Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Haiwan bantu sembuh emosi mangsa Posted: Haiwan bantu sembuh emosi mangsaKALI pertama Pamela Isaac melalui penderaan fizikal dan emosi adalah pada penghujung 1990-an. Guru pendidikan seni itu dipukul teman lelakinya hampir setiap hari. Kekasih Isaac yang juga seorang penagih dadah turut mencekik kucing kesayangan Isaac di luar jendela apartmen mereka. Isaac mampu menahan hambatan lelaki itu ke atasnya. Namun dia terpaksa menurut setiap perintah teman lelakinya kerana bimbang akan keselamatan kucingnya. Suatu hari, Isaac cuba mendapatkan bantuan jiran selepas teman lelakinya itu bertindak ganas. Kesannya, apartmen Isaac dibakar dengan sengaja dan kucing peliharaan wanita berusia 58 tahun itu juga gagal diselamatkan. Trauma dengan peristiwa itu, Isaac memilih untuk hidup bersendirian sehingga tahun 2012. Dia menjalin hubungan dengan lelaki yang juga bertukar menjadi seorang penagih dadah dan kaki pukul. Enggan tragedi lama berulang, Isaac bersama tiga ekor kucingnya melarikan diri sekitar musim luruh tahun lalu. Kini, Isaac bersama Lucy, Rikki dan Gizmo tenteram di sebuah rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga mesra haiwan di Brooklyn, New York. Bilik yang didiami Isaac merupakan satu daripada 10 unit di rumah perlindungan jenis apartmen itu yang direka khusus untuk keselesaan manusia dan haiwan peliharaan mereka. Rumah perlindungan di bawah penyeliaan Institut Sumber Urban (URI) itu menjadi tempat berteduh kepada 120 penghuni, 80 daripadanya kanak-kanak yang berdepan krisis keganasan dalaman keluarga. Ia juga rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga pertama di New York, Amerika Syarikat (AS) yang membenarkan haiwan peliharaan tinggal sebumbung bersama mangsa. Diperkenalkan pada bulan Mei tahun lalu, inisiatif di bawah projek People and Animals Living Safely (PALS) bersama URI atau singkatannya, URI PALS itu turut menerima kerjasama Mayor's Alliance for NYC's Animals (Alliance). Penghibur Rasional penubuhan rumah perlindungan mesra haiwan itu adalah berdasarkan data yang didedahkan oleh pakar psikologi dan timbalan presiden Persatuan Mencegah Kekejaman Haiwan Amerika (ASPCA), Randall Lockwood. Kira-kira 70 peratus mangsa keganasan rumah tangga yang terselamat memberitahu bahawa pendera mereka pernah mengugut, mencedera atau membunuh haiwan peliharaan mereka. Dianggarkan antara 25 hingga 50 peratus mengakui sengaja melengahkan waktu untuk lari dari rumah kerana takut dengan nasib yang bakal menimpa haiwan peliharaan yang ditinggalkan. "Haiwan peliharaan yang sering menjadi penghibur dalam keluarga boleh menjadi sasaran, kebiasaannya jika si pendera melihat ia sebagai satu bentuk dominasi kuasa atau ugutan efektif bagi mengelak daripada mencederakan pasangan atau anak secara langsung," tambah Lockwood. REMBESAN oksitosin daripada haiwan mampu memberi kesan menenangkan kepada manusia. Presiden URI, Nathaniel Fields pula menjelaskan, sejak URI PALS dilancarkan, perkembangan mengagumkan dapat dilihat dari segi penyembuhan emosi mangsa dera yang banyak berkongsi rasa bersama haiwan peliharaan mereka. Sepanjang fasa percubaan enam bulan lalu, URI PALS membenarkan penghuni bersama kucing dan haiwan kecil (pocket pet) seperti burung, ikan, gerbil dan hamster untuk tinggal di rumah perlindungan tersebut. Dalam tempoh itu, mereka berjaya mengumpul dana sebanyak AS$250,000 (RM824,375) dan membolehkan perubahan penstrukturan dan pengorganisasian meliputi unit kedap bunyi, laluan anjing dan menambah latihan intensif staf bagi menyelia anjing dilakukan. Rasa lega Kebenaran membawa anjing ke rumah perlindungan itu pada bulan Februari lalu memberikan kelegaan kepada ramai mangsa keganasan rumah tangga. Menerusi agensi berita Associated Press, seorang wanita yang enggan identitinya didedahkan menjadi antara mangsa keganasan rumah tangga yang berjaya disatukan semula bersama anjing peliharaannya. Wanita itu bersama tiga anak dan seekor anjing peliharaan baka chihuahua meninggalkan rumah mereka pada penghujung tahun lalu. Meskipun terlepas daripada seksaan suaminya, dia berdepan masalah lain apabila tiada satu pun daripada lebih 50 rumah perlindungan di New York mahu menerima anjingnya, Peppah. Akhirnya, wanita berusia 34 tahun itu terpaksa meletakkan Peppah di bawah jagaan sementara sebuah keluarga. Bulan lalu, dia dibenarkan untuk mengambil Peppah untuk tinggal bersama di rumah perlindungan tersebut. Bagi memaksimumkan keselesaan penghuni dan anjing mereka, URI dengan kerjasama Nestle Purina Petcare dan ASPCA turut menyediakan taman khusus buat anjing yang ditempatkan di lorong kecil bersebelahan bangunan tersebut. REDROVER merupakan salah sebuah rumah perlindungan yang membenarkan penghuni mereka membawa bersama kuda peliharaan. Taman bernama Purina Play Haven and Dog Park itu dilengkapi tanjakan (ramp), terowong, jambatan dan platform untuk anjing bermain dan bersenam. Berbumbungkan lanjaran (trellis), prasarana itu membolehkan penghuni meluangkan waktu bersama haiwan kesayangan mereka tanpa perlu ke taman-taman awam. "Apabila saya dan anak mendapat tahu kami boleh membawa bersama anjing kami, Sparky ke rumah perlindungan ini, kami amat gembira. "Sparky sentiasa menenang dan melindungi kami daripada terus didera. Keberadaan ia di sini bersama kami mempercepatkan proses pemulihan trauma yang kami alami," kongsi seorang penghuni rumah perlindungan itu kepada akhbar Brooklyn Daily Eagle. Bagi memastikan kejayaan operasi, URI dan Alliance mendapatkan bantuan Allie Phillips, seorang pakar kebangsaan dan pengasas Sheltering Animals & Families Together (SAF-T). SAF-T merupakan inisiatif global tunggal pertama yang menyediakan garis panduan terhadap rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga mesra haiwan. "Program URI PALS akan mengubah cara New York membantu keluarga bersama haiwan peliharaan dalam mengharungi konflik kekeluargaan serius. "Banyak nyawa dapat diselamatkan dengan pengiktirafan URI yang meletakkan status haiwan peliharaan sebagai sebahagian keluarga kerana ia berpotensi menjadi sasaran dan alat keganasan rumah tangga," jelas Phillips. Meningkat Tambah Phillips yang juga peguam bela utama untuk rumah perlindungan mangsa keganasan rumah tangga mesra haiwan, bilangan rumah perlindungan seumpama itu meningkat drastik daripada empat buah pada tahun 2008 kepada 73 setakat awal tahun 2014. Pertambahan positif itu terjadi ekoran kesimpulan konkrit tentang hubung kait antara mangsa keganasan rumah tangga dan haiwan peliharaan. Justeru, puluhan negeri di AS mula menyenaraikan haiwan peliharaan dalam arahan perlindungan pada tahun 2006. Sementara itu, menurut laporan Persatuan Kemanusiaan Amerika (AHA), haiwan peliharaan tidak dibenarkan di Stadium Mercedes-Benz Superdome, New Orlean dan beberapa lokasi perlindungan kecemasan. Syarat tersebut dipercayai kebanyakan pemerhati menjadi penyumbang kepada peningkatan kematian dan kecederaan ketika bencana alam di AS. Majoriti pemilik haiwan peliharaan enggan meninggalkan haiwan mereka. Justeru, setahun selepas taufan Katrina, kongres menyerahkan penggubalan undang-undang menyatakan bahawa haiwan domestik negara itu perlu disertakan di dalam pelan pemindahan bencana AS. Perundangan tahun 2006 itu mendatangkan banyak perubahan sekitar 2012, ketika taufan Sandy membadai pantai timur AS. Setiap lokasi perlindungan kecemasan di New York mempamerkan polisi menerima haiwan peliharaan. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |