{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Feminin

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Feminin


Spa bertaraf lima bintang

Posted: 24 Mar 2014 10:49 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar ZAKARIA IDRIS

RUANG rawatan yang unik ditutupi langsir yang cantik.

SAMBUTAN menggalakkan terhadap produk kesihatan dan kecantikan DHerbs membuatkan pengasasnya, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman melangkah setapak lagi dengan membuka spa pula.

Menamakan spa pertamanya ini sebagai Spa Syurga De Herbs, Aliff Syukri ingin melihat spa tersebut berjaya seperti perniagaan produk kesihatan dan kecantikannya.

Terletak selang beberapa pintu dari ibu pejabatnya, Spa Syurga yang memberikan rawatan bertaraf lima bintang ini baru setahun beroperasi.

Ketenangan dan kedamaian dapat dirasai apabila melangkah masuk den alunan muzik sentimental Bali menjadi hidangan halwa telinga.

Pancuran air kolam kecil dengan batu-batuan sungai menyejukkan pemandangan yang berlatarkan gambar kehijauan memenuhi dinding.

Menurut Aliff Syukri, beliau membuka spa ini kerana mahu pengguna berpeluang mendapatkan rawatan dengan menggunakan produk keluaran DHerbs serta perkhidmatan rawatan daripada lima orang terapi terlatih dan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia.

Spa yang dibuka untuk pelanggan lelaki dan wanita ini, menyediakan pelbagai rawatan seperti rawatan muka, sauna, rawatan badan dan urutan.

Bagi rawatan yang lebih khusus dan istimewa disediakan Pakej Syurga Spa yang terdiri daripada pakej Anggun Jelita, Permaisuri Anggun Jelita, Ratu Anggun Jelita dan Bidadari Anggun Jelita.

Bagi yang ingin mendapatkan rawatan pelangsingan terdapat tiga pakej yang boleh dipilih, iaitu Emas, Perak dan Gangsa atau bakal raja sehari boleh mendapatkan pakej Raja Sehari.

Pakej Ibu Berpantang yang mengambil masa selama tiga jam setengah pada harga RM330 pula terdiri daripada rawatan sauna herba, urutan tradisional termasuk herba dan tangas, skrub, menyingkir lemak, urutan herba di kepala dan jakuzi.

Istimewanya rawatan muka di spa ini menggunakan buah-buahan segar seperti tomato, pisang, limau purut dan sebagainya yang kesemuanya akan dikisar bagi disapu pada seluruh muka.

Tambah Aliff Syukri, rawatan yang disediakan bagi lelaki seperti rawatan muka dan urutan badan akan dilakukan oleh terapi lelaki. Adalah digalakkan jika pelanggan datang bersama isteri.

Mempunyai empat buah katil untuk rawatan, sebuah ruang sauna dan sebuah jakuzi, suasana di spa ini begitu santai dan pelanggan akan berasa selesa berada di sini.

Dua set sofa turut disediakan bagi pelanggan atau mereka yang menemani sambil menjamu mata dengan barisan produk yang tersusun kemas pada rak yang disediakan.

Spa ini turut menyediakan rawatan untuk kanak-kanak seperti rawatan urutan kepala menggunakan syampu buah-buahan yang memang disukai oleh kanak-kanak. Urutan kepala untuk kanak-kanak ini hanya RM25 untuk satu jam.

Saya merancang untuk menyediakan banyak lagi pakej pada masa akan datang mengikut permintaan pelanggan yang banyak memberikan sokongan," ujar beliau yang amat mementingkan kualiti rawatan demi kepuasan pelanggan.

Menurut Aliff Syukri, beliau turut menyediakan kad keahlian di mana setiap ahli akan mendapat potongan sebanyak 20 peratus bagi rawatan dan produk DHerbs jika berkunjung ke spa di Sungai Buloh atau cawangan di Senawang.

Beliau juga merancang mengkomersialkan spa tersebut ke seluruh Malaysia.

Sesiapa yang berminat untuk menceburi bidang spa boleh membuka spa ini dengan bayaran serendah RM50,000. Mereka akan diajar bagaimana memulakan operasi spa," ujar beliau yang akan membuka cawangan di Kelantan dan Perak tidak lama lagi.

Galeri kain benang kapas

Posted: 24 Mar 2014 10:49 PM PDT

Oleh MERAN ABU BAKAR
Gambar RIDUAN AHMAD

SUTERA, satin, syifon dan renda, antara fabrik mewah yang menjadi pilihan pereka-pereka fesyen atau pengusaha butik.

Berbeza bagi fabrik atau kain benang kapas yang kerap dilihat sebagai fabrik murah dan kurang glamor. Namun, jangan padang rendah kerana fabrik ini sebenarnya cukup versatil dan malar segar dari beratus tahun dahulu hingga sekarang, kerana sifatnya yang cukup selesa dan nyaman pada kulit.

Sebab itu si ibu akan memilih baju daripada kain benang kapas untuk anak dan bayi mereka kerana yakin anak-anak akan selesa memakainya.

Bukan itu sahaja, terdapat juga mereka yang tidak boleh memakai baju daripada kain jenis lain selain kain benang kapas kerana alahan seperti gatal, miang dan sebagainya.

Kain benang kapas mempunyai peratusan benang yang tertinggi berbanding fabrik lain.

Sehingga kini, kain ini tetap mendapat permintaan ramai dari seluruh dunia, dengan corak kain yang semakin pelbagai, menarik dan cantik mengikut peredaran masa.

Mengetahui ramai yang memilih dan menyukai kain benang kapas, tiga sahabat, Hazarina Ishak, Nadzura Sabry dan Nani @ Rosni Otho memilih untuk berniaga kain kapas dengan menubuhkan Fabric Gallery Malaysia (FGM) sejak enam bulan lalu.

Kain-kain benang kapas yang ditawarkan adalah daripada jenis benang kapas Jepun yang berkualiti premium, kapas satin dan kapas Korea.

Kain tersebut turut diimport dari beberapa negara seperti Vietnam, China, Bangladesh dan banyak negara lagi.

Hazarina selaku jurucakap kepada FGM berkata, setiap bulan mereka bertiga akan ke negara-negara tersebut bagi memilih corak yang menarik dan sesuai dengan cita rasa rakyat negara ini.

Mereka juga merancang untuk ke Turki bagi menambah koleksi kain benang kapas yang ada.

Kebiasaannya kami akan membawa balik sebanyak 200 gulung kain kapas pada satu masa. Itu pun tidak mencukupi kerana permintaan terlalu banyak sehingga kami perlu mengimport beberapa kali.

Lagipun corak kain cepat bertukar kerana dalam sebulan akan terdapat banyak corak menarik yang dikeluarkan oleh kilang. Kami hanya membawa kain berkualiti premium kerana mahu memberi yang terbaik kepada pelanggan.

Kain jenis ini tidak mudah mengecut dan jika mengecut pun hanya dua peratus sahaja. Jadi sebelum dibuat baju, elok dibasuh dahulu dengan hanya mencelup di dalam air. Warna kain juga tidak luntur.

Bagi menjaga kain kapas, sidai di tempat yang redup dan jika dibasuh, jangan diperah kuat-kuat," kata Hazarina yang ditemui di Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Jual secara borong

Menurut ibu kepada tiga orang anak ini lagi, FGM membekalkan kain kapas secara borong kepada pemborong kain, pemilik butik, tukang jahit, pembuat barangan kraf tangan, pembuat barangan bayi dan sebagainya.

Tambahnya, corak yang disukai pada masa sekarang ialah paisley, abstrak dan bunga-bungaan, sementara warna ungu gelap atau radiant orchid akan menjadi warna kegemaran tahun ini.

Pada masa ini, syarikat ini mempunyai seramai 30 orang ejen di seluruh Malaysia dan 90 peratus daripada mereka adalah wanita yang bekerja sebagai guru dan tukang jahit.

Bagi menjadi ejen, seseorang itu harus membeli sekurang-kurangnya 10 helai kain pada satu masa.

Kami mengalu-alukan sesiapa yang hendak menjadi ejen dan dengan cara ini kami dapat membantu mereka yang ingin menjana pendapatan.

"Untuk menjadi ejen, anda tidak perlu membayar yuran, sebaliknya hanya bayar harga kain yang dibeli pada harga yang lebih murah berbanding membeli secara runcit.

Ejen akan mendapat contoh katalog kain secara percuma dan sokongan jualan secara dalam talian. Bagi mereka yang tiada latar belakang berniaga, mereka akan mendapat tunjuk ajar dalam bisnes sehingga mereka boleh berjaya dalam perniagaan.

Kami turut menggalakkan ejen supaya saling berhubungan sesama sendiri supaya mereka dapat menambah ilmu dalam bisnes.

"Kami sendiri akan sentiasa bertanya pendapat ejen mengenai kain dan corak yang disukai oleh pelanggan mereka," ujar Hazarina.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat