Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Alam inspirasi seni Faizal Suhif Posted: Alam inspirasi seni Faizal Suhif
BERASAL daripada keluarga petani nyata memberi satu kelebihan kepada pelukis berbakat besar, Mohd. Faizal Md. Suhif, 30, dalam menghasilkan karya-karya seninya. Ditambah pula, pengalaman berkunjung ke luar negara seperti Singapura, Beijing, China dan Bali, Indonesia mematangkan beliau dalam menjadikan alam semula jadi sebagai subjek utama karyanya. Hasilnya, sebanyak 25 karya beliau dipamerkan di dinding Galeri G13, Kelana Square, Jalan SS7/26, Kelana Jaya, Selangor. Pameran solo Mohd. Faizal berlangsung sehingga 22 Mac ini. Sempena pameran itu, beliau turut melancarkan laman web peribadi iaitu www.faizalsuhif.com. Pengunjung berpeluang untuk mendapatkan maklumat mengenai anak muda ini dan mengikuti perjalanan seninya. Mohd. Faizal yang berasal dari Muar, Johor, berkata, karya yang dihasilkannya adalah berdasarkan catatan lakaran dalam diari hariannya. Menjadi saksi kepada tanah dan persekitaran luar negara menambahkan kematangan pelukis muda ini dalam pameran solo kali kelimanya yang bertemakan 'Stories From The Soil' itu. "Berbekalkan pengalaman yang diperoleh telah banyak mengajar saya cara-cara untuk bergaul dengan kenalan baharu dari seluruh negara dan melihat keindahan ciptaan Ilahi. "Saya berharap agar karya dihasilkan ini mampu memberikan manfaat kepada generasi kini dan akan datang dan menjadi sebuah bentuk pemahaman bahawa kita harus sentiasa peka pada setiap masa, ketika dan di mana sekali pun kita berada," ujarnya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.
Sentuhan alam Hasil seni menggunakan teknik yang menarik dengan gabungan alam semula jadi diolah ke atas lukisannya. Selain itu, teknik lukisan yang menggunakan cat air yang dihasilkan oleh beliau sangat menarik kerana memberi makna di sebalik visual melalui citarasanya. Menerusi pengalaman hidup anak keempat daripada enam beradik yang sedang mencipta nama di persada seni visual tempatan, Mohd. Faizal menghasilkan karya yang terdiri daripada pemerhatian terhadap alam semula jadi. Antara karya seninya yang dipamerkan di galeri itu berjudul Buka Tanah, Diari Anak Petani, Sebenih Sepi dan Sepetak Puisi. "Buka Tanah mempunyai bentukan siput, benih dan dedaun serta ranting di atas tanaman. Daripada biji benih akan tumbuh pokok, batang, daun, buah yang berbeza-beza. Pengaruh alam sekeliling sememangnya dekat dengan kehidupan manusia dan saya zahirkan menerusi karya. "Sebenih Sepi pula mengingatkan kita bahawa setiap makhluk akan kembali kepada Pencipta dalam timbunan tanah liat kelihatan bersendirian dan sepi. Kejadian manusia dari tanah dan akan pulang ke tanah yang merupakan semaian yang tersirat dalam lukisan tersebut," ujarnya. Simbolik diri Pengisian karya beliau turut merencanakan apa yang ingin disampaikan kepada khalayak mengenai kepekaan manusia kepada alam. Di samping itu, karya seni dan tanah yang menghiasi ruang pameran adalah sebagai simbolik kepada dirinya untuk berbicara soal hati, keyakinan, ketaatan dan bagaimana setiap makhluk akan kembali kepada yang asal iaitu tanah. "Saya gambarkan dalam karya apa yang telah dilalui selama ini iaitu lebih cenderung ke arah bercucuk tanam. "Jika ia diuruskan dengan cara yang betul, maka ia bakal memberikan manfaat kepada sesiapa sahaja,"tambahnya. Dokumentasi diari visual dalam bentuk catan, lakaran visual dan nukilan puisi telah dilakukan di atas kanvas untuk dikongsikan bersama berdasarkan pengalaman selama berada di beberapa negara yang pernah dikunjunginya termasuk Bangladesh dan Jepun. | |||
Posted: Nuri, Hercules dinaik tarafOleh ZAKI SALLEH HERCULES C-130 antara pesawat pengangkut taktikal terbaik dan paling banyak digunakan di dunia. ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) akan menaik taraf dua pesawat pengangkutnya, iaitu helikopter Sikorsky S-61A4 (Nuri) dan Lockheed C-130H (Hercules) dengan teknologi terkini bagi memenuhi keperluan operasi semasa. Program Pemanjangan Jangka Hayat Pesawat ini dijalankan oleh firma selenggara pertahanan tempatan, Airod Sdn. Bhd. (Airod) bagi memastikan kesiap siagaan ATM, khususnya Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Langkah itu selaras dengan program memobilisasikan aset ATM sedia ada termasuk melihat penggunaannya bagi mengukuhkan lagi kawalan keselamatan di Zon Selamat Sabah Timur (Esszone). Proses itu melibatkan pertukaran peralatan berteknologi baharu termasuk sistem kokpit digital dan kotak gear yang boleh digunakan untuk tempoh dua dekad akan datang. Program menaik taraf Nuri telah pun bermula sejak penghujung tahun lalu secara berperingkat-peringkat dan dijangka berakhir pada tahun 2015 dengan menelan kos RM500 juta. Bagaimanapun, Kosmo! difahamkan hanya 15 daripada 30 buah helikopter Nuri sahaja yang akan dinaik taraf. Pesawat Nuri buatan Amerika Syarikat yang digunakan sejak tahun 1968 perlu dinaik taraf bagi membolehkan aset tersebut signifikan dengan doktrin pertahanan negara terutama selepas kemasukan helikopter Eurocopter EC-725. Jangka hayat Sebelum ini, pesawat Nuri pernah dinaik taraf pada pertengahan tahun 1990-an oleh Airod dengan menggantikan beberapa komponen seperti sistem radar dan dipasang dengan sistem baharu navigasi serta sistem penjejak kedudukan global (GPS). Program tersebut bagi memanjangkan lagi jangka hayatnya terutama untuk menyokong keperluan operasi ATM terutama Tentera Darat. Pesawat Nuri turut digunakan dalam tugas operasi mencari dan menyelamat, selain terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan semasa banjir dan penerbangan ihsan. Ketika ini, tiga buah skuadron TUDM mengendalikan helikopter Nuri iaitu No. 3 Skuadron di Butterworth, No. 5 Skuadron (Labuan) dan No. 7 Skuadron (Kuching). NURI turut digunakan dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan perairan dan hutan belantara. Sepanjang perkhidmatannya, sebanyak 18 kemalangan udara Nuri dilaporkan dengan catatan 95 kematian. Namun begitu, Nuri masih diakui sebagai sebuah helikopter pengangkut tentera antara yang terbaik di dunia. Selain TUDM, helikopter jenis ini turut digunakan pasukan tentera dan pasukan penyelamat di lima buah negara termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan United Kingdom. Sementara itu, Hercules yang merupakan pesawat pengangkut taktikal TUDM mula digunakan pada tahun 1976 menggantikan pesawat DHC-4 Caribou. TUDM mempunyai 15 buah pesawat Hercules termasuk lima buah C-130H-30 iaitu versi dipanjangkan kerangkanya sebanyak 4.5 meter yang mula digunakan TUDM pada tahun 1995. Walaupun TUDM dijadualkan menerima empat pesawat pengangkut terbaharu jenis Airbus A400M yang bersaiz lebih besar bermula tahun hadapan, namun khidmat Hercules masih lagi diperlukan. Hercules yang menggunakan empat enjin turboprop mempunyai kapasiti muatan yang tinggi sama ada membawa kargo sebanyak 20 tan, 128 penumpang atau 92 anggota payung terjun. Jimat perbelanjaan Pesawat-pesawat ini yang dikendalikan oleh No. 14 Skuadron di Labuan dan No. 20 Skuadron (Subang) juga merupakan tulang belakang bagi pengangkutan Pasukan Atur Cepat (PAC) 10 Briged Para. Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin ketika ditemui baru-baru ini berkata, langkah menaik taraf kedua-dua pesawat ini dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan berbanding membeli pesawat baharu. Menurut beliau, meskipun usia helikopter Nuri melebihi 40 tahun, namun ia masih berkeadaan baik dan boleh digunakan untuk membantu menambah kekuatan pasukan keselamatan negara. "Pada pandangan ATM, Nuri masih kuat dan kental cuma perlu ditambah baik dari segi sistem dan avioniknya. Kita sudah dapatkan Eurocopter EC725 dan ia akan saling melengkapi dengan pesawat Nuri yang sedia ada. "Pada masa sama, sebahagian daripada pesawat Nuri juga akan ditugaskan dalam cabang Tentera Darat sebagai helikopter pengangkut dan pelbagai peranan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |