Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
- Nina sedia berhenti berlakon
- Hanez mahu tarik diri, penerbit mahu Hanez - Shawn
- Ukhuwah 500,000 malam Selawat Perdana
Posted: Nina sedia berhenti berlakon
BARU setahun dalam industri lakonan. Namanya juga belum sempat mekar. Khalayak Malaysia masih tertanya-tanya siapa gerangannya Nina Iskandar. Namun, pelakon baharu dari Brunei itu sudah nekad mengambil keputusan untuk bertunang dengan kekasihnya, Ahmad Heikal, 30, seorang ahli perniagaan. Pada masa yang sama, dia juga tidak kisah untuk berhenti berlakon selepas berkahwin kelak. Pasangan itu mula berkenalan menerusi laman sosial Instagram sejak November tahun lalu. Sekali gus, pengakuan pelakon berusia 23 tahun itu dapat menepis segala gosip yang bertebaran yang mengaitkan dirinya dengan anak tiri kepada penyanyi Datuk Siti Nurhaliza iaitu Adib Khalid, 24. "Ternyata gosip yang mengatakan saya bakal bertunang dengan anak Datuk K itu tidak benar. Saya akan bertunang pada bulan Ogos ini dengan kekasih saya yang bernama Ahmad Heikal," ungkapnya jujur ketika ditemui pada majlis pratonton filem Lu, Gua, Bro! terbitan Metrowealth International Group (MIG) di TGV Sunway Piramid, Petaling Jaya. Sedar hakikat bahawa tindakannya untuk bertunang ketika namanya sedang naik bakal menimbulkan pelbagai spekulasi daripada mulut orang ramai, kata pemilik sebenar nama Nur Akmalina Iskandar itu, dia sudah bersedia dengan tohmahan orang ramai. Malah, Nina menganggap itu semua sudah takdir dan rezeki yang sudah tertulis buat dirinya. "Saya sudah bersedia. Memang masa mula-mula saya masuk industri lakonan, saya tidak punyai apa-apa. Tujuan utama saya adalah berlakon dan bekerja untuk mencari rezeki yang halal. "Bagaimanapun, lumrah kalau Tuhan tentukan rezeki lain buat kita. Saya percaya, rezeki ini mungkin sudah tertulis buat saya. Jadi, saya tidak perlu risau dengan persepsi orang terhadap saya," luahnya yang tiada perancangan untuk melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat. Pelakon Muka Surat Cinta itu juga berserah andai takdir dirinya bakal berkahwin muda. Menyambung bicaranya lagi, tutur Nina: "Bagi saya bertunang bukan benda jahat, malah benda yang baik. Perasaan ini datang bukan kita yang minta. Ia datang secara tiba-tiba, jadi saya serah segala-galanya kepada takdir". Disoal mengenai pandangan pihak pengurusan MIG mengenai perancangannya untuk bertunang, Nina yang mengikat kontrak selama lima tahun bersama MIG itu mengakui, pihak pengurusannya tiada masalah mengenai perkara itu, malah menyokong niatnya untuk melangsungkan pertunangan pada Ogos ini. Nina turut ditanya mengenai perasaan kekasihnya apabila timbulnya gosip mengenai dirinya dengan Adib. Kata Nina, Ahmad seorang lelaki yang sangat memahami dan gosip itu tiada masalah baginya. Tinggal kerjaya lakonan Belum ada sebarang tarikh perkahwinan, bagaimanapun Nina memberitahu, dia sudah bersedia menjadi seorang isteri. Pada masa yang sama, dia bersedia untuk meninggalkan kerjaya lakonan pada bila-bila masa. "Tarikh kahwin belum ada lagi tetapi kami merancang bertunang dalam minggu pertama Ogos, selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri," jelasnya. Berkongsi momen perkenalannya dengan Ahmad, bicara Nina, lelaki berketurunan Pakistan dari Kelantan itu sudah mengikuti lama laman sosial Instagramnya. Sehingga pada suatu hari, ketika bangun tidur, satu daripada gambar di IG Nina mendapat like daripada lelaki itu. "Saya pernah tengok wajahnya di Instagram selepas dia mengikuti IG saya. Kebetulan, pada suatu hari, dia like gambar saya. Saya mula melihat profilnya dan saya rasa teruja kerana mendapati Ahmad menyukai negara Brunei. "Kemudian saya juga like beberapa gambarnya dan selepas itu Ahmad meminta alamat WeChat saya. Dari situ, kami mula berkenalan," cerita Nina mengenai detik awal perkenalannya dengan Ahmad. Hanya dalam tempoh perkenalan selama tiga bulan, Nina kemudiannya dirisik keluarga Ahmad pada 15 Februari lalu di kediaman milik keluarga Nina di Brunei. Lu, Gua, Bro! Usai mengenai hubungannya dengan Ahmad dikongsikan, Nina bercerita mengenai cabaran yang dihadapinya dalam filem terbaharu lakonannya, Lu, Gua, Bro!. Pertama kali membawa watak seorang gadis kampung yang jauh daripada perwatakan sebenar Nina, wanita yang lahir pada 4 Ogos itu mengakui perlu menukar gaya percakapannya. "Cabarannya agak banyak. Salah satunya adalah dari segi gaya percakapan. Saya kena menukar percakapan saya kepada bahasa kampung. Lagi satu cabaran apabila saya kena menunggang basikal dalam kawasan sawah. "Sudah hampir 20 tahun saya tidak menunggang basikal dan ia agak sukar buat saya," ujarnya yang membawa watak seorang gadis kampung bernama Hawa. Lu, Gua, Bro! mengisahkan perjalanan, suka dan duka dua sahabat baik iaitu Yu dan Mi. Dari zaman kanak-kanak, remaja hingga ke dewasa mereka tetap bersama walau apa pun yang berlaku. Impian mereka menjadi seorang polis, tambahan pula kedua bapa mereka juga menginginkan mereka menjadi polis. Filem arahan Ismail Bob Hasim itu akan ditayangkan di seluruh pawagam pada 27 Mac ini. | |
Hanez mahu tarik diri, penerbit mahu Hanez - Shawn Posted: Hanez mahu tarik diri, penerbit mahu Hanez - ShawnOleh IZWAN MOHD. ISA BARISAN pelakon teater Projek Kahwin dijangka akan memulakan latihan pada bila-bila masa. BETAPA berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang mungkin dialami oleh pelakon putih melepak, Hanez Suraya. Setelah dihambat dengan kontroversi serta pelbagai tohmahan oleh orang awam, kariernya dalam bidang lakonan pula dikatakan mulai goyah. Baru-baru ini, nama Hanez didakwa mungkin akan digugurkan daripada produksi teater Projek Kahwin yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada bulan Jun depan. Selain itu, Shah Iskandar, pelakon yang turut sama membintangi teater tersebut pula melahirkan rasa bimbang jika kontroversi yang melanda Hanez akan menjejaskan jualan tiket pementasan itu. Terpanggil untuk mendapatkan kepastian, Hanez atau nama sebenarnya Hanez Suraya Abdul Aziz, 29, cuba untuk dihubungi oleh Kosmo!, namun dia enggan memberikan sebarang komen mengenai dakwaan tersebut. "Maaf ya, saya tidak mahu memberikan sebarang komen," jawabnya ringkas menerusi pesanan WhatsApp. Dalam pada itu, penerbit teater tersebut, Shawn Amir, 27, ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak pernah membuat sebarang perancangan untuk menggugurkan Hanez sebagai bintang utama teater berkenaan. Setakat ini, kata Shawn, hubungan antara pihak produksi dan Hanez masih dalam keadaan baik tanpa mengalami sebarang masalah. Ikuti temu bual selanjutnya antara Kosmo! dan Shawn. Kosmo!: Adakah dakwaan mengenai pengguguran nama Hanez daripada barisan pelakon pementasan teater Projek Kahwin benar? SHAWN: Dakwaan itu tidak benar sama sekali. Jika benar nama Hanez telah digugurkan, mana buktinya? Lagipun, kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan tanpa melalui proses perbincangan terlebih dahulu. Jadi, bagaimana hubungan anda dengan Hanez setakat ini? Hubungan syarikat produksi dan Hanez masih dalam keadaan baik. Dari segi komitmen, dia tidak pernah gagal untuk memenuhi undangan promosi mahupun hadir ke sidang akhbar yang dijalankan. Adakah perkara ini merenggangkan hubungan anda berdua? Pada pendapat saya, dakwaan sebegini memang boleh menjejaskan hubungan kami. Apakah respons yang diberi oleh Hanez mengenai perkara ini? Sejujurnya, dia ada meluahkan perasaannya kepada saya. Katanya, dia mahu menarik diri daripada pementasan teater ini jika penglibatannya memberikan sebarang masalah kepada pihak produksi. Apakah nasihat anda kepadanya? Saya memberitahu Hanez supaya jangan membuat keputusan terburu-buru. Lagipun, sepanjang bekerjasama dengannya, dia tidak menimbulkan sebarang masalah kepada saya. Pihak Istana Budaya juga tidak mempunyai masalah dengannya jika dia mahu terus terlibat dalam pementasan ini. Namun, jika dia nekad mahu mengundurkan diri, kami sudah mempunyai pelan kedua. Adakah anda akan meneruskan pementasan teater ini? Kami masih dalam proses perbincangan dan jika terdapat sebarang perubahan, kami akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan perkara tersebut. Bagaimana pula dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Shah Iskandar? Adakah kenyataan tersebut bakal menjejaskan perjalanan teater? Itu merupakan pandangan logik Shah terhadap apa yang berlaku sekarang. Jika dia menafikan kontroversi itu tidak mengganggu penjualan tiket, orang ramai akan mempersoalkan pula tentang kenyataannya itu. Bagi saya, sebagai individu normal, apa yang yang dinyatakan oleh Shah adalah pendapat peribadinya sahaja. Boleh ceritakan perkembangan terkini teater Projek Kahwin? Teater ini sudah berjalan sebanyak 30 hingga 40 peratus tetapi sesi latihan masih belum bermula. | |
Ukhuwah 500,000 malam Selawat Perdana Posted: Ukhuwah 500,000 malam Selawat PerdanaOleh RONI HIDAYAT RIDWAN PENYANYI Adam (tiga dari kiri) dilihat turut serta mengalunkan selawat dalam Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435. ACARA Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435 yang buat julung-julung kalinya dianjurkan pada Jumaat lalu mendapat sambutan cukup menggalakkan. Berlangsung di Dataran Masjid Putra, Putrajaya, sekitar 500,000 umat Islam hadir mengalunkan selawat dan zikir yang dipimpin oleh Habib Syech Abdul Qodir Asseqaf dan Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid. Lebih menarik, kelihatan juga beberapa orang artis tempatan yang turut meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkan acara berkenaan seperti Johan As'ari dan Fizz Fairuz. Bertemu dengan Johan yang tampil dengan jubah rona putih, pelakon itu menyatakan, dia begitu teruja untuk hadir dalam acara berbentuk keagamaan seperti Selawat Perdana. "Sebenarnya sepatutnya malam ini saya bertolak ke Australia untuk bercuti bersama keluarga tetapi ia telah ditangguhkan semata-mata kerana keinginan saya hadir pada acara ini. "Lagipun tidak selalu acara keagamaan sebegini dianjurkan dan sudah tentu ia merupakan satu kerugian jika tidak hadir," ujarnya yang hanya mengambil penerbangan ke Australia pada keesokan malamnya. Luah Johan, acara berbentuk kerohanian seperti Selawat Perdana ini sepatutnya diadakan secara lebih kerap kerana ia dilihat sebagai satu langkah untuk mendekatkan diri dengan Allah serta mampu menyatupadukan umat Islam. "Saya juga gembira melihat kehadiran ramai artis pada acara ini, biarpun diketahui jadual mereka sentiasa padat dengan aktiviti seni. Sebagai ikon, kita seharusnya perlu menunjukkan contoh yang baik kepada peminat. TERUJA... Seramai 500,000 umat Islam membanjiri Dataran Masjid Putra, Putrajaya, Jumaat lalu untuk sama-sama memeriahkan Selawat Perdana Malam Cinta Allah & Rasul 1435. "Jika selama ini kita selalu dapat hadir pada acara hiburan yang dianjurkan, jadi apa salahnya dengan kelapangan masa yang ada digunakan sebaiknya untuk hadir pada acara agama pula," ujarnya. Sementara itu, Fizz Fairuz yang turut ditemui berkata, dia sudah berada di Putrajaya sebelum waktu asar dan berpeluang untuk melakukan solat waktu secara berjemaah di Masjid Putra buat kali pertama. Ujarnya, dia meminta supaya kehadirannya bersama beberapa rakan artis lain tidak dianggap sebagai sengaja menunjuk-nunjuk, sebaliknya mereka hadir dengan niat yang ikhlas. "Saya memang sangat teruja menyertai acara ini, malah turut terbabit dengan rangka promosi yang dilakukan. Sudah terlalu kerap dengan urusan dunia, apa salahnya saya luangkan sedikit masa untuk bersama umat Islam lain berselawat dan memuji kebesaran Allah dan Rasulullah. "Secara jujurnya saya ingat acara sebegini kurang mendapat perhatian tetapi setelah menyaksikan sendiri di depan mata, saya berasa sangat kagum kerana ia mendapat sambutan hangat yang sangat luar biasa dan berharap agar ia dapat dijadikan acara tahunan," jelasnya. 600 sukarelawan Pengarah Publisiti & Promosi Sekretariat Perdana, Izelan Basar berkata, pihaknya gembira dengan sambutan hangat yang diterima memandangkan ia kali pertama dianjurkan. Ujarnya, segala urusan penganjuran acara berkenaan berjalan dengan lancar, malah segala kerja yang dilakukan untuk menjayakannya dibuat secara sukarela. "Seramai 600 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh Malaysia telah membantu pihak Sekretariat Perdana selaku penganjur melancarkan perjalanan acara ini. "Selain kehadiran yang mencecah sehingga 500,000 umat Islam, ia turut disiarkan secara langsung di tiga saluran televisyen iaitu RTM 1, Oasis (106) dan TV Alhijrah," jelasnya. Menurut Izelan, biarpun cuaca hujan pada sebelah petang, pihaknya bersyukur apabila cuaca berada dalam keadaan sangat baik sepanjang acara berlangsung. Malah, ia langsung tidak menjadi penghalang buat umat Islam membanjiri Dataran Masjid Putra sejak solat asar semata-mata tidak mahu melepaskan peluang untuk hadir ke acara berkenaan. "Selapas di Putrajaya, kami merancang untuk menganjurkannya di setiap negeri pula. Berkemungkinan besar ia akan dimulakan di negeri Johor dan Pahang," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |