{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


Skuter urban jimat bahan api

Posted:

Skuter urban jimat bahan api

Skuter urban jimat bahan api

Oleh SHAWKATH AZDE


YAMAHA Ego S nyata lebih tangkas dan menjimatkan penggunaan bahan api.


TEMPOH tiga bulan lalu menyaksikan Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) memperbaharui rangkaian produk skuternya sebagai salah satu strategi untuk kekal relevan dalam edaran semasa pasaran skuter Malaysia.

Pemasang dan pengedar produk jenama Yamaha itu tampil dengan dua model skuter baharu iaitu Yamaha Ego S dan Ego LC yang didatangkan bersama teknologi sistem pancitan terus bahan api YMJET-FI (Yamaha Mixture JET-Fuel Injection).

Kurang asap

Sistem YMJET-FI yang dipasang pada model Ego S dan Ego LC merupakan komponen khas yang dibangunkan oleh syarikat prinsipal, Yamaha Motor Co. Ltd. (YMC) bagi kegunaan jentera transmisi automatik. Teknologi berkenaan ada perbezaan jika dibandingkan dengan sistem pancitan bahan api pengeluar lain.

Sistem pancitan konvensional menyampaikan minyak petrol ke dalam kebuk pembakaran dalam bentuk semburan manakala YMJET-FI pula melepaskan bahan api dalam bentuk gas seperti kabus. Kelebihan YMJET-FI membolehkan wasap petrol memenuhi ruangan atas bahagian omboh untuk pembakaran lebih efisien.

Ini membolehkan jentera Ego S dan Ego LC menikmati kuasa maksimum tanpa pembaziran petrol sekali gus mengurangkan kadar emisi karbon. HLYM mendakwa teknologi YMJET-FI membantu menjimatkan penggunaan petrol sehingga 20 peratus berbanding model sebelumnya.

Baru-baru ini, penulis diberi kesempatan oleh HLYM untuk menunggang uji kedua-dua model baharu Ego untuk menilai sejauh mana kehebatan produk tawarannya kali ini. Sesi ujian diadakan di sekitar kawasan ibu negara.

Yamaha Ego S baharu yang dilancarkan pada Disember lalu masih mengekalkan saiz kompak tetapi dengan konsep rekaan menarik. Ekspresi model itu didominasi oleh set lampu utama bahagian hadapan yang agak besar. Sentuhan baharu juga diberikan pada set lampu belakangnya dan juga bahagian instrumen meter.

Enjin Ego S dihidupkan dengan menarik mana-mana tuil brek tangan sambil menekan punat butang pemula. Periksa tongkat tunggal sebelum memulakan perjalanan. Model itu tidak dilengkapi sensor untuk mematikan enjin jika tongkat belum dinaikkan.

Sewaktu memulas pendikit minyak melepasi paras kelajuan 40 kilometer sejam (km/j), kuasa tarikan enjin boleh dinikmati. Perahan sepenuhnya mendapati skuter kecil itu mampu mencapai kelajuan maksimum 103km/j di laluan lurus.

Bekalan petrol sebanyak empat liter membolehkan penulis merekodkan jarak perjalanan sejauh 160km dalam kawasan bandar. Itu termasuk berdepan situasi kesesakan lalu lintas dan berhenti di barisan lampu isyarat. Kadar kelajuan tunggangan dikekalkan antara 60km/j hingga 100km/j.

Ujian kedua membabitkan tunggangan campuran antara jalan bandar dan laluan lebuh raya dengan kos belanja petrol sebanyak RM12 (5.71 liter). Catatan jarak perjalanan yang berjaya dikecapi bagi pengisian itu ialah 306km. Secara purata satu liter petrol menyamai jarak 53km. Impresif.


YAMAHA Ego LC nyata lincah dan menawarkan pengendalian responsif.


Enjin responsif

Respons enjin sepanjang sesi ujian tidak mencetuskan sebarang kesan getaran yang menjengkelkan. Pada kelajuan maksimum juga, penulis mendapati Ego S amat stabil dan cukup responsif untuk menyelit di antara barisan kenderaan beroda empat biarpun memotong lori dan bas di laluan lebuh raya.

Kestabilan jentera seberat 90 kilogram itu disokong oleh padanan fork dan sistem penyerap hentak tunggal pada bahagian belakang. Prestasinya cukup cemerlang sehinggakan tiada perasaan ragu-ragu untuk melayan selekoh pada kelajuan maksimum.

Ego S didatangkan dengan sekeping brek cakera pada roda hadapan dan brek belakang jenis gelendong untuk memperlahankan atau memberhentikan jentera sepenuhnya. Kekurangan paling jelas model Ego S ialah kemudahan ruang kargo. Ia masih terlalu kecil untuk menyimpan barang bersaiz besar.

Sesi ujian kedua melibatkan Ego LC. Skuter saiz pertengahan itu dilancarkan ke pasaran beberapa minggu lalu itu memiliki beberapa kelebihan jika dibandingkan dengan Ego S.

Jika tongkat sisi masih belum dinaikkan, enjin skuter itu tidak boleh dihidupkan. Ia merupakan satu ciri keselamatan untuk menggelak berlakunya kemalangan akibat cuai menaikkan tongkat.

Malah jika tongkat itu diturunkan sewaktu enjin hidup, lampu amaran pada meter instrumen akan berkerdip sebanyak tiga kali dan enjin dimatikan serta-merta.

Respons tork sama seperti model Ego S iaitu apabila jarum meter laju melepasi paras 40km/j, penunggang boleh merasai kuasa tarikan. Kelajuan maksimum yang berjaya direkodkan hanyalah 120km/j.

Sewaktu kelajuan jentera melepasi paras 100km/j, tapak kaki penulis terasa seperti berdenyut-denyut. Itu kesan getaran daripada bahagian enjin.

Berbekalkan satu isian tangki penuh petrol sebanyak 3.8 liter, jarak perjalanan yang mampu dicapai sekadar 110km. Catatan itu mengambil kira paras kelajuan antara 80km/j hingga 110km/j.

Berhubung prestasi membrek, penulis kurang berpuas hati memandangkan ia agak lembap jika dibandingkan dengan Ego S. Kedua-dua model menggunakan jenis brek sama pada kedua-dua bahagian roda.

Sungguhpun begitu, Ego LC tetap lincah apabila bermain di kawasan selekoh. Imbangan jentera agak baik hasil padanan fork hadapan dan monoshock (bahagian belakang) yang tidak membuai sewaktu memecut.

Ruang kargo di bawah pelana membolehkan anda menyimpan sebuah topi keledar jenis separuh dan beberapa barangan kecil. Satu kelebihan jika dibandingkan dengan Ego S.

Setakat ini, HLYM sudah memadankan teknologi YMJET-FI pada dua daripada tiga model sukter dalam rangkaiannya. Satu lagi model iaitu Nouvo LC masih menggunakan sistem karburator. Sama ada model itu akan diperbaharui atau tidak, kita nantikan sahaja pengumuman daripada HLYM.

Ducati Malaysia perkenalkan Monster 796 Corse Stripe

Posted:

Ducati Malaysia perkenalkan Monster 796 Corse Stripe

Ducati Malaysia perkenalkan Monster 796 Corse Stripe



NEXT Bike Sdn. Bhd. (Ducati Malaysia) meluaskan lagi rangkaian model motosikal naked Ducati Monster menerusi pengenalan varian 796 Corse Stripe di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Model yang dibawa masuk dari Thailand berkenaan mengadun kombinasi binaan varian Monster 696 dan 1100. Ia diperkenalkan bagi meluaskan pilihan penggemar jenama motosikal tempatan untuk memiliki jentera urban jenama Itali pada harga yang lebih mampu milik. Ducati Monster 796 Corse Stripe dijual pada harga asas RM63,888 seunit.

Jentera itu tidak jauh berbeza dengan model asas Monster 795 malah menggunakan rangkaian kuasa yang sama. Perbezaan komponen utama antara varian 795 dan 796 Corse Stripe membabitkan jenis lengan ayun yang digunakan. Monster 796 Corse Stripe didatangkan bersama lengan ayun tunggal manakala varian 795 pula mengaplikasi lengan ayun berkembar.

Perbezaan itu membuatkan kadar ketinggian Monster 796 Corse Stripe menokok sebanyak 20 milimeter berbanding 795. Selain itu, Monster 796 Corse Stripe mempunyai solekan jalur putih pada bahagian tengah jentera sebagai padanan pada badan motosikal yang disaluti warna merah. Jentera 796 Corse Stripe didatangkan dengan sistem brek antikunci sebagai ciri standard.

Sebagai bonus kepada pembeli baharu, Ducati Malaysia mengambil inisiatif menawarkan program Kursus Keselamatan Ducati (DSC). Ia merupakan satu kursus asas yang membuka peluang untuk pemilik memahami motosikal Ducati dengan lebih mendalam. Ini termasuk cara-cara pengendalian, kaedah membelok dan membrek, postur tunggangan betul serta aspek penyelenggaraan motosikal.

Sesi pertama kursus itu berlangsung di Petaling Jaya pada hujung minggu lalu. Ducati Malaysia bakal mengadakan program DSC di Pulau Pinang dan Johor dalam masa terdekat. Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman web www.ducati.com.my.

20 Ferrari 458 Speciale sudah terjual

Posted:

20 Ferrari 458 Speciale sudah terjual

20 Ferrari 458 Speciale sudah terjual


MODEL 458 Speciale memiliki beberapa keistimewaan teknologi dalam rangkaian keluarga 458 sebelum ini.


NAZA Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia) membuka lembaran 2014 dengan melancarkan model Ferrari 458 Speciale di Litar Antarabangsa Sepang baru-baru ini. Model itu merupakan varian paling inovatif dan berprestasi dalam keluarga 458 setakat ini. Naza Italia ialah pengimport dan pengedar rasmi kenderaan jenama Ferrari di Malaysia.

Model rekaan Pusat Gayaan Ferrari dan firma pereka Pininfarina itu didatangkan dengan sistem aerodinamik aktif yang dipasang pada kedua-dua bampar kenderaan. Sistem itu akan dibuka untuk menyalurkan angin masuk dan keluar bagi mengimbangi seretan serta tekanan downforce kereta.

Model itu dinobatkan sebagai model Ferrari yang didatangkan bersama enjin aspirasi biasa V8 yang mampu menjana kuasa sebanyak 605PS. Pecutan dari titik pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) hanya mengambil masa 3 saat.

Teknologi lain didatangkan bersama kereta itu ialah sistem kawalan gelincir tepi untuk menawarkan pengendalian yang lebih baik sewaktu pemanduan kelajuan tinggi di kawasan selekoh.

Buat masa ini, Naza Italia sudah menerima hampir 20 unit tempahan daripada para pelanggan tempatan. Model 458 Speciale ditawarkan pada harga asas RM1.24 juta seunit dan itu tidak termasuk duti dan sebarang tambahan aksesori lain.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat