya ke sekolah tahfiz apabila usianya menginjak lima tahun.

Kenapa Farid bercadang untuk berbuat demikian?

Idea untuk menghantar anak saya ke sekolah tahfiz tercetus apabila ibu saya sendiri berhasrat untuk melihat salah seorang daripada anak-anaknya bergelar tahfiz. Akibat hasrat yang diimpikan sebelum ini tidak kesampaian, dia kemudian mencadangkan agar cucunya pula diberikan pendidikan sebegitu. Pada pandangan saya, tidak salah untuk mencuba.

Apakah perubahan ketara yang Farid alami selepas bergelar seorang bapa?

Perubahan paling ketara yang berlaku dalam hidup kami sekarang adalah cara kami membahagikan masa. Jika dulu kami ada 24 jam untuk diri sendiri, tetapi selepas menimang cahaya mata, anak merupakan keutamaan kami.

Isteri anda, Diana kelihatan sungguh kurus. Adakah Farid menjaga pemakanan Diana selepas melahirkan anak?

Saya memang menjaga pemakanan Diana terutamanya sejak dia masih mengandung lagi. Dia memerlukan nutrisi yang betul bagi menjamin kandungan yang sihat. Justeru, selepas melahirkan anak, pola pemakanan yang serupa masih diteruskan.

Adakah Farid meletakkan syarat untuk Diana dalam kerjayanya?

Saya tidak menyekat sebarang keputusannya untuk terus berlakon. Asalkan dia pandai membahagikan masa antara kerjaya dan anak, saya tidak kisah.

Sejak kebelakangan ini, Farid sering dikaitkan dengan hal yang berkaitan dengan pihak berkuasa. Apakah status hubungan anda dengan mereka sekarang?

Buat masa ini, saya dan pihak berkuasa tidak mempunyai apa-apa masalah. Semua yang berlaku sebelum ini adalah disebabkan salah faham sahaja.

Apakah perkembangan terbaharu Farid?

Saya bakal muncul dengan filem arahan Mamat Khalid berjudul Apokalips X pada 3 April ini. Selain itu, saya akan berlakon dalam sebuah supertelefilem, selain trilogi filem Lagenda Budak Setan.

Arja Lee gapai impian

Posted:

Arja Lee gapai impian

Arja Lee gapai impian

Oleh HARYATI KARIM

ARJA Lee menhabiskan kos sebanyak RM30,000 untuk single sulungnya yang berjudul Cerita Pada Mereka.


SEBELUM namanya popular sebagai pelakon, Arja Lee atau nama sebenarnya Azharudin Ramli, 30, menyimpan impian untuk bergelar penyanyi.

Dia pernah mencuba nasib dengan menyertai beberapa program realiti nyanyian seperti Audition dan Gangstarz.

Malah sebanyak dua kali dia cuba menyertai Akademi Fantasia – pada musim keenam dan kesepuluh.

Namun, semangatnya tidak pernah luntur meskipun dia gagal menempatkan diri sehingga ke peringkat akhir.

Percaya pada rezeki yang tidak menyebelahinya ketika itu, Arja meneruskan perjalanan seninya di pentas teater.

Seterusnya, dia kini bergelar salah seorang pelakon lelaki popular sejak memegang watak Ramzul dalam drama bersiri Ariana Rose.

Impiannya untuk bergelar penyanyi bagaimanapun menjadi kenyataan apabila baru-baru ini, Arja melancarkan single berjudul Cerita Pada Mereka.

Lagu itu dicipta sepenuhnya oleh Keroz Nazri manakala muziknya disusun oleh Alfa Booty.

"Sebenarnya, impian terbesar saya adalah untuk bergelar penyanyi. Saya pernah cuba dalam beberapa program realiti tetapi tidak sampai ke peringkat akhir.

"Mungkin waktu itu saya masih belum cukup bagus dan bukan rezeki saya. Selepas Akademi Fantasia musim ke sepuluh saya tidak masuk mana-mana program realiti lagi.

"Selepas itu, saya bersedia untuk menjadi penyanyi dan menerbitkan sendiri lagu hasil pendapatan daripada lakonan," katanya yang berhabis wang sebanyak RM30,000 untuk rakaman lagu Cerita Pada Mereka.

Tambah Arja, dia bukannya kecewa selepas menyertainya pelbagai program realiti sehingga memaksanya menerbitkan sendiri lagu untuk bergelar penyanyi.

Sebaliknya, selepas drama Ariana Rose popular dan melonjakkan namanya, dia merasakan kini adalah waktu yang tepat untuknya melancarkan single tersebut.

"Bukanlah sebab saya kecewa sehingga terpaksa keluarkan duit poket sendiri untuk jadi penyanyi tetapi sudah sampai masanya.

"Kebetulan, rezeki dalam lakonan lebih banyak membolehkan saya mengumpul wang untuk merakamkan lagu. Waktunya juga sesuai untuk lancarkan single kerana drama Ariana Rose baru sahaja tamat dan saya telah berjaya mengumpul ramai peminat baharu," ujarnya.

FIGURA ini tidak akan meninggalkan dunia lakonan meskipun gigih mengejar impian untuk bergelar penyanyi.


Rapat dengan Shima Anuar

Meskipun sudah bergelar penyanyi, tegas pelakon drama Misiku Kuza itu, dia tidak akan sesekali meninggalkan dunia lakonan.

"Penyanyi Salamiah Hassan pernah bercakap kepada saya, untuk menjadi penyanyi yang bagus saya harus tinggalkan dunia lakonan kerana menyanyi perlu banyak rehat untuk menjaga suara.

"Namun, buat masa sekarang rezeki lakonan saya lebih banyak dan orang pun mengenali saya sebagai pelakon.

"Tidak mungkin untuk saya tinggalkan dunia lakonan walaupun saya akan aktif sebagai penyanyi pada masa hadapan," jelasnya yang mengakui mempunyai hubungan rapat dengan pelakon baharu, Shima Anuar.

Melihat imej yang lengkap dengan tuksedo ketika majlis pelancaran single Cerita Pada Mereka di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini, penampilan Arja tidak ubah seperti penyanyi lelaki tersohor, Anuar Zain.

Bukan itu sahaja, lagu Cerita Pada Mereka juga seakan-akan kedengaran seperti lagu yang biasa didendangkan adik kepada penyanyi Ziana Zain itu.

Anuar Zain

Menjawab persoalan itu, Arja mengakui dia merupakan salah seorang peminat kepada Anuar Zain, bagaimanapun tidak adil untuknya disamakan seperti penyanyi itu menerusi sebuah lagu single sahaja.

"Saya tidak mahu jadi klon Anuar Zain, memang saya peminat dia dan selalu menyanyikan lagunya apabila mendapat undangan nyanyian.

"Mungkin disebabkan usia saya yang sudah capai angka 30 tahun dan wajah maskulin menyebabkan orang melihat saya ingin menjadi seperti Anuar Zain.

"Sebagai penyanyi saya ada identiti saya sendiri, saya harap pihak media dan orang ramai lebih terbuka dalam menerima muzik saya," ulasnya.

Bercakap tentang perjalanan kerjayanya, Arja bersyukur selepas drama Ariana Rose, jadualnya sudah penuh sehingga hujung tahun ini.

"Alhamdulillah, sekarang orang sudah mula kenali siapa Arja Lee dan perjalanan kerjaya lebih mudah. Saya mula daripada bawah dan apa yang saya kecapi hari ini saya akan guna sebaik mungkin untuk membantu keluarga," balasnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat