Kosmo Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Pemotoran |
Generasi keempat pencabar pesaing Posted: Generasi keempat pencabar pesaingOleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR SEGMEN B tersenarai sebagai salah satu daripada kelas pasaran kenderaan roda empat yang cukup kompetatif dan dilihat sebagai lubuk emas dalam industri automotif tempatan. Kelas kereta itu menjadi medan taruhan model-model asas oleh semua pengeluar kenderaan berpenumpang di Malaysia namun perlu diakui, Jepun sebenarnya berada selangkah di hadapan pemain lain. Lihat sahaja kelibat model sedan seperti Toyota Vios, Nissan Almera dan Honda City di atas jalan raya. Produk-produk negara matahari terbit itu ada di merata-rata. Produk jenama Korea Selatan pula masih dalam proses merangkak-rangkak meraih tempat dalam kalangan pembeli tempatan. Populariti sesuatu jenama banyak berkait rapat dengan soal harga, kepercayaan, aspek keselamatan dan khidmat selepas jualan termasuk kebolehdapatan alat ganti. Untuk berdepan dengan saingan sengit itu, Honda Malaysia memperbaharui rangkaian kenderaan segmen B dengan pengenalan generasi keempat Honda City. Kali ini, Honda Malaysia mengetengahkan empat varian sekali gus berbanding dengan hanya dua produk sebelum ini. Sejarah Honda City di Malaysia bermula sekitar tahun 2001 dan menjadi buah mulut golongan orang muda sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan statistik Honda Malaysia, terdapat lebih daripada 145,000 unit City berada di atas jalan di seluruh negara. Sejak membuka tempahan bagi model City bulan lalu, Honda Malaysia berjaya merekodkan tempahan lebih daripada 1,800 unit. PAPAN pemuka baharu kelihatan lebih moden dan menepati cita rasa golongan muda. Menurut Pengarah Urusan Honda Malaysia, Yoichiro Ueno, City baharu menawarkan satu pakej komprehensif yang dapat memenuhi keperluan para konsumer. Katanya, kereta sedan itu menggabungkan penampilan premium, pemanduan yang mengujakan, keselesaan serta ruang kabin luas selain sarat dengan pelbagai teknologi keselamatan terbaik dalam kategori segmen B. "City ialah model pertama yang diperkenalkan Honda Malaysia dengan empat pilihan varian iaitu S, S+, E dan V. Tambahan varian ini dibuat kerana respons yang kami terima daripada pelanggan dan kehendak pasaran adalah amat memberangsangkan. "Tindakan melancarkan empat varian sekali gus ini juga bertujuan meluaskan pilihan kepada orang ramai," katanya kepada pengamal media sejurus sahaja selesai majlis pelancaran Honda City baharu di ibu kota baru-baru ini. Honda City generasi keempat tampil menawan hasil solekan pada keseluruhan tubuhnya. Rekaan bahagian hadapan kini tampak mantap dan mengimbangi paras rupa bahagian belakang yang nyata lebih lebar. Bampar hadapan dan hud merupakan dua komponen utama yang menyerlahkan imej kemodenan manakala bahagian belakang kelihatan lebih menarik hasil padanan set lampu belakang yang lebih lebar. Honda City generasi baharu menggunakan enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC yang diberi penambahbaikan bagi meningkatkan keupayaan menjana kuasa output dan tork maksimum sebagai usaha menyempurnakan prestasi pemanduan berbanding model sebelumnya. Kelancaran penyampaian kuasa enjin kepada roda dibantu dengan sistem transmisi CVT yang dibangunkan berdasarkan falsafah Earth Dream Technology. Model sebelum ini mengguna pakai sistem kotak gear automatik lima kelajuan. Honda Malaysia mendakwa transmisi baharu itu menawarkan kombinasi prestasi dan menjimatkan penggunaan bahan api pada masa sama. HONDA CITY varian V didatangkan bersama enam beg udara manakala varian lain hanya dibekalkan dengan dua unit beg udara. Tidak cukup dengan itu, jurutera dan pereka Honda memasang butang mod ECON sebagai kemudahan bagi pemilik untuk mengoptimumkan penjimatan bahan api sewaktu pemanduan. Apa yang menarikanya, teknologi itu didatangkan sebagai ciri standard bagi semua varian generasi baharu itu. Selain teknologi jimat minyak, terdapat pelbagai ciri menarik seperti sistem kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kawal jelajah, sistem hiburan dengan lapan pembesar suara, bolong pendingin hawa untuk keselesaan penumpang barisan belakang, kawalan telefon bebas tangan dan kawalan suhu pendingin hawa automatik. Berhubung ciri keselamatan, Honda Malaysia memandangnya sebagai perkara serius dan memasang teknologi seperti beg udara, bantuan kestabilan kenderaan, Hill Start Assist dan Emergency Stop Signal. Pembeli diberi lima pilihan warna menarik iaitu putih, hitam, biru, perak dan kelabu. Sebagai kelegaan buat para pemilik, City didatangkan dengan jaminan selama lima tahun jaminan tanpa had perbatuan. |
Kereta urban Perancis mampu milik Posted: Kereta urban Perancis mampu milikOleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR BAHAGIAN hadapan Peugeot 208 nampak segar dengan gril dan lampu LED. PEUGEOT 208 mula diperkenalkan di peringkat global sewaktu pameran Geneva Motor Show 2012. Selang setahun kemudiannya, pengedar rasmi jenama Peugeot di Malaysia iaitu Nasim Sdn. Bhd. (Nasim) akhirnya melancarkan model itu ke pasaran domestik. Ketibaan Peugeot 208 menambah seri kepada landskap segmen B dan pelanggan ada pilihan lebih luas mendapatkan sebuah kereta hatchback mampu milik. Pihak Nasim baru-baru ini memberi peluang kepada penulis untuk memandu uji Peugeot 208 versi lima pintu selama beberapa hari. Bagi penulis, sebaik sahaja memasuki kabin kereta ini mata sudah terpaku pada stereng bersaiz kecil tetapi tampil sporty. Tempat duduk pemandu dan penumpang hadapan jenis separa bucket yang menggunakan fabrik juga melahirkan perasaan seperti berada dalam sebuah kereta sport. Cumanya, penulis agak janggal kerana sistem audio Peugeot 208 tidak mempunyai pemain cakera padat. Namun, jika anda mahu mendengar lagu selain corong radio, sila muatkan semua lagu kegemaran dalam alat penstoran seperti pendrive dan sambungkan sahaja pada slot USB. Selain itu, suasana kabin pada waktu malam juga memberikan suasana tersendiri kerana lampu malap membuatkan pemanduan rasa tenang. Keselesaan tambahan Cuaca semasa yang panas juga tidak terlalu terasa kerana Peugeot 208 mempunyai pendingin hawa di sebelah kiri kaki pemandu. Bolong itu menyalurkan udara sejuk dan memberi keselesaan tambahan bagi pemandu. Ruang butnya agak kecil dan dilihat sepadan dengan saiz badan tetapi itu tidak bermakna anda tidak boleh memasukkan dua set golf ke dalam perut kereta. Caranya mudah sahaja, rebahkan barisan kerusi di belakang. PAPAN pemuka mesra pemandu kerana setiap butang mudah dicapai. Sewaktu memandu kereta ini ke Port Dickson, Negeri Sembilan, penulis mendapati prestasi enjin di lebuh raya agak lancar kerana mampu menyalurkan kuasa secukupnya untuk memotong kenderaan lain atas jalan. Memandu pulang ke ibu kota, penulis memilih laluan pedalaman dan berselekoh untuk mendapat pengalaman pemanduan lebih menyeronokkan. Sarat ciri keselamatan Secara umumnya, sistem pengendalian kereta hatchback ini sedikit menyeronokkan dan mudah dikendalikan biarpun sterengnya agak ringan. Sistem transmisi Auto Adaptive Gearbox dengan Tiptronic dan fungsi mode Sport juga antara yang membuatkan pemanduan lebih seronok. Walaupun padat dengan elemen baharu yang sesuai dengan edaran semasa, ciri-ciri keselamatan tidak pula dilupakan. Ia memang sarat dengan ciri seperti enam beg udara dan Program Kestabilan Elektronik (ESP), ABS, EBD, EBA, DSC, VHSS dan ASR. |
Posted: Triton diberi solekan minimumDARI kiri, KetuaPegawai Eksekutif Mitsubishi Malaysia, Tetsuya Oda dan Ketua Pegawai Operasi Mitsubishi Malaysia, Tan Siow Chuan bersama model naik taraf Triton di ibu negara baru-baru ini. MITSUBISHI Motors Malaysia Sdn. Bhd. (Mitsubishi Malaysia) memperkenalkan trak pikap Triton VGT GS yang didakwa kelihatan lebih sporty. Model baharu itu didatangkan dengan beberapa komponen baharu termasuk bampar, gril, set lampu projektor dan rim berukuran 17 inci. Bahagian kabin pula dilengkapi sebuah skrin sesentuh 6.1 inci pada papan pemuka, fungsi tetingkap kuasa bumbung matahari dan tetingkap kuasa gelongsor bahagian belakang, filem tinta keselamatan dan kerusi dengan salutan material kulit. Triton VGT GS dilengkapi enjin diesel 2.5 liter yang menghasilkan kuasa maksimum 178PS dan tork tertinggi 350Nm. Transmisi digunakan ialah lima kelajuan automatik berserta mod pemanduan sport. Model Triton VGT GS didatangkan dengan tiga warna pilihan iaitu merah, putih dan hitam. Harga atas jalan tanpa insurans bagi trak pikap itu ialah RM107,809.60 seunit. Selain itu, Mitsubishi Malaysia turut memperkenalkan tiga model Triton naik taraf iaitu 2.5 AT, 2.5 MT dan 2.5 MT STD ke pasaran Malaysia. Pembaharuan untuk siri Triton sekadar menggantikan bampar dan gril baharu. Harga atas jalan bagi siri naik taraf itu bermula serendah RM82,185.70 hingga RM95,247.80 sebuah. Jaminan diberikan ialah selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000 kilometer (mana-mana tiba dulu). |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |