Utusan Online - Dalam Negeri
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Dalam Negeri |
- Tiada unsur rasuah dua warga Iran guna pasport curi MH370 - SPRM
- Kadar sabitan kes SPRM pada 2012 lepasi piawaian antarabangsa
- Pengundian awal PRK Balingian esok
Tiada unsur rasuah dua warga Iran guna pasport curi MH370 - SPRM Posted: 24 Mar 2014 03:13 AM PDT KUALA LUMPUR 24 Mac - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada unsur rasuah berhubung pelepasan dua warga Iran yang menggunakan pasport curi negara Itali dan Austria menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak 8 Mac lepas. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati tiada elemen rasuah berlaku semasa pemeriksaan dua penumpang warga Iran itu dengan agensi kerajaan Malaysia, iaitu Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia. "Bagaimanapun kita mendapati kedua-dua mereka (dapat menaiki pesawat) disebabkan dasar negara yang lebih menumpukan kepada perkhidmatan yang cepat dalam pemeriksaan pelawat luar negara. "Justeru kita menyarankan agar pihak kerajaan turut menitikberatkan aspek keselamatan juga untuk mengelak kejadian itu berulang dan tidak mengutamakan aspek perkhidmatan berorientasikan pelanggan," katanya dalam sesi taklimat Berwibawakah SPRM di Wisma Bernama, di sini hari ini. Beliau juga berkata agak mustahil bagi pihak imigresen memeriksa pasport di dalam rangkaian Interpol yang mempunyai data 40 juta pasport hilang dalam tempoh yang singkat. Pesawat MH370, yang hilang sejak tiga minggu lalu, telah berlepas dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal. Sehingga kini nasib penumpang dan anak kapal pesawat itu tidak diketahui kerana pesawat berkenaan belum ditemui biarpun operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan ke koridor Utara dan Selatan meliputi kawasan seluas 2.24 juta batu nautika. Pihak polis dan Interpol mengenal pasti rakyat Iran itu sebagai Pouria Nour Mohammad Mehrdad, 19, dan Delavar Syed Mohammad Reza, 29, masing-masing menggunakan pasport warga Austria dan Itali, yang dilaporkan hilang di Thailand, beberapa tahun lepas. Pouria Nour dan Delavar Syed dipercayai dalam perjalanan ke Jerman untuk mendapatkan perlindungan dan tidak ada kaitan dengan mana-mana kumpulan pengganas. Ditanya sama ada SPRM boleh mengambil tindakan atau memulakan siasatan dalam kes kebocoran maklumat mengenai perbualan juruterbang dengan pengawal trafik udara (ATC) seperti yang dilaporkan akhbar luar negara, Daily Telegraf, United Kingdom, beliau berkata siasatan hanya boleh dilakukan SPRM selepas siasatan dalaman dijalankan oleh pihak atasan ATC. "Jadi biar mereka buat siasatan dalaman terlebih dahulu, jika ada elemen rasuah mereka boleh rujuk dengan kami (SPRM), jika tidak mereka hanya ambil tindakan dalam lingkungan pertubuhan itu sahaja," katanya. Menurutnya, kesalahan membocor maklumat kerajaan adalah di bawah kesalahan Akta Rahsia Rasmi dan tertakluk dalam bidang kuasa polis. - BERNAMA |
Kadar sabitan kes SPRM pada 2012 lepasi piawaian antarabangsa Posted: 24 Mar 2014 03:07 AM PDT KUALA LUMPUR 24 Mac - Kadar sabitan kes yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2012 mencapai 85 peratus, iaitu melepasi piawaian antarabangsa. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata ini sekali gus meletakkan suruhanjaya itu setara agensi penguat kuasa pencegahan rasuah lain di peringkat antarabangsa. "Kadar sabitan SPRM adalah setara dengan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong dan badan penguatkuasa di Singapura dan Indonesia. "Prestasi kita terus bertambah baik dari semasa ke semasa berbanding 2009, apabila kadar sabitan itu hanya 54 peratus," katanya ketika memberi taklimat bertajuk Berwibawakah SPRM anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia(Bernama) di sini hari ini. Abu Kassim berkata berdasarkan statistik, sejumlah 509 orang ditahan berkaitan gejala rasuah dan penyelewengan pada 2013 berbanding 701 tahun sebelumnya. Beliau berkata, orang awam merupakan tangkapan tertinggi iaitu 261 orang diikuti penjawat awam (176 orang), swasta (71) dan satu Ahli Majlis. Mengulas persepsi terhadap SPRM, Abu Kassim berkata sejak 2009, keyakinan masyarakat semakin meningkat iaitu 66 peratus pada 2013 berbanding 64 tahun sebelumnya. Bagi memastikan tahap integriti tinggi, SPRM ketika ini dipantau lima jawatankuasa semasa menjalankan siasatan bagi menjadikan suruhanjaya itu telus dan profesional, antaranya Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah di Parlimen. Abu Kassim berkata, beliau perlu melapor perjalanan kerja SPRM sepanjang tahun kepada jawatankuasa berkenaan dan anggota panelnya berhak bertanya sebarang soalan yang berkaitan. "Oleh itu, mana-mana pihak, kerajaan atau pembangkang, tidak mempunyai halangan dalam mendapatkan maklumat lebih dalam mengenai cara, gaya atau penerangan sesuatu isu yang disoal dalam Parlimen," katanya. Beliau berkata oleh itu, tiada istilah berat sebelah atau memilih bulu di pihak SPRM ketika melaksanakan tugasnya. - BERNAMA |
Pengundian awal PRK Balingian esok Posted: 24 Mar 2014 03:05 AM PDT MUKAH 24 Mac - Pengundian awal pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Balingian melibatkan 133 pengundi berdaftar akan dilaksanakan esok di Dewan Serbaguna Ibu Pejabat Polis Mukah. Ketua Polis Mukah DSP Omar Bakthiar Yaacob berkata, proses pengundian awal akan bermula pada 8 pagi hingga 5 petang. "Segalanya sudah siap untuk membolehkan 133 pengundi awal mengundi esok," katanya kepada Bernama di sini hari ini. Kerusi DUN Balingian yang disandang Tan Sri Abdul Taib Mahmud kosong selepas beliau secara rasmi melepaskan jawatan Ketua Menteri dan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, pada 28 Feb lepas. Bekas Menteri Tugas-tugas Khas Sarawak Tan Sri Adenan Satem kini menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |