Utusan Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Hiburan |
Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT Hanez Suraya BIARPUN jiwa sedang bergelodak dek kontroversi yang melanda namun wajahnya tetap tenang kala berkongsi rasa hati bersama Pancaindera petang Khamis lalu. Tentu sahaja dilabel perampas suami orang dan wanita perosak rumah tangga membuatkan hatinya pedih dan terhiris. Malah situasi itu turut mencabar kesabaran diri lebih-lebih lagi apabila maruahnya diperlekehkan oleh sesetengah pihak. Tidak mampu bertahan apabila sewenang-wenangnya diserang dengan kejian, Hanez Suraya Abdul Aziz tetap menafikan dia perampas walaupun lelaki itu suami orang. Lebih teruk lagi apabila dia dilaporkan berkata, kekasihnya seorang duda. Memang nama Hanez Suraya cukup hangat diperkatakan sejak seminggu dua ini ekoran kontroversi kisah cintanya dengan Mr. R yang didakwanya duda tetapi sebenarnya masih suami orang. Peliknya walaupun ternyata suami orang, masih berlaku tuduh menuduh dan cabar mencabar dengan isteri Mr. R . Tidak cukup dengan itu, Hanez dan Mr. R mengadakan sidang akhbar tetapi isteri Mr. R tidak ada di sidang akhbar itu. Penjelasan hanya sebelah pihak sahaja. Sebenarnya bukan suatu yang luar biasa apabila artis wanita berkahwin dengan suami orang yang kaya, ternama dan berpengaruh. Ini perkara biasa dan sepatutnya sudah tidak menjadi kontroversi lagi. Perkara yang jarang berlaku sepatutnya menjadi kontroversi. Sepatutnya dalam fenomena artis wanita berkahwin dengan suami orang, masyarakat tidak perlu lagi memberi perhatian yang melampau. Berhadapan dengan pelbagai pandangan serong masyarakat Hanez mengakui bahawa dia terpaksa menghadapi dugaan besar dalam hidupnya itu. "Kesabaran ada hadnya. Cukup-cukuplah saya berdepan dengan macam-macam kata nista sepanjang minggu lalu kini saya tidak akan berdiam diri," katanya membuka bicara dan mempertahankan dirinya bukan merampas suami orang. Berani kerana benar. Itu tegas gadis berusia 29 tahun ini ketika ditemui untuk sesi fotografi di Shah Alam, Selangor. Ketika sesi fotografi berlangsung di satu sudut kelihatan kekasihnya, Mr. R atau Romie Razin Adilha bersama dua rakannya. Ketika berbicara soal jodoh, Hanez sangat percaya dan yakin dengan lelaki yang bakal menjadi kepala keluarganya satu hari nanti. "Apabila berkawan dengan mana-mana lelaki, saya akan siasat tentang latar belakangnya. Kalau dia sudah ada isteri, awal-awal lagi saya angkat kaki. Saya memang tak mahu suami orang! Tapi apabila bertemu dengan Romie Disember lalu , dia beritahu perkahwinannya bermasalah," ujarnya. Tambah Hanez lagi, kejujuran dan keikhlasan lelaki itu menawan hatinya biarpun masih suami orang. "Mungkin sebab itulah saya tidak berfikir panjang untuk serius dengan Romie hingga dia melamar awal Januari lalu," dakwanya. Pun begitu apa yang dikesalkan Hanez apabila hubungannya itu disensasikan kerana lelaki itu bukan duda seperti yang diperkatakan sebelum itu. Walhal kata Hanez, dia cuma kurang bernasib baik apabila hubungannya itu berlangsung saat rumah tangga Romie dengan isterinya, Nurliyana Abdul Manan bergolak. Kesannya dia terkena tempias berbaur negatif daripada segelintir masyarakat yang berterusan menghukum tanpa mengetahui sebenarnya Hanez tidak mahu suami orang. Mahu membersihkan nama yang didakwa tercalar kata Hanez, itu yang mendorong dia mengadakan sidang akhbar Rabu lalu. Turut hadir pada majlis itu ialah peguamnya Wan Nurliyana Abdul Rahman dan peguam Romie, Rubiah Jaffar. Mengambil pendekatan tidak mahu lagi melarikan diri dia juga tidak takut untuk ke hadapan dan menyatakan pendirian berhubung isu berkenaan kerana percaya dia berada di pihak yang benar. Selain mahu segera membersihkan namanya yang tercalar kata Hanez, dia juga tidak peduli apabila tindakannya itu bakal mengundang kebencian masyarakat . "Memang sukar untuk mengubah persepsi negatif yang sudah mendahului pemikiran segelintir pihak. Saya juga tahu usaha untuk menukar pandangan serong itu pasti tidak berjaya. "Sebab dalam kalangan artis Malaysia yang pernah terpalit dengan cerita kontroversi pasti akan berterusan dilabel jahat oleh masyarakat yang berfikiran kolot. Teruslah memburukkan saya tidak kira di Twitter, facebook atau di mana saja, saya sudah tak kisah," katanya penuh makna untuk berdepan dengan masyarakat yang dilabelkan kolot itu. Kahwin dengan Romie? MENGULAS tentang perancangan masa depannya dengan Romie kata Hanez, dia tidak berani untuk bersuara kerana perkara itu masih kabur. Mengakui pernah menyatakan hasrat untuk berkahwin pada tahun ini tetapi perkara itu masih belum dapat dipastikan lagi. Ini kerana tegasnya, soal jodoh adalah perkara di luar bidang kuasanya. Apa yang diharapkan pelakon ini adalah berdoa dojodohkan dengan Romie. "Biarlah takdir yang menentukan hala tuju perancangan kami. Saya tidak mahu terburu-buru dalam perkara yang membabitkan masa depan. Romie ada komitmen sendiri. Biarlah dia dahulukan perkara penting dan menguruskan hal-hal perkahwinannya. Saya tak mahu masuk campur. "Saya juga sama sekali tidak akan mendesak Romie untuk segera berkahwin dengan saya. Saya pun masih tahu malu," katanya yang mengakui akan mengundur diri andai Romie masih suami orang. Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan mengatakan dia terpikat dengan Romie kerana kekayaan sebaliknya kerana peribadi yang baik. Kata Hanez, soal kekayaan Romie adalah isu kedua kerana yang penting kesediaan lelaki itu untuk menerima dia seadanya. Katanya, "Kalau dapat bakal suami orang kaya itu adalah bonus tapi apa yang penting adalah hati budi." Mengajukan persoalan tentang penerimaan keluarga kedua-dua belah pihak berhubung kontroversi itu , Hanez berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada mereka. Dia mendakwa keluarga Romie memberi sokongan kuat kepadanya ketika berdepan dengan kemelut tersebut. Dakwanya lagi, kata-kata semangat yang diberikan itu secara tidak langsung menambah keyakinannya untuk meneruskan hubungan dengan Romie. Menganggap perang yang terjadi sebagai dugaan awal percintaan dengan Romie kata Hanez lagi, itu penilaian utama yang mencerminkan ketulusan cinta ahli perniagaan itu terhadapnya. "Pada mulanya saya anggap Romie tidak mahu bertanggungjawab atas apa yang berlaku tapi sebenarnya dia memang seorang lelaki yang gentleman. Pada masa yang sama, dia tidak pernah membuka cerita yang mengaibkan mana-mana pihak," katanya. |
Posted: 09 Mar 2014 07:09 AM PDT Oleh AMIRAH AMALY SYAFAAT Bersama ibu kesayangan, Rodziah Arshad (kanan) dan anak bongsunya, Sara Sasha. JIKA ada usaha untuk mematahkan semangat Razman Azrai Zainudin atau Atai untuk meneruskan perjuangan dalam bidang seni, dia tidak akan memperdulikannya. Bahkan anak saudara penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman Haji Arshad ini menegaskan dia perlu menyambung legasi perjuangan seni Sudirman yang terhenti lebih 25 tahun lalu. Sementelah dia individu paling rapat dengan Sudirman, justeru kata Atai, sudah tiba masanya dia menyumbangkan sesuatu kepada industri hiburan. "Apabila orang kata Atai sudah terlalu tua untuk menyertai semula industri hiburan Atai tidak marah. Sebab awal-awal lagi Atai sudah memperbetulkan niat sebelum memasuki bidang ini. Atai tidak perlukan glamor berlebihan. "Cuma Atai mahu berkongsi bakat dan cerita-cerita arwah Cokman (panggilannya kepada Sudirman) yang selama ini Atai pendamkan," kata lelaki berusia 40 tahun ini. Mengulas tentang pendorong utama yang menyebabkan Atai membuat kemunculan semula, berkata biarpun perasaannya berbelah bahagi untuk meneruskan perjuangan seni arwah bapa saudara pada peringkat permulaan namun permintaan peminat untuk mengetahui kehidupan dan perjuangan seni arwah selepas kematiannya pada 22 Februari 1992 yang mendorongnya untuk kembali ke dunia hiburan. Berjaya membuang perasaan sedih dengan kehilangan Cokmannya, Atai mengakui perjuangan untuk bangkit semula itu memakan tempoh yang agak lama. "Cokman yang jaga Atai masa Atai berumur 13 hingga 17 tahun. Sepanjang tempoh lima tahun itu, Cokman tidak pernah abaikan Atai malah jaga Atai macam anak sendiri. "Jadi apabila Cokman pergi semasa usia Atai 18 tahun, hidup Atai sunyi sepi. Atai sudah tak ada tempat bermanja dan berkongsi suka duka. "Memang Atai sedih dan tak ada semangat nak hidup. Jadi selepas (pemergiaan arwah) itu, Atai dengan dunia sendiri. Dah tak nak lagi bercerita tentang Cokman," kata penyimpan rahsia dan pengintip tidak rasmi Sudirman ini. Pelajar cemerlang Dek kesedihan yang melampau juga kata Atai, dia bertukar sikap daripada seorang yang malas belajar kepada pelajar yang cemerlang. Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Atai juga melayakkan dia menyambung pelajaran di luar negara dengan biasiswa tajaan Mara. Hanya fokus pada pelajaran kata Atai, dia juga pernah mendapat anugerah pelajar cemerlang sewaktu menyambung pelajaran di peringkat sarjana muda di Universiti Rhode Island, Amerika Syarikat (AS). "Atai memang tak suka buku, Cokman pun tahu perkara itu. Puas juga Atai kena marah dengan dia tapi entah macam mana buku adalah teman hidup Atai apabila Cokman sudah tiada. "Selain itu Atai juga berpatah arang dengan dunia hiburan," kata pemilik sarjana dalam bidang teknologi maklumat (IT) dari Universiti Staffordshire, United Kingdom (UK) ini lagi. Atas sebab yang sama juga dia memilih untuk menimba pengalaman di bidang korporat selepas pulang ke tanah air pada penghujung tahun 90-an. Pernah memegang jawatan penting di beberapa syarikat korporat tanah air kata Atai, pun begitu tidak bermakna dia melupakan bidang nyanyian. Tambahan pula selepas keadaan keluarganya stabil, secara tidak langsung membuatkan Atai merancang untuk kembali aktif dalam bidang seni. Awal Januari lalu, Atai meletak jawatan sebagai Naib Presiden Pos Malaysia untuk memberi fokus dalam bidang nyanyian bagi meneruskan impian menjadi penyanyi. Misi Atai MENGULAS tentang perancangan seni Atai berkata, dia kini sedang mempromosikan single terbaharunya, Kul It yang boleh dibeli secara dalam talian menggunakan aplikasi telefon pintar iprinz. Kata Atai, single itu cukup istimewa kerana menjadi lagu tempatan pertama yang boleh dikirim sebagai hadiah dalam bentuk poskad dengan harga RM9. Kata Atai lagi, dia sengaja memilih Kul It kerana lagu itu berentak rancak berbanding lagu-lagu berentak balada nyanyian Sudirman yang diminati ramai. "Saya tahu Kul It kurang diminati dan jarang kedengaran di radio sebab itu saya mengambil keputusan untuk merakamkan semula lagu itu. "Kalau didengar semula Kul It, susunan lagu itu ada perubahan tapi masih mengekalkan keaslian struktur lagu," katanya yang bakal menghasilkan lebih banyak lagu rakyat yang disesuaikan dengan peredaran semasa. Selain itu kata Atai, dia juga sedang merangka beberapa projek untuk menghidupkan kembali kegemilangan Sudirman yang merupakan aset hiburan tanah air itu. Antara yang bakal diusahakan Atai ialah memaparkan riwayat sebenar Sudirman dalam bentuk visual, animasi, buku sejarah dan pementasan. Pun begitu kata Atai, semua perancangan tersebut bakal direalisasikan jika mendapat sokongan daripada pelbagai pihak satu hari nanti. "Ada banyak cerita yang orang tidak tahu tentang Cokman. Saya bersedia untuk berkongsi dengan masyarakat," katanya penuh makna. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |