{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


Kapal Vietnam ulang kesalahan

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh AZIZI MAJID
pengarang@utusan.com.my

Kapal MT Sunrise 689 yang ditahan kerana berlabuh di perairan negara tanpa kebenaran di perairan Tanjung Piai, Pontian, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 6 Mac - Sebuah kapal Vietnam yang pernah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kerana berlabuh tanpa kebenaran dikesan melakukan kesalahan sama di perairan Tanjung Piai, Pontian, semalam.

Ketua Penguat Kuasa Daerah Maritim Johor Bahru, Kapten Maritim Aminuddin Abd. Rashid berkata, kapal MT Sunrise 689 yang berdaftar di Hai Pong itu dikesan dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 6.4 kilometer dari Tenggara Pulau Kukup pada pukul 1.30 petang.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati kaptennya gagal memaklumkan ketibaan kapal di perairan negara ini selain berlabuh di luar batas pelabuhan sehingga boleh membahayakan keselamatan kapal-kapal lain.

Sehubungan itu katanya, 17 anak kapal warga Vietnam berusia antara 23 hingga 59 tahun dan tiga pegawai termasuk kaptennya telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

"Siasatan mendapati kapal tersebut sebelum ini pernah ditahan oleh Maritim Malaysia Daerah Tanjung Sedili di perairan Tanjung Penyusop, Kota Tinggi pada 14 September tahun lalu atas kesalahan sama.

"Ini menunjukkan mereka masih berdegil dan tidak mematuhi undang-undang negara ini. Justeru, kita akan mengambil tindakan lebih tegas," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Aminuddin berkata, pemilik kapal tersebut boleh didakwa di bawah Seksyen 491B (1) (l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Seksyen 3 Akta Dius Api Persekutuan 1953 iaitu bersauh tanpa kebenaran dari Pengarah Laut.

Tambahnya, kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan.

Bayi terselamat, 10 buah rumah dipukul ribut

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

LEE Kwang Siong menunjukkan bahagian siling dan bumbung rumah yang rosak diterbangkan ribut Tangkak, Ledang, kelmarin.

LEDANG 6 Mac - Seorang bayi lelaki berusia empat bulan terselamat daripada ditimpa kepingan siling rumah pengasuh yang runtuh akibat dipukul ribut kelmarin.

Dalam kejadian yang merosakkan 10 buah rumah di Lorong 2, Kampung Baru Tangkak 2, Tangkak, pukul 2.45 petang, bayi itu sedang tidur di dalam buaian.

Lim Yok Tan, 60, yang berjiran dengan ibu bapa bayi berkenaan berkata, dia kemudian dikejutkan dengan angin kencang yang mulanya disangka bunyi enjin daripada sebuah lori di pekarangan rumahnya.

"Tiba-tiba terdengar bunyi zink dan kepingan bumbung terangkat. Barulah saya tahu ribut sedang melanda kampung kami.

"Tidak lama selepas itu, beberapa keping siling runtuh berhampiran buaian," katanya yang memberitahu, semasa kejadian hanya dia dan bayi itu berada di dalam rumah ketika ditemui di sini semalam.

Yok Tan memberitahu, sebanyak 30 keping bumbung dan 10 keping siling rosak dan kerugian dialaminya kira-kira RM8,000.

Dia yang tinggal di kampung itu sejak 31 tahun lalu berkata, kejadian tersebut merupakan kali kedua dan terburuk di kawasan tersebut sejak 10 tahun lalu walaupun tiada kemalangan jiwa.

Seorang lagi mangsa, Lee Kwang Siong, 51, berkata, ketika kejadian, dia sedang bekerja dan hanya isterinya yang mahu dikenali sebagai Amy, 37, bersama anaknya Lee Sin Hui, 5, berada di rumah.

"Semasa meninjau ke belakang rumah, isteri saya terlihat angin seperti puting beliung lalu menerbangkan bumbung jiran rumah saya.

"Melihat keadaan tersebut isteri saya segera membawa dan memeluk anak kami keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ledang, Datuk Ir. Hamim Samuri ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya akan membantu mangsa terlibat selain bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

13 petani terima bantuan Tanaman 2013

Posted: 06 Mar 2014 10:39 AM PST

Oleh Mohamed Saari
utusanjohor@utusan.com.my

MOHD. Azahar Ibrahim (kiri) menyampaikan bantuan kepada salah seorang petani yang terjejas pendapatannya akibat banjir pada tahun lalu di Labis, semalam.

LABIS 6 Mac - Kegembiraan jelas tergambar pada wajah 13 petani di sini yang menerima Bantuan Tanaman 2013 antara RM500 hingga RM2,000 ekoran tanaman dan ternakan mereka musnah akibat banjir tahun lalu.

Seorang penerima, Jamaluddin Jaafar, 59, yang mengusahakan tanaman pisang dan sayur-sayuran di kebun seluas empat hektar di Felda Chempelak mengalami kerugian hampir RM25,000 akibat banjir.

Dia bersyukur terpilih sebagai penerima wang sumbangan tersebut yang akan digunakan untuk menanam semula tanamannya.

"Wang yang diterima mungkin tidak dapat menampung kerugian dialami, tetapi dapatlah membantu meringankan beban kos membeli racun dan baja untuk tanaman semula pisang dan sayur-sayuran yang diusahakan.

"Bantuan ini bukan sahaja menggambarkan keprihatinan kerajaan terhadap masalah yang dialami petani, sebaliknya sebagai bantuan modal untuk mengusahakan semula tanaman yang musnah walaupun jumlahnya tidak banyak," katanya.

Dia berkata demikian dalam majlis penyampaian bantuan berjumlah RM11,500 oleh Ahli Dewan Undangan (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim,

Bagi Tan Kok Guan, 33, yang mengalami kerugian hampir RM15,000 menyifatkan bantuan diterima sebagai penyuntik semangat untuk mengusahakan semula tanaman pisang di tapak seluas 1.5 hektar di Kampung Sawah Baru yang mati akibat ditengelami air banjir tahun lalu.

Dia mengakui seperti hilang semangat untuk menanam semula pisang di kebunnya kerana bimbang akan mengalami kerugian sekiranya perkara sama berlaku, namun dengan bantuan yang diterima dia bertekad untuk mengusahakan kembali kebun berkenaan.

Abd. Ghani Omar, 55, pula berkata, kerugian kira-kira RM7,000 akibat kemusnahan tanaman tebu dan pisang dalam kejadian banjir itu tidak mematahkan semangatnya untuk mengusahakan semula kebunnya seluas 1.6 hektar dengan tanaman baru.

"Memang agak sukar mencari semula modal untuk membeli benih dan baja selepas tanaman sebelum ini tidak dapat dituai, namun saya tidak patah semangat untuk terus berusaha. Bantuan yang diterima ini banyak membantu saya membangunkan semula kebun," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim berkata, jumlah bantuan yang dihulurkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani itu adalah tidak sama kerana pembayaran dibuat berdasarkan nilai kerugian dialami penerima akibat kemusnahan tanaman dan kematian ternakan ketika kejadian banjir tahun lalu.

"Kerajaan mungkin tidak dapat membayar keseluruhan nilai yang dialami petani, tetapi saya harap jumlah yang diterima itu dapat membantu meringankan beban mereka," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat