{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Infiniti

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Infiniti


Komited lestarikan alam sekitar

Posted:

Komited lestarikan alam sekitar

Komited lestarikan alam sekitar

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
nadia.bahari@kosmo.com.my

KENANGAN menerima anugerah tertinggi dan paling berprestij di San Francisco, Amerika Syarikat (AS) kira-kira lima tahun lalu masih terpahat kemas dalam lipatan kenangan Azrena Mahmud.

Ibu kepada empat orang cahaya mata itu merupakan Pengurus Perhubungan Awam dan Pemasaran di Intel Malaysia yang berpangkalan di Pulau Pinang. Dia sudah berkhidmat di syarikat inovasi pengkomputeran tersebut selama sembilan tahun.

"Pengalaman paling menarik adalah apabila saya dan beberapa rakan sekerja lain diterbangkan khas ke AS bagi menerima Anugerah Pencapaian Intel daripada presiden dan ketua pegawai eksekutif Intel dalam satu majlis eksklusif.

"Anugerah tersebut diberikan atas pencapaian dalam projek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang telah kami anjurkan di peringkat global. Antaranya, usaha pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar," ujarnya ketika ditemui di kampus Intel Malaysia, Pulau Pinang baru-baru ini.

Dia menggalas tugas dalam menguar-uarkan usaha dan program Intel kepada masyarakat agar dapat menjadi galakan dan manfaat.

Azrena turut terlibat dalam program penanaman pokok bakau, kitar semula, program pemeliharaan dan pemuliharaan hidupan laut serta menyampaikan taklimat kepada pelajar sekolah tentang kepentingan alam sekitar.

Intel Corporation merupakan syarikat multinasional yang mereka bentuk dan membina keperluan teknologi yang dijadikan asas kepada peranti komputer di dunia. Di Malaysia, ia dikenali sebagai Intel Malaysia dan mula ditubuhkan pada tahun 1972 dengan kekuatan seramai 100 pekerja.


CEF Audee Cheah memotong sayur yang diambil dari tapak semaian Farm To Fork.


Selepas 42 tahun, Intel Malaysia merupakan cawangan Intel Corporation terbesar di luar AS yang memiliki lebih 9,000 pekerja berkemahiran tinggi. Maka tidak hairanlah apabila Intel Malaysia berjaya memanfaatkan kepakaran yang dimiliki bagi menyumbang kembali kepada kelestarian alam sekitar.

Buktinya, sebanyak RM3 juta setahun dilaburkan bagi program penjimatan tenaga sejak enam tahun lalu. Pada tahun 2011 dan 2012, sebanyak 28 juta kiloWatt sejam (kWj) tenaga elektrik berjaya dijimatkan.

Larangan

Jurutera Kimia Intel Malaysia, Siti Zawiyah Baharom, 26, berkata, dia turut mengambil bahagian dalam aktiviti memelihara dan memulihara alam sekitar yang dikelolakan oleh pihak syarikat.

"Salah satu inisiatif Intel yang dianggap berkesan adalah larangan meletakkan bakul sampah di meja pekerja dan ia digantikan dengan tong kitar semula berpusat yang dibahagikan kepada pelbagai kategori.

"Antara kategori tersebut adalah kertas, tin, plastik, dan sisa makanan. Selain pekerja dikehendaki mengasingkan sampah mengikut kategori, secara tidak langsung cara tersebut membuatkan pekerja 'bersenam' di dalam pejabat kerana terpaksa berjalan ke arah tong sampah," jelasnya yang baru setahun berkhidmat di syarikat tersebut.

Sebagai jurutera kimia, dia bertanggungjawab dalam memastikan kelancaran sistem gas, rawatan air secara proses osmosis berbalik ternyah ion dan sistem rawatan air sisa industri.

Selain itu, Siti Zawiyah juga terlibat dalam melaksanakan projek tadahan air hujan bagi memaksimumkan penggunaan tenaga. Melalui program tersebut, Intel Malaysia dapat mengumpul air hujan dan menyalurkan kepada tangki simpanan yang kemudiannya dapat digunakan sebagai sumber tenaga kepada sistem pendingin hawa.

"Dengan kepakaran yang dimiliki, saya boleh menjalankan uji kaji dan menganalisis air buangan yang hendak dikitar semula," ujarnya.


PEKERJA dikehendaki membawa beg bimbit sendiri jika ingin berbelanja di kedai serbaneka yang terdapat di Intel Malaysia.


Usaha penjimatan tenaga yang dilakukan membuahkan hasil apabila Intel Malaysia diiktiraf untuk menerima anugerah pencapaian dalam Keberkesanan Pengurusan Tenaga pada majlis Anugerah Industri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) 2013.

Difahamkan, lebih 50 projek pemuliharaan tenaga sudah dilaksanakan sejak dua tahun lalu. Selain penjimatan tenaga, program pemuliharaan air dan kitar semula sisa pepejal turut dilakukan bagi memastikan alam sekitar terus terpelihara.

Sementara itu, Pengarah Perkhidmatan Korporat Intel Malaysia, Lee Koh Wing berkata, Intel Malaysia menekankan tujuh aspek utama bagi mengurangkan kesan karbon terhadap alam sekitar.

Ia terdiri daripada penggunaan tenaga produk secara berkesan, pemuliharaan tenaga, kitar semula sisa air, bangunan hijau, strategi kelestarian teknologi maklumat dan pengurangan serta kitar semula sampah.

Stesen kitar semula

Terdapat 74 stesen kitar semula disediakan di kampus Intel Malaysia iaitu di Pulau Pinang dan Kulim, Kedah.

"Pokoknya, tiada apa yang dibiarkan terbuang atau dibazirkan begitu sahaja. Contohnya, sisa makanan pekerja akan diasingkan di ruang yang disediakan untuk dijadikan baja kompos.

"Baja itu akan digunakan untuk landskap di sekitar kampus Intel dan kebun yang dikhaskan buat pekerja. Mereka boleh menanam dan kemudian membawa pulang atau menghantar sayur tersebut ke kafetaria untuk dimasak secara percuma," jelasnya ketika mengiringi lawatan media ke Intel Malaysia.

Pada tahun lalu, Intel Malaysia berjaya menjimatkan kuantiti air sehingga mencecah 119,000 meter kubik iaitu bersamaan dengan saiz 50 kolam renang bertaraf Olimpik.

Selain itu, pekerja digalakkan berkongsi kenderaan ke tempat kerja bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yang mengakibatkan pencemaran udara.


YEAN PHIN menuang baja kompos yang dihasilkan daripada sisa makanan pekerja ke tapak semaian.


Pekerja yang berkongsi kenderaan diberi keistimewaan untuk meletakkan kereta paling hampir dengan bangunan pejabat masing-masing. Ini bermakna, mereka yang memilih untuk memandu kereta seorang diri terpaksa berjalan kaki lebih jauh untuk ke tempat kerja.

Bukan sahaja Intel Malaysia begitu komited dengan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, syarikat berkenaan turut mengambil berat terhadap kebajikan setiap pekerjanya. Misalnya, bakal-bakal ibu disediakan tempat letak kereta istimewa bagi memudahkan pergerakan mereka.

Polisi syarikat turut membenarkan pekerjanya bekerja dari rumah sekiranya terdapat anggota keluarga yang tidak sihat atau memerlukan perhatian si pekerja. Bilik khas penyusuan ibu turut disediakan untuk si ibu yang masih menyusukan anak.

Menentang pencemaran di China

Posted:

Menentang pencemaran di China

Menentang pencemaran di China


CHINA menggunakan lebih banyak sumber tenaga berbanding negara lain di dunia.


SELAMA hampir 40 tahun, dia telah menggali arang batu sehingga menyebabkan kesihatan lelaki berusia 55 tahun itu terjejas dan saluran air di kampungnya mengering.

Tetapi, tiada yang mampu dilakukan oleh lelaki ini memandangkan ia merupakan sumber rezeki utama.

"Jika saya bekerja sebagai petani, mungkin pendapatan yang diterima tidak setinggi seperti menjadi pelombong," ujarnya yang hanya ingin dikenali sebagai Di.

Tanpa berasa malu, dia menunjukkan jari-jemarinya yang kehitaman selepas seharian bekerja di sebuah bukit di Wilayah Guizhou, China.

Di memberitahu, kesihatannya masih dalam keadaan yang agak baik walaupun mengakui tidak mampu untuk membayar rawatan kesihatan.

Dalam keghairahan Negara Tembok Besar itu cuba memonopoli industri arang batu dunia, isu kesihatan dan alam sekitar sering diabaikan oleh pihak berkuasa.

Ia membawa kepada kemarahan penduduk yang inginkan keadilan terutama apabila pihak berkuasa berjanji untuk mengambil tindakan sejak Presiden China baharu, Xi Jinping mengambil tampuk pemerintahan tahun lalu.

Sehubungan itu, Perdana Menteri, Li Keqiang telah bersumpah untuk menentang pencemaran yang teruk di negara itu.

Perkara tersebut telah dinyatakannya dalam satu upacara pembukaan acara Parti Komunis China baru-baru ini.

Dalam kenyataannya, Keqiang memaklumkan kerajaan akan mengehadkan jumlah penggunaan tenaga, menutup 50,000 relau kecil arang batu, membersihkan pusat janakuasa utama arang batu dan mengurangkan enam juta kenderaan di jalan raya.

Namun, perubahan tersebut dianggap sebagai satu cabaran yang sukar memandangkan terdapat peningkatan jumlah permintaan dan tekanan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi di negara berkenaan.

"Memandangkan isu alam sekitar semakin mendapat perhatian masyarakat tempatan dan media antarabangsa, tindakan yang lebih serius perlu diambil kerajaan," ujar pakar industri arang batu, Xiaomin Liu.

"Mungkin pihak berkuasa akan melakukan beberapa tindakan tetapi saya tidak merasakan mereka akan mengubah struktur asas ekonomi negara," jelasnya.

Tingkat kualiti udara

China menggunakan lebih banyak sumber tenaga berbanding negara lain dan bertanggungjawab untuk kira-kira setengah penggunaan arang batu dunia.

Selain itu, ia juga bergantung kepada dua pertiga bahan api fosil dunia sebagai bekalan tenaga.

Tekanan masyarakat mengenai isu pencemaran mula merebak sejak Januari 2013 apabila ibu negara, Beijing diselubungi asap yang melebihi 40 kali tahap normal udara bersih mengikut standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Keadaan itu memaksa pihak berkuasa bertindak lebih tegas dalam menyelesaikan masalah yang dialami.

Media-media tempatan mula mengeluarkan laporan kualiti udara dan sehingga tahun ini, sebanyak 15,000 kilang diarahkan untuk memaparkan data-data mengenai aktiviti pengeluaran dan pemprosesan kepada umum.


BEBERAPA orang pelombong sibuk mengasingkan arang batu di Huaibei.


Sepanjang tahun lepas, Beijing telah memperuntukkan RM912.24 bilion untuk meningkatkan kualiti udara, malah pada September 2013, pihak berkuasa mengumumkan untuk mengurangkan penggunaan arang batu di tiga kawasan berkepadatan tinggi.

Ia bakal mengurangkan kebergantungan bahan asli itu sebanyak 65 peratus sehingga tahun 2017.

Menurut Pengarah Sumber Asli Majlis Pertahanan, Alvin Lin, beberapa perancangan yang dibuat terlalu bercita-cita tinggi dan memberikan mesej penting kepada masyarakat.

"Proses pelaksanaan mengambil masa dan beberapa langkah tegas diperlukan sepanjang proses tersebut," ujarnya.

Namun, bagi bandar-bandar yang lantang bersuara dalam isu pencemaran akan mengambil langkah dengan memindahkan kilang-kilang janakuasa tersebut ke kawasan terpencil dan miskin.

"Mungkin antara langkah yang diambil hanyalah mengalih 'masalah' tersebut ke arah barat. Ia seperti mengambil cara mudah bagi menangani isu itu," ujar Pengarah Forum Alam Sekitar China, Jennifer Turner.

Guizhou yang terletak di barat daya China telah berjanji untuk menutup lombong di kira-kira 800 kawasan menjelang pertengahan 2014. Namun segelintir pihak beranggapan langkah itu hanya akan menutup operasi-operasi kecil dan tidak menyentuh proses pengeluaran.

Pendapatan lumayan

Penduduk kampung di sekitar Anshun telah lama meraih manfaat daripada arang batu. Mereka mendapat pendapatan sebanyak RM3,190 sebulan dari sektor perlombongan dengan jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih tinggi daripada gaji buruh dan 10 kali lebih banyak daripada sektor pertanian.

Walaubagaimanapun, sesetengah penduduk menganggap keuntungan tersebut juga membawa kepada satu kerugian yang besar sehingga mampu meragut nyawa. Pelombong sentiasa berhadapan dengan masalah paru-paru hitam, kekurangan air serta ancaman tanah runtuh.

Bertentangan dengan lombong di Anshun, yang mempunyai pemandangan indah dengan deretan kekuningan sayur sawi, berdiri seorang wanita bernama Zhang Yang masih tidak dapat menerima berita kehilangan suaminya tahun lalu. Lelaki berkenaan dipercayai terbunuh ketika melakukan kerja-kerja perlombongan.

Bagi jejaka berusia 45 tahun yang ingin dikenali sebagai Yan, dia memutuskan untuk berhenti kerja kerana takut berdepan dengan bahaya yang meragut ratusan nyawa penduduk kampungnya.

"Saya sangat bersetuju penutupan lombong arang batu kerana ia membawa mudarat kepada kesihatan dan alam sekitar," ujar bapa kepada dua orang itu.

Dalam membuat keputusan itu, dia pernah bertengkar dengan ahli keluarganya untuk terus bekerja di lombong atau berpindah ke kawasan bandar untuk mencari pekerjaan baharu.

"Tidak dinafikan ia membawa pulangan yang lumayan tetapi memikirkan kesan jangka masa panjang, ia tidak memberi pulangan yang diharapkan," ujarnya.

Kit pengesan alkohol mudah dan efektif

Posted:

Kit pengesan alkohol mudah dan efektif

Kit pengesan alkohol mudah dan efektif


KIT pengesan alkohol yang dihasilkan oleh Ummi Marshida (kiri), Mohd. Fakharul dan Muhammad Yusof mampu menggantikan alat pengesan alkohol yang digunakan PDRM.


PARA penyelidik dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohd. Fakharul Yahya, Dr. Ummi Marshida Abdul Hamid dan Muhammad Yusof Masod berjaya menghasilkan kit pengesan alkohol dalam bentuk kertas yang mampu menggantikan alat pengesan alkohol komersial seperti digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada masa ini.

Uniknya, kit ini dihasilkan dengan menggunakan pencetak jet dakwat (inkjet) biasa. Sehubungan itu, mesin pencetak yang biasa digunakan di pejabat menjadi instrumen baharu dalam penyelidikan biologi kumpulan penyelidik tersebut.

Kit pengesan alkohol yang pertama seumpamanya itu dihasilkan dalam bentuk kertas dan berfungsi seperti kertas pH. Ia mempunyai bioaktif berenzim dan mampu mengesan alkohol dalam nafas individu yang disyaki mabuk menggunakan kaedah hembusan pada kertas berkenaan.

Sekiranya kertas berubah warna, ia menandakan individu tersebut mempunyai alkohol dalam tubuh mereka. Ia disebabkan alkohol dehidrogenase iaitu sejenis protein yang dikelaskan sebagai enzim yang berfungsi menukarkan alkohol kepada sebatian kimia lain melalui tindak balas penurunan-pengoksidaan.

"Idea ini tercetus bagi memudahkan aktiviti pemantauan alkohol di samping menyediakan kaedah pengesanan analisis yang murah dan praktikal," ujar Mohd. Fakharul.

Dia menambah, kit pengesan alkohol tersebut bukan sahaja mampu mengesan alkohol dalam nafas individu malah boleh mengesan kandungan bahan berkenaan dalam darah, air liur dan air kencing.

Menjelaskan mengenai penyediaan enzim bioaktif sebelum dicetak di atas kertas, Mohd. Fakharul berkata, enzim alkohol dehidrogenase dicampurkan bersama bahan-bahan penurunan-pengoksidaan pada komposisi tertentu.

"Larutan berkenaan kemudian dimasukkan ke dalam katrij mesin pencetak yang telah diubah suai bagi membolehkan ia dicetak di atas kertas," ujarnya.

Beliau menjelaskan, pasukan tersebut juga mencipta perisian komputer untuk menentukan corak cetakan yang sesuai di atas kertas.

"Kertas yang digunakan dipilih berdasarkan beberapa kriteria tertentu seperti komposisi dan tahap kejernihan kertas selulosa, daya tahan lembapan dan kebocoran untuk memastikan kualiti kertas pengesan alkohol yang dihasilkan.

"Produk ini tidak memerlukan sebarang peralatan elektronik untuk menunjukkan keputusan positif alkohol dan mudah dibawa ke mana-mana. Malah, dengan kos penghasilan yang rendah, kit ini boleh dijual pada harga yang murah," tambahnya.

Beliau memaklumkan kit berkenaan juga mampu mengesan kandungan alkohol dalam makanan atau minuman. Ini sekali gus memberi manfaat kepada pengguna, khasnya yang beragama Islam, yang sangat peka mengenai isu halal dan haram.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat