Utusan Online - Agrobiz
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Agrobiz |
Posted: 23 Mar 2014 11:17 AM PDT Ikan yang mencapai saiz pasaran perlu digredkan dan dijual segar melalui kedai rangkaian My Fish Aquaculture Sdn. Bhd. Kepakaran asalnya adalah untuk mengenali kayu dan pernah berkhidmat dalam industri perkayuan agak lama. Namun atas dasar minat yang mendalam terhadap hobi memancing akhirnya Mohd. Khari Latif menceburi penternakan ikan air tawar. Segalanya bermula empat tahun lalu apabila, dia dan beberapa lagi rakan kongsinya sering bertukar-tukar pandangan serta maklumat berkenaan industri akuakultur ketika sedang memancing. Minat yang mendalam dalam aktiviti tersebut mendorongnya mengumpulkan maklumat serta menyertai pelbagai kursus penternakan ikan air tawar sebelum memutuskan untuk menceburi bidang tersebut. Apa yang pasti, keputusan itu bukan mudah apatah lagi dia dan beberapa lagi rakan kongsinya tidak memiliki pengetahuan dalam industri akuakultur. Namun, kekurangan tersebut bukan penghalang, malah dijadikan sebagai pembakar semangat untuk mendalami pelbagai ilmu berkenaan industri akuakultur. Industri akuakultur mampu menjana pendapatan yang lumayan kerana terdapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat negara ini. Apatah lagi sumber ikan di habitat semulajadi terutamanya laut kini semakin berkurangan dan pengguna kini beralih arah kepada ikan tawar yang memiliki nilai protein yang lebih tinggi," katanya ketika ditemui di Semenyih, Selangor baru-baru ini. Industri penternakan ikan air tawar bukanlah sesuatu yang baharu, namun My Fish Aquaculture Sdn. Bhd. yang memperkenalkan jenama iKANnFish sedang mengorak langkah ke arah konsep baharu iaitu penjagaan kualiti dari kolam ke meja makan. Kebanyakan penternakan ikan air tawar kurang mementingkan aspek kualiti ikan yang diternak kerana permintaan pengguna yang amat tinggi untuk sumber protein ini. Malah, sesetengah daripada kita juga tidak mengambil endah keadaan ikan air tawar yang berbau lumpur serta hanyir yang terlalu kuat dengan alasan itu adalah sifat semulajadi ikan air tawar. Sebenarnya ikan air tawar tidak begitu hanyir dan tidak berbau jika dipelihara dengan sistem serta persekitaran yang betul," katanya. Tambah Mohd. Khari, terdapat banyak faktor mempengaruhi kualiti ikan yang diternak antaranya adalah air serta produk makanan. Untuk menghasilkan ikan yang berkualiti, sihat dan tidak berbau sumber air yang digunakan perlulah benar-benar bersih dan tidak tercemar. Ini kerana, rasa serta bau yang terdapat dalam isi ikan berkait rapat dengan persekitarannya," katanya. Jelasnya lagi, kandungan oksigen di dalam kolam ternakan juga memainkan peranan penting kerana ikan yang cukup oksigen akan lebih cergas dan cepat membesar. Ujar Mohd. Khari, usaha mencari kawasan yang sesuai untuk dijadikan kolam ternakan turut memakan masa yang panjang, malah mencecah bertahun lamanya. Pemilihan kawasan adalah berdasarkan keadaan muka bumi yang sesuai selain sumber air bersih daripada hulu Sungai Batangsi yang bersih. Di sana, antara ikan utama yang dipelihara adalah tilapia merah yang telah dijenamakan semula sebagai red Pearl. Lima kolam dengan keluasan hampir satu hingga satu setengah ekar dengan kedalaman hampir 10 kaki tersebut mampu menempatkan hampir 20 tan ikan tilapia merah dalam satu-satu masa. Selain menggunakan sumber air bersih dari hulu Sungai Batangsi, Mohd. Khari turut menggunakan empat alat pengudaraan (paddle wheel) bagi setiap kolam untuk memastikan kandungan oksigen sentiasa berada pada tahap yang tertinggi. Kami turut bekerjasama dengan Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), untuk melakukan beberapa analisis berkaitan air serta kesihatan ikan yang dipelihara. Proses ini (analisis air) amat penting bagi memastikan ikan yang dipelihara sentiasa berada di dalam keadaan baik agar tumbesarannya tidak terbantut, berkualiti tinggi sekali gus memberikan pulangan yang lebih lumayan," katanya. Bagi mendapatkan benih ikan yang berkualiti, pihaknya mengambil inisiatif menghasilkannya sendiri bagi mengurangkan kos. Bagi menghasilkan benih ikan yang berkualiti, lasak serta memiliki kadar survival yang tinggi beberapa proses asuhan perlu dilaksanakan sebelum dilepaskan ke dalam kolam utama. Di sini kami menghasilkan anak benih ikan secara semulajadi di kolam kedua iaitu di Taman Tasik, Semenyih di mana kami ada dua buah kolam simen untuk penetasan dan pembesaran anak ikan dan satu kolam simen untuk asuhan khas sebelum anak ikan dilepaskan ke kolam utama. Sehingga kini, hampir 300,000 hingga 500,000 anak ikan dihasilkan dan diasuh selama sebulan sehinggalah saiznya mencecah satu inci panjang. Pihak kami ada juga menerima permintaan anak ikan daripada pihak luar namun keperluan di kolam sendiri masih tidak mencukupi menyebabkan kami terpaksa menolak," katanya. Untuk memastikan kadar pengeluaran ikan sentiasa berjalan, proses pembenihan anak ikan juga turut dilakukan secara berterusan. Mohd. Khari menambah, ikan tilapia merah merupakan antara ikan yang mampu membiak sepanjang tahun menjadikannya mudah untuk diternak. Setiap ikan yang diternak mengambil masa selama empat hingga empat bulan setengah untuk membesar pada saiz gred A, dan pengeluaran dilakukan setiap minggu secara berperingkat-peringkat. Untuk memenuhi kriteria gred A, seekor ikan tilapia merah perlu memiliki berat sekitar 700 gram (g) ke atas dengan bentuk tubuh yang agak gempal dan berisi. Bagi ikan gred B, beratnya adalah sekitar 500 hingga 650g dan gred C sekitar 350 hingga 450g, namun pihaknya menumpukan pengeluaran ikan pada skala gred A, manakala gred B dan C hanya akan dijual apabila kolam dituai sepenuhnya.- ASHRIQ FAHMY AHMAD. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Agrobiz To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |