Utusan Online - Feminin
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Feminin |
Posted: 05 Mar 2014 10:37 PM PST BERSELUAR dan blaus yang selesa memang kriteria yang diutamakan ibu menyusu bayi. SIAPA kata ibu yang menyusukan bayi tidak boleh melaram dengan baju-baju yang cantik. Jika dahulu mungkin tidak banyak fesyen pakaian yang menarik dan bersesuaian dengan keperluan ibu yang menyusukan bayi, tetapi kini mempunyai banyak pilihan pakaian. Memahami kehendak wanita khususnya ibu yang menyusukan bayi juga ingin tampak cantik dan menarik walaupun mempunyai tanggungjawab memberikan penyusuan ibu secara eksklusif, Moms Couture melalui jenama pakaian ibu menyusu, iaitu Suri menampilkan banyak pilihan fesyen bagi golongan ini. Rekaan daripada pengasas dan pemilik butik, Hazarina Ishak, memudahkan ibu yang menyusu bayi kerana baju yang dibuat mempunyai bukaan berlapik di bahagian dada yang mudah dibuka dan ditutup semasa dan selepas menyusukan bayi. Bukaan ini menurut Hazarina, tidak nampak ketara pada pandangan orang lain dan dibuat dengan begitu teliti supaya ia sentiasa tertutup selepas masa menyusu selesai. Katanya, bukaan yang berzip cuba dielak supaya bayi tidak luka dan lebih memudahkan ibu semasa hendak menyusukan kerana tidak perlu membuka zip. Melalui rekaan-rekaan sebegini, ibu boleh menyusukan bayi mereka dengan tenang dan selesa di mana sahaja tanpa berasa malu dilihat orang malah mereka boleh menyusukan bayi sehingga dua tahun. Kadang-kadang ibu terpaksa berhenti menyusukan bayi kerana masalah hendak memberi susu semasa berada di tempat yang ramai orang. Saya buat baju ini pun supaya ibu yang hendak keluar menghadiri majlis tidak berasa risau meninggalkan anak di rumah. Dengan memakai baju seperti ini mereka boleh membawa bersama anak yang masih menyusu dan bebas menyusukan anak mereka. Dengan ini kedua-dua ibu dan anak berasa tenang," ujar Hazarina yang juga merupakan kaunselor penyusuan ibu di Hospital Serdang. Tambah beliau, baju untuk ibu menyusu ini dibuat daripada jenis kain yang selesa dan tidak panas seperti kain kapas, lycra dan fabrik yang memeri bagi memudahkan ibu ketika menyusu bayi. Banyak rekaan yang boleh dipilih seperti blaus labuh menutupi punggung, sut seluar dan baju, baju potongan ekor ikan (fish tail), jubah dan banyak lagi. Selain sesuai bagi dipakai untuk ke pejabat, Moms Couture turut menghasilkan rekaan gaun (dress) yang sesuai untuk ke majlis. Terdapat banyak pilihan warna terang dan ceria kerana warna-warna terang yang dipakai oleh si ibu dapat meransang otak bayi untuk menjadi lebih aktif. Bukan sahaja direka khas untuk ibu menyusu namun boleh juga dipakai oleh wanita yang tidak menyusukan bayi mereka. |
Tuan Atirah impikan firma audit Posted: 05 Mar 2014 05:59 AM PST Oleh MERAN ABU BAKAR Tuan Atirah tidak kekok bergaya di depan kamera. DAHULU ketika di bangku sekolah memang jarang sekali dapat berjumpa dengan anak Melayu yang minat dan bijak dalam matematik kalau ada pun boleh dibilang dengan jari. Berbeza sekarang apabila semakin ramai anak Melayu yang bukan sahaja minat, malah berjaya menguasai kemahiran tersebut dengan cemerlang sebagaimana yang dibuktikan oleh Tuan Atirah Tuan Zahirman Zarif, 24. Sejak sebelum bersekolah lagi, dia telah dididik oleh ayahnya untuk meminati matematik. Selain sering dibelikan permainan yang berkaitan dengan mengira, dia juga dimasukkan ke kelas aritmetik untuk belajar mengira menggunakan jari, sempoa dan minda. Ketika bersekolah di darjah satu pula, ayahnya sudah membelikannya buku Matematik untuk darjah dua supaya dia lebih advance dalam mata pelajaran tersebut. Sehingga sekarang, Tuan Atirah lebih suka mengira mengikut teknik sempoa dan memang mahir menggunakan alat tersebut. Akuinya, mengira amat disukai kerana ia berteraskan kefahaman dan tidak suka kepada subjek yang memerlukan dia menghafal. Menurut anak sulung daripada empat beradik ini lagi, sejak di bangku sekolah dia kerap terpilih sebagai pelajar cemerlang dalam matematik. Kecemerlangan itu diteruskan hingga sekarang apabila dia berjaya melanjutkan pelajaran dalam bidang perakunan dan kini mengikuti program profesional dalam Association of Chartered Certified Accountants (ACCA) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Kini dia sedang dalam semester terakhir dan bercita-cita menjadi seorang akauntan bertauliah serta membuka firma audit sendiri suatu hari nanti. Minat yang mendalam dalam matematik dapat dilihat apabila enam semester berturut-turut, Tuan Atirah terpilih menerima Anugerah Dekan dan tamat pengajian peringkat diploma dia menerima Anugerah Naib Canselor. Sudah mulakan bisnes Sementara itu, kesibukan menelaah pelajaran bukan menjadi penghalang bagi gadis berkulit sawo matang ini untuk cuba berniaga. Dia bermula dengan bisnes yang mudah yang banyak dilakukan oleh golongan muda kini, iaitu menjual tudung inner neck melalui lama sosial instagram. Katanya, pendapatan yang diperoleh sekurang-kurangnya dapat digunakan bagi membayar yuran pengajian. Dengan menjual tudung ini sahaja saya berjaya mengumpul 3,000 pengikut. Saya juga mempunyai ejen di Singapura, Johor dan Kuala Lumpur. Kalau sesiapa yang nak tengok inner neck yang saya jual boleh tengok di instagram saya tratrex. Sudah setahun saya berniaga dan selepas ini saya merancang untuk mengembangkan bisnes dengan mengeluarkan koleksi tudung sendiri. "Ini kerana setiap kali saya memakai tudung, ramai yang bertanya sama ada saya ada menjual tudung. Saya ingin buat tudung yang cantik dan menarik serta menggunakan jenis kain yang lembut dan tidak perlu digosok," kata Tuan Atirah yang baru setahun berhijab. Dia, yang kini sedang belajar menyukai semua jenis warna kerana dahulu hanya menggemari warna-warna asas, berkata, walaupun berhijab seseorang itu masih boleh bergaya. Menurutnya, perkembangan pesat dalam fesyen hijab pada masa sekarang juga membuatkan lebih ramai golongan muda tertarik untuk mengenakan hijab. Justeru, dia berazam untuk meneroka lebih banyak peluang berniaga fesyen muslimah dengan mengeluarkan rekaan-rekaan sendiri baik dalam fesyen tudung atau pakaian. Ciko burung kesayangan Jika ramai yang memilih memelihara kucing sebagai haiwan peliharaan di rumah, berbeza pula dengan Tuan Atirah yang memilih untuk memelihara seekor burung sebagai haiwan kesayangan. Burung love bird yang diberi nama Ciko itu amat manja dengannya dan baru setahun dipelihara setelah dihadiahkan oleh seorang kawan. Menurut Tuan Atirah, dia tidak memelihara kucing kerana di rumah ramai yang menghidap asma dan alah dengan bulu kucing. Sebab itu dia memelihara Ciko yang turut disayangi oleh seluruh ahli keluarganya. Ciko, burung yang jinak. Saya membelanya sejak berumur dua bulan dan dibiarkan lepas bebas dalam rumah. Ciko tidak boleh terbang kerana bulu sayapnya telah dipotong. Kalau dimasukkan ke dalam sangkar, Ciko akan berkicau sepanjang hari seolah meminta sangkarnya dibuka Bagus bela haiwan peliharaan ini kerana mengajar orang supaya sayang kepada haiwan. Adik-adik saya, balik sekolah sahaja akan terus main dengan Ciko. Ciko makan semua yang kami makan. Cuma pantang burung jangan bagi makan coklat kerana boleh mati," cerita Tuan Atirah yang tampak ceria apabila bercerita mengenai Ciko. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Feminin To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |