Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Permainan harus bersifat ringkas Posted: Permainan harus bersifat ringkasWANITA itu kelihatan tekun melayari laman web terutama berkaitan keibubapaan. Matlamatnya hanya satu iaitu mencari maklumat berkaitan alat-alat permainan yang sesuai untuk anak-anaknya. Sebagai ibu kepada dua orang anak, Emy Syafinaz Abdul Majid, 33, perlu memastikan alat-alat permainan yang dibeli tidak memberi kesan negatif kepada mereka. Pada masa sama, alat permainan berkenaan dapat membantu perkembangan otak dan fizikal anaknya, Eleesya Nur Jasmin Mohd. Juan Affendi, 3, dan Juan Erfan Mikhail, 2. Antara ciri-ciri permainan yang akan dibeli perlulah sesuai dengan usia agar keselamatan anak-anaknya juga turut terpelihara. "Saya membeli peralatan seperti blok-blok berwarna, kereta mainan bersaiz besar, kad pengimbas dan permainan yang berkaitan dengan abjad. Alat permainan seperti blok dapat membantu Erfan mengenali bentuk, mengatur atau memadankan blok berkenaan," kata Emy. Dia yang tinggal di Shah Alam, Selangor itu juga turut menghasilkan alat permainan sendiri menggunakan barangan di rumah seperti memperkenalkan warna-warna kepada anak-anaknya. Jelas Emy, dia tidak membenarkan anaknya bermain anak patung berwatak kartun atau fantasi kerana ia boleh memberi kesan tidak baik khususnya mengikut karakter watak itu dalam dunia realiti. "Selagi alat permainan itu sesuai untuk pembelajaran, saya tidak kisah berbelanja lebih," kata Emy yang lazimnya membelanjakan kurang daripada RM100 setiap kali berbelanja untuk alat permainan. Pengasas Institut Better Parenting yang juga ahli psikologi kanak-kanak, Vicki Panaccione memberitahu, ibu bapa perlu memastikan alat permainan yang hendak dibeli bukan sahaja untuk kanak-kanak berseronok tetapi mengikut usia, bersifat stimulasi dan selamat. Ringkas Katanya, ia penting untuk pembangunan mental, sosial, emosi dan fizikal. Ibu bapa juga dinasihati tidak terlalu spesifik kerana ia boleh mengehadkan atau mengelak kanak-kanak menggunakan imaginasi mereka. Pannaccione menasihatkan, alat permainan seharusnya bersifat ringkas seperti blok kerana ia membolehkan mereka bereksperimen, berimaginasi, kreatif dan spontan.
Dalam pada itu, seorang blogger yang sering berkongsi maklumat keibubapaan dan kanak-kanak, Adlil Rajiah Mohd. Nasir, 26, dari Pulau Pinang ketika dihubungi berkata, kanak-kanak tidak sepatutnya dipaksa bermain sendiri alat permainan tertentu tanpa dibantu ibu bapa mereka. Menceritakan pengalaman dan pembabitan dalam blognya, http://saatakukaupilih.blogspot.com/ sejak empat tahun lalu, Adlil memberitahu, elemen keibubapaan dan kanak-kanak diselit selepas dia sendiri bergelar ibu. Sumber penulisan tentang alat permainan dan tip menghibur anak diperoleh melalui pembacaan dan pengalaman sendiri. "Apabila melihat perubahan pada anak saya, ia akan dikongsi di blog untuk tatapan umum. Saya mendapat banyak maklum balas daripada ibu bapa lain yang turut berkongsi pengalaman dan tip mereka," kata ibu kepada anak kecil yang baru berusia dua tahun, Perkongsian Adlil di blognya menarik perhatian ramai kerana beliau turut menyelitkan perbincangan dan nasihat doktor pakar kanak-kanak. "Artikel saya di blog tentang tip daripada pakar mental kanak-kanak mencecah sehingga 35,000 perkongsian di Facebook," katanya. Praktikal Perkongsian mengenai cara-cara alat permainan dipelbagaikan kegunaannya turut menjadi tarikan pembaca blognya. Dalam penulisan itu, Adlil berkongsi kaedah mencipta alat permainan sendiri. "Ia lebih murah dan praktikal kerana menggunakan bahan-bahan yang sudah sedia ada di rumah. Namun, ia menguji daya kreativiti ibu dalam menarik perhatian anak untuk bermain alatan yang dicipta sendiri," katanya. Apabila terpaksa membeli alat permainan, Adlil akan sentiasa memastikan harga yang dibayar berpatutan. "Ia diikuti kebaikan permainan tersebut. Jika sekadar permainan super hero dan saya akan elakkan. Saya mementingkan permainan yang merangsang mental, kemahiran, deria dan fizikal anak," katanya. YOKE CHAN memastikan kanak-kanak kelas nurseri didedah dengan permainan yang berkesan untuk pembangunan mentalkanak-kanak. Bercakap mengenai faktor usia dan keselamatan sesuatu alat permainan, Adlil mengakui kebenarannya tetapi pengawasan ibu bapa terhadap anak-anak adalah lebih penting. Setakat ini, pendedahan alat permainan kepada anaknya, Ashraf Haikal Hafify Zulhaimy dilakukan dengan merujuk saranan pakar. Menurut Adlil, seorang pakar pediatrik yang dikenalinya pernah berkata, alat permainan penting untuk perkembangan otak dan sistem saraf khususnya bayi yang berumur 0 sehingga lima tahun. Jadi apabila membuat sesuatu aktiviti atau bermain, Adlil akan pastikan faktor seperti fokus, pergerakan, penyelesaian masalah dan kebolehan mengingat menjadi ukuran utama alat permainan. Adlil menyenaraikan aktiviti seperti mengenal dan mengasingkan barang mengikut warna, saiz, bentuk, aktiviti melibatkan pergerakan tangan dan kaki secara terperinci seperti tarik, tolak, picit, genggam, cubit, tekan, pijak dan sebagainya. Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor berkata, perkembangan kanak-kanak boleh dibahagikan kepada tiga fasa. Fasa paling awal ialah satu setengah hingga tiga tahun. Pada usia ini mereka mula mengenali sisi sebenar dunia menerusi lima deria mereka, bau, sentuhan, rasa, dengar dan lihat. Beliau menyarankan supaya anak-anak ini diperkenalkan dengan permainan yang merangsang deria, berwarna-warni, bertekstur, bersaiz besar agar selamat dan sentiasa dipantau ibu bapa. Pada ketika ini, Mariani mengakui kanak-kanak perlu didedah dengan permainan yang melatih fungsi perkembangan mental dan fizikal. Antaranya ialah alat permainan yang berbunyi apabila ditekan, berjalan apabila diputar dan sebagainya. Agen perangsang ini menjadikan kanak-kanak itu boleh berfikir sekali gus meningkatkan skil motor mereka. "Fasa kedua ialah usia empat hingga enam tahun. Pada masa ini, mereka akan masuk alam fantasi. Ini dinamakan peringkat praoperasi iaitu mereka boleh mewakili sesuatu secara simbolik. "Sebagai contoh, permainan blok seperti Lego, bongkah kayu, replika bilik dapur dan sebagainya. Pada waktu ini juga kanak-kanak dilihat meniru apa sahaja yang dilakukan oleh orang dewasa. Sebagai melatih mereka dan menunjukkan dunia dewasa, permainan seperti ini juga sama penting didedahkan," kata Mariani. Kepada kanak-kanak yang lebih matang iaitu sekitar usia tujuh tahun pula, mereka lebih cenderung kepada alat permainan dengan karakter kartun seperti Ultraman, Superman, Spiderman dan sebagainya. KANAK-KANAK perlu didekati secara individual untuk mengesan dan mengenal pasti kaedah terbaik yang boleh digunakan untuk perkembangan minda mereka. Animistik "Ini dipanggil role play kerana dilihat sebagai wakil sebenar dan boleh diamalkan. Apa-apa pun oleh kerana ia watak tidak benar, pastikan anak tidak terikut dengan fantasi ini kerena mereka akan memberi impak kepada pemikiran animistik mereka," kata beliau. Pada peringkat usia yang lebih matang, misalnya sembilan tahun dan ke atas (11 tahun), mereka mencapai usia praremaja. Mereka boleh didedahkan dengan permainan yang mencabar pemikiran. Jelas Mariani, permainan seperti Monopoli yang membawa kepada keperluan menyelesaikan masalah antara contoh terbaik. "Malah permainan tradisional seperti teng-teng, congkak, layang-layang dan lain-lain juga pendekatan yang baik. Ia permainan yang berperaturan dan ia akan mendedahkan kanak-kanak bahawa disiplin itu penting dalam melibatkan diri dengan sesuatu permainan," tambah beliau. Seorang pengetua sebuah tadika di Shah Alam, Yong Yoke Chan, 54, pula memberitahu, pihaknya mendedahkan kanak-kanak di bawah usia empat tahun dengan alat permainan berbanding akademik. Tadika yang dikenali sebagai Tadika Anak Minda itu, mendidik kanak-kanak dari usia dua tahun setengah hingga enam tahun. "Hanya pada usia lima tahun dan enam tahun, kami mengutamakan akademik dan aktiviti suka secara mingguan," kata beliau. Bagi kanak-kanak kecil pula, mereka akan dilatih bermain dan menggunakan alat permainan pembelajaran dalam kelas dengan bimbingan guru secara harian. "Setiap kanak-kanak adalah berbeza-berbeza dan kami perlu mendekati mereka secara berasingan. Namun, apabila mereka didedahkan dengan permainan, mereka mempunyai minat yang lebih mendalam," ujar Yoke Chan. | |
Taman permainan berkonsep belantara Posted: Taman permainan berkonsep belantaraOleh NIZHA PERIASWAMY KEBERSIHAN dan keselamatan dalam taman ini sentiasa dipelihara. IBU bapa pada zaman ini dilihat bersikap sangat 'mengawal' anak-anak mereka. Hasilnya, anak-anak ini kurang dilihat bermain di padang-padang permainan di kawasan perumahan. Jika adapun, mereka akan diiringi ibu bapa yang sentiasa melihat setiap pergerakan anak-anak. Tentu sekali, tidak salah mengiring anak-anak, malah ia satu tindakan yang amat dialu-alukan. Bahkan, kehadiran ibu bapa bersama anak-anak dilihat penting tatkala keadaan masa sekarang yang kurang selamat bagi kanak-kanak untuk bermain berseorangan mahupun dalam kalangan rakan-rakan. Apabila melihat sudut kebebasan kanak-kanak ini, mungkin ia sangat terhad berikutan sikap mengawal ibu bapa yang melarang anak-anak mencuba aksi yang mungkin dikhuatiri berbahaya atau tidak selamat. Lebih buruk apabila kes-kes seperti demam denggi akibat pembiakan nyamuk aedes di tempat terbuka termasuk padang, masalah jerebu yang melampau, suhu panas yang tinggi sejak akhir-akhir ini ataupun musim hujan, semuanya menjadi halangan untuk kanak-kanak keluar rumah. Maka, apakah alternatif lain yang membenarkan kanak-kanak bebas bermain seperti di padang permainan tetapi dalam keadaan selamat, bersih dan bebas pencemaran? Lahirnya, taman permainan dalam bangunan, kebanyakan di pusat-pusat beli-belah dilihat satu tawaran bijak. Malah kedudukan taman permainan dalam bangunan yang lebih selamat dan bersih menjadi pilihan ibu bapa. Lazimnya, taman-taman permainan dalam bangunan dikenakan caj antara RM15 hinggalah RM60 seorang namun, jelas elemen kemudahan, aktiviti dan keselesaan menjadi keutamaan dan bukan lagi caj yang dikenakan. Seorang pengendali taman permainan dalam bangunan, Shaaila Angamuthu, 30-an, memberitahu, adalah penting kanak-kanak didedahkan dengan persekitaran permainan untuk perkembangan keseluruhan. Apabila mereka terlalu dilindungi dalam rumah, kanak-kanak ini dilihat kehilangan banyak perkara, terutamanya kemahiran berinteraksi, bersosial , komunikasi dan cara mendekati kanak-kanak lain. KANAK-KANAK juga banyak didedah dengan aktiviti pembelajaran. Shaaila yang mempunyai pengalaman lebih 17 tahun dalam industri penjagaan kanak-kanak berkata, alat permainan yang dipilih dalam taman permainan dalam bangunan termasuk di I-Kids Club di I-Setan, KLCC adalah dengan mengambil kira keperluan sasaran pengunjung iaitu kanak-kanak itu sendiri. "Kami di sini mahu kanak-kanak selamat, dipimpin dengan baik dalam suasana yang bersih dan sihat termasuk pemilihan alat permainan. Lagipun, perniagaan membabitkan emosi kanak-kanak amat kompleks dan kita tidak boleh mengambil ringan perkara tersebut," kata bekas akauntan itu. Shaaila berkata, di I-Kids Club, pihaknya amat menitikberatkan alat permainan paling asas mengikut konsep. "Kini kami sedang menggunakan konsep hutan, maka semua peralatan ini akan lebih berunsur haiwan-haiwan di hutan. Antaranya ialah jongkang-jongket plastik yang berbentuk haiwan, tetangga motif haiwan dan kawasan permainan yang didekorasi menggunakan elemen hutan," katanya. Bukan itu sahaja, I-Kids Club juga menjalankan pelbagai aktiviti pembelajaran interaktif bersama kanak-kanak menggunakan alat mainan, misalnya, memperkenalkan sejenis hidupan laut menggunakan patung haiwan, gambar dalam buku, imej pada poster, peralatan bantuan yang lain seperti lukisan dan aktiviti mewarna hidupan laut. Semua sesi di I-Kids Club juga diterhadkan sehingga 90 minit. "Pada 90 minit yang pertama, tahap pemikiran dan penghafalan kanak-kanak sangat efektif. Mereka boleh menceritakan kembali apa yang berlaku dengan tepat. Tetapi apabila ia melampaui tempoh itu, mereka hilang tumpuan dan letih justeru boleh menyebabkan mereka terlupa kandungan aktiviti yang dilakukan," ujar Shaaila lagi. Di pusat beli-belah yang sama, turut ditemui, Eksekutif Jualan Alat Permainan, Farah Syarina, 28, dari I-Setan memberitahu, pihaknya dilatih secara profesional untuk memilih alat permainan yang dijual dipusat beli-belah itu. "Kami melakukan kajian di pasaran, dalam kalangan ibu bapa dan kanak-kanak sebelum memilih alat permainan untuk dijual. Trend memilih peralatan mainan pembelajaran menjadi pilihan utama dalam kalangan ibu bapa. Namun, bagi kanak-kanak di bawah tiga tahun, ia lebih berbentuk stimulasi deria dan alat permainan yang boleh mendidik mereka untuk berdikari atau bermain sendiri," katanya. Wanita itu turut menunjukkan beberapa alat permainan yang diasingkan mengikut usia kanak-kanak di pusat beli-belah itu. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |